Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday, May 24, 2012

Pimpinan PAS berMimpi Bertemu Rasulullah SAW... Allahumasalli A'la Muhammad Habibullah.






DIANTARA PIMPINAN PAS YANG BERMIMPI BERTEMU RASULULLAH SAW

1) Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz (Mursyidul AM Parti Islam Semalaysia PAS)

2)Tuan Guru Dato Dr Haron Din (Tim.Mursyidul AM Parti Islam Semalaysia PAS)

3)Tuan Guru Dato Seri Abd Hadi Awang (Presiden Parti Islam Semalaysia PAS)

Tuesday, May 22, 2012

JOM KE IJTIMAK JENTERA PAS PRU13 1 JUN di Stadium Darul Aman.



KUALA LUMPUR: Semua ahli, pemimpin serta penyokong PAS diseru mengenakan pakaian hijau pada Himpunan Hijau ke Putrajaya di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 1 Jun ini.

Menurut Pengarah Program Datuk Mahfuz Omar, pakaian hijau itu bagi menunjukkan PAS akan menjadi penggerak utama usaha Pakatan Rakyat menuju Putrajaya pada PRU-13 ini.

"Hijau itu lambang korporat PAS bukan bermakna kita bersendirian mahu ke Putrajaya, tetapi kita mahu PAS menjadi pendukung utama menggerakkan usaha Pakatan Rakyat menuju Putrajaya," katanya dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, himpunan tersebut adalah sebagai menggantikan Muktamar PAS yang ditangguhkan untuk persiapan menghadapi pilihan raya.

"Oleh kerana laporan kaji cuaca yang menujukkan pilihan raya tidak menentu tarikhnya, jadi kita bimbang berlaku pembubaran, kita tangguh muktamar dan gantikan dengan Himpunan Hijau," katanya lagi.

Menurutnya lagi, himpunan tersebut adalah bagi menggerakkan ahli, pimpinan, pendukung serta jentera PAS di semua peringkat bagi membuat persiapan terakhir untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Mereka mensasarkan 100,000 menyertai himpunan itu nanti yang dibahagikan kepada tiga peringkat bermula pagi hingga ke malam.

Sesi pagi akan dimulakan dengan satu taklimat tertutup kepimpinan tertinggi parti seluruh negara dan ahli yang berhormat bersama Presiden di Kompleks PAS negeri di Kota Sarang Semut.

Sesi kedua akan bemula selepas solat Jumaat di di Stadium Darul Aman menghimpunkan anak seluruh anak muda dalam program yang dipanggil 'Xpresi Hijau Anak Muda ke Putrajaya'.

Program tersebut akan dimulakan dengan kuliah oleh pendakwah popular Ustaz Azhar Idrus.

Selain kuliah, program akan turut di isi dengan persembahan sketsa oleh anak muda dan persembahan lain sehingga jam 6.45 petang.

Sesi malam pula akan bermula dengan solat Maghrib secara berjamaah juga di stadium dan munajat perdana yang akan dipimpin oleh Tuan Guru Salleh Musa dari Pondok Sik sehingga Isyak.

Mengambil tempat selepas itu adalah program kemuncak iaitu ucapan dan amanat pimpinan utama PAS termasuk Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ustaz Azizan selaku tuan rumah, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Turut akan berucap malam itu adalah wakil bekas penjawat awam, wakil bekas tentera, wakil artis serta wakil selebriti tv yang kesemuanya telah menyertai PAS.

Program malam tersebut juga turut menampilkan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said yang akan mendeklamasikan puisi khas beliau.

Sebelum ucapan pemimpin utama juga, semua pemimpin PAS akan berada di pentas bagi melafazkan ikrar komitmen bersama memenangkan Pakatan Rakyat menuju Putrajaya yang akan diketuai bacaannya oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.





AYUH!! WAJIBKAN DIRI KE PERHIMPUNAN JENTERA PAS
1 JUN 2012
Stadium Darul Aman

"KEDAH SEJAHTERA NIKMAT UNTUK SEMUA"

bersama membentuk
"NEGARA BERKEBAJIKAN YANG DIREDHAI ALLAH"
I.ALLAH ISLAM PASTI MENANG!!

Friday, May 18, 2012

Polis perlu ditarbiyah agar Bersama RAKYAT!!

Dato' Fauzi Shaari adalah anak jati Pantai Besar Batu kurau Perak. Antara jawatan yg pernah disandang beliau semasa bertugas dlm PDRM :


-Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM (CID) (jawatan no 3 tertinggi PDRM)
-Timbalan Pengarah Logistik PDRM
-Ketua Polis Selangor.
-Ketua Polis Sarawak.
-Timbalan Ketua Polis Selangor.
-Ketua Polis daerah Pasir Putih Kelantan.
-Ketua Polis Daerah Shah Alam.
-Ketua Polis Daerah Dang Wangi.
-Timbalan OCPD Sentul.


TAHNIAH Dato' Fauzi Shaari...Semoga lebih ramai anggota polis membuat keputusan bijak utk menyokong Pas dan PR.





Sebagai pendokong Jemaah Islam yang berusaha menyeru umat manusia kepada Syari’at Allah dan Sunnah Rasul-Nya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan. Kita semua sewajarnya memahami pengertian dakwah. Kekeliruan kita mengenai maksud dakwah menyebabkan kita gagal menterjemahkan program dan aktiviti dakwah dalam kehidupan kita. Lebih parah lagi, kita menyempitkan dakwah dalam skop yang terbatas ataupun kita menjadi beban kepada jemaah yang kita dokongi. Hal ini diungkapkan oleh Fathi Yakan (1982) dalam bukunya ”Konsep Penguasaan dalam Kehidupan Dakwah dan Pendakwah” iaitu ”apabila dakwah Islamiah dibalakan dengan peribadi-peribadi seperti ini ia akan terdedah kepada kehancuran. Segolongan anggota dakwah membina manakala segolongan yang lain pula meruntuh. Sekumpulan menghimpunkan orang ramai, sekumpulan yang lain pula memecah-belahkan. Segolongan mengeratkan kasih sayang, yang lain pula menyatakan sifat benci-membenci”

Menurut Dr Yusuf al-Qardhawi (1985) yang dimaksudkan dengan dakwah ke jalan Allah swt ialah mengajak dan menyeru manusia menganuti agama-Nya, menuruti petunjuk dan peraturan-Nya, meminta tolong dan taat hanya kepada-Nya,  seraya menganggap hak apa-apa yang dinyatakan-Nya hak, menganggap batil apa-apa yang dikatakan-Nya batil, melakukan amar makruf nahi mungkar dan berjihad demi Dia di dalam agama-Nya. Dengan perkataan lain, yang dimaksudkan dengan dakwah ialah mengajak manusia menjadi muslim dengan berpegang teguh kepada agama Islam yang hakiki dan utuh.

