Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, July 26, 2010

Say'ban & Malam Nisfu Syaaban




Syaaban dan malam Nisfu Syaaban, di dalam Sahih Al-Bukhari dan kitab Al-Mutajir Ar-Raabih fi thawab Al-Amal As-Soleh karangan Al-Hafiz Ad-Dimyaty. “Nisfu” bermakna separuh.

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:


“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Rasulullah s.a.w menjawab, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.”


Abdullah b Yusuf menyampaikan kepada kami, dari Malik, dari Abi An-Nadr, dari Abi Salamah, dari Aisyah ra. dia berkata (bermaksud), “Adalah Rasulullah saw berpuasa sehingga kami mengatakan dia tidak berbuka. Dia saw berbuka sehingga kami mengatakan dia tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Nabi saw berpuasa penuh satu bulan melainkan (dalam bulan) Ramadan. Aku tidak pernah melihat dia saw berpuasa lebih banyak selain dari bulan Syaaban” (Hadis Sahih No. 1969 riwayat Imam Al-Bukhari).


Muaz bin Fadhalah menyampaikan kepada kami, dari Hisyam bin Yahya, dari Abi Salamah, bahawa Aisyah ra meriwayatkan kepadanya dengan berkata, “Nabi saw tidak pernah berpuasa dalam satu bulan lebih banyak dari bulan Syaaban. [Nabi saw berpuasa bulan Syaaban semuanya - lafaz Al-Bukhari]. Nabi saw bersabda, “Beramallah dengan mengikut kemampuan kamu, kerana sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehingga kamu yang jemu (dulu – pent)”. Aisyah ra menyambung, “Solat yang paling disukai Nabi saw ialah solat yang dikerjakan berterusan walaupun sedikit. Adalah Nabi saw apabila solat, dia mengerjakannya secara konsisten” (Hadis Sahih No. 1970 riwayat Imam Al-Bukhari).


Abu Mikmar menyampaikan kepada kami dari Abdul Warith, dari Abu At-Tayyah, dari Abu Uthman, dari Abu Hurairah ra. berkata (bahawa) kekasihku (Nabi saw) telah mewasiatkan kepadaku 3 perkara (iaitu) puasa 3 hari setiap bulan (13, 14 dan 15hb), 2 rakaat Dhuha dan Solat Witir sebelum aku tidur”. (Hadis Sahih No. 60 riwayat Imam Al-Bukhari).


Abdullah bin Maslamah menyampaikaan kepada aku dari Malik, dari Ibnu Syihab, dari Abi Salamah dan ayahku Abdullah Al-Agharry, dari Abu Hurairah ra sesungguhnya Rasulullah saw bersabda (bermaksud) “Tuhanku tabaaraka wa taala turun ke langit dunia setiap malam bila tinggal 1/3 akhir malam dan berfirman: Mana orang yang berdoa kepada aku, untuk Aku memperkenankan doanya ? Mana orang yang meminta kepada Aku, untuk Aku berikan kepadanya ? Mana orang yang memohon keampunan Ku, untuk Aku mengampuninya ? (Hadis Sahih No. 1145 riwayat Imam Al-Bukhari).


Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

“Keutamaan bulan Syaaban ke atas bulan-bulan yang lain adalah seperti keutamaan aku di atas semua nabi-nabi yang lain, sedangkan keutamaan bulan Ramadan ke atas semua bulan yang lain adalah seperti keutamaan Allah Taala ke atas makhlukNya.”


Di dalam bulan Syaaban juga terdapat satu malam yang penuh rahmat, iaitu Malam Nisfu Syaaban. Pada malam ke-15 bulan Syaaban ini, doa menjadi sangat mustajab.

Dari Usamah b Zaid ra berkata, “Aku bertanya, ya Rasulullah. Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam bulan-bulan lain sepertimana engkau berpuasa dibulan Syaaban”. Rasulullah bersabda, “Ia adalah bulan yang manusia lalai terhadapnya, diantara Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekelian alam, maka aku suka amalanku diangkat sedang aku berpuasa” (riwayat An-Nasaie).

Dari At-Tarmizi dengan sanad-sanadnya dari Anas ra. dia berkata, “Nabi saw ditanya apakah bulan selepas Ramadan yang terafdhal berpuasa”. Nabi saw menjawab bermaksud, “Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadan”. Nabi saw ditanya lagi, “Sedekah apakah yang terafdhal?”. Nabi saw menjawab, “Sedekah dibulan Ramadan”. Kata At-Tarmizi, hadis ini hadis Hasan Sahih.

Dari Ibnu Majah dari Ali ra. dari Nabi saw bersabda bermaksud, “Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, lalu berqiyamullail pada malamnya, dan berpuasa di siangnya, maka sesungguhnya Allah swt turun ke langit dunia ketika matahari terbenam dan berfirman, “Adakah disana orang yang memohon keampunan, lalu Aku mengampunkan dia ? Adakah di sana orang yang memohon rezeki, lalu Aku memberi dia rezeki ? Adakah di sana orang yang di beri ujian bala bencana, lalu Aku menyejahterakan dia ? Adakah di sana … adakah di sana … ? sehingga terbit fajar”.


