Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday, June 23, 2011

Wednesday, June 8, 2011

Konsep Negara Kebajikan Umar Abdul Aziz

Sudah berabad telah berlalu, namun keadaan umat Islam jauh sekali berbeza berbanding dengan zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya dahulu. Bibit-bibit jahiliyah yang dihapuskan Rasulullah s.a.w. telah mula berputik kembali.
Sifat suka mementingkan kabilah, semangat berpuak dan mengutamakan Kroni menjadi ciri-ciri baru kerajaan pada masa kini. Kerajaan tidak lagi dinilai dengan neraca al-Quran dan as-Sunnah, tetapi diukur atas keperluan semasa dan kepentingan negara. Para Pemimpin-pemimpin sudah pandai bermewah-mewah dengan Rasuah, melakukan penindasan dan bermegah diri. Sehinggakan Wang Rakyat dijadikan sebagai harta peribadi mereka. 

 
Masyarakat terutamanya bangsa Melayu Islam pula semakin lalai dan leka, mereka semakin meninggalkan penghayatan ilmu dan nilai-nilai Islam. Kekuatan hawa nafsu dan bisikan syaitan telah mencampak mereka ke lembah kealpaan sehingga tidak nampak keadilan system pemerintahan Islam. Oleh itu marilah sama-sama kita merungkai Pemerintahan Umar Abdul Aziz yang menggunakan konsep Negara Berkebajikan.

 
SIAPA UMAR ABDUL AZIZ??
Umar Abdul Aziz adalah seorang bangsawan yang berbudi halus dan warak. Walaupun dikelilingi dengan kekayaan dan kemewahan, beliau tidak hanyut dan leka. Beliau menjadi kegilaan anak gadis kerana ketampanannya, dan sering menjadi ikutan pemuda pada zaman itu. Sejak kecil lagi beliau didik dengan ilmu agama. Minat dan kecenderungan beliau kepada ilmu, membawa beliau ke kota Madinah. Di sanalah beliau mempelajari dan mendalami ilmu agama dari tokoh-tokoh Islam zaman itu. 

 
PEMIMPIN ISLAM SEJATI
Semasa pemerintahan al-Walid ibn Abdul Aziz, beliau telah menjadi gabenor Madinah selama 7 tahun. Di sini beliau telah menunjukkan ciri-ciri seorang pemimpin Islam sejati. Sehingga Anas ibn Malik berkata: “Aku tidak pernah menjumpai Imam selepas Rasulullah s.a.w. yang menyerupai sembahyangnya seperti Rasulullah s.a.w. kecuali pemuda ini, Umar Abdul Aziz iaitu gabenor Madinah”

 
Sebaik saja dilantik sebagai khalifah, Umar Abdul Aziz terus membersihkan kerajaan dengan memecat gabenor dan pegawai yang kejam dan tidak adil. Hamba sahaya milik keluarga di raja juga telah dimerdekakan, semua barang kemas dan hadiah yang diterima beliau dan isterinya semasa pertabalan telah diserahkan semuanya kepada Baitul Mal. Istana pula telah dihias secara sederhana sahaja. Umar Abdul Aziz menganggap dirinya sebagai pengganti kepada datuknya iaitu khalifah Umar al-Khattab. Kerana itulah beliau digelar sebagai Umar II. Hidup beliau telah berubah sama sekali, kemewahan dan kemegahan telah ditanggalkan dan digantikan dengan kehidupan yang penuh zuhud dan kesederhanaan.

 
Pernah suatu ketika, Umar Abdul Aziz memerhatikan anak-anak perempuannya menutup mulut dengan tangan ketika berbual dengannya. Selepas menyiasat, beliau dapati hanya bawang dan kacang sahaja yang terdapat di rumahnya. Anak-anaknya berbuat demikian kerana takut mengganggu beliau dengan bau bawang. Dengan berlinangan air mata beliau berkata: “Wahai anakku adakah kamu inginkan makanan yang enak sedangkan ayahmu dihumban ke dalam neraka?”

