Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday, November 26, 2009

Kisah Kemenangan Ujian Nabi Ibrahim as





KeTaqwaan Nabi Ibrahim yang sanggup ‘mengorbankan’ anaknya, Nabi Ismail demi melaksanakan perintah Allah menjadi ingatan dan iktibar setiap kali musim haji dan sambutan Aidiladha.

Kepatuhan dan ketaatan Nabi Ibrahim dan Ismail untuk melaksanakan perintah Allah itu adalah simbolik kepada ibadat korban yang dilakukan oleh umat Islam.

Diriwayatkan sebelum Nabi Ibrahim diperintahkan Allah supaya menyembelih anaknya Nabi Ismail, baginda membuat ibadat korban sebanyak 1,000 kambing, 300 lembu dan 100 unta di jalan Allah.

Melihatkan kepada banyaknya jumlah korban yang dilakukan, maka manusia dan malaikat kagum dan kehairanan.


Nabi Ibrahim bersabda: “Semua yang menjadi korban itu belum apa-apa lagi bagiku. Demi Allah, kalau aku dikurniakan anak lelaki sudah tentu dia juga akan kusembelih di jalan Allah dan aku korbankan dia untuk Allah.”

Ketika Nabi Ibrahim tiba di Iradhil Muqaddasah (bumi yang disucikan), baginda memohon kepada Allah supaya dikurniakan anak dan Allah mengabulkan permohonannya. Akhirnya, baginda dikurniakan seorang anak lelaki.

Tatkala, anaknya iaitu Nabi Ismail pandai berjalan dan berusia tujuh tahun (sesetengah sirah menerangkan 13 tahun), Nabi Ibrahim mendapat mimpi iaitu baginda mendengar suara yang berkata: “Hai Ibrahim, tunaikan nazar kamu!”

Keesokan paginya, Nabi Ibrahim berfikir: “Apakah mimpi itu datangnya daripada Allah atau syaitan?”

Selanjutnya, pada malam kedua, Nabi Ibrahim bermimpi lagi, sama seperti mimpinya terdahulu. Maka, keesokan harinya, baginda tahu bahawa mimpinya itu adalah daripada Allah.

Pada malam ketiganya, beliau bermimpi lagi seperti sebelumnya hingga Nabi Ibrahim pasti bahawa mimpi itu datang daripada Allah yang bermaksud baginda perlu menunaikan nazar dengan menyembelih anaknya sebagaimana yang dijanjikan.

Ketika Nabi Ibrahim hendak pergi melaksanakan penyembelihan, beliau berkata kepada ibu Nabi Ismail iaitu Siti Hajar yang berbunyi: “Hai Hajar, pakaikan anakmu Ismail dengan pakaian yang paling baik dan bagus kerana aku akan pergi dengannya.”

Maka, Siti Hajar memakaikan pakaian, memberi haruman dan membersihkan tubuh anaknya sebelum menyerahkannya kepada suaminya.

Kemudian, Nabi Ibrahim pergi bersama anaknya dengan membawa tali dan pisau yang tajam berhampiran Mina.

Ketika itu, musuh Allah iaitu iblis terkutuk sudah sedia menanti untuk menggoda dan dia tidak pernah sesibuk seperti hari itu.

Dalam perjalanan Nabi Ibrahim ke Mina, Nabi Ismail kelihatan ceria dan sering berlari meloncat ke hadapan ayahnya.

Maka, iblis berkata kepada Nabi Ibrahim: “Wahai Ibrahim, apakah engkau tidak memperlihatkan betapa tampan parasnya, bagus badannya dan kesantunan peri lakunya?”

Kata Nabi Ibrahim: “Ya, tetapi aku diperintah Tuhanku untuk itu.”

Ketika iblis terkutuk itu putus asa terhadap Nabi Ibrahim, lalu dia pergi mendapatkan Siti Hajar dan berkata: “Wahai Hajar, bagaimana boleh engkau duduk-duduk saja, sedangkan Ibrahim sudah pun pergi dengan anakmu dan akan menyembelihnya?”

Kata Siti Hajar: “Jangan engkau berdusta, aku tidak pernah tahu seorang ayah sanggup menyembelih anaknya sendiri.”

“Itulah sebabnya dia keluar dengan anakmu membawa tali dan pisau. Dia mengira bahawa Tuhannya menyuruhnya untuk itu,” katanya iblis.