Dari Al-Baihaqy dengan sanad-sanadnya dari Aisyah ra. bahawa Nabi saw bersabda bermaksud, “Jibril telah mendatangi aku dan berkata: Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Pada malam itu Allah membebaskan hamba-hamba dari siksaan Api Neraka seramai bilangan kambing Bani Kalb (merentasi satu tempat) selama sebulan. pada malam itu Allah tidak menoleh kepada orang yang melakukan syirik, pengadu domba (kaki batu api), pemutus silaturrahim, penderhaka kepada kedua ibu bapa dan orang yang ketagih arak”. Bani Kalb adalah kabilah Arab yang terbesar atau yang memiliki bilangan kambing yang terbanyak.

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang menghidupkan malam dua hari raya dan malam pertengahan bulan Syaaban, maka hatinya tidak mati biarpun semua hati mati ketika itu.”

Umat Islam disarankan untuk menghidupkan malam ini dengan membaca surah Yaasin sebanyak 3 kali selepas solat maghrib kerana ia di dalam kategori bia’ah Hasanah yang dibolehkan.

“Tiada halangan dibuat penyiasatan ilmiah yang bersih dalam masalah khilaf dalam suasana kasih sayang di jalan Allah dan bekerjasama kearah mencapai perkara yang sebenar, tanpa usaha tersebut membawa kepada perdebatan yang tercela dan taksub” (Imam Hasan Al-Banna).

  • Bacaan pertama diniatkan mohon panjangkan umur dalam mentaati Allah, kemudian dibaca doa-doanya.
  • Bacaan kali keduanya dengan diniatkan diluaskan Allah rezekinya yang halal dan diberkati-Nya, kemudian lalu dibacakan doa-doanya.
  • Kemudian bacaan ketiga pula serta diniatkan minta ditetapkan iman dan mati dalam iman, kemudian dibacakan doa-doanya.

Namun jangan lupa agar kita membaca dengan penuh tenang dan tidak terkejar-kejar.

Pada malam Nisfu Syaaban, telah datang Jibril kepada Rasulullah s.a.w lalu katanya:

“Angkat kepalamu kelangit, itulah malam yang dibukakan Allah padanya tiga ratus pintu rahmat dan diampunkan Allah sekalian orang yang tiada menyekutukan (syirik) dengan-Nya sesuatu, kecuali tukang nujum, kekal di dalam zina, kekal minum arak, durhaka terhadap ibubapa.” (Al-Hadis)

Pada bulan ini, digalakkan bagi kita untuk memperbanyak Puasa Sunat. Rasulullah s.a.w sendiri lebih gemar berpuasa sunat pada bulan Syaaban.

Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud:

“Sesiapa yang berpuasa 3 hari pada permulaan Syaaban, 3 hari pertengahannya dan 3 hari pada akhir Syaaban, maka Allah swt mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti beribadat tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka matinya seperti orang mati syahid.”

Sabda Rasullullah s.a.w yang bermaksud:

“Dinamakan Syaaban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak, dan puasa yang lebih afdal sesudah (selain) Ramadhan ialah puasa bulan Syaaban” (Al-Hadis)


Sesiapa yang berpuasa pada awal Khamis di bulan Syaaban dan akhir Khamis di dalam Syaaban, dimasukkannya dalam syurga. (Hadis Rasulullah yang dipetik dari kitab al-Barokah)


Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Barang siapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepadaNya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah swt akan mengampuni segala dosanya dan menyelamatkannya pada tahun tersebut dari segala macam bencana dan penyakit.” (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa’izhin)

Sangat digalakkan untuk memperbanyak bertaubat pada bulan ini. Ini bagi memperbaiki diri dari segala cela, agar bersedia untuk bulan Ramadhan yang menyuci dan membersihkan jiwa kita.

Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:

“Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu.”


Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Syaaban adalah bulanku, dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani rohani) (Al-Hadis)

Semoga kita mendapat Keredhaan daripada Allah SWT di dalam mengikhlaskan diri kita untuk dekat kepada-Nya. walaupun ada khilafnya.Walahualm. Allahu Haq.


Thursday, July 15, 2010

Ketenangan Jiwa Rohaniah



Ketenangan jiwa atau rohaniah merupakan sumber penting dalam menentukan kehidupan manusia. Apa yang dimaksudkan dengan jiwa itu adalah qalb (hati) menurut istilah agama. Apakah pula yang dimaksudkan dengan jiwa (hati) yang tenang, muthmainnah itu?

