Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Wednesday, April 11, 2012

PENDAPAT ULAMA TENTANG IMAM AL-MAHDI



عَنْ زِرٍّ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ عَنِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ « لَوْ لَمْ يَبْقَ مِنَ الدُّنْيَا إِلاَّ يَوْمٌ ». قَالَ زَائِدَةُ فِى حَدِيثِهِ « لَطَوَّلَ اللَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ ». ثُمَّ اتَّفَقُوا « حَتَّى يَبْعَثَ فِيهِ رَجُلاً مِنِّى ». أَوْ « مِنْ أَهْلِ بَيْتِى يُوَاطِئُ اسْمُهُ اسْمِى وَاسْمُ أَبِيهِ اسْمَ أَبِى ». زَادَ فِى حَدِيثِ فِطْرٍ « يَمْلأُ الأَرْضَ قِسْطًا وَعَدْلاً كَمَا مُلِئَتْ ظُلْمًا وَجَوْرًا ».


Dari Dzar dari Abdullah dari Nabi SAW yang bersabda : "Sekiranya dunia hanya tinggal sehari sahaja (sebelum qiamat) nescaya Allah memanjangkan hari itu sehingga bangkit padanya seorang lelaki dari keturunanku atau dari kaum keluargaku, yang namanya spt namaku, nama bapanya spt nama bapaku, ia akan memenuhi bumi dengan keadilan dan saksama sebagaimana bumi dipenuhi kezaliman dan kekejaman. Hadith riwayat Abu Daud dan Turmizi.


Dari Abu Said Al-Khudri ra berkata : "Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda ; "Akan lahir dari umatku seorang lelaki yang menyeru dengan sunahku, Allah menurunkan hujan dari langit untuknya, bumi mengeluarkan kasil dan darinya buni dipenuhi dengan kedurjaan dan kekejaman. Ia memerintah umat ini selama tujuh tahun dan akan berada di baitul Maqdis. Hadith riwayat At-Tabarani.  


Di antara tanda-tanda besar Qiamat ialah munculnya Imam Mahdi yang akan memerintah dunia ini dengan keadilan ketika dunia dicengkam oleh kejahatan kerana turunnya Dajjal. Walau bagaimanapun terdapat setengah-tengah pihak yang mempertikaikan kemunculan Imam Mahdi. Mereka berpendapat ia adalah perkara dongeng yang sengaja dicipta oleh orang-orang Yahudi dan Syiah.


Sesungguhnya kemunculan Imam Mahdi di akhir zaman telah diyakini dan diimani oleh golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah berdasarkan ramai tokoh-tokoh utamanya meriwayatkan hadith tentang Al-Mahdi. Di antara mereka ialah Abu Daud, At-Turmizi, Ibnu Majah, Imam Ahmad, At-Tabarani, An-Nasaie, Ibnu Hibban, Muslim dan Al-Bukhari (rujuk hadith di atas).


Di samping itu, hadith-hadith mengenai kemunculan Al-Mahdi turut diriwayatkan oleh para sahabat utama Rasulullah SAW spt Ibnu Mas’ud, Ummu Salamah, Saidina Ali krw, Tsuban, Abu Hurairah, Ibnu Abbas, Saidina Uthman Affan, Qurah bin Qias, Huzaifah Al-Yaman, Ammar bin Yassir, Anas bin Malik, Abdul Rahman bin Auf dsb. 


Berikut adalah beberapa pendapat ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah mengenai persoalan mengenai kemunculan Imam Al-Mahdi di akhir zaman secara ringkas.


 1. AI-Imam Abu Hanifah menjelaskan di dalam kitabnya Feqhul Akbar bahawa segala tanda-tanda hari qiamat adalah semuanya benar menurut hadits-hadits Rasulullah SAW dan salah satu di antara tanda-tandanya ialah kemunculan Imam Mahdi.


 2. Al-Hafiz Ibnu Katsir di dalam Tafsir Ibnu Katsir menjelaskan, “Menurut pendapat yang jelas bahawa di antara Imam yang memimpin manusia itu ialah Al-Mahdi yang telah diberitahu oleh hadits-hadits yang diriwayatkan dan Rasulullah SAW yang menyebut perkara itu. Bukannya yang ditunggu­-tunggu oleh golongan Rafidhah, di mana menurut dakwaan mereka Mahdi itu telah dilahirkan kemudian akan muncul pula dan satu gua di Samira’ di dalam negeri Iraq. Pendapat ini tidak ada kebenarannya.”


