Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, May 31, 2010

Sajak Bahagia


Bahagia itu maknawi Juga bersifat rohaniah
Rasa senang bukan bahagia sekalipun ia berharta
kerana semua itu bersifat lahiriah
ia bukanlah hakikat bahagia

Tenang itulah tanda bahagia
tiada tenang kan keluh kesah
bila tiada kebahagiaan
hidup penuh kepuraan

Mazmumah punca tiada bahagia
kerana terus mngekalkannya
hasad dengki,gila dunia,sombong bongkak merosakkan segala

Carilah tenang dapatkan bahagia
Cintakan Allah setiap masa
Bila zikrullah di hayati
Barulah bahagia diperolehi


Friday, May 21, 2010

Kuliah: Ulama Itu Murabbi, Mu'addib dan Rabbani


Ulama atau ahli zikir yang dimaksudkan adalah merupakan ulama yang berwatak pendidik.

Dia bukan sekadar mubaligh yang menyampaikan risalah-risalah Islam kepada orang ramai atau sekadar da'i yang menjemput, mengajak dan merayu orang ramai kepada Islam.

Dia bukan juga sekadar muallim atau ustaz atau kiyai yang lazimnya hanyalah menyampaikan ilmu Islam kepada orang ramai.


Usaha mereka itu hanya terbatas kepada ajaran Islam yang asas seperti Ilmu Tauhid, Fikh dan tasawuf yang merupakan Fardhu Ain termasuk Tajwid.


Umumnya peranan para muallim dan ustaz hanyalah bersyarah dan memberi kuliah sahaja. Peranan dan aktiviti mereka ini sangat berbeza berbanding dengan murabbi yang mentadbir dengan serius untuk melatih, mendidik dan membimbing murid-muridnya supaya benar-benar yakin, takut dan cintakan Allah.


Murabbi berusaha meningkatkan ketaqwaan muridnya bagi menagih janji Allah dalam Al Quran iaitu untuk mendapat pembelaan dan untuk memperoleh kesejahteraan dunia dan Akhirat.


Murabbi berperanan bagi mengurus, mentadbir dan memantau anak-anak muridnya supaya benar-benar tepat keyakinannya kepada Allah, tepat betul amal ibadahnya serta memiliki akhlak mulia. Dia menanam aqidah dan tauhid ke dalam jiwa anak-anak muridnya. Mendidik dan memimpin mereka dengan akhlak mulia yakni mengusahakan sifat-sifat mazmumah dalam hati dibuang dan diganti dengan sifat-sifat mahmudah. Ditunjukkan mana yang haq dan batil, mana yang halal dan mana yang haram. Peranan tersebut dianggap lebih serius daripada peranan ibu dan ayah.


Begitu juga peranan mu'addib iaitu pendidik yang menjadikan seseorang murid itu benar-benar beradab, sama ada beradab dengan Tuhan mahu pun beradab dengan manusia dan makhluk. Para murabbi dan mu'addib perlu memiliki ilmu, beramal dengannya serta menjiwai ilmunya.Namun murabbi dan mu'addib itu sebenarnya adalah rabbani , iaitu orang yang sangat hampir dengan Allah. Ilmunya langsung diberi oleh Tuhan. Ilmunya bukan sahaja dimiliki, malah diamal dan dihayati. Secara unggulnya, mereka adalah terdiri daripada para Nabi, Rasul serta orang-orang pilihan Tuhan seperti para Sahabat Baginda Rasulullah SAW atau para aulia (wali-wali Allah). Mereka ini melakukan apa sahaja iaitu mengajar, mendidik dan memantau manusia semata-mata kerana Tuhan. Kerana mereka benar-benar kenal dirinya dan kenal Tuhan sehingga mereka sanggup berbuat apa sahaja kerana Tuhan. Mereka inilah ulama sebenar.


Ulama berwatak pendidik berperanan dengan mengambil kira sifat semula jadi manusia yang terdiri daripada jasad lahiriah, akal, roh dan nafsu. Kesemua juzuk diri manusia itu dibangunkan seimbang. Jasad dibangunkan dengan makanan yang sederhana, yang baik-baik, halal dan tidak mengandungi unsur-unsur syubahat. Juga dijaga kebersihan diri, ditentukan rehat yang cukup dan dijadualkan riadhah. Akalnya juga dibangunkan dengan sempurna.