Fakhrur Razy, ahli tafsir tersohor pernah menghuraikan dalam Tafsir Kabir, bahawa jiwa (hati) manusia itu memang hanya satu, tetapi sifat-sifatnya banyak dan bermacam-macam. Apabila hati itu lebih condong kepada nilai-nilai Ketuhanan dan mengikuti petunjuk-petunjuk Ilahi, maka ia bernama nafsu muthmainnah, jiwa yang tenang dan tenteram. Jika ia condong kepada hawa nafsu dan marah maka ia dinamakan ammarah bissui, iaitu hati yang dipenuhi oleh kejahatan. (Tafsir Ar-Razi)

“Wahai jiwa yang tenang tenteram! Kembalilah kepada Tuhanmu, merasa senang (kepada Allah) dan Allah senang pula kepadanya. Masuklah dan berkumpul bersama-sama hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” (al-Fajr: 27-28)

Sebelum ini, telah disebutkan kepada kita bahawa dengan zikrullah itu hati kita akan tenang dengan perkara-perkara dunia. Ia membawa maksud selagi hati kita dapat terhubung dengan Allah SWT, nescaya diri kita tidak dapat dipengaruhi dengan perkara-perkara dunia yang melalaikan serta menyusahkan. Begitulah yang kita diberitahu.

Namun, bagaimana boleh dihubungkan kedua-duanya iaitu dengan zikrullah, boleh kita dapat ketenangan dunia? Bagaimana zikrullah itu boleh menenggelamkan rasa bimbang, risau, cemas dan takut kita kepada perkara dunia? Mana tidaknya, sakit, miskin, hilang jawatan, dimaki atau dicerca orang, dan berbagai lagi musibah dunia, bukankah ia menyusahkan? Bukankah itu menggugat hati sehingga datang bimbang, cemas dan takut? Oleh itu marilah kita perhatikan hubungkait antara keduanya agar benar-benar kita faham bagaimana zikrullah boleh menjadi penawar kepada kesusahan dunia.


Mengimbas kembali peperangan Badar, di mana kekuatan pasukan kaum musyrikin tiga kali ganda daripada kaum Muslimin, dengan persenjataan yang lebih lengkap, maka dengan mengingati kepada Allah (zikrullah) itulah yang melahirkan ketenangan dan kekuatan jiwa pasukan Islam.


Pada saat itu Rasulullah s.a.w memohonkan doa, yang bermaksud:

“Ya Allah, bala tentera Quraisy yang lengkap dan teguh datang menyerbu untuk mendustakan Rasul-Mu. Ya Allah! Berikanlah pertolongan yang telah Engkau janjikan. Ya Allah! Kalau tidak Engkau hancurkan kekuatan musuh itu, maka sesudah ini tidak ada orang lagi yang akan menyembah Engkau.”

Doa Rasulullah itu yang berlandaskan zikrullah, pada saat-saat yang genting itu, diperkenankan Allah, sehingga akhirnya pasukan musuh yang kuat itu mengalami porak-peranda dan kemenangan berpihak kepada kaum Muslimin. Allah s.w.t mengirimkan bala bantuan 1000 malaikat yang menghancurkan barisan musuh sebagaimana yang tergambar di dalam al-Quran, yang bermaksud:

“Ketika kamu memohonkan pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya, dengan frman-Nya: ‘Sesungguhnya Aku menolong kamu dengan seribu malaikat yang berbaris dan teratur. Tuhan melakukan semua itu sebagai berita gembira dan supaya hatimu tenteram. Dan pertolongan itu hanya datang dari sisi Allah’.” (al-Anfal: 10)

Di sini, zikrullah itu membawa pengertian mengingati Allah dalam ertikata yang hati itu dapat menghayati sifat-sifat dan peranan Allah SWT. Dibawakan contoh, katakan seorang itu miskin. Dia selalu kesempitan wang. Dia nak makan pun susah. Nak belanja-belanja keluarga pun susah. Tapi, oleh kerana hatinya sudah menghayati Rasa BerTuhan, dia dapat merasakan Allah SWT Maha Pemberi Rezeki. Pada Allah SWT, dia bertawakal. Dengan bersandarkan pada sifat Allah SWT Maha Pemberi Rezeki, dia jadi yakin. Dia jadi orang yang boleh tenang menghadapi kemiskinan. Dia tahu rezeki Allah SWT itu luas dan Allah tidak akan mensia-siakan hambaNya. ?InsyaAllah, Tuhan ada, Dialah yang Maha memberi rezeki?, kata hati kecilnya. Dia berusaha juga tapi dia tidak bergantung pada usahanya. Baginya rezeki Allah SWT ada di mana-mana dan sudah ditetapkan bahagian untuk orang sepertinya.


Contoh lain, seorang itu jatuh sakit. Sakit itu menyusahkan. Boleh jadi tidak tenang dengan sakit apatah lagi makan minum serta tidur selalu terganggu. Malah kerja harian juga terganggu dan di waktu tertentu hendak bersembahyang pun terganggu juga. Namun, seorang yang berzikrullah, dapat merasakan Allah SWT yang memberi sakit dan Dialah yang menyembuhkan. Rasa itulah yang memberi penawar kepada kesusahan sakitnya selama ini. Dia jadi tenang atas kerana yakin Al-Haq yang memberi sakit dan Allah SWT jugalah yang akan menyembuhkan. Sudah pasti keyakinan itu menjadikan dia faham maksud Allah SWT memberi sakit kepadanya.