 3. Ibnu Hajar AI-Asqalani menyebut di dalam Fathul Bari (syarah sahih Al-Bukhari), “Telah berkata Abul Hussein Al-Aburie di dalam kitabnya Manaqib As-Syafie,” Telah menjadi khabar mutawatir bahawa Al-Mahdi itu lahir dari kalangan umat ini.”


4.  Tersebut di dalam Sahih Muslim Masykul juzu’ kelapan m.s 185 hadits Rasulullah SAW,


 Di akhir umatku kelak ada seorang khalifah yang membahagi-bahagikan harta tanpa mengira-ngira.”


 Imam At-Tunmizi dan Abu Daud menyebut yang dimaksudkan seorang khalifah itu ialah Al-Mahdi. Dan mereka telah sepakat berkata bahawa hadits-hadits ini adalah hassan dan sahih.


 5.  Dalam kitab Tuhfah AI-A’laie Fi UImu Tauhid m.s 42,


“Dan bahawasanya turun Nabi Isa ketika Dajal mengepung Mahdi serta pengikut-pengikutnya dalam kota Baitul Maqdis. Maka turun Nabi Isa AS daripada langit atas menara sebelah timur masjid Syam dan pergi ke Baitul Maqdis maka ia membunuh Dajal dengan lembing dan Dajal hancur dengan semata-mata melihat Nabi Isa seperti hancur garam di dalarn air.


6.  Ibnu Hajjar Al-Haitami menyebut di dalam kitabnya Fathul Mubin Li Syarah Al-“Arbaiin : “Bahawa Nabi Isa AS tuurn diakhir zaman memusnahkan salib dan membunuh babi sebgaimana tersebut dalam hadith sahih dan ia membunuh Dajjal, ia turun ketika solat Subuh dan berjemaah di belakang Al-Mahdi”.


 7. Tersebut di dalam kitab Mastika Hadits Rasulullah SAW yang diterbitkan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam bab Beriman Kepada  Hari Akhirat,


“Sayugia diingat, bahawa hadits-hadits berkenaan dengan zahinnya Mahdi, keluar Dajal, dan turunnya Nabi Isa AS adalah hadits-hadits yang sampai kepada martabat hadits mutawatir, demikianlah ditegaskan oleh ulama hadits.”


8.  Syeikh Daud bin Syeikh Abdullah Al-Pattani menyebut di dalam kitabnya Darus Tsamin m.s 69.


“(Dan ketiganya) daripada tanda qiamat yang akan datang daripada beberapa tanda yang besar seperti keluar Mahdi...”


 9.  Ibnu Taimiyah di dalam kitabnya Al-Minhajul Sunnah An-Nabawiyah juzu’ 4 m.s 211 menyebut,


“Sesungguhnya hadits-hadits yang menyebut zahirnya Imam Mahdi adalah terdiri drp hadits-hadits sahih yang telah diriwayatkan oleh A1-Imam Abu Daud, Turmizi, Imam Ahmad dan lain-lain.”


 Kemudian Ibni Taimiyah menyebut pula bahawa Al-Mahdi itu daripada keturunan Sayidina Hassan bin Ali dan bukannya daripada Sayidina Hussin bin Ali sebagairnana yang disebutkan oleh Sayidina Ali r.a (riwayat Abu Daud).


 10. Dalam kitab Al-Manarul Munif Fi Sahihi Wad Dha’if karangan Ibni Qaiyim Al-Jauziyah,


“Orang-orang Islam telah bersalah faham pada perkara Al-Mahdi di atas 4 qaul, dan kebanyakan hadits-hadits itu menunjukkan bahawa Al-Mahdi itu seorang lelaki dari ahli bait Rasulullah SAW dan keturunan Sayidina Hassan bin Ali yang keluar pada akhir zaman kelak. Bahawa dunia ini sedang penuh dengan kezaliman dan kejahatan, maka Al-Mahdi itu memenuhkan bumi dengan keadilan dan kebajikan.



Ada disebutkan dalam Atsar, kata-kata sahabat yang menerangkan tanda-tanda sudah dekatnya kemunculan Imam Mahdi. Menurut riwayat apabila sudah dekat kedatangan Imam Mahdi akan banyak terjadi peperangan, banyak bencana dan banyak bala.