Justeru dakwah kita hari ini menuntut agar kita memahami pelbagai dimensi dakwah, sesuai dengan gerakan kita dalam realiti dan acuan Malaysia. Antara dimensi dakwah yang perlu kita cerakin dan terokai ialah antaranya :-

Dakwah hidayah iaitu mengajak dan menyeru rakyat Malaysia pelbagai kaum yang belum menganut Islam agar menerima dan memeluk Islam sebagai agama yang benar dan diredai Allah swt.
Dakwah islah iaitu mengajak dan menyeru saudara seagama kita yang masih belum memahami dan beramal dengan ajaran Islam yang sebenar agar memahami dan beramal dengan Islam. Hal ini timbul mungkin kerana kejahilan dan ketidakfahaman mereka kepada ajaran Islam, latar belakang dan persekitaran yang jauh daripada Islam serta faktor-faktor lain.

Dakwah tarbiyah iaitu mengajak dan menyeru saudara seagama kita yang memahami dan beramal dengan Islam agar menjadi ahli, penyokong bahkan pendokong kepada perjuangan Islam yang dipelopori oleh PAS.

Ketiga-tiga dimensi dakwah ini perlu berjalan serentak dan seiring dengan pelbagai mekanisme dakwah. Perjuangan Islam tidak boleh mengabaikan dimensi-dimensi dakwah kerana ketiga-tiga dimensi ini saling melengkapi antara satu sama lain. Kita harus menyedari bahawa ada darjah kepentingan dan tingkat keutamaan antara dimensi dakwah tersebut tetapi pengabaian salah satu daripadanya akan membantut usaha dakwah yang dipelopori oleh jemaah yang kita dokongi iaitu bertujuan memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

Sebagai ahli kepada jemaah Islam, dakwah jangan hanya disempitkan pengertiannya,iaitu hanya sekadar ceramah. Pada hal dakwah adalah satu gagasan idea dan gerakan mengajak dan menyeru manusia ke jalan Allah yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan. Dalam konteks hari ini, ceramah belum mampu dan cukup untuk menyelesaikan tanggungjawab dakwah kita kepada masyarakat.



1 JUN BULAN MELAWAT KEDAH............



PAS akan menangguhkan muktamar yang sepatutnya diadakan pada Jun ke November depan. Ia akan digantikan dengan perhimpunan raksasa pada 1 Jun di Alor Setar, Kedah yang akan memberi fokus sepenuhnya kepada pilihan raya umum ke-13.

PAS lebih menumpukan kepada persediaan menghadapi pilihan raya umum yang masih menjadi teka-teki, itulah demokrasi di negara ini.
Jadi PAS tangguh muktamar ke satu tarikh lain dan akan adakan ijtima' dan munajat perdana untuk perkasakan jentera dan ahli di seluruh negara bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"JOM PI KEDAH"
"Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua"




ERA GENERASI ISLAM GEMILANG.....


Di dalam memperkatakan tentang era kegemilangan sejarah umat Islam, kita tidak boleh memisahkan diri untuk memperkatakan mengenai pendokong dan pembawa dakwah yang pertama, peribadi yang menjadi qudwah atau ikutan seluruh zaman Islam iaitu Rasulullah S.A.W yang menjadi pelaksana pertama, unggul dan ulung serta penafsir yang sebenarnya mengenai Islam yang diwahyukan oleh Allah Taala. Dengan lain perkataan, diri Rasulullah S.A.W merupakan penerusan daripada dakwah yang dibawa oleh Para Nabi dan Rasul-Rasul ‘alaihimussalatu wassalam. Hakikat dan prinsip ini dinyatakan oleh Allah di dalam al Quran :

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka); Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.” – Surah al Nahl:36

Pengabdian seluruh dan seutuhnya kepada Allah. Pengabdian yang merangkumi semua aspek kehidupan manusia. Kesemua Para Rasul membawa prinsip pengabdian ini. Di zaman kegemilangan Islam yang diasaskan oleh Rasulullah S.A.W, Baginda telah melahirkan suatu generasi yang unggul dan pertama. Generasi Para Sahabat yang dilahirkan bukan sahaja berdasarkan kepada wahyu Allah, tetapi perlaksanaan perintah wahyu yang dikemukakan oleh Rasulullah S.A.W secara praktikal. Rasulullah S.A.W telah menerima wahyu yang pertama dalam keadaan gementar sehingga pulang ke rumah dan terus berselimut. Kemudian disusuli pula dengan wahyu yang kedua supaya bangkit bertindak dan beramal.

Rasulullah S.A.W bukan sahaja menerima ilmu itu, tetapi ianya hendaklah disampaikan secara praktikal. Firman Allah Taala :

“Wahai orang yang berselimut!”

“Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia)” – Surah al Mudaththir:1-2

Rasulullah S.A.W tidak diperintahkan hanya sekadar memperdengarkan ayat-ayat suci al Quran berhampiran Kaabah, tetapi ianya bererti suatu bebanan tugas yang berat agar disampaikan peringatan daripada Allah. Suatu tugas yang diamanahkan untuk membetulkan kehidupan manusia dalam segala bidangnya.

Baginda Rasulullah S.A.W dapat melahirkan keunggulan peribadi generasi yang pertama. Generasi yang dibentuk dengan penghayatan Islam semurninya dan keimanan yang sesucinya. Generasi yang ditanamkan keyakinan yang sebenar untuk melaksanakan seluruh ajaran Islam dan menyampaikan Islam itu kepada manusia sejagat. Pembentukan itu sebagaimana yang ditekankan pada awal lagi, bukan sekadar suatu pengisian ilmu semata-mata atau sekadar maklumat dan beramal dari segi lahiriyyah sahaja, tetapi pembentukan yang melulusi beberapa siri ujian. Pembinaan menerusi tekanan-tekanan, penindasan dan ujian yang dilakukan oleh golongan jahiliyyah; golongan taghut yang pertama dihadapi oleh Rasulullah S.A.W.

Penerapan keimanan dan keyakinan ini dilalui oleh Rasulullah S.A.W bukan menerusi penyampaian ayat-ayat suci al Quran supaya generasi Islam yang pertama hanya bersabar dalam menempuh rintangan ujian dan tekanan. Tetapi Rasulullah S.A.W sendiri yang pertama menghadapi ujian dan tekanan itu secara praktikal dan nyata. Ujian dan tekanan yang berterusan sama ada dalam bentuk fizikal ataupun kejiwaan. Baginda diuji dengan beberapa siri penyeksaan sepertimana yang sempat dirakamkan dalam lembaran sejarah. Baginda diuji dengan tawaran kemewahan, harta-benda dan pangkat.