 
Beliau adalah khalifah kepada sebuah empayar terbesar zaman itu, namun tidak mempunyai duit yang mencukupi untuk menunaikan haji. Sehinggalah sampai satu masa, beliau diberitahu khadamnya, duit untuk menunaikan haji telah mencukupi hasil dari pendapatannya sebagai khalifah. Akan tetapi Umar menjawab: “Kami telah mengambil manfaat harta ini sekalian lama. Sekarang orang Islam berhak menikmati hasilnya.” Kemudian beliau memasukkan semua hasil pendapatan itu ke dalam Baitul Mal. Pernah juga Umar Abdul Aziz datang untuk lewat menghadiri solat Jumaat kerana terpaksa menunggu bajunya yang sehelai itu kering.

 
TIDAK MENYALAHGUNAKAN HARTA NEGARA
Beliau adalah seorang yang zuhud dan sangat berhati-hati. Jika ada mana-mana pegawai dan ahli keluarga yang ingin menemuinya atas urusan peribadi, serta merta beliau memadamkan lilin yang dibekalkan kerajaan dan menggunakan lilinnya sendiri. Beliau tidak pernah mengguna air panas daripada dapur awam atau menghidu wangi-wangian milik Baitul Mal.

 
KEBAJIKAN RAKYAT MATLAMAT UTAMA
Dalam pentadbiran pula, Umar Abdul Aziz telah mengubah kerajaannya sehingga kebajikan rakyat menjadi matlamat utama. Sebelum Umar, perhatian negara hanya terhad kepada memungut hasil cukai dan pembangunan material tanpa memberi penumpuan kepada pembangunan rohani dan keagamaan. Sebaliknya, semasa pemerintahan beliau, sangat sukar untuk berjumpa dengan pengemis atau fakir miskin yang berhak menerima zakat. Pernah Yahya Ibn Sa’id meriwayatkan, Umar melantik beliau memungut zakat di Afrika, setelah selesai memungut zakat beliau mencari orang-orang yang berhajat kepada zakat, tetapi gagal bertemu seorang pun yang boleh diberi bantuan. Lalu beliau membeli beberapa orang hamba sahaya dan memerdekakan mereka bagi pihak kaum Muslimin.

 
MENDAHULUKAN KEPENTINGAN AGAMA
Umar Abdul Aziz selalu mengutamakan prinsip, tuntutan moral dan kehendak agama daripada keuntungan politik yang berbentuk duniawi. Dengan keunggulan peribadi dan kehebatan kerajaan yang dipimpinnya, semakin ramai orang bukan Islam memeluk Islam.

 
MENINGKATKAN PERBINCANGAN TENTANG AGAMA
Selain daripada kemakmuran hidup, Umar Abdul Aziz telah membawa perubahan yang lebih besar lagi dalam kerajaannya iaitu mengubah kecenderungan dan sikap rakyat jelata. Jika semasa zaman Khalifah al-Walid, perbincangan rakyat lebih tertumpu kepada bangunan dan seni bina kerana itulah kecenderungan al-Walid, Khalifah Sulaiman pula minat kepada perempuan dan majlis makan yang besar, dan itulah menjadi keasyikan dan perbualan rakyatnya. Tetapi dalam masa pemerintahan Umar Abdul Aziz, tajuk-tajuk yang berkaitan dengan sembahyang, doa dan ibadah menjadi topik perbualan utama. Masing-masing bermuhasabah untuk meningkatkan nilai ibadah mereka.

 
PEMIMPIN AGUNG YANG ADIL
Pembaharuan yang beliau lakukan dalam masyarakat Islam adalah hasil pancaran cahaya rohani dalam dirinya. Keimanan yang teguh, cinta dan takut kepada Allah s.w.t. dan keyakinan terhadap hari pembalasan menjadikan beliau seorang pemimpin agung dalam sejarah Islam. Sehingga ada orang mengatakan beliau adalah khalifah Islam yang kelima daripada Khulafa ar-Rasyidin selepas Sayidina Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali. Andai kata beliau ditakdirkan memerintah lebih lama, sudah pasti dunia Islam akan menyaksikan perubahan yang menyeluruh dalam semua aspek kehidupan. Tetapi kehendak tuhan mengatasi keinginan dan impian manusia. Beliau telah dipanggil menghadap Ilahi setelah dua tahun lima bulan memayungi umat Islam dengan al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. 