Sudah pasti juga dia faham bahawa kalau TAllah SWT kehendaki, bila-bila masa Allah SWT boleh sembuhkan. Tinggal lagi yang menjadi soal bukan tempoh lama atau sekejapmasa sakit, atau soal ringan atau berat ujian sakit. Soalnya adalah sejauhmana kuat hubungannya dengan Allah SWT sehingga sakit itu boleh menjadi hiburan kepadanya. Sakit bukan sakit lagi tetapi dirasakan sebagai hiburan dari Tuhan kepada hambanya.Yang paling besar juga, kesusahan dalam miskin dan sakit itu boleh dihadapi dengan tenang kerana dia sudah merasa dirinya itu dimiliki Tuhan.

Inilah sebahagian daripada zikrullah. Rasa dimiliki Tuhan ini membuatkan seseorang itu menyerah hati dan dirinya kepada Allah SWT. Dia merasakan Allah SWT boleh buat apa sahaja terhadap dirinya kerana dia adalah milik Al-Haq. Sebagai hamba Tuhan yang dimiliki Tuhan, terpulanglah kepada Allah SWT nak sakitkan, nak miskinkan atau nak susah-susahkan hidupnya di dunia. Berhak bagi Allah SWT berbuat begitu.


Hatinya boleh berkata, ?tidak sekali-kali bagi seorang hamba boleh menolak apa sahaja ketentuan dari Tuhannya.? Berbahagialah orang yang boleh merasakan sedemikian. Di situlah datangnya ketenangan kepada orang seperti itu. Asasnya
adalah zikrullah tadi.


Begitulah kisahnya, jika seseorang sudah dapat menghayati sifat Tuhan Rafiqul A'la . Hatinya akan sentiasa dalam ketenangan bilamana menghadapi perkara-perkara dunia yang melalaikan serta menyusahkan. Hatinya tidak cacat atau terpengaruh dengan dunia tersebut disebabkan kuat rasa-rasa hatinya dengan Rasa BerTuhankan Rafiqul A'la. -Allahu Haq [LOVE GOD] -

Monday, July 5, 2010

IIsrak Mikraj Kembalikan Kegemilangan Semangat Umat Islam




Alhamdulillah Tuhan masih lagi memberi kesempatan kepada kita untuk menikmati segala pemberian-Nya. Kita masih lagi dipanjangkan umur sehingga hari ini iaitu di bulan Rejab. ”Ya Allah berkatilah Kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan” ini lah Doa yang dibaca oleh Rasulullah ketika masuknya bulan Rejab.

Banyaknya pendapat yang membahaskan perihal Israk dan Mikraj ini telah mencipta ruang polemik tersendiri dalam periwayatan ‘perjalanan agung’ tersebut. Di antaranya yang berkaitan dengan hakikat dan latar belakang Israk dan Mikraj, perjalanan fizikal dan roh Rasulullah s.a.w dalam keadaan jaga, buraq yang dinaiki Nabi s.a.w, pertemuan Rasulullah dengan para nabi, misteri pintu-pintu langit, rahsia Sidratul Muntaha, perintah solat, dan hikmah-hikmah besar Israk Mikraj.


Sayyid Qutub dalam kitabnya yang terkenal, Fi Zhilal al-Quran menyatakan,

”Perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa adalah perjalanan yang murni pilihan daripada Zat Yang Maha Kasih dan Maha L
embut, yang menghubungkan akar kesejarahan agama-agama besar dari zaman Nabi Ibrahim dan Ismail hingga Nabi Muhammad s.a.w. Demikian pula, perjalanan agung ini menghubungkan akar sejarah tempat-tempat suci bagi agama tauhid (agama-agama monoteisme) yang besar sepanjang masa. Perjalanan ini adalah untuk menberitahu seluruh manusia bahawa Muhammad adalah Nabi dan Rasul terakhir yang menjadi pewaris agama-agama tauhid terdahulu. Demikian pula dengan Israk Mikraj tersebut, menjadikan Muhammad sebagai penutup seluruh Nabi dan rasul-Nya. Israk Mikraj adalah perjalanan yang menembus dimensi ruang dan waktu, serta memiliki makna yang lebih luas dan mendalam.”



Mengenangkan kembali setelah kewafatan Khadijah ra, bukan hanya penyokong malah pendokong kuat dengan hembusan semangat perjuangan Rasulullah saw dan kewafatan Abu Talib, pelindung Rasulullah saw dari ancaman fizikal oleh kafir Quraisy pada Tahun Kesedihan, Dakwah Islam berada diposisi paling tenat dari segi psikologi Rasulullahi saw dan para Sahabat ra sendiri, mahupun disegi tiadanya kemasukan baru ke dalam agama Islam dari kalangan penduduk Mekah.


