Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Saturday, December 11, 2010

KONSEP KEPIMPINAN DALAM PARTI ISLAM SE MALAYSIA


OLEH ASYAHID HAJI FADZIL MOHD NOOR 

Menurut Islam, kepimpinan atau imamah wajib dibentuk bagi melaksanakan dua tanggungjawab yang besar iaitu untuk memelihara agama dan menguruskan siasah dunia.

Memelihara agama bermaksud menjaga, mengembang, mempertahan dan melaksanakan syariat agama dalam semua bidang hidup sama ada yang mengenai peribadi, keluarga, masyarakat an negara bahkan dunia seluruhnya. 

Sementara menguruskan siasah dunia bererti mengendalikan urusan pentadbiran, pemerintahan dan pembangunan yang melibatkan soal-soal kehidupan, pembangunan material, kemajuan dan peradaban berasaskan kepada nilai-nilai agama dan prinsip-prinsip syariat. 

Dasar-dasar ini adalah dasar-dasar yang berkaitan kepimpinan negara dan ummah.
Lantaran penting dan besarnya tanggungjawab kepimpinan ini iaitu kepimpinan yang mengabungkan tanggungjawab keagamaan dan keduniaan yang tidak boleh dipisahkan maka Islam meletakkan syarat-syarat tertentu agar amanah kepimpinan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan menepati matlamatnya, kerana seorang pemimpin dalam Islam bukan sahaja bertanggungjawab kepada umat bahkan bertanggungjawab kepada Allah SWT. 
 
“Mereka yang apabila kami kukuhkan mereka di bumi mereka mendirikan sembahyang dan memberikan zakat dan mereka menyuruh berbuat yang ma’ruf dan mereka mencegah dari berbuat yang mungkar dan kepada Allah jualah akibat dari segala urusan” (al Hajj : 41) 

Antara syarat-syarat kepimpinan dalam Islam ialah seorang yang 

1) berilmu,
2) memahami hukum-hukum ke tahap yang dapat berijtihad dalam menangani isu-isu yang berlaku,
3) seorang yang adil dalam pengertian dan syarat-syarat keadilan,
4) mempunyai kepintaran di dalam menjalani siasah syariah dan pentadbiran,
5) mempunyai keberanian di dalam mempertahankan hak-hak dalam kebenaran Islam
6) serta mampu menghadapi tentangan musuh selain dari mempunyai pengaruh yang besar yang dilambangkan di dalam pengertian ianya hendaklah seorang yang berketurunan Quraish. 

Syarat-syarat yang penuh seperti ini tentulah sukar ditemui di dalam setiap generasi kepimpinan tetapi ianya dapat dipenuhi di zaman kepimpinan para sahabat Nabi Muhamad SAW dan juga dalam beberapa khalifah yang kemudian selain dari kepimpinan Rasulullah SAW sendiri yang merupakan kemuncak kepimpinan kemanusiaan yang sempurna. 
 
Kepimpinan Islam bertanggungjawab melaksanakan tuntutan syariat, meletakkan manusia dalam suasana pengabdian sepenuhnya kepada Allah SWT dalam semua bidang samada aqidah, ibadah, muamalah, kekeluargaan, pmerintahan, pembangunan dan perundangan dan sebagainya. 

Maksudnya “Dan tiadalah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka memperhambakan diri kepadaKu”. (ad-Dzariyyat : 56) 

Membebaskan mereka dari segala ikatan pengabdian kepada yang lain dari Allah SWT, melaksanakan kebaikan di tengah-tengah masyarakat serta mencegah segala bentuk kemungkaran. 

Jika kita mendalami matlamat dari risalah agama yang sebenarnya, akan kita dapati antara matlamatnya ialah untuk membentuk suatu system kepimpinan yang soleh dan mempunyai pengarahan menuju kebenaran dan hidayah iaitu kepimpinan yang dapat memandu manusia bagi menghayati konsep pengabdian dan ketaatan yang padu kepada Allah SWT dan perintah-perintahNya. 