Namun begitu, Rasulullah S.A.W menolak segala kepentingan duniawi dengan meletakkan kepentingan Islam lebih tinggi daripada segala-galanya. Ini jelas terukir mantap dalam catatan sirah ketika Baginda menolak cadang-cadangan yang dikemukakan oleh wakil Abu Jahal.

“Wahai anak saudaraku! Kedudukanmu dari kalangan kami seperti yang diketahui olehmu dalam ikatan kekeluargaan. Sesungguhnya kamu telah membawa kepada kami suatu perkara yang besar. Kamu telah memecah-belahkan perpaduan mereka, memperbodohkan impian mereka dan mencela nenek-moyang mereka. Dengarlah dariku agar aku kemukakan kepadamu beberapa perkara untuk memberi pandangan dan menerima sebahagian daripadanya!”

Rasulullah S.A.W menjawab, “Katakanlah, wahai Abu Walid (gelaran ‘Utbah) apa yang kamu ingin perkatakan!”

Abul Walid mengemukakan cadangannya, “Wahai anak saudaraku (bahasa panggilan yang halus! Kalaulah apa yang kamu bawa ini kerana mahukan harta kekayaan, kami bersedia mengumpulkan untuk kamu harta- benda sehinggalah kamu menjadi orang yang paling berharta di kalangan kami. Kalau kerana mahukan kedudukan, kami bersedia, melantik kamu menjadi ketua kami sehinggalah kami tidak menandingi kamu. Jika sekiranya kamu mahu menjadi raja, kami bersedia menabalkan kamu menjadi raja kami” (rujuk Sirah Ibnu Hisyam)

Lalu Rasulullah S.A.W bertanya, “Sudah habis pandangan dari kamu?

‘Utbah menjawab, “Ya!”

Seterusnya Rasulullah S.A.W bersabda dan membacakan, “Dengarlah dariku”.

"Ha, Mim..."

"Turunnya Kitab ini dari Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani".

"Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu al-Qur’an yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya".

"Ia membawa berita yang mengembirakan (bagi orang-orang yang beriman) dan membawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dalam pada itu kebanyakan mereka berpaling ingkar (tidak mahu mengetahui dan memahaminya), maka dengan sebab itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya".

"Dan mereka berkata; Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis (menghalang kami) daripada memahami apa yang engkau serukan kami kepadanya, dan pada telinga kami penyumbat (menjadikan kami tidak dapat mendengarnya), serta di antara kami denganmu ada sekatan (yang memisahkan fahaman kita); oleh itu, bekerjalah engkau (untuk agamamu), sesungguhnya kami juga tetap bekerja (untuk mempertahankan kepercayaan kami)" – Surah Fussilat:1-5

Rasulullah S.A.W meneruskan bacaannya. Tiba-tiba ‘Utbah tersandar ke belakang dengan bertongkatkan kedua-dua belah tangannya. Kemudian apabila sampai ayat sujud, Rasulullah S.A.W terus bersujud.

Selanjutnya Rasulullah S.A.W bersabda, “Adakah kamu mendengar itu?

Abul Walid lantas pulang dengan wajah yang berubah.

Penolakan harta-benda yang ditawarkan, pangkat yang dijanjikan ini merupakan pelaksanaan secara praktikal yang diperlihatkan oleh Rasulullah S.A.W kepada sahabatnya. Penolakan yang menekankan tentang tujuan pelaksanaan Islam bukanlah sekadar untuk dilantik menjadi pemerintah tanpa menentukan apakah bentuk sistem yang akan dilaksanakan. Ataupun sekadar menerima kedudukan dan tempat dalam pimpinan tanpa menentukan apakah matlamat sistem yang hendak dilaksanakan.

Penolakan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W merupakan kenyataan yang jelas, yang ditaati dan diikuti oleh Para Sahabatnya secara praktikal. Generasi yang meletakkan kepentingan Islam yang bakal dilaksanakan oleh mereka di dalam Negara Islam dan Masyarakat Islam yang pertama lebih berharga daripada segala kepentingan duniawi ini. Kemudiannya tekanan, tindakan ganas, konpirasi dan fitnah melampau dilakukan oleh pihak kuffar dan ugutan-ugutan yang mengancam jiwa raga serta menyeksa tubuh badan. Sehingga penekanan itu memaksa orang-orang yang beriman untuk berhijrah meninggalkan kepentingan tanahair, keluarga, rumahtangga, pangkat dan segala-galanya. Meskipun tidak dapat dinafikan bahawa urusan dan keperluan duniawi itu adalah penting, namun Islam menjadi prinsip kepada semua itu hendaklah dipentingkan dari segalanya. Kita tidak juga dapat menafikan bahawa tanahair, keluarga dan harta-benda adalah menjadi suatu keperluan dalam perjuangan untuk menegakkan Islam dan membentuk generasi Islam. Tetapi Islam adalah lebih utama dan mesti terlaksana.

Setelah keyakinan Islam itu dapat dipertontonkan secara amali, maka baharulah diperintahkan supaya menegakkan negara Islam yang pertama. Sebuah negara yang ditegakkan tanpa berhajat kepada angkatan polis atau bala tentera, justeru kerana setiap anggota dalam negara itu adalah polis dan tentera yang menjalankan kewajipan masing-masing. Sebuah negara yang menjadi impian kepada ahli-ahli falsafah Yunani di Barat, Parsi dan sebahagiannya di Timur, tetapi menjadi kenyataan kepada umat Islam. Sebenarnya, Islam yang diwahyukan oleh Allah bukanlah merupakan suatu teori yang hendak diuji, yang belum tentu jaya-gagalnya. Tetapi ianya merupakan ajaran Allah yang menjadi jawapan yang tepat bagi menjawab dan menyelesaikan seluruh permasalahan yang dihadapi oleh umat manusia.Negara Islam yang pertama ditegakkan oleh Rasulullah S.A.W menerusi pembinaan generasi Sahabat yang bakal mewarisi perjuangan Islam di masa akan datang.

Ianya ditegakkan melalui aqidah, kaedah dan cara yang dapat menjadi contoh dan teladan kepada umat-umat lain. Islam itu ditegakkan bukan menerusi ugutan- ugutan ketenteraan, tetapi ianya berdiri di atas prinsip pe¬laksanaan yang adil lagi bersih. Kebaikan dan keadilan yang bukan sahaja dapat dilihat oleh umat Islam, bahkan golongan bukan Islam yang bernaung di bawah negara Islam. Kebaikan dan keadilan yang menyentuh hati nurani untuk menyedari dan menginsafi bahawa Islam adalah lebih baik daripada keadilan yang dicadangkan oleh sistem-sistem bikinan mereka. Kebenaran dan pembelaan hak dalam Islam adalah ajaran yang jauh lebih indah dan agung daripada apa yang pernah digembar-gemburkan oleh pembesar-pembesar mereka.