Siti Hajar menjawab: “Nabi itu tidak pernah diperintah untuk sesuatu yang batil dan saya sendiri bersedia untuk menebus perintah itu dengan jiwa sendiri, betapa pula jika hanya dengan jiwa anakku?”

Ketika iblis terkutuk berputus asa terhadap Siti Hajar, maka dia pergi kepada Nabi Ismail seraya berkata: “Sungguh engkau bersenang-senang, sedangkan ayah kamu membawa tali dan pisau untuk menyembelih kamu.”

Nabi Ismail berkata: “Jangan engkau berdusta, mengapa ayah aku akan menyembelihku?”

Iblis menjawab: “Dia mengira bahawa Tuhannya menyuruhnya untuk itu.”

Nabi Ismail berkata: “Aku memperhatikan dan mentaati perintah Tuhanku.”

Ketika iblis terkutuk itu cuba untuk melontarkan godaan yang lain, maka terlebih dulu Nabi Ismail mengambil seketul batu dan melemparkannya kepada iblis sehingga mata kirinya pecah dan buta. Lalu dia pergi dengan sia-sia lagi rugi.

Ketika Nabi Ibrahim tiba di Mina, baginda berkata kepada puteranya: “Hai anakku, sungguh aku melihat dalam tidurku (dalam mimpi aku) bahawa aku menyembelih engkau, cuba engkau pula perhatikan bagaimana pendapat kamu?”

Nabi Ismail menjawab: “Wahai ayahku, kerjakanlah apa yang diperintahkan. Insya-Allah ayah akan mendapatkan aku sebagai orang yang sabar, iaitu terhadap apa yang diperintahkan kepada ayah untuk menyembelih aku.”

Tatkala Nabi Ibrahim mendengar kata-kata puteranya, baginda tahu bahawa doanya kepada Allah sudah dikabulkan iaitu: “Rabbi Hablii Minash Shalihiin (Ya Tuhanku, berikanlah kepada anak yang soleh).”

Kemudian Nabi Ismail berkata kepada ayahnya: “Wahai ayah, aku sampaikan beberapa pesan kepada ayah. Hendaklah ayah mengikat tanganku supaya aku tidak bergerak-gerak yang mungkin menyakitkan ayah;

“Hendaklah wajahku dihadapkan ke tanah supaya ayah tidak melihat lalu menimbulkan kasih sayang ayah kepadaku.

“Hendaklah ayah melipatkan kain ayah supaya tidak tercemar dengan darah, meskipun sedikit hingga mengurangi pahala aku dan mungkin juga diketahui oleh ibu sehingga dia menjadi susah.

“Hendaklah ayah menajamkan pisau ayah, lagi pula mempercepatkan jalannya di atas leher aku, supaya tidak terlalu sakit kerana mati itu sakit sekali.

“Hendaknya ayah membawa bajuku kepada ibu sebagai tanda kenangan daripadaku serta sampaikan salam aku kepadanya dan katakan kepadanya: ‘Bersabarlah engkau terhadap perintah Allah’ dan jangan ayah beritahukan kepadanya bagaimana ayah menyembelih aku, serta bagaimana pula ayah mengikat tanganku.

“Hendaklah ayah tidak memasukkan anak-anak ke rumah ibu supaya dia tidak terlalu sedih mengenangkan aku. Dan ayah mengetahui anak seperti aku hendaklah ayah tidak melihatnya hingga nanti ayah menjadi susah dan duka.”

Nabi Ibrahim berkata: “Sebaik-baik penolong adalah engkau wahai anakku, untuk melaksanakan perintah Allah SWT.”

Kemudian ketika kedua-duanya sudah menyerah bersedia, ertinya bersedia melaksanakan perintah Allah, Nabi Ibrahim membaringkan Ismail seperti kambing yang disembelih.

Ada yang menceritakan Nabi Ibrahim menelungkupkan wajah Ismail dengan isyaratnya supaya tidak melihat sesuatu yang menimbulkan kasih sayangnya, hingga dapat menghalang baginda daripada melaksanakan perintah Allah.

NABI Ibrahim sedia untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail seperti yang diperintah oleh Allah.

Kedua-duanya sudah menyerah bersedia, ertinya bersedia melaksanakan perintah Allah. Nabi Ibrahim kemudian membaringkan Ismail seperti kambing yang disembelih.