 
Semoga apa yang dicadangkan oleh Tuan Guru Presiden untuk menumpukan Negara Berkebajikan akan menjadi kenyataan, I.Allah pemerintahan ala Umar Abdul Aziz akan kembali menyinari Bumi Malaysia.

Renungan Sabda Rasulullah SAW :

Maksudnya: “Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu, maka berlakulah zaman kenabian itu sebagai¬ma¬na yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengang¬kat zaman itu. Kemudian berlakulah Zaman Kekha¬lifahan (Khulafaur Rasyidin) yang berjalan seperti zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkatnya. Lalu berlakulah zaman pemerintahan yang menggigit (Zaman Fit¬nah). Berlakulah zaman itu sepertimana yang Allah ke¬hen¬daki. Kemudian Allah mengangkatnya. Kemudian berlakulah zaman pe¬nin¬dasan dan penzaliman (Zaman Diktator) dan berla¬ku¬lah zaman itu sepertimana yang Allah kehendaki. Kemudian berlaku pula Zaman Kekha¬lifahan (Kebangkitan Gerakan Islam, Imam Mah¬di dan Nabi Isa a.s.) yang berjalan di atas cara hidup Zaman Kenabian.”
(Riwayat Ahmad)

Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa dimuka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang Derhaka!!. (Annur:55)

Tuesday, June 7, 2011

Negara berkebajikan untuk dapat pengampunan Tuhan- Mat Sabu


Mohamad Sabu menegaskan PAS memperjuangkan negara berkebajikan untuk mengganti Umno bagi menerimapakai Piagam Madinah pada akhirnya.
PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu hari ini berkata PAS mahu menggantikan Umno dengan memperjuangkan negara berkebajikan yang mendapat pengampunan Tuhan.
“Sebab itu kita mencanangkan slogan ‘PAS ganti Umno’ kerana matlamat PAS untuk menerimapakai Piagam Madinah pada akhirnya,” katanya yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu
Beliau berkata begitu sebagai reaksi kepada rencana Zulkiflee Bakar dalam Utusan Malaysia hari ini bertajuk ‘Layakkah PAS ganti Umno?’
Slogan ‘PAS ganti Umno’ yang dicanangkan parti Islam itu dikritik oleh akhbar milik Umno, Utusan Malaysia kerana PAS bukan dominan dalam Pakatan Rakyat sepertimana Umno dalam Barisan Nasional.
“Selama inipun, PAS hanya menjadi pemerhati sahaja terhadap tindak-tanduk kerajaan DAP Pulau Pinang yang dilihat melakukan banyak tindakan tidak adil ke atas orang Melayu terutamanya peniaga-peniaga di negeri itu,” tambah Zulkiflee di dalam tulisannya.
Zulkiflee dalam rencana tersebut mendakwa bahawa PAS sudah menjadi parti sekular seperti PKR dan DAP kerana PAS mahukan negara berkebajikan, bukannya negara Islam.
“Malahan keazaman PAS untuk menggantikan Umno juga jelas menunjukkan parti yang suatu ketika dulu menguar-uarkan ingin menegakkan negara Islam sudah bersedia menggadaikan prinsipnya,” tulis Zulkiflee.
Utusan melalui rencana tersebut mendakwa bahawa slogan ‘PAS ganti Umno’ hanya bertujuan untuk menunjukkan kesetiaan kepada PKR dan DAP.
Tokoh veteran PAS bersuara lantang itu berkata, “memanglah di Pulau Pinang, DAP yang ganti sebab dulupun bukan kerajaan Umno tapi kerajaan Gerakan. Di Kedah dan Kelantan, bila Umno kalah kita yang gantikan mereka.”
Beliau turut memperjelaskan kenapa PAS tidak dominan dalam Pakatan Rakyat.
“Kami tidak dominan sebab menang sedikit. Kalau menang banyak, kami akan jadi dominan,” katanya.
Beliau bagaimanapun bersetuju bahawa PAS perlu menunjukkan kesetiaan kepada rakan dalam Pakatan Rakyat sebagaimana yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia kerana ‘kita mahu matikan Umno’.