Dengan azam tidak menyerah kepada keadaan, Baginda saw mencuba nasib, mencari peluang baru untuk Dakwah ini di Taif, 80 km dari Mekah, namun harapan dan sangkaan Baginda saw meleset. Di Taif, Dakwah tidak diterima, Pendakwah dihina dengan dibaling batu oleh penduduknya. Pintu Dakwah ditahun ini hampir tertutup. Namun Allah swt melalui Surah Huud, mengarahkan Nabi saw terus beristiqamah menjalankan amal Dakwah ini meredah fasa-fasa gelap yang sedang menyelubunginya, tanpa isteri yang mendorong dan tanpa bapa saudara yang melindung. “Shayyabatni Huud” (Surah Huud telah mengubankan rambutku !!).


Allah swt tidak membiarkan Rasul Akhir Zaman berpanjangan dalam kemuraman seperti itu. Dakwah ini harus dipacu hingga berjaya bukan sahaja di Mekah, tetapi ke seluruh dunia, merangkumi sekelian jin dan manusia. Pada malam 27 Rejab 620M, Jibril mengejutkan Rasulullah saw dari lamunan malam dan mengisyaratkan kepada Baginda saw bahawa kenderaan Buraq telah siap di luar sana untuk membawanya ke Masjidil Aqsa di Palestin, naik meredah 7 petala langit, ke Sidradul Muntaha melalui Baitul Makmur, memenuhi undangan Allah swt.


Di Masjidil Aqsa Baginda bersolat mengimami kesemua para rasul, melihat bandar Baitul Maqdis, memilih su
su dan menolak arak. Di langit, Baginda bertemu sebahagian para rasul, diperlihatkan gelagat penghuni-penghuni Syurga dan Neraka serta tanda-tanda kebesaran Allah swt yang lain. Di Sidratul Muntaha, Baginda diwahyukan Allah swt apa yang hendak diwahyukan olehNya, termasuk kewajipan Solat, ibadah yang paling utama.


Sekembalinya Nabi saw ke Mekah dari langit, kekuatan Baginda saw untuk berdakwah lebih kental dan orang yang pertama yang mempercayai perginya Rasulullah SAW ke langit adalah sabat Baginda SAW iaitu Abu Bakar yang digelar As-siddiq. Segelintir yang lain pula ada orang Islam yang murtad kerana tidak dapat menerima hakikat boleh berlakunya peristiwa Muhammad saw pergi ke Palestin dan langit serta kembali semula dalam malam yang sama dan singkat. Para Sahabat ra yang lain bertambah keyakinan dan kekaguman mereka kepada Nabi tercinta.


Bagi Nabi saw pula, melihat sendiri kesudahan manusia di Syurga dan Neraka sudah cukup memberi motivasi dan semangat penuh untuk menyelamatkan mereka didunia lagi, sebelum
mereka menempuh alam Pengadilan dan Pembalasan, belum lagi berpeluang menerima wahyu langsung dari Allah swt di Sidratul Muntaha. Tiga tahun selepas itu, keimanan baru, lebih tinggi dan teruji inilah yang menjadi asas kepada Hijrah dan penegakkan Negara Islam di Madinah.


Sheikh Thanthawi Ahmad Umar menyatakan dalam majalah Mimbar aI-Islam, “Ketika Rasulullah kembali dari perjalanan agung tersebut, baginda kelihatan begitu ceria, bersemangat dan bahagia. Kedukaan, kepedihan benar-benar telah lenyap dalam diri Rasulullah saw.” Malah dikatakan bertambah yakinlah Rasulullah akan kekuasaan Allah dan ini memberi semangat yang lebih kuat untuk meneruskan tugas kenabiannya.


Setelah sekian lama Rasulullah SAW meninggalkan kita masih ramai lagi yang tidak dapat mengambil manfaat dari peristiwa ini. Ummat Islam sekarang masih lagi mendewa-dewakan kemajuan yang ada di barat dan kelebihan yang ada pada mereka. Sedangkan umat Islam masih leka dengan persoalan-persoalan furuk yang merangkumi bid’ah, matlamat perjuangan dan politik. Umat Islam leka menyebabkan Islam tidak bangkit setelah kejatuhan Khilafah Uthmaniah. Oleh itu umat Islam harus belajar dari sejarah kejatuhan Khilafah dan bukan membantutkan lagi kebangkitanya.





Ini foto bersejarah kerana kali pertama foto bumi diambil dari angkasalepas (pada ketinggian 300 kilometer). Foto ini diambil oleh Yuri Gagarin, angkasawan Rusia dan manusia ketiga ke angkasalepas pada 12.4.1961, selepas Nabi Isa as (selepas percubaan membunuhnya) dan Rasulullah saw (dalam peristiwa Israk Mikraj).



Batu (Pelancaran), di tengah-tengah Masjidil Aqsa, Palestin. Di sini tempat pelancaran kenderaan Buraq membawa Rasulullah saw ke Sidratul Muntaha, menembusi 7 petala langit dan Baitul Makmur. Hari ini ia ditawan oleh Yahudi yang dilaknat Allah swt. Pembebasannya sebelum Hari Kiamat dijamin Allah swt. Bila ? Siapa pembebasnya ? Apa ciri-ciri mereka ? Bagaimana mereka dididik (dihasilkan) ?