Kepimpinan yang dapat menegakkan keadilan dan membasmi kemungkaran serta kefasadan dari muka bumi. Antara hikmah dan tujuan kebangkitan para Nabi dan Rasul-rasul adalah untuk melaksanakan peranan tersebut. 

Peranan kepimpinan untuk membawa manusia ke jalan hidayah dan pengabdian kepada Allah diteruskan oleh para ulama’ selepas wafatnya nabi-nabi dan rasul-rasul. Kerana Ulama’ adalah pewaris dan penanggung amanah mereka. 

Dalam sejarah Islam kita dapat melihat mereka yang memegang kepimpinan umat dan negara umumnya terdiri daripada ulama’. 

Khalifah-khalifah Al Rashidin RA adalah ulama-ulama yang agung, mereka sebagai bintang-bintang yang menyinari alam ini. Begitu juga sebahagian daripada mereka yang kemudian. 

Meskipun ada di antara yang kemudian itu bukan terdiri dari ulama’ yang tinggi kewibawaan tetapi mereka sentiasa mendampingi ulama’ dan di satu pihak yang lain pula para ulama’ sentiasa memberi nasihat, teguran dan kritikan yang sungguh berani dan tegas. 

Selepas kejatuhan khalifah Islam yang terakhir di Turki dan syariah Islam digugurkan, diganti dengan undang-undang sekular dari barat, wilayah-wilayah Islam jatuh satu demi satu ke tangan penjajahan. 

Sebelum dan selepas kejatuhan khalifah, pimpinan umat Islam dipegang oleh golongan sekular yang tidak lagi menghirau syariat apatah lagi pandangan ulama’.
Menyedari tentang kewajipan melaksanakan dakwah, syariat serta mengembalikan khalifah yang telah kehilangan kuasa itu maka para ulama’ telah mempelopori pembentukan jamaah harakiah, gerakan-gerakan Islam dan menyeru umat supaya menyertai jemaah memperjuangkan kembali kesatuan umat, menghayati dan melaksanakan syariat serta membebaskan diri dari segala bentuk penjajahan dan penindasan sama ada dalam politik ataupun pemikiran. 

Gerakan-gerakan Islam yang lahir di Turki, Mesir dan wilayah-wilayah Arab yang lain, Iran, India, Indonesia dan Malaysia dipelopori oleh para ulama’. Gerakan yang dipelopori mereka mendapat dukungan dari kalangan umat yang masih setia dan cinta kepada Islam dan syariahnya. 

PENGHAYATAN KONSEP KEPIMPINAN ULAMA’ DALAM PAS 

Penubuhan Persatuan Islam Se Tanah Melayu (PAS) pada tahun 1951 yang kemudian dikenali dengan Parti Islam SeMalaysia adalah dipelopori oleh ulama’ dan mereka yang mendapat pendidikan agama kerana mereka merupakan golongan yang lebih memahami Islam dan semangat menentang penjajahan. 

Mereka jugalah yang banyak memegang peranan memimpin dan mengembangkan PAS diseluruh tanah air. 

Tanpa diminta para pendukung dan ahli-ahli PAS telah meletakkan mereka sebagai pemimpin meskipun di dalam Perlembagaan PAS yang awal tidak menyebutkan tentang syarat-syarat kepimpinan. 

Tetapi sudah menjadi suatu yang difahami, ulama’lah yang dianggap lebih berwibawa untuk memimpin sesebuah gerakan Islam termasuk PAS. 

Keadaan ini terus berjalan sehinggalah kepada suatu keadaan di mana sebahagian ahli-ahli PAS merasakan seolah-olah ulama’ tidak diberi peranan utama di dalam PAS.
Mereka mendesak supaya satu perubahan yang lebih tegas dibuat bagi membolehkan ulama’ itu memimpin. Suatu pindaan kepada Perlembagaan PAS telah dibuat dengan penubuhan suatu majlis yang dikenali dengan Majlis Syura Ulama seperti yang tersebut di dalma Fasal 7 (3) (4) Perlembagaan PAS Pindaan 1993, menyebutkan: 