Itu semua dapat terpancar dan menyerikan suasana umat manusia setelah umat Islam diuji dan dicuba secara praktikal bersama-sama dengan Rasulullah S.A.W sehingga mereka mencapai kemuncak peningkatan iman. Peningkatan keimanan yang tumbuh subur dalam jiwa umat Islam bergerak sejajar dengan meningkatnya kezaliman yang dilakukan oleh golongan jahiliyyah. Hakikat ini dialami dan dilalui secara nyata supaya nanti mereka tidak melakukan kezaliman ketika mereka diberi amanah di dalam urusan pemerintahan. Mereka pantas menjadi jurubicara untuk membela hak apabila mereka diberi peluang untuk membela hak orang lain. Mereka dapat melaksanakan ke¬pentingan umat manusia ketika diberi peluang untuk melaksanakannya. Generasi yang menyaksikan penyelewengan dan kebobrokan sistem jahiliyyah secara nyata dan menerusi penyaksian itu bangun untuk merubah, meruntuh dan meranapkan sistem itu.

Hasil daripada cara inilah, maka terbentuknya generasi gemilang umat Islam yang mewarisi perjuangan Rasulullah S.A.W. Generasi gemilang yang terus melaksanakan amanah risalah Islam setelah wafatnya Rasulullah S.A.W. Generasi yang dibentuk keperibadiannya menerusi tamrin dan tarbiyyah di dalam Sirah Rasulullah S.A.W. Oleh kerana itu, kewafatan Rasulullah S.A.W yang membawa Islam hingga hari kiamat ini menjadi suatu hikmah yang besar ertinya. Ia merupakan bukti yang jelas tentang keabadian Islam yang akan dijulang dan disebarkan oleh generasi-generasi yang menurut jejak langkah Rasulullah S.A.W.

Kelahiran generasi pertama yang dibentuk dan dipimpin oleh Rasulullah S.A.W berlaku di dalam era kegemilangan umat ini. Generasi Para Sahabat bukan sahaja menerima perubahan fikrah menerusi penyampaian wahyu dan sabda Rasulullah S.A.W, tetapi generasi yang cekal menggagahi setiap ujian sehingga dapat membentuk keperibadian mereka sama ada dari segi individu ataupun jamaah. Dari sinilah terpancarnya sinar pijar (putih) yang gilang-gemilang kekuatan jamaah Islam yang pertama. Kekuatan jamaah yang melaksanakan ajaran Islam yang syumul, lengkap dan sempurna. Kekuatan yang berakar umbi dari keimanan yang bulat kepada Allah, yang dihayati oleh Rasulullah S.A.W sebagai individu dan pimpinan jamaah. Kekuatan yang mengikat setiap diri para sahabat untuk tunduk dan patuh kepada kepimpinan Rasulullah S.A.W dan melaksanakan perintah Allah tanpa soal.

Mereka bukan sahaja membaca firman Allah Taala yang berbunyi :

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata; Kami beriman. Sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”

“Dan demi sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta” - Surah al ‘Ankabut:2-3

Firman Allah Taala lagi :

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang- orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh- sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujud¬nya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?” - Surah Ali ‘Imran: 142

Generasi Islam yang pertama telah mengalami pembentukan secara individu menerusi mujahadah diri masing- masing dalam menghadapi kemaraan ujian, penekanan dan penindasan. Oleh kerana mereka telah membulatkan hati setulusnya kepada Allah, maka setiap ujian yang dilalui kian membakar jiwa mereka untuk terus mempelopori suatu kebangkitan.

Memang tidak dapat dinafikan juga bahawa naluri dan fitrah kejadian manusia memperlihatkan kepada kita tentang sikap dan pendirian manusia itu tatkala berhadapan dengan penindasan dan penekanan. Dalam keadaan ini, manusia akan tetap menghalakan pandangan dan harapannya kepada Allah Taala. Namun, generasi Para Sahabat adalah generasi kental yang tiada pernah ragu untuk membuat pilihan, tiada pernah sangsi untuk mengarahkan tujuan. Titik tolak perjuangan mereka semata- mata kerana Allah dan akhir matlamat mereka tetap dalam mencari keredaan Allah.

Generasi Islam yang pertama terdiri daripada individu-individu yang hanya bergantung bulat kepada Allah. Tidak memandang ke Timur dan tidak pula memandang ke Barat. Individu-individu yang hanya menerima perintah arahan, hukum dan perundangan daripada Allah, sekaligus menolak dengan tegas setiap unsure-unsur yang lain dari Islam. Individu-individu yang hanya mengambil ajaran, sistem dan neraca penghayatan daripada Allah. Mereka menyelesaikan seluruh permasalahan yang timbul dengan terlebih dahulu merujuk kepada ketetapan hukum Allah, bukan melaksanakan sesuatu kemudianbaru dirujuk kepada Allah.

Inilah dia individu-individu yang pertama dibentuk oleh Rasulullah S.A.W, yang menjadi batu- bata dalam mengikat padu jamaah Islam. Batu bata yang mengikat suatu jamaah yang bergerak melanda segala liku berduri. Keutuhan dan kesepaduan suatu jamaah yang telah diuji secara praktikal di dalam peperangan Badar, peperangan Uhud, peperangan Hunain dan beberapa siri peperangan yang lain. Peristiwa-peristiwa yang mengajar umat Islam bahawa mereka tidak boleh menyimpang walaupun sedikit daripada mengabdikan diri kepada Allah.

Mereka diberi kemenangan dalam peperangan Badar, meskipun jumlah mereka terlalu kecil. Tetapi oleh kerana jiwa mereka suci dan hati mereka bersih untuk tunduk mengabdikan diri kepada Allah semata-mata, maka mereka telah dianugerahkan dengan kekuatan dan kemenangan. Tidak ada kebendaan yang dicari dan tidak ada pengaruh duniawi yang menjadi matlamat dan tujuan dalam perjuangan mereka.Sebaliknya, di dalam peperangan Uhud, apabila hanya ada segelintir sahaja daripada jamaah Islam itu yang tidak mengikut arahan Rasulullah S.A.W mereka telah diajar dengan percikan darah yang menitis keluar daripada tubuh umat Islam, sehingga gigi Rasulullah S.A.W sendiri patah dan pipinya berdarah. Justeru kerana sedikit daripada mereka meninggalkan bukit strategi untuk mengejar ghanimah perang dan kebendaan, mereka telah diajar oleh Allah melalui syuhada’ yang bergelimpangan. Dan bagaimana mereka diuji sekali lagi secara jama'ah di dalam peristiwa peperangan Hunain tatkala mereka berbangga dengan jumlah mereka yang ramai. Mereka merasakan bahawa mereka tidak mungkin dapat dikalahkan :


Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri” - Surah al Taubah:25

Peristiwa ini menjadi dalil yang kuat untuk membuktikan bahawa kejayaan dan kemenangan umat Islam, kegemilangan generasi Islam bukanlah bikinan manusia, tetapi ia adalah kurniaan daripada Allah Taala. Pertolongan dan kurniaan daripada Allah itu tidak akan datang secara percuma, walaupun Islam ini adalah agama yang diturunkan oleh Allah sendiri sepertimana yang disebut oleh Al Syahid Sayyid Qutb di dalam bukunya :

“…Meskipun Allah Taala boleh memberi kemenangan kepada umat Islam sebagaimana turunnya hujan dari langit, tetapi oleh kerana Islam itu diturunkan kepada manusia, maka kejayaan dan kegemilangan Islam ini hendaklah berjalan melalui proses kemanusiaan itu sendiri. Melalui sifat-sifat yang ada pada manusia, yang dibentuk melalui cara kehidupan manusia serta melalui tekanan dari penindasan yang dihadapi oleh mereka. Oleh kerana itulah Allah melatih dan membentuk mereka melalui wahyu secara individu dan jamaah, membentangkan di hadapan mereka ribuan tribulasi yang nyata dan praktikal. Sentuhan wahyu yang menggarap sikap dan semangat untuk memikul amanah Islam sehingga lahirnya individu-individu dalam rangkaian suatu jamaah yang padu dan kuat. Lahirnya jamaah Islam yang dapat melaksanakan perintah Allah tanpa syarat. Suatu jamaah yang tidak pernah menyimpang walau di saat wafatnya Rasulullah S.A.W. Mereka tidak mungkin dapat digugat, sebagaimana mereka tidak dapat digugat di zaman Rasulullah S.A.W”.

Menerusi proses pembentukan itu, mereka dapat menubuhkan golongan yang membantu dan mempertahankan agama Allah – hizbullah – dalam  menghadapi peristiwa murtad, seperti yang disebut oleh Allah di dalam al Quran :

Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya” - Surah al Ma’idah:54

Ini menunjukkan bahawa barangsiapa dari kalangan orang-orang beriman yang murtad daripada agamanya, maka Allah akan melahirkan suatu kaum atau golongan (sama ada jamaah secara umum dan menyeluruh ataupun individu yang ada di dalam jamaah itu) yang mempunyai sifat-sifat yang dijelaskan oleh Allah Taala, “…Maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia…”

Inilah sifat pertama (yang utama) membutir dari jamaah atau individu Islam. Inilah golongan yang telah berjaya dibentuk oleh Rasulullah S.A.W. Sesiapa sahaja boleh membuat pengakuan bahawa ia kasih kepada Allah, tetapi hakikat percintaan dan kasih abadi makhluk dengan Allah mesti disusuli dengan pernyataan sikap dan tindakan seperti yang dijelaskan oleh Allah :

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” – Surah ali ‘Imran:31

Kasih kepada Allah itu dapat dilahirkan dengan cara mengikut jejak langkah Rasulullah S.A.W dan hakikat “Allah kasih kepada mereka dan mereka kasih kepada Allah” itu merupakan suatu ciri yang mendasari Jamaah Islam.

“…Mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-or¬ang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang- orang kafir…”

Jamaah Islam yang dibentuk oleh Rasulullah S.A.W mempunyai sifat merendah diri di kalangan mereka. Sikap keberanian dan kekuatan ditunjukkan kepada orang-orang kafir untuk menggerunkan musuh-musuh Allah. Sekiranya ada di kalangan orang-orang beriman yang menunjukkan keberanian sesama sendiri tetapi gementar bila berhadapan dengan musuh-musuh Islam, maka bermakna bahawa mereka ini tidak cukup sifat untuk dikalungkan dengan mahkota pejuang agama Allah. Hanyasanya setelah hakikat keimanan mendalam sehingga memperlihatkan kekuatan gemilang untuk menghadapi musuh-musuh Islam berakar tunjang di dalam diri setiap peribadi yang menganggotai jamaah Islam, baharulah umat Islam akan tegak di mercu kejayaan dan digelar sebagai hizbullah.

Jika jamaah Islam itu merupakan suatu jamaah yang sentiasa mencari jalan supaya tidak dicela orang ataupun yang hanya mencari helah supaya tidak ada tekanan dan penindasan, maka jamaah Islam itu perlu dipertikaikan kewibawaannya sebagai sebuah jamaah Islam. Mana-mana jamaah Islam yang tidak ditekan dan ditindas atau berhadapan dengan ribuan permasalahan yang gawat, maka ini menandakan bahawa jamaah itu tidak betul dan perlu mengusul periksa kembali tentang jalan dan kaedah perjuangan yang dilaluinya. Mereka mesti menghitung dan memereksa diri mereka sendiri untuk memperbaiki kesilapan yang sedang tenat menghambat perjalanan gerakan jamaah itu. Walaupun mungkin mereka dapat mengemukakan hujjah dengan menggunakan kebijaksanaan semata-mata, tetapi adakah kebijaksanaan mereka dapat mengatasi kebijaksanaan generasi gemilang yang dibentuk oleh Rasulullah S.A.W yang menghadapi suatu siri ujian dan tekanan yang maha dahsyat.

Generasi Para Sahabat yang dibentuk oleh Rasulullah S.A.W adalah generasi yang dapat memenuhi ciri-ciri jamaah Islam dan ciri-ciri individu yang menganggotai jamaah Islam. Mereka tidak pernah terpisah daripada risalah yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W dan mereka tidak juga bercita-cita untuk menukar aqidah keimanan mereka dengan sesuatu yang lain. Sekiranya Rasulullah S.A.W sendiri menolak segala tawaran kebendaan dan kemewahan, pangkat dan kedudukan, maka begitulah juga Para Sahabat yang dibentuk oleh Rasulullah S.A.W. Ini dapat digambarkan ketika mereka membawa risalah Islam kepada maharaja Parsi.

Sesungguhnya kami diutus untuk mengajak sesiapa yang mahu di antara kamu, daripada meng‘abdikan diri sesama makhluk, kepada meng'abdikan diri kepada Allah. Dan daripada kezaliman agama yang karut kepada ke ‘adilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasannya”.

Inilah risalah yang pernah dibawa oleh Rasulullah S.A.W dan inilah juga risalah yang dibawa oleh generasi gemilang Para Sahabat di zaman Saidina ‘Umar ibn Khattab. Walaupun Rasulullah S.A.W sudah tidak ada dan mereka sudah diberi kemenangan oleh Allah, namun bukan sahaja mereka beriman dengan risalah yang dibawa itu tetapi mereka menolak segala tawaran kebendaan yang dikemukakan oleh Maharaja Rom dan Parsi.

Peristiwa ini dirakamkan dengan tinta emas dalam lembaran sejarah gemilang umat Islam, peristiwa yang hidup terpancar daripada penghayatan mereka. Apabila Allah memberikan kemenangan kepada mereka sehingga berjaya menumbangkan empayar Rom dan Parsi dengan segala kekayaan dan kemewahan yang berada di dalam genggaman tangan mereka, mereka tidak pula lupa daratan dan menjadi ‘abdi kepada kekayaan dan kemewahan itu. Mereka tetap taat menjunjung pesanan Rasulullah S.A.W, meskipun Rasulullah S.A.W sudah pergi dan tiada bersama mereka.

Aku tidak takut kepada kemiskinan yang mengenai kamu. Tetapi aku takut terhadap keduniaan yang dibentang kepada kamu, sehingga kamu menjadi binasa dengan dunia, sebagaimana umat yang terdahulu daripada kamu binasa” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mereka tetap berpegang kepada slogan-slogan yang dilaungkan oleh golongan Muhajirin dan Ansar ketika mendirikan masjid Nabawi bersama-sama dengan Rasulullah S.A.W, “Wahai Tuhan, sesungguhnya tidak ada kehidupan melainkan kehidupan akhirat. Wahai Tuhan, berilah pertolongan kepada Muhajirin dan Ansar”.

Inilah generasi gemilang. Mereka tidak sedikit pun terikat kepada kehalobaan dunia, tetapi mereka memerintah dunia seluruhnya. Walaupun mereka diberi kemewahan dan kekayaan, tetapi mereka memerintah kemewahan dan kekayaan itu. Ini menunjukkan kepada kita bahawa risalah yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W merupakan risalah yang membentuk manusia berlandaskan keyakinan dan keimanan. Risalah yang tegak berpaksikan taqwa dan pengabdian kepada Allah Taala. Generasi gemilang pertama yang bersama-sama dengan Rasulullah S.A.W dilahirkan di Semenanjung Tanah Arab, bumi yang kering kontang, tanpa hasil mahsul dan jauh dari tamaddun kebendaan. Keadaan tumbuhnya watak dan keperibadian gemilang generasi pertama ini menjadi suatu siratan yang penuh hikmat dan pengertian.

Kalaulah kemenangan Islam itu ditumpukan kepada kekuatan jumlah, maka lebih baik generasi ini dilahirkan di tempat yang mempunyai jumlah manusia yang ramai. Kalaulah kemenangan itu berdasarkan kepada kekuatan kebendaan, mengapakah Allah tidak melahirkan Rasulullah S.A.W itu di negeri Parsi, Rom, India atau China; negara-negara yang kaya dengan tamadun kebendaan. Tetapi hakikat ini tersimpul kemas dalam kenyataan bahawa kekayaan, kemewahan dan tamaddun kebendaan bukanlah menjadi pra-syarat kepada matlamat kehidupan manusia, serta bukan juga menjadi pra-syarat untuk mendapat melahirkan generasi yang gemilang itu. Ia hanya menjadi alat semata-mata yang tidak mungkin berguna sama sekali melainkan ianya diarahkan di atas landasan keimanan kepada Allah Taala.

Oleh kerana itulah, generasi yang dipimpin dan dibentuk oleh Rasulullah S.A.W generasi yang telah menempa sejarah gemilang ummat Islam, lahir (tumbuh) dan berkembang di tempat yang jauh daripada unsur-unsur kebendaan dan kekuatan lahiriyyah yang dipandang oleh manusia semata-mata. Generasi yang subur jiwanya di tanah gersang yang kering kontang. Generasi yang mekar keperibadiannya di tengah-tengah ketandusan kebendaan.

Sejarah kegemilangan umat Islam yang pertama bukan sahaja menggemakan suasana itu di kalangan individu-individu dan jamaah Islam, tetapi kegemilangan itu berlaku juga dalam hubungan ummat Islam dengan orang-orang yang bukan Islam. Umat Islam yang sedikit bilangannya itu dapat menguasai orang-orang bukan Islam yang menerajui pemerintahan. Penguasaan ini bukan bererti kompromi buta dalam bentuk kerjasama dengan orang-orang bukan Islam atau persyarikatan dalam pemerintahan di satu negara ataupun wala’, ketaatan dan kepatuhan yang diberikan oleh umat Islam kepada pemerintah yang bukan Islam. Pe¬nguasaan ini ialah menerusi kerjasama dalam melaksanakan prinsip-prinsip pemerintahan Islam.

Sikap dan semangat inilah yang dibawa oleh umat Islam yang berkuasa di negara-negara Islam, sama ada menyangkut hal-ehwal hubungan dalam negeri atau antarabangsa. Sikap dan semangat yang bertitik tolak daripada konsep keadilan Islam yang hakiki. Kita dapat melihat dalam kenyataan sejarah bagaimana orang-orang Islam menghormati prinsip oleh orang-orang yang bukan Islam walaupun di saat mereka bermusuh dengan orang-orang kafir. Prinsip keadilan yang berkuatkuasa ke atas setiap orang Islam di sepanjang zaman. Prinsip keadilan yang mesti dilaksanakan sama ada di waktu damai atau perang, sama ada di peringkat diri individu atau jamaah, masyarakat atau negara.Buktinya dapat petik daripada kata-kata khulafa’ yang menjelmakan konsep keadilan ini :

“Jangan kamu membunuh perempuan, jangan kamu membunuh kanak-kanak, jangan kamu memotong pokok kayu yang berbuah, jangan kamu membunuh (mengganggu) paderi-paderi yang beribadat di gereja-gereja mereka, jangan kamu membunuh orang-orang tua yang tidak terlibat di dalam peperangan, dan jangan kamu membunuh orang-orang awam yang tidak terlibat di dalam peperangan”.

Walaupun di saat peperangan itu berlaku, prinsip ke'adilan ini mesti terus dijulang dan dilaksanakan tanpa soal. Menjunjung keadilan ini hanya boleh dilaksanakan oleh umat yang beriman dan tidak mungkin dapat dilakukan oleh umat yang kufur. Prinsip keadilan ini bukanlah merupakan butiran catatan bertulis di atas kertas, tetapi prinsip keadilan ini dinyatakan menerusi pelaksanaannya yang sebenarnya. Ini dapat dibuktikan apabila orang-orang yang bukan Islam terpaksa membayar jizyah, tetapi jizyah yang dibayar itu tidak akan disamakan dengan tanggungjawab pemerintah Islam untuk memelihara dan melindungi hak dan kepentingan mereka di dalam negara Islam.Ini terbukti ketika tentera Islam yang dipimpin oleh Abu Ubaidah menguasai wilayah sebelah Timur. Pada waktu teraju pemerintahan berada di bawah kuasa umat Islam, berlakunya suatu peristiwa di mana tentera Rom telah berkumpul dengan jumlah yang besar untuk menyerang wilayah yang dikuasai oleh umat Islam itu. Justeru kerana Abu Ubaidah merasa sulit untuk menghadapi tentera Rom dan merasai tidak dapat menunaikan hak dan kewajipan untuk melindungi orang-orang bukan Islam yang berada di bawah pemerintahannya, maka Abu Ubaidah mengambil tindakan memulangkan kembali jizyah yang diambil daripada orang-orang bukan Islam.