Ada yang menceritakan Nabi Ibrahim menelungkupkan wajah Ismail dengan isyaratnya. Perkara ini supaya tidak melihat sesuatu yang menimbulkan kasih sayangnya, hingga dapat menghalang baginda daripada melaksanakan perintah Allah

Perintah itu dilaksanakan pada sisi batu besar di Mina. Ada yang menerangkan di suatu tempat yang dekat dengan Mina.

Nabi Ibrahim meletakkan pisau pada leher puteranya, maka baginda memotongnya dengan sangat kuat sekali, namun ia masih tidak mampu memutuskan leher anaknya.

Sesungguhnya, Allah membuka tutup mata malaikat di langit dan laut. Ketika malaikat melihat bahawa Nabi Ibrahim menyembelih puteranya iaitu Nabi Ismail, mereka tersungkur sujud kepada Allah.

Kemudian Allah berfirman bermaksud: “Perhatikan olehmu sekalian kepada hamba-Ku, bagaimana dia melakukan pisau di atas leher puteranya untuk mencari atau mengharap keredaan-Ku, sedang kalian dulu semua mengatakan sesuatu ketika Aku berfirman: ‘Sesungguhnya, Aku akan menjadikan di bumi ini seorang khalifah.’ Engkau berkata: ‘Apakah Engkau menciptakan orang yang akan berbuat kerosakan di bumi, dan akan menumpahkan darah, sedang kami sekalian mensucikan Engkau?”

Kemudian Nabi Ismail berkata: “Wahai ayahku, lepaskan ikatan tali tanganku dan kakiku supaya Allah tidak memandang aku sebagai orang yang terpaksa, ertinya terpaksa dalam mentaati perintah Allah. Bahkan letakkan pisau itu di atas leher aku supaya malaikat tahu, bahawa putera Ibrahim itu mentaati perintah Allah dengan ikhtiar iaitu dengan pilihannya sendiri atau dengan sukarela.”

Maka, Nabi Ibrahim pun meluruskan dua tangan Ismail dan dua kakinya tanpa ikatan, serta memalingkan wajah ke tanah, lalu menggerakkan pisaunya dengan sekuat tenaganya.

Pisau itu membalik dan tidak boleh memotong leher Ismail dengan izin Allah.

“Wahai ayahku, kekuatan kamu menjadi lemah kerana masih ada cintamu kepadaku, kerana itu ayah tidak boleh menyembelih aku,” kata Nabi Ismail.

Maka, Nabi Ibrahim memukul pisau itu pada batu dan batu itu pecah menjadi dua.

“Wahai pisau, engkau mampu membelah batu tetapi kamu tidak mampu memotong leher anakku,” kata Nabi Ibrahim.

Pisau itu berkata dengan izin Allah: “Wahai Ibrahim, engkau mengatakan ‘potonglah’ sedang Tuhan seru sekalian alam berfirman: ‘Jangan engkau potong’. Maka bagaimana aku mentaati engkau, sedang aku harus menderhakai Tuhan engkau?”

Kemudian Allah berfirman bermaksud: “Dan Kami menyeru: Hai Ibrahim, sungguh engkau membenarkan mimpi. Ertinya, apa-apa yang engkau perlihatkan daripada beberapa pemandangan, hingga tampak bagi hamba-Ku, bahawa engkau sungguh-sungguh memiliki keredaan-Ku daripada kecintaan kamu terhadap anakmu.

“Dan adalah engkau dengan demikian itu, termasuk golongan orang yang taat kepada perintah-Ku. Sungguh, ini adalah ujian yang nyata, iaitu penyembelihan itu adalah ujian yang nyata untuk mengetahui antara yang ikhlas, dari yang tidak ikhlas atau juga ujian yang nyata sulit sekali, kerana tidak ada yang sesulit itu.

“Maka, Kami selamatkan orang yang disuruh membunuhnya dengan sembelihan besar dari syurga, iaitu kambing kibas yang dulu dikorbankan oleh Habil yang diterima daripadanya. Dan korban kambing itu tetap berada di syurga, hingga Nabi Ismail ditebus atau digantikan dengan kambing itu.

“Kerana itu, kami perintahkan kepada Jibril yang datang dengan membawa kambing kibas, ketika Nabi Ibrahim meletakkan pisaunya yang terakhir kali pada leher puteranya itu.”

Malaikat Jibril berseru untuk mengagungkan Allah dan kagum terhadap perbuatan Ibrahim seraya berucap: “Allahu, Akbar, Allahhu Akbar.”