Oleh itu di dalam mempercepatkan evolusi kebangkitan Islam kali kedua ini, kita haruslah berganding bahu untuk mengembalikan kegemilangan umat Islam agar Masjidil Aqsa yang menjadi tempat pesinggahan sebelum di mikrajkan kembali kepada kuasa Islam dan kegemilangan kecanggihan dan teknologi yang dimonopolikan oleh barat akan dikuasai oleh umat Islam semula. Oleh itu kepada penuntut Ilmu,tenaga pengajar, Intelektual, Prof, Dr dan lain2 kita bukan sahaja perlu berteori, berceramah dan berforum semata-mata. Umat Islam hari ini harus turun padang praktikalkan Ilmu yang ada agar kemengangan Umat Islam akhir zaman ini akan berpihak kepada Islam. ”Sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janji”- Allahu Haq


Saturday, June 19, 2010

Jom Berzikir...


Apakah kamu mahu aku ceritakan kepadamu berkenaan amal perbuatanmu yang terbaik dan yang paling bersih dalam pandangan Allah S.W.T., serta orang yang tertinggi darjatnya di antara kamu, yang lebih baik dari bersedekah emas dan perak serta lebih baik dari memerangi musuh-musuh kamu semua dan memotong leher mereka, dan mereka juga memotong lehermu?” Kemudian para sahabat bertanya, “Apakah itu wahai Rasul?” Beliau menjawab: “Zikir kepada Allah S.W.T.” (Hadith Riwayat al-Baihaqi).

Rasulullah SAW telah bersabda lagi yang bermaksud:

Kiamat tidak akan berlaku selagi masih ada orang yang menyebut perkataan “Allah, Allah.” (Hadith Riwayat Imam Muslim).

Bersabda Rasulullah s.a.w. lagi:

Zikir yang paling baik ialah kalimah لا إله إلا الله” (Hadith Riwayat al-Tirmidhi).

Bahawasanya seorang Badwi bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: Bahawasanya syari’at Islam sudah banyak saya terima, maka terangkanlah kepada saya sesuatu yang mudah dikerjakan. Nabi menjawab: Hendaklah lidahmu basah dengan zikir Allah.” (Hadith Riwayat Ibnu Majah).

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

Tidak berkumpul sesuatu kumpulan dalam rangka berzikir kepada Allah melainkan memeluk akan mereka itu malaikat-malaikat, dilindungi atas mereka rahmat, dan turun ke atas mereka ketenangan dan mereka dingat akan Allah Ta’ala di hadapan makhluk yang banyak pada sisiNya.” (Hadith Riwayat Imam Muslim).

Berkata Ibnu Ata’illah al-Sakandari di dalam kitab al-Hikamnya:

Janganlah engkau meninggalkan zikir kerana semata-mata engkau belum benar-benar ingat kepada Allah sewaktu berzikir, sebab kelalaianmu kepada Allah ketika tidak berzikir lebih berbahaya daripada kelalainmu terhadap Allah ketika kamu berzikir. Semoga Allah menaikkan darjatmu melalui zikir yang kamu lakukan dengan lalai, kepada zikir yang penuh sedar kepada Allah. Kemudian ia meningkat pula kepada zikir yang penuh sedar serta ingat kepada Allah kepada zikir yang disertai rasa hadir. Selepas itu ia terus meningkat daripada zikir yang disertai rasa hadir kepada martabat zikir sehingga lupa terhadap sesuatu selain Allah. Hal yang demikian adalah tidak sukar bagi Allah.”

Semoga kita dapat mencapai martabat zikir yang terakhir itu sempena "Bulan Rejab" yang mulia ini- Allahu Haq (LOVE GOD)

Tuesday, June 8, 2010

Dalil perlunya kita berfikir untuk mengenali Tuhan Pencipta Manusia



Didalam Al-quran, Allah s.w.t telah berfirman bahawa orang yang mengingati Allah s.w.t dan memikirkan barang yang telah Allah s.w.t jadikan (makhluk), nescaya Alah s.w.t akan memberikan keyakinan kepada-Nya. Keyakinan bahawa Allah berkuasa mencipta, menghidup, mematikan dan mentadbir kita serta barang yang telah ada di muka bumi. Sebagai mana firman Allah s.w.t didalam Al-quran:


“Mereka yang mengingati Allah (berzikir) sambil berdiri dan duduk didalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata “Ya Allah tiadalah Engkau menciptakan bumi ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, peliharalah kami dari siksa api neraka”

Ali Imran ; A:191 S:3 J:4 ms:75


Apakah yang terdapat pada penciptaan Allah terhadap langit dan bumi serta barang yang terdapat didalamnya?

Allah manciptakan langit, bumi dan barang yang terdapat padanya tidak sia-sia melainkan dengan penuh hikmah. Padanya terdapat pelajaran dan pengajaran bagi mereka yang benar-benar ingin mengambil iktibar.