Mantan mufti Perlis sokong negara berkebajikan
Sementara itu, mantan mufti Perlis Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilaporkan turut mengalu-alukan penekanan PAS terhadap negara berkebajikan.
“Bagi saya ini adalah satu kemajuan yang memberangsangkan dalam PAS,” katanya dalam satu kenyataan, yang dipetik oleh laman berita portal Detik daily.com pada hari Ahad.
Asri berkata beliau juga sedang meneliti apakah maksud negara berkebajikan yang PAS cadangkan kerana konsep negara sedemikian mempunyai pelbagai tafsiran dan gambaran.
“Mungkin PAS ada model yang tersendiri. Apa pun saya merasakan PAS akan dapat melangkah dengan lebih jauh dengan kenyataan tersebut,”

Sunday, June 5, 2011

Saya Hadi, Bukan Erdogan!!

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambil peluang hari ini untuk menjelaskan barisan kepemimpinan barunya dan persediaan yang perlu diambil parti itu dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, ada pihak yang mendakwa bahawa parti itu kini telah diambil alih oleh golongan pemimpin Erdogan, namun dakwaan itu nyata meleset.

"Ini bukan Erdogan!!, ini parti PAS!. Ini Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz!!" tegasnya dalam ucapan penangguhannya di muktamar ke-57 parti itu petang ini.

Abdul Hadi juga menjelaskan bahawa parti itu berbeza daripada Parti AK yang diketuai Recep Erdogan di Turki - pemimpin yang dikaitkan dengan barisan pemimpin profesional PAS.

"Ini Parti Islam Se-Malaysia. Ini bukan Turki, ini Malaysia. Turki haramkan parti Islam. AK bukan parti Islam, mereka isytihar parti mereka bukan parti Islam.

"Mereka ikut agenda barat seperti dilaporkan laman web RAND Corporation," kata Abdul Hadi lagi yang kelihatan bertenaga ketika menyampaikan ucapan tersebut.

Ulama masih main peranan

Secara berjenaka, beliau turut menyebut mengenai barisan pemimpin baru ini tetap mempunyai lapan orang yang berkelulusan agama, termasuk dua orang doktor, dua orang jurutera dan seorang peguam.

"Di samping yang dipilih ini, pelembagaan peruntukkan boleh lantik enam orang ahli jawatankuasa pusat, empat orang lagi anggota dewan harian dan 14 orang pesuruhjaya.

"Oleh itu walau pihak luar anggap (ulama) yang tak dipilih ini tercorot, mereka tetap main peranan dalam parti," katanya lagi yang berpendapat bahawa perwakilan telah membuat pemilihan dengan "sangat bijak."

Namun, di sebalik pujiannya kepada para perwakilan itu, Abdul Hadi turut menghantar mereka pulang dengan tugas berat untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

"Kalau undi pemimpin tapi balik tak buat kerja, ini tak bertanggungjawab. Cawangan kena bergerak... bilik gerakan perlu dibuka dari sekarang, culaan perlu dibuat.

"Ada tak tahu (ahli) berapa banyak (dalam kawasan). Kawasan baru macam Sabah kita maafkan sebab baru, tapi negeri lama (bagaimana).

"Ada yang kalau tanya, hanya tahu culaan 2008 saja, menunjukkan tak buat kerja," katanya lagi





I.Allah Kemenangan Parti Islam Semakin Hampir ke Putrajaya - Nik Aziz

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nikmat membayangkan saf kempipinan baru PAS yang dipilih pada muktamar ke-57 parti itu semalam menjadikan jalan menuju ke Putrajaya 'makin jelas'.

Bercakap ketika ditemubual Harakah dan Harakahdaily hari ini, beliau yakin kabinet baru PAS itu mampu melakar masa depan baru untuk PAS khususnya menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

"i.Allah Jalan menuju Putrajaya makin jelas.

"Jangan ada jual kad pengenalan, bagi kepada warga asing mengundi insyaAllah.

"Kalau demokrasi dijalankan dengan betul, maka tidak ada sebab PAS dan Pakatan Rakyat tak boleh sampai ke Putrajaya," katanya.

Pada pemilihan semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mengekalkan jawatan itu tanpa bertanding menerima timbalan baru iaitu Mohamad Sabu.