Pengembalian jizyah ini adalah sebagai tanda bahawa orang Islam tidak dapat menunaikan tanggungjawab untuk memelihara keselamatan mereka dalam ancaman yang berat itu. Dan bagaimana orang yang bukan Islam enggan untuk menerima jizyah yang dipulangkan itu. Mereka lebih cenderung dan merasakan lebih baik berada di bawah pemerintahan Islam kerana keadilan Islam mampu untuk menjamin hak dan kepentingan mereka. Hal ini dapat dilihat dengan jelas ketika negara Islam menguasai Mesir, Afrika Utara, Parsi dan di sebelah utara benua India. Kita dapat menyaksikan betapa unggulnya sistem pemerin¬tahan Islam dalam segala aspek dan manifestasinya.

Sistem pemerintahan yang hanya dikendalikan oleh segolongan minoriti umat Islam di dalam negara yang majoritinya bukan Islam. Keunggulan Islam yang tegak menaungi masyarakat ini berupaya pula membuka hati orang-orang bukan Islam untuk memeluk dan menerima agama Islam. Sebahagian besar daripada mereka menganut Islam bukan menerusi pemaksaan dari golongan minoriti yang memerintah, atau daripada ugutan kekuatan ketenteraan, tetapi melalui penerapan prinsip keadilan yang sebenarnya. Prinsip keadilan yang membela hak dan kepentingan setiap warga- negaranya secara praktis dan dapat disaksikan sendiri oleh orang-orang bukan Islam.

Era generasi gemilang yang dicetuskan oleh Para Sahabat Rasulullah S.A.W ini bukan sahaja dirasai oleh orang-orang Islam bahkan juga dapat dinikmati oleh orang-orang bukan Islam. Di dalam era kegemilangan ini, pembelaan hak dan kepentingan yang diberikan oleh pemerintah Islam kepada orang-orang bukan Islam adalah jauh lebih baik daripada pembelaan orang-orang bukan sesama mereka. Prinsip keadilan yang diasaskan di atas dasar keimanan adalah jauh lebih murni dan berkesan daripada prinsip keadilan yang dibikin-bikin oleh manusia sendiri.

Inilah dia kejayaan yang gemilang dalam sejarah Islam. Oleh kerana itu, dalam rangka melaksanakan Islam ini, maka tidak timbul masalah masyarakat majmuk, masalah majoriti ataupun minoriti kerana ianya telah dilaksanakan di zaman kegemilangan ummat Islam serta telah membuktikan kejayaannya. Peristiwa-peristiwa yang dapat menjadi hujjah yang kuat bagi mereka yang meneliti sejarah Islam dengan cara yang adil dan benar.

Kegemilangan umat Islam dalam sejarah mereka dapat dilihat antaranya melalui kejayaan perundangan Islam dan syariat Islam yang dilaksanakan. Pelaksanaan konsep perundangan dan syariat Islam yang tidak mungkin dapat digambarkan dan difikirkan oleh manusia secara teori sahaja, tetapi ianya terbukti secara praktikal.

Sebagai contohnya, peraturan al-hisbah yang diajar oleh Rasulullah S.A.W dan dilaksanakan oleh Para Sahabatnya yang taat. Peraturan al-hisbah ini neraca pengawal ummat Islam dalam melaksanakan tugas amal makruf nahi munkar, peraturan yang menjadi salah satu daripada intisari pelaksanaan syariat Islam. Dengan berkuat- kuasanya peraturan al-hisbah ini, orang tidak berani hendak melakukan rasuah, penipuan, penyelewengan atau pemutar-belitan bukan kerana undang-undang yang zahir itu sahaja, tetapi kerana keimanan generasi Islam yang pertama itu terhadap Tuhan yang menciptakan undang-undang itu sendiri.

Sejarah telah mencatatkan suatu peristiwa berkenaan dengan seorang wanita Islam yang ingin melakukan penipuan di dalam jualan susu. Ketika yang sama juga Khalifah Umar al Khattab yang dikenali sebagai khalifah berjalan dan menyiasat hal ehwal rakyatnya, dan mendengar keinginan wanita tadi untuk mencampurkan susu dengan air supaya mendapat keuntungan yang lebih.

Apabila si anak yang ada bersama-sama melarang ibunya jangan melakukan kerja menipu itu, lalu si ibu berkata, “Kalau saya buat kerja ini, Saidina Umar tidak akan tahu?”.

Tetapi anak itu mengatakan bahawasanya walaupun Saidina Umar tidak tahu, tetapi Tuhan Saidina Umar akan tahu. Peristiwa ini menjadi bukti yang nyata kepada mereka yang beriman bahawa pelaksanaan hukum dan undang-undang itu bukan sahaja berteraskan kepada konsepsi lahiriyyahnya, tetapi ianya menunjangi keimanan mendalam dan pengabdian setulus murni ummat Islam kepada Allah yang mencipta hukum dan undang-undang itu sendiri.

Sejarah juga pernah merakamkan tentang sikap Saidina Ali bin Abi Talib dalam menghadapi kes dengan seorang Yahudi mengenai masalah baju besi yang terkenal itu, sehingga sanggup menegakkan keadilan walaupun baju yang dicuri oleh Yahudi itu tidak dapat diambil kembali. Dengan keadilan dan manifestasi keimanan ini jugalah yang telah menyebabkan si Yahudi tadi mengucapkan kalimah syahadah tanda iqrar untuk menghayati Islam.

Begitu juga dalam masalah hamba abdi dan masalah undang-undang jenayah. Orang yang memikirkan bahawa sekiranya dilaksanakan undang-undang potong tangan akan ramailah orang yang kudung dalam negara Islam. Mereka tidak memikirkan tentang kehebatan undang-undang potong tangan yang dapat dan mampu secara berkesan mengurangkan kadar kecurian. Undang-undang ini akan menyekat orang daripada melakukan pencurian. Demikian pula halnya dalam kes-kes yang lain. Semuanya dapat diatasi dengan cara sebaiknya di zaman kegemilangan umat Islam.