Selain diajar supaya pandai membaca, mengira dan menulis, mereka juga diberi ilmu dan pengalaman supaya menjadi cergas dan tajam pemikirannya. Ini dilakukan dengan pengajian, muzakarah, membiasakan mereka berfikir misalnya dengan cara berdiri di depan khalayak atau majlis untuk memberi ucapan, bersyair, bersajak dan sebagainya. Atau mereka sering diberi tugasan yang memerlukan daya fikir yang mencabar. Misalnya tugasan yang memerlukan mereka membuat penyelidikan.


Rohnya disuburkan dengan sentiasa diingatkan akan kebesaran Tuhan, kekuasaan, kehebatan, kebaikan, nikmat dan rahmat Tuhan, tentang kehidupan Akhirat, Syurga dan Neraka. Mereka juga sentiasa diingatkan akan tugas dan peranan hidup sebagai hamba Tuhan dan Khalifah-Nya. Untuk mendidik nafsu, ulama pendidik mendorong ke arah bermujahadah melawan nafsu untuk mencapai akhlak mulia serta meninggalkan kelakuan atau akhlak keji atau perbuatan yang tidak bermoral. Semuanya disampaikan dengan penuh bijaksana dan berhemah tinggi.


Ulama adalah pewaris nabi. Di zaman tidak ada nabi dan rasul, dialah yang mendidik umat dengan iman dan Islam.Dia mempertemukan umat dengan jalan hidup yang sebenar seperti yang Allah tunjuk dalam Al Quran dan Hadis iaitu satu-satunya jalan kebahagiaan hidup di dunia dan di Akhirat.


Malangnya ketiga-tiga istilah seperti murabbi, mu'addib dan rabbani ini telah terpinggir semenjak bermulanya kejatuhan Islam lebih 700 tahun yang lalu. Istilah-istilah tersebut hanya dianggap istilah-istilah khusus di dalam bidang dan amalan kesufian. Ini menyebabkan umat Islam tidak terdidik dan menjadi mundur. Yang dipopularkan ialah istilah mubaligh, da'i, muallim, ustaz, kiyai yang kesemuanya hanya berperanan setakat berdakwah dan mengajar ilmu asas dalam Islam. Mereka bukan pendidik dan tidak mampu untuk mendidik jiwa atau roh termasuk nafsu umat Islam.


Inilah kerja para orientalis Barat dan musuh-musuh Islam. Mereka tahu bahawa murabbi, mu'addib dan rabbani adalah berbahaya kepada mereka kerana watak-watak ini mengembalikan kekuatan Islam. Mereka membina kekuatan rohani, kekuatan iman, kekuatan taqwa dan kekuatan ukhuwah dan kasih sayang dikalangan umat Islam. Oleh itu gelaran dan peranan murabbi, mu'addib dan rabbani ini disorok dan ditekan supaya hilang dari fikiran umat Islam.Digalakkan dan dipopularkan pengeluaran muallim dan ustaz dari berbagai-bagai universiti dari seluruh dunia.


Bagi mereka, lagi ramai muallim dan ustaz ini, lagi baik kerana umat Islam akan sibuk dan leka dengan ilmu-ilmu asas, ilmu-ilmu nas dan ilmu-ilmu furuk dan akan lupa untuk membina roh dan jiwa, akhlak dan kasih sayang, iman dan taqwa. Walhal disitulah letaknya kekuatan utama umat Islam yang Barat dan musuh-musuh Islam tidak mampu untuk mengatasinya. Janji Tuhan, Islam tidak akan menang dengan quwwah(kekuatan lahir) semata-mata. Umat Islam akan menang hanya dengan Taqwa. - Allahu Haqq


Sunday, May 16, 2010

Al-Fatihah Buat Abuya....