Mohamad menang jawatan itu terhadap penyandangnya Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi calon bertanding, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagi tiga jawatan Naib Presiden pula, perwakilan telah memilih Salahudin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Ketiga-tiga mereka mendapat undi paling tinggi menewaskan tiga lagi calon iaitu Ust Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin.

Mengulas penyertaan Mohamad Sabu yang dilihat bakal memberi energi baru dalam saf hadapan kepimpinan PAS, beliau memberi analogi begini.

"Mohamad Sabu ni macam enjin la, drivernya Tuan Guru Haji Hadi, dan kita semua adalah penumpangnya.

"Kereta tak jalan walau enjin buka, kena driver tekan minyak juga,"katanya.

Berhubung isu ulama-profesional yang dimainkan media Umno pula, Tuan Guru Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, ianya petanda kabinet baru itu digeruni Umno BN.

Sejak keputusan pemilihan semalam, media pro Umno sama ada internet dan media cetak, tidak putus-putus memainkan isu kepimpinan ulama dalam PAS tidak lagi diterima.

Majoriti tajuk akhbar mereka hari ini juga menggambarkan PAS tidak lagi islamik kerana mendakwa pemimpin utama didominasi kelompok profesional.

"Sebut Islam mesti berkait politik. Bila politk mesti ada kerajaan. Maka untuk ada kerajaan mesti ada profesional.

"Dalam PAS, sebut kata ulama automatik profesional, sebut profesional mesti berjiwa ulama.

"Yang menduakan barang satu ini adalah Umno, sebab dia ada profesional sahaja tiada ulama. Ulama dalam Umno kena singkir," jelasnya

Saf Kepimpinan Baru PAS bersedia ke Medan Perang PRU-13.........



Pemimpin Medan Perang PRU-13 : Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Tim Panglima Perang Sebagai Umar Alkhatab : HJ Mohd Sabu
Naib Panglima Sebagai Solehuddin Al-Ayubi : Sdr Solehuddin 
Naib Panglima 2 Sebagai Umar Moktar : Dato' Husam Musa
Naib Panglima 3 Sebagai Khalid Al-Walid : Dato' Mahfuz Omar


Gabungan Naib Presiden dari Selatan, Timur dan Utara

Husam yang juga exco kanan kerajaan Negeri Kelantan menyifatkan saf kepimpinan baru ini sebagai satu pasukan yang baru muncul untuk membantu Presiden PAS.

"Kami semua adalah satu pasukan yang mahu bersama Presiden kerana kelebihan dan kekuatan pasukan ini adalah performance atau prestasi mereka sebelum ini. Mahfuz dari Utara, Salehudin dari Selatan dan saya dari Timur.- katanya.




Saturday, June 4, 2011

'Saya gembira dengan kabinet ini'

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan barisan kepimpinan baru termasuk sayap-sayap parti yang dipilih dalam muktamar PAS kali ini adalah kabinet pilihan raya.

Katanya, barisan kepimpinan ini dianggotai barisan pemimpin yang dipilih yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk ulama, profesional dan pemimpin masyarakat.

"Saya bergembira dan ahli-ahli bergembira (dengan keputusan ini). Muktamar semakin hari semakin meriah. Ini menunjukkan kematangan ahli-ahli kita.

"Ahli-ahli memilih saf di hadapan untuk pilihan raya. Dengan sebab itu kabinet saya kali ini adalah kabinet pilihan raya," katanya.

Katanya, barisan yang terbaru khususnya bagi jawatan timbalan dan naib yang dianggotai daripada bukan Ulama, adalah bukan satu perkara yang baru.

Jelasnya, dalam kepimpinan baru ini dianggotai lapan tokoh yang dikategorikan sebagai ulama, dua pemimpin bertaraf doktor dan beberapa pemimpin profesional dan pemimpin masyarakat.

"Kita memimpin secara kolektif bukan secara individu," katanya.

Abdul Hadi mengulas barisan kepimpinan baru yang dianggotai dari pelbagai latar belakang bagi mengemudi parti dalam berdepan dengan pilihan raya umum akan datang.