“Maka ambillah perbandingan hai orang-orang yang mempunyai mata hati”

Al Hasyr ; A:2 S:59 J:28 ms:545


Ayat ini menyeru agar kita mengambil iktibar pada setiap apa yang Allah telah jadikan. Mudah-mudahan ia menambahkan keyakinan dan keimanan kita kepada Allah telah jadikan. Mudah-mudahan ia menambahkan keyakinan kita kepada Allah s.w.t

Oleh kerana itu tidak dinamakan orang itu professor(cerdikpandai) melainkan orang itu benar-benar mempunyai akal fikiran yang waras lagi tajam. Bagi golongan ini, cukuplah satu atau dua perumpamaan sahaja sebagai contoh bagi menyelesaikan masalah.



Imam Ghazali menghuraikan ayat diatas Ali Imran ; A:191 adalah seperti berikut:

“Mereka yang Allah s.w.t puji adalah yang mneyebut nama Allah pada hal mereka dalam keadaan berbaring. Mereka memikirkan kejadian tujuh petala bumi dan langit seraya berkata “Wahai tuhan ku, tiadalah engkau jadikan tujuh petala langit dan bumi ini dengan sia-sia. Sesungguhnya Engkau (Allah) jadikan tujuh petala langit dan bumi adalah sebenar-benar dalilil yang menunjukkan wujud zatMu, sifat dan perbuatan Mu. Hal ini menyebabkan aku kenal dan patuh kepada mu."



Sabda Nabi S.A.W.

“Berfikir itu anak kunci yang membukakan cahaya yang didalam hati. Berfikir juga permulaan bagi mata hati. Berfikir juga sebab mendapatkan ilmu dan makrifat”



Imam Ghazali sekali lagi menegaskan :

“Sesungguhnya telah datang hadis Nabi S.A.W. bahawa berfikir dalam satu saat lebih baik daripada beribadat setahun”



Kemudian Syeikh Huna menghuraikan hadis diatas seperti berikut :

”Berfikir yang boleh mengatasi amalan setahun ialah fikir yang dapat mengahampiri diri kepada Allah (Makrifat) Bukan fikir-fikir yang tiada menghasilkan kasih dan makrifat kepadaAllah. Allahu Haq


Monday, May 31, 2010

Sajak Bahagia


Bahagia itu maknawi Juga bersifat rohaniah
Rasa senang bukan bahagia sekalipun ia berharta
kerana semua itu bersifat lahiriah
ia bukanlah hakikat bahagia

Tenang itulah tanda bahagia
tiada tenang kan keluh kesah
bila tiada kebahagiaan
hidup penuh kepuraan

Mazmumah punca tiada bahagia
kerana terus mngekalkannya
hasad dengki,gila dunia,sombong bongkak merosakkan segala

Carilah tenang dapatkan bahagia
Cintakan Allah setiap masa
Bila zikrullah di hayati
Barulah bahagia diperolehi


Friday, May 21, 2010

Kuliah: Ulama Itu Murabbi, Mu'addib dan Rabbani


Ulama atau ahli zikir yang dimaksudkan adalah merupakan ulama yang berwatak pendidik.

Dia bukan sekadar mubaligh yang menyampaikan risalah-risalah Islam kepada orang ramai atau sekadar da'i yang menjemput, mengajak dan merayu orang ramai kepada Islam.

Dia bukan juga sekadar muallim atau ustaz atau kiyai yang lazimnya hanyalah menyampaikan ilmu Islam kepada orang ramai.


Usaha mereka itu hanya terbatas kepada ajaran Islam yang asas seperti Ilmu Tauhid, Fikh dan tasawuf yang merupakan Fardhu Ain termasuk Tajwid.


Umumnya peranan para muallim dan ustaz hanyalah bersyarah dan memberi kuliah sahaja. Peranan dan aktiviti mereka ini sangat berbeza berbanding dengan murabbi yang mentadbir dengan serius untuk melatih, mendidik dan membimbing murid-muridnya supaya benar-benar yakin, takut dan cintakan Allah.


Murabbi berusaha meningkatkan ketaqwaan muridnya bagi menagih janji Allah dalam Al Quran iaitu untuk mendapat pembelaan dan untuk memperoleh kesejahteraan dunia dan Akhirat.


Murabbi berperanan bagi mengurus, mentadbir dan memantau anak-anak muridnya supaya benar-benar tepat keyakinannya kepada Allah, tepat betul amal ibadahnya serta memiliki akhlak mulia. Dia menanam aqidah dan tauhid ke dalam jiwa anak-anak muridnya. Mendidik dan memimpin mereka dengan akhlak mulia yakni mengusahakan sifat-sifat mazmumah dalam hati dibuang dan diganti dengan sifat-sifat mahmudah. Ditunjukkan mana yang haq dan batil, mana yang halal dan mana yang haram. Peranan tersebut dianggap lebih serius daripada peranan ibu dan ayah.