Maka, Nabi Ibrahim membalasnya dengan ucapan: “Laa Ilaha Illallaahu Allahu Akbar.”

Dan Nabi Ismail pun menyambutnya: “Allahu Akbar wa Lillahil Hamdu.”

Maka, Allah menganggap baik kalimat ini, lalu mewajibkan kita sekalian mengucapkannya kerana mengikuti jejak Nabi Ibrahim as.


Tuesday, November 17, 2009

Taqwa Nabi Ibrahim

Sofwa dan Marwa

Sofa dan Marwa kisah bermula
Siti hajar berhati mulia
Taatkan Allah buat suaminya
Biarpun hidup penuh derita

Nabi Ibrahim suami tercinta
Menerima wahyu perintah Allah
Suatu suruhan mengandungi hikmah
Perintah Allah Segera dilaksana

Menangis hajar mendengar kisah
Pilu hatinya dihambat resah
Mengenang nasib telah tersurat
Hidupnya bakal menempuh susah

Sofa dan Marwa kisah bermula
Siti hajar berhati mulia
Taatkan Allah buat suaminya
Biarpun hidup penuh derita

Nabi Ibrahim hatinya rawan
Anak dan isteri harus ditinggalkan
Namun dirinya tak dapat melawan
Perintah Allah segera dilaksana

Dipadang tandus dan dia tinggalkan
Tiada teman tiada taulan
Hanya anaknya menjadi kawan
pujuk dan rayu tak diperdulikan

Sofa dan Marwa kisah bermula
Siti hajar berhati mulia
Taatkan Allah buat suaminya
Biarpun hidup penuh derita

Tika mentari membakar terik
Sesusut tubuh lesu tak bermaya
Habis bekalan susu kekeringan
Menangis Ismail haus kelaparan

Hajar berdoa dengan hiba nya
Mengharap air membasah dahaga
Tanpa diduga terpancar air
Dari hentakan kaki anaknya

Sofa dan Marwa kisah bermula
Siti hajar berhati mulia
Taatkan Allah buat suaminya
Biarpun hidup penuh derita


Alhamdulillah Hari ini satu zulhijjah tiba lagi yang mana di dalamnya ada pelbagai kisah yang berlaku diantaranya perintah penyembelihan Nabi Ismail a.s untuk di jadikan korban bapanya Nabi Ibrahim as dan akhirnya dengan ketaatannya terhadap perintah Allah SWT itu Allah telah takdirkan yang disembelih bukannya Nabi Ismail tetapi seekor sapi.

Tetapi hari ini kita hendak membincangkan bagaimana ketaatan dan ketaqwaan nabi Ibrahim a.s kepada perintah dan suruhan Allah swt. Bagaimana pada suatu hari nabi Ibrahim a.s telah diperintahkan oleh Allah ta’ala untuk membawa isteri keduanya, Hajar beserta anaknya yang baru dilahirkan, Ismail a.s untuk ditinggalkan di suatu tanah gersang kering kontang yang dinamakan Makkah.

Sebaik saja menerima perintah Allah tersebut, nabi Ibrahim a.s tanpa banyak soal terus membawa isteri dan anaknya itu dalam suatu perjalanan yang amat jauh (bayangkan perjalanan darat dengan tunggangan unta dari Palestin ke Makkah dan tanpa memberitahu ke mana destinasi yang dituju mereka dan apakah tujuan mereka bermusafir dengan membawa anak dan isterinya.

Setibanya sahaja di Makkah yang ketika itu adalah satu tempat yang gersang, kering kontang, tiada hidupan, tiada air, tiada tumbuhan, tiada orang lalu-lalang sekalipun, bak kata orang, tempat jin bertendanglah, maka diarahkanlah isterinya Hajar dan anaknya Ismail a.s turun dari tunggangan unta tersebut. Tanpa bercakap sepatah apa pun, hatta untuk mengucap selamat tinggal sekali pun, nabi Ibrahim a.s berlalu meninggalkan anak isterinya di situ. Maka tercengang-cenganglah isterinya dan teruslah Hajar merayu kepada nabi Ibrahim a.s agar tidak meninggalkannya di situ. Hajar juga terus bertanya kepada suaminya mengapa dan mengapa ditinggalkan mereka di situ. Akan tetapi nabi Ibrahim a.s tidak sedikitpun berpaling dari perjalanan baliknya dan tidak sedikitpun menjawab rayuan Hajar itu.