Pada masa itu nanti semakin banyak terjadi pembunuhan dan peperangan. Orang mahu berbunuh-bunuhan kerana masalah remeh-temeh. Antara satu kumpulan ada-dengan kumpulan lain, begitu juga antara satu negara dengan negara lain berperang kerana masalah kecil. Bencana semakin banyak berlaku, seperti gempa bumi, letusan gunung berapi, angin puting beliung, banjir dan sebagainya.

Thursday, April 5, 2012

Ayuh ke BERSIH 3.0!!!!







 Demonstrasi Dalam Islam

Adalah amat penting untuk kita fahami bahawa memuhasabah penguasa adalah satu kewajiban di dalam Islam, dan tanggungjawab ini terletak di bahu setiap Muslim tidak kira lelaki atau wanita serta di mana sekalipun mereka berada. Allah SWT telah mewajibkan kepada pemerintah untuk memerintah berdasarkan Al-Quran dan Sunnah dan umat Islam pula diwajibkan mentaati ulil amri (pemerintah) selama mana mereka masih berpegang teguh dengan Al-Quran dan Sunnah. Namun apabila mereka telah menyimpang dari keduanya, maka sabda Nabi SAW, 


“Tidak ada ketaatan kepada makhluk di dalam (perkara) memaksiati Allah” [HR Ahmad]. 


Inilah yang difahami oleh para sahabat dan ini ditunjukkan kepada kita dengan ucapan Abu Bakar As-Siddiq ketika beliau memegang jawatan Khalifah, katanya,


“Bantulah aku sekiranya aku berada di jalan yang benar dan betulkanlah aku jika aku menyimpang....taatilah aku selama mana aku mentaati Allah dan RasulNya. Apabila aku mengengkari Allah dan RasulNya, maka engkari dan nasihatilah aku”.


Dari banyak nas dan teladan daripada Al-Quran, As-Sunnah serta Khulafa’ Rasyidun, kita dapat fahami bahawa apabila seseorang penguasa itu tidak berhukum dengan Al-Quran dan Sunnah, 


Protes dan demonstrasi adalah merupakan salah satu cara untuk menyuarakan pendapat. Namun perlu difahami bahawa hukumnya adalah bergantung kepada sebab dan tujuan demonstrasi atau protes tersebut dilakukan. Oleh itu segala fakta tersebut mestilah dianalisakan sebelum sesuatu uslub (cara) untuk menyuarakan pendapat tersebut boleh dikategorikan sebagai halal atau haram. Contohnya, sekiranya umat Islam keluar berdemonstrasi untuk menjadikan riba sebagai suatu yang halal, maka demonstrasi atau protes tersebut adalah haram sebab tujuannya adalah untuk melaksanakan suatu yang haram. Begitu juga jika anggota masyarakat keluar berdemonstrasi untuk menghalalkan arak, judi atau berdemonstrasi untuk melaksanakan atau mempertahankan undang-undang taghut atau Perlembagaan taghut, maka kesemua bentuk demonstrasi ini adalah haram. Tetapi sekiranya masyarakat keluar untuk memuhasabah pemerintah yang zalim atau untuk menyuruh mereka menerapkan undang-undang Islam, maka demonstrasi seperti ini adalah diperbolehkan. Ia ‘halal’ untuk dilakukan, bukan kerana Perlembagaan membenarkan atau kerana mendapat permit polis, tetapi kerana nas (dalil) membenarkannya!


Satu lagi dalil umum yang membenarkan ‘tunjuk perasaan’ adalah perintah amar ma’ruf nahi munkar yang diwajibkan ke atas umat Islam. Sabda Rasulullah SAW,


“Jihad yang paling afdhal adalah menyuarakan yang haq di hadapan pemerintah yang zalim” [HR an-Nasa’i]. 


Di dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda, 


“Penghulu para syuhada adalah Hamzah dan seorang yang berdiri di hadapan pemerintah yang zalim, menasihatinya lalu dia dibunuh oleh pemerintah tersebut” [HR al-Hakim]. 