Dalam masalah pembelaan hamba abdi pula, jika dibandingkan apa yang ada di dalam kitab Fiqh Islam dengan peraturan yang dikeluarkan oleh Abraham Lincoln di Amerika, maka kita akan dapat menarik beberapa kesimpulan. Dalam masalah hamba abdi, sudah tentu yang Islam ini kelihatan terlalu longgar kerana masih membenarkan penggunaan hamba sahaya dalam sejarah perkembangannya, dengan sebab-sebab dan keadaan-keadaan tertentu, tetapi kukuh menetapi dasar-dasar dan peraturan-peraturan yang berlandaskan keimanan kepada Allah Taala. Barangsiapa yang membebaskan hamba abdi akan mendapat ganjaran yang tinggi daripada Allah dan sesiapa yang melakukan kesalahan dikehendaki membebaskan hamba abdi.

Walaupun Abraham Lincoln mengeluarkan suatu peraturan yang keras menghukum sesiapa yang memakai hamba abdi, tetapi sejarah telah membuktikan bahawa di dalam masyarakat Islam hari ini tidak wujud lagi hamba abdi, sedangkan dunia Barat yang berbangga dengan Abraham Lin¬coln masih tidak dapat membela hak-hak asasi manusia dan melakukan paksaan terhadap hamba-hamba abdi dengan cara yang lebih dahsyat dan liar daripada masa-masa lalu.

Ini adalah di antara kejayaan umat Islam di zaman kegemilangan mereka yang merupakan hasil natijah setelah menjalankan sistem Islam secara praktis. Hakikat yang menunjukkan kepada kita bahawa Islam bukanlah merupakan teori yang baru hendak diuji dan dicuba dan yang belum tentu berjaya atau gagalnya. Tetapi ajaran-ajaran yang telah terbukti kejayaannya di dalam era yang gilang-gemilang itu.Di samping itu, musuh-musuh ummat Islam tidak dapat menguasai negara dan bumi Islam walaupun di saat ummat Islam berada di dalam keadaan yang paling lemah, kecuali setelah mereka berjaya melancarkan serangan pemikiran atau al-ghazwul fikri yang mengikis keyakinan umat Islam terhadap ajaran-ajaran Islam. Suatu bukti yang memperlihatkan hakikat bahawa zaman gemilang itu ialah zaman keimanan yang mendalam terhadap Allah.

Bukti kegemilangan itu dapat dengan jelas disaksikan jika kita bandingkan dengan zaman-zaman yang muta’khir ini di kalangan umat Islam. Zaman kegemilangan itu bukanlah kerana orang-orang zaman dahulu lebih intelektual daripada kita atau lebih mendalam pengkajian mereka daripada kita, tetapi ke-gemilangan itu dicapai menerusi keimanan, keyakinan dan pelaksanaan Islam yang sebenar-benarnya. Ini juga membawa erti bahawa kegemilangan umat Islam di zaman dahulu tidak dapat berulang kembali justeru berpunca daripada gelagat umat Islam kini yang meninggalkan ajaran Islam. Zaman kegemilangan itu berlaku apabila Islam itu diyakini, diimani dan dilaksanakan dengan cara yang sepenuhnya.

Sejarah Islam yang telah dilipat disembunyikan daripada generasi yang terkemudian dan sejarah yang diberi gambaran yang tidak jelas itu, bukanlah merupakan suatu kisah yang dibaca atau suatu bahan cerita yang menjadi hiburan semata- mata, tetapi ianya merupakan suatu perkara yang menjadi pengiktibaran yang diulang-ulang oleh umat Islam untuk mengembalikan syakhsiyyah mereka sebagai umat yang diamanahkan oleh Allah.

Ianya bukan bererti penghayatan Islam di kalangan individu atau sekadar menyampaikan Islam di sekitar anggota jamaah kita sahaja, tetapi suatu tanggungjawab yang lebih luas daripada itu. Suatu amanah yang berat dan sarat untuk menyampaikan risalah Islam kepada segenap penjuru alam secara terus-terusan. Kita janganlah menjadi seperti seorang cucu yang hanya berbangga dengan pedang sakti yang ditinggalkan oleh nenek-moyangnya dan diletakkan di dalam muzium sambil menggembar-gembur di sana sini tentang pedang nenek-moyangnya yang telah menempa sejarah gemilang. Sedangkan pada hakikatnya, dia sendiri pengecut dan dia sendiri tidak dapat menunaikan tanggungjawab untuk menempa sejarah yang sama.

Namun begitu, terdapatnya suatu petanda cerah yang inembutir di tengah-tengah kelesuan umat Islam kini. Suatu petanda yang diterbitkan hasil daripada kegagalan sistem jahiliyyah yang dilaksanakan di dalam wilayah pemerintahan umat Islam. Suatu petanda yang memperlihatkan hasrat ummat Islam untuk kembali merenung dan menyelami sejarah kegemilangan mereka.

Di sana sini, terdapatnya individu-individu Islam yang memikirkan betapa perlunya dia untuk menghayati Islam dalam diri masing-masing, dan terdapat pula yang memikirkan betapa perlunya wujud jamaah Islam yang dapat melaksanakan seluruh ajaran dan ciri-ciri hizbullah seperti yang disebut pada awal tadi. Ciri-ciri yang terpancar cemerlang daripada diri Rasulullah S.A.W dan Para Sahabatnya yang gemilang. Sehingga ada pula kalangan yang menganggap bahawa abad ini merupakan abad kebangkitan umat Islam serta ditulis dalam ruangan yang banyak dan medan bacaan yang luas.

Dalam menyambut kecerahan masa depan ummat Islam ini, kita jangan pula menjadi seperti ayam jantan yang berkokok dan menganggap bahawa matahari itu naik kerana kokoknya sahaja, kerana kita bukanlah orang yang memulakan perjuangan ini dan juga bukan pula orang yang akan mengakhirkannya.



Marilah kita melaksanakan Islam dan menghayati Islam di kalangan individu dalam anggota jamaah kita, sehingga dapat membentuk masyarakat dan negara yang diamanahkan kepada kita. Amanah untuk membentuk masyarakat dan negara Islam yang tiada mungkin gugur daripada penanggung-jawaban setiap diri yang mengakui dia Islam. Marilah kita sama-sama berganding bahu untuk menggerakkan umat Islam supaya kembali kepada era kegemilangan mereka. Dan marilah kita menganggap bahawa di mana bumi dipijak dan disitulah tempat kita akan bergerak untuk mencipta kegemilangan sejarah itu.

Yakinlah Allah sentiasa memberikan kekuatan Islam untuk menghadapi cabaran-cabaran yang terlalu banyak melanda umat Islam kini. Cabaran-cabaran itu merupakan muqaddimah daripada ujian-ujian yang membentuk jiwa kita untuk memenuhi ciri-ciri pejuang dan pembela agama Allah dan persediaan sebelum kita memikul amanah Islam yang besar itu. Wallahu A'lam