Begitu juga peranan mu'addib iaitu pendidik yang menjadikan seseorang murid itu benar-benar beradab, sama ada beradab dengan Tuhan mahu pun beradab dengan manusia dan makhluk. Para murabbi dan mu'addib perlu memiliki ilmu, beramal dengannya serta menjiwai ilmunya.Namun murabbi dan mu'addib itu sebenarnya adalah rabbani , iaitu orang yang sangat hampir dengan Allah. Ilmunya langsung diberi oleh Tuhan. Ilmunya bukan sahaja dimiliki, malah diamal dan dihayati. Secara unggulnya, mereka adalah terdiri daripada para Nabi, Rasul serta orang-orang pilihan Tuhan seperti para Sahabat Baginda Rasulullah SAW atau para aulia (wali-wali Allah). Mereka ini melakukan apa sahaja iaitu mengajar, mendidik dan memantau manusia semata-mata kerana Tuhan. Kerana mereka benar-benar kenal dirinya dan kenal Tuhan sehingga mereka sanggup berbuat apa sahaja kerana Tuhan. Mereka inilah ulama sebenar.


Ulama berwatak pendidik berperanan dengan mengambil kira sifat semula jadi manusia yang terdiri daripada jasad lahiriah, akal, roh dan nafsu. Kesemua juzuk diri manusia itu dibangunkan seimbang. Jasad dibangunkan dengan makanan yang sederhana, yang baik-baik, halal dan tidak mengandungi unsur-unsur syubahat. Juga dijaga kebersihan diri, ditentukan rehat yang cukup dan dijadualkan riadhah. Akalnya juga dibangunkan dengan sempurna.

Selain diajar supaya pandai membaca, mengira dan menulis, mereka juga diberi ilmu dan pengalaman supaya menjadi cergas dan tajam pemikirannya. Ini dilakukan dengan pengajian, muzakarah, membiasakan mereka berfikir misalnya dengan cara berdiri di depan khalayak atau majlis untuk memberi ucapan, bersyair, bersajak dan sebagainya. Atau mereka sering diberi tugasan yang memerlukan daya fikir yang mencabar. Misalnya tugasan yang memerlukan mereka membuat penyelidikan.


Rohnya disuburkan dengan sentiasa diingatkan akan kebesaran Tuhan, kekuasaan, kehebatan, kebaikan, nikmat dan rahmat Tuhan, tentang kehidupan Akhirat, Syurga dan Neraka. Mereka juga sentiasa diingatkan akan tugas dan peranan hidup sebagai hamba Tuhan dan Khalifah-Nya. Untuk mendidik nafsu, ulama pendidik mendorong ke arah bermujahadah melawan nafsu untuk mencapai akhlak mulia serta meninggalkan kelakuan atau akhlak keji atau perbuatan yang tidak bermoral. Semuanya disampaikan dengan penuh bijaksana dan berhemah tinggi.


Ulama adalah pewaris nabi. Di zaman tidak ada nabi dan rasul, dialah yang mendidik umat dengan iman dan Islam.Dia mempertemukan umat dengan jalan hidup yang sebenar seperti yang Allah tunjuk dalam Al Quran dan Hadis iaitu satu-satunya jalan kebahagiaan hidup di dunia dan di Akhirat.


Malangnya ketiga-tiga istilah seperti murabbi, mu'addib dan rabbani ini telah terpinggir semenjak bermulanya kejatuhan Islam lebih 700 tahun yang lalu. Istilah-istilah tersebut hanya dianggap istilah-istilah khusus di dalam bidang dan amalan kesufian. Ini menyebabkan umat Islam tidak terdidik dan menjadi mundur. Yang dipopularkan ialah istilah mubaligh, da'i, muallim, ustaz, kiyai yang kesemuanya hanya berperanan setakat berdakwah dan mengajar ilmu asas dalam Islam. Mereka bukan pendidik dan tidak mampu untuk mendidik jiwa atau roh termasuk nafsu umat Islam.


Inilah kerja para orientalis Barat dan musuh-musuh Islam. Mereka tahu bahawa murabbi, mu'addib dan rabbani adalah berbahaya kepada mereka kerana watak-watak ini mengembalikan kekuatan Islam. Mereka membina kekuatan rohani, kekuatan iman, kekuatan taqwa dan kekuatan ukhuwah dan kasih sayang dikalangan umat Islam. Oleh itu gelaran dan peranan murabbi, mu'addib dan rabbani ini disorok dan ditekan supaya hilang dari fikiran umat Islam.Digalakkan dan dipopularkan pengeluaran muallim dan ustaz dari berbagai-bagai universiti dari seluruh dunia.


Bagi mereka, lagi ramai muallim dan ustaz ini, lagi baik kerana umat Islam akan sibuk dan leka dengan ilmu-ilmu asas, ilmu-ilmu nas dan ilmu-ilmu furuk dan akan lupa untuk membina roh dan jiwa, akhlak dan kasih sayang, iman dan taqwa. Walhal disitulah letaknya kekuatan utama umat Islam yang Barat dan musuh-musuh Islam tidak mampu untuk mengatasinya. Janji Tuhan, Islam tidak akan menang dengan quwwah(kekuatan lahir) semata-mata. Umat Islam akan menang hanya dengan Taqwa. - Allahu Haqq