Engkau ingin berjuang
tapi tidak mampu menerima ujian
Engkau ingin berjuang
tapi rosak oleh pujian
Engkau ingin berjuang
tapi tidak sepenuhnya
menerima pimpinan

Engkau ingin berjuang
tapi tidak begitu setia kawan
Engkau ingin berjuang
tapi tidak sanggup berkorban
Engkau ingin berjuang
tapi ingin jadi pemimpin
Engkau ingin berjuang
menjadi pengikut agak segan

Engkau ingin berjuang
tolak ansur tidak engkau amalkan
Engkau ingin berjuang
tapi tidak sanggup terima cabaran
Engkau ingin berjuang
kesihatan dan kerehatan
tidak sanggup engkau korbankan

Engkau ingin berjuang
tapi tidak mampu menerima ujian
Engkau ingin berjuang
tapi rosak oleh pujian
Engkau ingin berjuang
tapi tidak sepenuhnya
menerima pimpinan

Engkau ingin berjuang
masa tidak sanggup engkau luangkan
Engkau ingin berjuang
karenah isteri tidak engkau tahan
Engkau ingin berjuang
rumah tangga lintang pukang
Engkau ingin berjuang
diri engkau tidak engkau tingkatkan

Engkau ingin berjuang
disiplin diri engkau abaikan
Engkau ingin berjuang
janji kurang engkau tunaikan
Engkau ingin berjuang
kasih sayang engkau cuaikan
Engkau ingin berjuang
tetamu engkau abaikan

Engkau ingin berjuang
anak isteri engkau lupakan
Engkau ingin berjuang
ilmu berjuang engkau tinggalkan
Engkau ingin berjuang
kekasaran dan kekerasan engkau amalkan

Engkau ingin berjuang
pandangan tidak diselaraskan
Engkau ingin berjuang
rasa bertuhan engkau abaikan
Engkau ingin berjuang
iman dan taqwa engkau lupakan

Yang sebenarnya apa yang engkau
hendak perjuangkan??
Sajak: Abuya Ashaari Muhammad At-Tamimi



Sumbangan Sajak Abuya kepada idustri Nasyid tanah Air
Diatara kumpulan Nasyid bekas anak didikan Abuya
1-Nadamurni
2-The Zikr
3-Rabbani
4-Raihan
5-Hijjaz
6-Qatrunnada
7-Mawaddah
8-Umam
9-Shotul Dhomir dan banyak lagi yang sajaknya sentiasa . dinyayikan oleh artis2 nasyid di malaysia...



Kalau Tuhan Engkau Kenali

Kalau Tuhan kita kenali kasih sayang dan perananNya
Kalau Tuhan kita fahami keagungan dan kekuasaan Nya
Kalau Tuhan kita rasakan betapa Dia sangat cintakan hambaNya

Kita akan sanggup berjuang sanggup mati kerana Nya
Kita akan sanggup berkorban apa saja kerana Nya

Kalau Tuhan dikenali
Cintailah Tuhan Dia adalah segalanya
Korban kanlah apa sahaja kerana Nya
Cintakan Tuhan cinta paling mahal
Cintakan selain Tuhan cinta murahan

Kalau Tuhan kita kenali
Dialah segala-galanya
Kalau Tuhan kita fahami Dialah pengurus seluruh keperluan kita
Kalaulah kita faham Tuhan ini siapa sebenarnya
Kita akan sanggup menerima ujian kerana Nya
Kita sanggup buat apa saja demi cinta pada Nya

Kita akan sanggup menerima ujian kerana Nya
Kita akan sanggup menderita demi cinta padaNya

Kalau Tuhan dikenali
Cintailah Tuhan dialah adalah segalanya korbankanlah apa sahaja kerana Nya

Cintakan Tuhan cinta yg abadi cintakan selain Tuhan cinta murahan

Sajak: Abuya Ashaari Muhammad At-Tamimi



Semoga Allah swt merahmati Al-Marhum Abuya Ashaari Muhammad At-Tamimi, dan mengampuni dosa-dosanya, menerima taubatnya, memberkati amalan dan sumbangannya kepada umat Islam dan ditempatkan di Syurga bersama para Nabi, Siddiqin, Syuhadak dan Solihin. Merekalah sebaik-baik teman disana nanti... Allahu Haq
-Al-Fatihah-