 Di zaman Saidina Umar Al-Khattab menjawat jawatan Khalifah, beliau berpidato, 


“Sesiapa di antara kalian yang melihat pada diriku suatu penyelewengan, maka hendaklah kalian meluruskannya”. Mendengar hal ini, seorang Arab badwi dengan lantang menjerit,“Demi Allah wahai Umar! Jika kami dapati kamu melakukan penyelewengan, maka kami akan meluruskan kamu dengan pedang kami yang tajam!”
Apakah tindakan Umar tatkala mendengar kenyataan sekeras ini? Khalifah yang hebat ini menerima jawapan itu dengan pujian dan penuh rasa gembira, beliau menjawab, 
“Alhamdulillah, pujian bagi Allah yang menjadikan dari kalangan umat Muhammad mereka yang sanggup meluruskan Umar dengan pedangnya”.


Demikianlah seorang pemimpin yang adil dan baik, yang menerima secara terbuka nasihat dari rakyatnya, bukan sebagaimana seorang pemimpin yang zalim, yang menangkap dan membunuh rakyat yang menasihatinya! 


Syeikh Abdul Aziz Al-Badri di dalam kitabnya ‘menterjemahkan’ kata-kata Umar seperti berikut: 


“Tidak terlaksana maksud ‘meluruskan’ dalam perkara yang membabitkan pemerintahan melainkan dengan cara mengkritik. Islam mewajibkan ke atas setiap pemerintah yang menguasai urusan kaum Muslimin agar mendengar dan berlapang dada terhadap sesiapa sahaja yang mengkritiknya, sebagaimana ia diperintahkan agar tunduk kepada kritikan ini selagi mana ia bertepatan dengan perundangan dan hukum-hukum Islam. Sekaligus Islam melarang sebarang bentuk seksaan yang boleh menyakiti dan ancaman terhadap mereka yang mengkritik dan membangkangnya, sekalipun menerima kritikan yang pedas ataupun dengan kata-kata yang keras dan tajam” [Abdul Aziz al-Badri, Al-Islam Baina al-Ulama’ Wa al-Hukkam]. 


Pada satu ketika yang lain, Saidina Umar juga pernah ditegur di khalayak ramai di dalam satu majlis dengan dikatakan kepada beliau, 


“Bertaqwalah engkau kepada Allah wahai Umar!’. Salah seorang yang hadir dalam majlis itu mencelah, ‘Berani engkau berkata demikian terhadap Amirul Mukminin!. Namun Saidina Umar menjawab dengan mutiara kata yang indah, ‘Tiada kebaikan bagi kamu (rakyat) jika kamu tidak menyatakannya dan tiada kebaikan bagi kami (pemerintah) jika kami tidak mendengarnya” [Manaqib Amir al-Muminiin, Ibnu Jawzi].


Terdapat banyak sekali nas yang membenarkan perhimpunan (muhasabah) dilakukan di tempat umum. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas yang mengatakan, 


“Apabila ayat berikut diturunkan, ‘Dan berikan peringatan (wahai Muhammad) kepada kaummu dan ahli keluargamu” [TMQ asy-Syu’ara (26):214], Rasulullah SAW berdiri di atas bukit Safa dan memberikan peringatan, “Wahai Bani Fahr! Wahai Bani ‘Adi!”. Ramai orang telah berkumpul termasuk Abu Lahab, lalu Rasulullah (SAW) bersabda, “Apa pandangan kamu sekiranya aku memberitahumu bahawa terdapat pasukan berkuda di sebelah lembah ini yang datang untuk menyerang kamu, adakah kamu mempercayaiku?’ Mereka menjawab, ‘Ya, kami tidak pernah melihat engkau berdusta’. Baginda lalu bersabda, ‘Aku adalah pemberi peringatan kepada kamu tentang azab yang besar’. Abu Lahab kemudian berkata, ‘Binasalah kamu! Apakah kamu mengumpulkan kami semata-mata untuk mendengar ucapan ini?”. 


Dalam redaksi Imam Muslim yang meriwayatkannya dari Abu Hurairah, 


“Apabila ayat tersebut diturunkan, Rasulullah SAW telah memanggil kaum Quraisy dan mereka berkumpul lalu diberikan peringatan. Kemudian baginda SAW merujuk kepada kaum tertentu dan berkata, ‘Wahai Quraish, selamatkan diri kamu daripada api neraka; wahai kaum Bani Ka’ab, selamatkan diri kamu daripada api neraka; wahai Fatimah anak kepada Muhammad, selamatkanlah diri kamu daripada api neraka, sebab aku tidak berkuasa untuk menolong kamu daripada azab Allah kecuali yang mana aku memelihara hubungan denganmu”.


Apa yang jelas di sini adalah, apabila Rasulullah SAW menerima perintah untuk berdakwah kepada kaumnya, baginda telah pergi ke Bukit Safa sambil memanggil kaum Quraisy untuk mendengar peringatannya. Peristiwa ini menunjukkan kepada kita bahawa diperbolehkan untuk menyampaikan kebenaran di khalayak ramai dan di tempat umum. Perbuatan Rasulullah ini menjadi dalil kepada kita bahawa berhimpun di tempat umum adalah dibolehkan. Namun apa yang mesti perhatikan di sini adalah, ‘perkara’ yang wajib disampaikan itu hendaklah perkara yang sejajar dengan tuntutan Islam, bukannya sejajar dengan undang-undang kufur. Dengan kata lain, perkara yang ingin diperkatakan itu adalah perkara yang bertepatan dengan Al-Quran dan Sunnah.


Sesungguhnya di zaman Rasulullah SAW telah pun berlaku satu bentuk ‘demonstrasi’ yang dilakukan oleh para sahabat. Mujahid, yang melaporkan dari Ibnu Abbas, mengatakan bahawa, ketika Umar al-Khattab ditanya kenapakah dirinya mendapat gelaran al-Faruq (yang dapat memisahkan antara kebenaran dengan kebatilan), Umar berkata, 


“Sejak aku memeluk Islam, adakah kita berada di jalan yang benar, di sini dan di Akhirat?’ Rasulullah SAW menjawab, ‘Sememangnya engkau adalah dalam keadaan demikian! Aku bersumpah dengan nama Allah yang nyawaku di dalam genggamanNya, engkau adalah di atas jalan yang benar di dunia ini dan di Akhirat’. Aku bertanya kepada Rasulullah, “Jika demikian, kenapakah kita melakukan aktiviti yang tersembunyi, tidak di khalayak ramai? Aku bersumpah dengan nama Allah yang mengutusmu dengan kebenaran, kita akan meninggalkan aktiviti sembunyi dan kita akan melakukan dakwah terang-terangan di hadapan masyarakat umum’. Kami kemudian berarak dalam dua kumpulan, Hamzah mengetuai yang satu lagi. Kami bergerak ke masjid di siang harinya. Apabila kaum musyrik melihat kami berkumpulan, muka mereka menjadi resah gelisah, dan mereka berasa susah dan berdukacita. Sejak peristiwa tersebut, Rasulullah SAW memberikan gelaran al-Faruq kepadaku” [Rahiq al-Makhtum].


Oleh yang demikian, Apa tunggu lagi Ayuh ke BERSIH 3.0!!

Friday, March 30, 2012

Al-Fatihah Buat Wali Allah Abad ke 21 Khalifah Tariqat Naqshbandi Syekh Raja Ashman Mangkat pagi tadi.....


Al-Fatihah. Seluruh rakyat Negeri Perak Darul Ridzuan berdukacita atas pemergian YTM Raja Kecil Sulong Perak, Dato’ Seri Ashman Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah yang telah mangkat pada jam 1.30 pagi tadi di kediamannya di Jalan Setia Bakti 5, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.


Jenazah telahpun dibawa ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar dan akan disemadikan di Makam DiRaja Kuala Kangsar selepas Solat Asar. Dipanjangkan makluman bahawa masa menziarah jenazah bermula jam 11.00 pagi ini.



Jenazah Baginda dibawa ke Istana Iskandariah Kuala Kangsar jam 6.30 pagi tadi dan akan disemadikan di Makam Diraja Bukit Chandan selepas solat Asar.


Baginda meninggalkan seorang isteri, Datuk Seri Noraini Jane Ariffin dan tiga anak putera Raja Ahmad Nazim Shah, 18, puteri Raja Emina Aliyyah, 20, dan Raja Bainunisa Safia, 17. Raja Ashman telah dimasyhurkan sebagai Raja Kechil Sulong pada 16 Mac 2010.


Baginda merupakan anakanda ketiga daripada lima beradik anakanda kepada Sultan Azlan Shah selepas Raja Nazrin dan Raja Azureen.