Negara Islam cuma utopia di minda - Dr Asri sokong Pendekatan Presiden PAS


Saya mengalu-alukan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang menyebut: "Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam Al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan".
Bagi saya ini adalah satu kemajuan yang memberangsangkan dalam PAS. Dalam masa yang sama bererti PAS terus bersama dengan gerakan Islam lain di dunia ini yang mula keluar dari retorik negara Islam kepada realiti kenegaraan yang sebenar yang diperlukan oleh manusia. 

Ya, tiada dalam Islam istilah negara Islam atau daulah Islamiah atau Islamic state seperti yang disangka oleh sesetengah pihak. Ia satu istilah yang muncul ketika kebangkitan umat Islam menghalau penjajah (decolonization). 

Sebelum itu, kitab-kitab fekah Islam hanya menyebut Darul Islamatau wilayah Islam yang merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh umat Islam ketika itu. Apabila perkataan daulah Islamiah muncul, kemudian diikuti kebangkitan revolusi Syiah di Iran, maka perkataan itu mula dipopularkan oleh para pejuang politik islami di seluruh dunia. 

Disebabkan istilah ini juga mereka berbalah bahkan menuduh pihak lain kurang Islam disebabkan tidak bersama dalam perjuangan menegakkan negara Islam itu. Walaupun kadang-kala pertentangan ada asasnya, namun sebahagiannya hanya disebabkan perbezaan istilah yang dipakai.


Cuma, sekian lama ramai gerakan Islam yang memperjuangkan istilah ini, mereka masih gagal menetapkan satu takrifan yang jelas dan realistik. Gambaran yang terlalu ideal tentang kenegaraan menjadikan negara Islam itu bagaikan satu khayalan yang tidak berpijak di bumi nyata. 

Kita boleh lihat khayalan Hizbul Tahrir yang cuba berkembang di negara kita pada hari ini. Ia bolehlah dikatakan utopia state yang hanya wujud di minda, tidak mungkin pada realitinya.

Sebahagian mereka yang terlibat secara langsung dengan politik kenegaraan, mereka mula sedar tentang realiti sebenar sesebuah pemerintahan. Kembali mereka merujuk kepada al-Quran, hadis, dan amalan khalifah Islam yang mendapat petunjuk (Khulafa al-Rasyidin), mereka akhirnya jelas mengapa perkataan negara islam itu tidak wujud atau tidak disebut. 

Negara kebajikan yang mana?

Politik kenegaraan dan seninya sentiasa berubah mengikut keperluan suasana. Namun, prinsipnya kekal. Ini kerana Islam satu agama realistik. 


Perjuangan politik dalam Islam, bukanlah perjuangan menegakkan jenama negara, tetapi menegak tanggungjawab dan prinsip-prinsip keadilan yang dikehendaki oleh Allah dan rasul-Nya.

Bukan penting pada jenama, tetapi pada isinya. Islam agama yang menjamin keadilan, keamanan, memelihara rakyat dari munkar dan menegakkan kebaikan, menyebarkan kebajikan dan seterusnya. 

Itulah negara yang dikehendaki oleh Islam. Soal mekanisme hukum - sama ada hudud atau tidak - dibincangkan setelah ditegakkan prinsip dan tanggungjawab utama, diwujudkan suasana yang kondusif yang memungkinkan keadilan dan keindahan hukum itu berfungsi. 

Bukan masanya lagi. Tangguhkan dahulu isu-isu makanisme, tumpukan kepada tanggungjawab dan prinsip utama kenegaraan.

Sekian lama istilah negara Islam memisahkan PAS atau menyukarkan parti itu bergerak lebih kehadapan, namun hari ini - dengan kenyataan presiden - akan memberikan nafas baru yang lebih luas dan fleksibel kepada PAS.
Cumanya, saya sedang meneliti apakah maksud 'negara kebajikan' yang hendak diwujudkan. Saya percaya presiden PAS ada kerangka yang jelas. Ahli-ahli hendaklah difahamkan terlebih dahulu sebelum membicarakannya secara meluas. 

Ini kerana welfare state mempunyai pelbagai gambaran. Secara umum, dunia memahami welfare stateadalah negara-negara yang memakai model Nordik seperti Norway, Denmark dan Sweden. Mungkin PAS ada model yang tersendiri. Apapun saya merasakan PAS akan dapat melangkah dengan lebih jauh dengan kenyataan tersebut.


Oleh : Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan bekas mufti Perlis.