Sehingga akhirnya apabila Hajar bertanya adakah itu semua adalah suruhan dan perintah Allah? Maka barulah nabi Ibrahim a.s berhenti sebentar (tanpa berpusing melihat isteri dan anaknya) dan menjawab: “Ya, ini adalah perintah Allah”, lantas disambung perjalanannya kembali dan mendengar jawapan itu, maka redhalah Hajar dengan apa yang dihadapinya itu (hebat sungguh seorang isteri kepada seorang nabi yang juga tinggi ketaqwaannya). Selepas beberapa jauh perjalanan, barulah nabi Ibrahim melihat ke belakang, akan tetapi kelibat isteri dan anaknya sudah tidak kelihatan. Lantas baginda berdoa dan bertawakkal memohon Allah memelihara isteri dan anak yang ditinggalkannya itu. Itulah nabi Ibrahim a.s yang tidak mahu melayan rayuan isterinya yang tercinta kerana baginda sedar sebagai manusia, baginda juga boleh cair dengan pujuk rayu isterinya walaupun ketika melaksanakan perintah Allah ta’ala.

Itulah kisah bagaimana hebatnya nabi Ibrahim a.s menerima dan melaksanakan perintah Allah SWT Tuhan Pencipta Semesta Alam sehingga mendapat gelaran “Khalilullah” yang bermakna “yang dekat dengan Allah”. Macam mana pula dengan kita.dalam menerima dan melaksanakan sesuatu tuntutan dan perintah Allah? Pasti ada ketika-ketikanya kita cuba mengkompromi atau menjustifikasikan tindakan kita untuk tidak segera atau bahkan tidak mahu langsung menjunjung perintah Allah. Bagaimana tuntutan solat fardhu lima waktu, tuntutan mengeluarkan zakat, berpuasa, menutup aurat bagi lelaki apatah lagi menutup aurat bagi perempuan yang lebih besar had-hadnya, tuntutan muamalah dan pergaulan lelaki dan wanita? Bahkan yang lebih besar lagi tuntutan melaksanakan isi kandungan Al-Quran sepenuhnya

Dan ibadah korban yang kita laksanakan saban tahun juga harus dilihat dari perspektif taqwa dan ketaatan kepada Allah. Benar firman Allah ta’ala dalam surah Al-Hajj ayat 37: “Dan bukanlah daging mahupun darah (haiwan qurban) itu yang sampai kepada Allah, akan tetapi yang sampai adalah ketaqwaan kamu kepada Allah”

Sama -sama kita insafi, berapa kalikah rasanya kita berkorban untuk Allah Taala? paling kurang pun berapa kalikah kita korbankan turutan nafsu untuk diri kita sendiri? dan adakah pengorbanan kita ikhlas kerana Allah Taala? Wabarika’la saiyidina Muhammad waa’la sayyidina Muhammad kamasollaitaa’la saiyyidina Ibrahim Waalaalisayyidina Ibrahin fila’lamina innakahamidummajid.


Thursday, November 12, 2009

Haji akhir zaman


Diakhir zaman ramai orang mengerjakan haji tiada pahala.
Bahkan apa yang mereka dapat ialah dosa - dosa

Kerana belanja yang dibawa dari harta yang tidak halal

Dibawa kesana bersama hati yang punya mazmumah



Bukan sebab itu saja rosaknya haji
kita
Ada yang pergi minta sedekah

Ada yang kerana pergi melancong

Tidak kurang yang pergi berniaga

Ramai juga yang pergi ilmunya tiada



Oleh itu sebelum pergi bersedialah pasanglah niat
Siapkan belanja yang halal dahulu
belajarah ilmu
Dan adab - adabnya satu persatu
Sebelum pergi selesaikan dulu
masaalah kita sesama manusia


Minta ampun dengan ibu bapa dan sanak saudara
Hutang - hutang selesaikan dahulu
Atau minta dihalalkannya
Tanggung jawab kita yang tinggal ada yang menguruskannya



Pergi haji bukan pergi melancong
Naik haji berarti menuju
kepada Tuhan yang esa

Mengerjakan ibadah memohon ampun

Menghina diri membersih hati hikmat pada manusia



Oleh itu sebelum pergi bersedialah
pasanglah niat
Siapkan belanja yang halal dahulu
belajarah ilmu
Dan adab - adabnya satu persatu

-Selamat Menunaikan Ibadah Haji-