Kalimah Allah Pada awan ketika ketika Upacara Pemakaman Tuanku Syaikh Raja Ashman Shah 
Allah..Allah..Allahu... Haq... Al-Fatihah

PAS Perak ucap takziah Raja Ashman Shah mangkat

IPOH, 30 Mac: PAS Perak mengucapkan takziah kepada keluarga Tuanku Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbudin Shah di atas kemangkatan puteranya Raja Kecil Sulong Perak, Raja Ashman Shah seawal 1.30 pagi tadi.

Demikian dinyatakan oleh Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abu Bakar Hussian dalam satu kenyataan, pagi ini.

Berikut kenyataan beliau.
Takziah daripada PAS Perak kepada keluarga Tuanku Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbudin Shah di atas kemangkatan puteranya Yang Mulia Al Marhum Raja Kecil Sulong Perak, Raja Ashman Shah seawal 1.30 pagi tadi.

Yang mulia Al Marhum Raja Ashman Shah telah diputerakan pada 28 Disember, 1958 di Pulau Pinang, beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah St. John, Kuala Lumpur dan selepas itu melanjutkan pelajaran menengahnya di Leys School, Cambridge, London.

Apabila tamat pelajaran di peringkat menengah,  Yang Mulia Al Marhum Raja Kecil Sulong Perak, Raja Ashman Shah  melanjutkan pelajaranya dalam bidang jurusan ekonomi sehingga mendapat Ijazah Sarjana Muda di Universiti of Nottingham pada tahun 1981. Seterusnya beliau telah melanjutkan pengajiannya di dalam undang-undang dan telah mendapat Sarjana Undang-Undang dari Universiti Cambridge dan di Lincoln’s Inn, London.

Sewaktu beliau sedang menimba pengalaman sebagai chambering student dari tahun 1985 hingga 1986, beliau telah bertemu dengan Sheikh Nazim di London. Kandungan, kaedah dan penyampaian ilmu Islam daripada Sheikh Nazim telah menawan hati  Yang Mulia Al Marhum Raja Kecil Sulong Perak, Raja Ashman Shah , dengan hati yang terbuka dan minda yang cergas, beliau telah memanfaatkan apa yang diperoleh daripada Sheikh Muhammad Nazim al-Haqqani.

Kami memohon kepada Allah SWT agar memberikan ketabahan kepada seluruh ahli keluarga Tuanku Sultan Perak, semoga Allah SWT menempatkan Al Marhum  Yang Mulia Raja Kecil Sulong Perak, Raja Ashman Shah bersama auliya’ dan solihin, Ameen.

Ustaz Abu Bakar Hussian
(Pesuruhjaya PAS Perak)

Thursday, March 29, 2012

Sabar menghadapi Ujian....

“Maka bersabarlah, dengan cara kesabaran Yang sebaik-baiknya” (Surah al-Ma’arij, 5)

Sabar adalah salah satu ciri yang paling penting bagi orang beriman. Apa yang menyebabkan kesabaran jadi berharga ialah "supaya bersabar dengan kesabaran yang sebaik-baiknya". Allah yang Maha Kuasa menciptakan pelbagai kejadian untuk seseorang Muslim di mana dia harus mempamerkan kesabarannya.

Kelemahan-kelemahan dan pelbagai penyakit yang khusus di dunia ini, penindasan dan penghinaan orang-orang kafir, orang yang Allah pertemukan kepada kita adalah untuk menguji diri yang lemah ini dan merupakan sebahagian dari kepelbagaian kejadian tersebut. 

Adalah satu rahmat yang besar untuk hidup dengan harapan dan keinginan untuk mencapai Syurga, yang merupakan manifestasi keindahan tidak terhingga yang Allah kaitkan kepada kita dalam al-Quran dan Hadis. Walaupun berharap untuk mencapai syurga, orang-orang beriman harus menunjukkan kesabaran yang sebaik-baiknya ke arah kelemahan hidup ini.

Salah satu sifat-sifat kesabaran yang paling penting adalah sentiasa bersabar dengan hati yang tenang. Yakin sepenuhnya bahawa semua kejadian yang Allah tunjukkan kepada kita dicipta dengan cara yang terbaik, dalam bentuk yang paling bijak. Hati yang yakin akan ternampak di wajahnya, satu ketenangan dalam jiwa dan ucapannya. Di wajahnya muncul ketenangan yang disebabkan kesabarannya. Kata-katanya menunjukkan kematangan dan keyakinan kepada Allah.

Seseorang yang menunjukkan kesabaran dengan sebaik-baik sabar sedar dia melakukan ibadah dan sedar bahawa dia bersabar untuk Allah. Oleh itu dia ikhlas dengan kesabaran ini. Sama seperti bagaimana seseorang bersyukur kepada Allah dengan kata-kata dan perbuatannya apabila dia mendapat banyak rahmat, dan menggunakan nikmat tersebut dengan cara yang terbaik, begitu juga dia harus  menghadapi situasi dimana dia harus bersabar dan bertindak dalam kesedaran bahawa ada keberkatan dari Allah. Dia mesti bertindak dengan kesedaran bahawa kejadian-kejadian tersebut dicipta dengan penuh kebijaksanaan supaya dapat meletakkan asas bagi keindahan dan mengalami keindahan tersebut sambil menunjukkan kesabaran.


Satu lagi tujuan menunjukkan kesabaran adalah dengan mengamalkan sifat ini dia mendekatkan diri kepada Allah dan meningkatkan keikhlasan yang tulus seorang Muslim kepada Allah. Seseorang yang bersabar dalam menghadapi masalah, kesusahan, atau penyakit untuk mandapatkan keredaan Allah, tahu bahawa setiap detik, setiap saat kesabaran ini sangat berharga di sisi Allah. Di akhirat, ganjaran suatu amalan yang dilakukan dengan menunjukkan kesabaran yang sebaik-baiknya dan suatu amalan yang dilakukan di bawah keadaan yang sangat selesa atau tidak dengan usaha sama sekali tidak boleh sama. Jika seseorang beramal dan pada masa yang sama menunjukkan kesabaran, akhlaknya menyebabkan amalannya lebih bernilai. Sebagai contoh, seseorang yang melakukan pengorbanan ketika sedang sakit dan semasa dia sihat sempurna, tidak mungkin sama. Jika seseorang melakukan pengorbanan untuk keredaan Allah semasa dia sakit, dia, dengan izin Allah, mengalami keindahan kesabaran yang sebenar-benarnya. Atas sebab ini, sehingga kematian datang menjemput mereka, umat Islam sentiasa menunjukkan kesabaran yang sebenar-benarnya seperti yang Allah nyatakan dalam  Qur’an, apabila mereka menghadapi suatu kesulitan, kecil atau besar. Sebagai balasan atas keindahan akhlak dan kesabaran sebenar yang ditunjukkannya, dia teruskan hidup dengan mengharap keredaan Allah.

Katalah Jahanam Zionis bukan Jahanam Israel- Harun Yahya

ADNAN OKTAR: ... Keadilan tidak hanya di satu pihak. Anda boleh menyebut “Celaka” namun orang yang anda kutuk juga mempunyai hukum. Bukankah begitu? Dia mungkin sahaja benar dalam beberapa hal, mempunyai rasa takut, rasa tidak puas hati. Ini perlu dipertimbangkan. Satu ketetapan yang melindungi kepentingan kedua-dua pihak perlu dibuat. Tambahan pula, tiada seorangpun yang patut berkata “Celaka Israel”, Israel ialah nama seorang Nabi yang dinyatakan di dalam Al-Quran. Ia tidak sepatutnya diucapkan. Mereka salah. Mereka patut berkata, “Ateis-zionis terkutuk” ataupun “hidup Kesatuan Islam, Kesatuan Islam-Turki.” Betul? Atau mereka harus mengucapkan “Muslim perlu bersatu.” Jika mereka menyebut “Muslims harus bersatu”, ini ialah satu slogan yang baik. “Muslim wajib bersatu” ialah slogan yang baik. Namun mereka tidak patut berkata “Jahanam Israel”; Israel ialah nama Nabi. Tentu sahaja mereka maksudkan negara tersebut, tetapi kedengarannya tidak begitu. Justeru itu, mereka sepatutnya berkata “Celaka ateis-zionis.” Contohnya, mereka boleh berkata “Jahanamlah hamba syaitan.” Ataupun “Jahanamlah mereka yang menyembah syaitan.” Atau seumpamanya. Boleh juga dikatakan, “Jahanamlah para penindas, pembunuh bersiril.” Namun kenyataan mereka salah. Mereka harus meninggalkannya, mereka mengatakan sesuatu yang salah...