Bagi menjamin kekuasaan PAS yang diperuntukan dalam ceraian (2) di atas dan badan-badan yang diberi kuasa oleh Muktamar Tahunan dan oleh mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan ini tidak terkeluar daripada kehendak-kehendak yang diperuntukan dalam Fasal 7 (1) dan tidak berlawanan dengan dasar PAS seperti yang diperuntukan dalam Fasal 3 Perlembagaan ini, maka hendaklah ditubuhkan sebuah majlis yang dinamakan Majlis Syura Ulama’ dan diberi kepadanya kuasa-kuasanya berikut: 

a) Menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS dan mana-mana peruntukan di dalam perlembagaan ini yang menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya dan membuat ketetapan mengenainya. 

b) Mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasi serta memelihara supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak dalam perlembagaan ini dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS. 

c) Memelihara, menjaga dan mengawal tatatertib PAS dan melantik ahli-ahli jawsatankuasa tatatertib PAS seperti yang diperuntukan dalam Fasal 75 perlembagaan ini. 

Ahli-ahli Majlis Syura Ulama’ hendaklah terdiri dari 15 orang dan tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut: 

a) Seseorang yang hendak dilantik menjadi ahli Majlis Syura Ulama’ itu hendaklah seorang yang mengetahui masalah-masalah pokok (Al Usul) dalam syariat Islam dan hukum-hukum atau dan dapat merujuk masalah-masalah itu kepada Al-Quran, Al Sunnah Ijmak dan Qisas dengan faham akan maksud dan maknanya yang muktabar dan hendaklah seorang yang adil yakin tidak melakukan dosa besar atau terus menerus melakukan dosa kecil dan hendaklah seorang ahli PAS. 

Fasal tersebut telah memberi penegasan tentang peranan penting yang mesti dilaksanakan oleh para ulama’ di dalam PAS serta sifat-sifat ulama’ yang layak memduduki Majlis Syura tersebut. 

Bagi kita ulama’ bukanlah dilihat dari segi pakaian lahirnya tetapi yang kita maksudkan ulama’ ialah mereka yang memahami Islam serta hukum-hukumnya dari sumber-sumber Islam yang diijmakkan iaitu Al-Quran, Al-Sunnah, Al-Ijmak dan Al-Qias. Mereka bukan sahaja terdiri dari kalangan yang mendapat pendidikan dan melalui pengajian agama sejak awal pengajian mereka tetapi mereka juga mumgkin terdiri dari kalangan yang pada peringkat awalnya bukan melalui pengajian agama tetapi kemudiannya berusaha untuk mendapat ilmu-ilmu keIslaman seperti yang berlaku di dalam sebahagian dari kepimpinan Islam di dunia sekarang ini. 

Lantaran itu bukanlah suatu yang mustahil PAS akan dipimpin oleh mereka yang awalnya bukan mendapat pengajian agama tetapi mereka berjaya melayakkan diri memahami dan menguasai ilmu-ilmu keIslaman dan mendapat kepercayaan sebagai pemimpin. 

Kita telah memberi penekanan terhadap cirri-ciri yang perlu dimiliki ulama’ di dalam melayakkan mereka menerajui kepimpinan PAS di dalam dekad-dekad yang akan dating sesuai dengan cabaran-cabaran yang semakin sofistikated. 

Kita telah menyatakan suasana dan permasalahan yang sedang kita alami ini memerlukan kepimpinan ulama’ berijtihad di dalam pelbagai isu yang sedang mendesak ini. 

Kepimpinan Islam perlulah memiliki ciri-ciri khas iaitu kepimpinannya adalah kombinasi dari pelbagai unsur terbaik seperti yang pernah ditampilkan oleh kepimpinan
Rasulullah SAW dan para sahabat RA iaitu selain ketaqwaan yang tinggi ia mestilah sensitive dengan masalah-masalah semasa, berpandangan jauh, mampu merancang dan membentuk masa depan ummah, bersikap terbuka dan tolenrasi dalam batas-batas yang dibenarkan oleh Islam. 

Bekerja sebagai kumpulan professional, proaktif dan memperlihatkan ketrampilan sebagai pimpinan sejati. Ini ciri-ciri yang amat diperlukan. Wallahualam.

Al-Fatihah.......


No comments: