Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Wednesday, February 29, 2012

Tun Mahathir: Hina Hukum Hudud........








HIKMAH PERLAKSANAAN HUDUD

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina hendaklah kamu dera masing-masing dengan 100 rotan dan janganlah kamu berasa kasihan belas terhadap keduanya dalam melaksanakan perintah Allah jika kamu beriman kepada Allah dan pada hari kemudian.Hendaklah hadir ketika dijatuhkan hukumun terhadap mereka sekumpulan dikalangan orang-orang yang beriman” (An-Nur:2, al Quranul Karim)

PANDANGAN ULAMA TAFSIR
Hukuman keatas penzina lelaki dan perempuan yang merdeka, berakal dan yang masih bujang atau dara yang masih belum berkahwin adalah disebat dengan seratus sebatan setiap seorang. Hikmah memulakan hukuman keatas perempuan dalam kes zina dan memulakan hukuman keatas lelaki ketika kes mencuri adalah kerana kes zina selalunya terjadi disebabkan oleh golongan perempuan yang boleh mengaibkanya lebih daripada lelaki dan lebih memberi kesan keatasnya, manakala dalam kes mencuri pula selalunya berlaku keatas orang lelaki kerana mereka lebih berani dan lebih merbahaya daripada orang perempuan dalam melakukan perkara itu maka didahulukan orang lelaki daripada orang perempuan.

Pada zahir ayat ini menerangkan akan ketetapan hukuman keatas penzina –penzina iaitu 100 sebatan rotan tetapi telah ditetapkan di dalam Sunnah yang Qat’ie dan penzina yang belum berkahwin dan yang telah berkahwin. Adapun hukuman bagi penzina yang telah berkahwin ialah direjam dengan batu sehingga mati mengikut Sunnah secara lisan dan perbuatan. Telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Mas’ud Bahawasanya Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam telah bersabda:

“Tidak halal darah orang-orang Islam kecuali belarkunya salah satu daripada tiga perkara iaitu orang yang telah berkahwin berzina, orang yang membunuh dengan sengajacdan keluar daripada agamanya juga berpecah daripada jamaah orang-orang Islam”

Janganlah kamu berlembut dan berasa belas kasihan ketika hendak melakukan hukuman keatas penzina kerana ini adalah hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah juga tidak boleh merosakkan hudud Allah yang telah ditetapkan dan sebagaimana  sabda Nabi Muhammad  SAW daripada apa yang telah diriwayatkan oleh Ahmad dan Ashab al-Kutub as-Sittah daripada Aisyah radhiAllahu anha:

“Demi Tuhan yang menciptakan diriku, walaupun sekiranya Fatimah bt Muhammad mencuri Sesungguhnya aku akan potong tanganya”

Maka dirikanlah hudud keatas orang-orang yang melakukan perbuatan zina dan pukullah mereka itu dengan pukulan yang menyakitkan untuk memberikan pengajaran keatas mereka jika kamu beriman dengan Allah SWT dan hari Akhirat.

Dan dirikanlah hudud secara terang-terangan dihadapan sekumpulan daripada orang-orang Islam tambahan balasan bagi orang yang berzina.Sesungguhnya penzina-penzina itu apabila disebat di hadapan orang ramai akan memberi kesan yang lebih untuk mencegah mereka daripada melakukan  perbuatan itu lagi. Telah berkata Qatadah:

"Allah S.W.T telah memerintahkan sekumpulan daripada oraang-orang yang beriman untuk melakukan penyaksian ketika hukuman itu dijalankan adalah kerana untuk memberi peringatan, nasihat dan pengajaran".

Kes-Kes zina ini disabitkan dengan salah satu daripada  perkara berikut :
1- Iqrar atau pengakuan : Ini selalunya berlaku ketika pemerintahan Islam Keterangan atau penyaksian: Iaitu penyaksian 4 orang saksi lelaki yang merdeka, adil dan beragama Islam dan melihat dengan mata mereka sendiri. Ini sangat jarang berlaku dan tidak terhasil kecuali sedikit.

2- Mempunyai hubungan dengan perempuan yang tidak mempunyai

PERBAHASAN suami yang boleh dikenali baginya.

Apabila Allah menjadikan manusia Allah juga menjadikan bersama kejadian manusia itu undang-undang yang dapat mengawal manusia daripada terjerumus ke lembah kehinaan dan kesengsaraan akibat daripada perbuatan manusia itu sendiri.Terdapat 17 jenis kesalahan yang dihukumkan dengan hukum hudud antaranya hukum bagi mereka yang melakukan penzinaan.Apabila sabit dua kesalahan terdapat dua jenis hukuman bagi dua kategori manusia yang melakukan kesalahan itu ;

1. Sebat 100 rotan untuk yang belum berkahwin
2. Rejam sampai mati untuk penzina yang sudah berkahwin

Kenapakah terdapat perbezaan di dalam hukuman yang di jalankan bagi kesalahan yang sama tetapi dilakukan oleh jenis manusia yang berbeza?
Sepintas lalu, Ulama’ menggariskan bahawa menghukum mereka yang belum berkahwin jika disabitkan kesalahan dengan 100 rotan adalah wajar sebagai pengajaran bagi mereka yang melakukanya ataupun remaja yang berkeinginan mencubanya. Hukuman sebat ditentukan bagi penzina jenis adalah kerana mereka belum pernah merasa nikmat perkahwinan.Keinginan mereka adalah disebabkan dorongan nafsu yang kadangkala dapat mengatasi fikiran manusia sehingga menjerumuskanya melakukan kesalahan zina.

Rejam sampai mati pula adalah hukuman yang dijatuhkan ke atas penzina yang sudah berkahwin kerana penzina jenis ini sudah merasai nikmat perkahwinan dan tidak ada alasan yang boleh diterima sebagai kemaafan kerana dikhuatiri tabiat mereka itu akan merosakkan banyak manusia. Rejam sampai mati adalah ubat yang paling mujarab bagi manusia jenis ini.

HIKMAH DISEBALIK PERLAKSANAAN HUDUD
Buat penzina yang belum berkahwin.mereka mempunyai antibody T4 Limfosit yang kuat dan masih bertenaga. Jika sekiranya seseorang penzina itu dihinggapi HIV selepas penzinaanya,T4 Limfositnya akan diserang oleh HIV Aids yang akan menyebabkan sel-sel T4 Limfositnya musnah sehingga menyebabkan mati dan akhirnya sel sum-sum tulangnya mengalami kelumpuhan dan fibrosis dan tidak lagi dapat lagi menghasilkan sel-sel T4 yang baru. Badan akan lemah dan Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit akan menyerang.

Pesakit jenis ini juga mempunyai kemungkinan untuk disembuhkan. Tetapi dengan syarat ia mesti didera dan badannya mesti mengalami kesakitan yang banyak bagi meransang penghasilanan sel-sel T4 yang baru serta mengelakkan sum-sum tulang daripada fibrosis.Cara terbaik adalah dengan menyebat diantara bawah tengkuk dan di atas pinggang di bahagian belakang dengan sebatan yang akan meransang penghasilan semula antibodi T4 yang baru dan pesakit tersebut boleh sembuh daripada AIDS selepas antibodi sel-sel T4 Limfositnya itu boleh menguasai HIV AIDS.

Jika sekiranya pesakit tersebut sudah berkahwin .apabila dihinggapi virus AIDS,sel-sel T4 mereka telah lemah berbanding dengan sel-sel T4 kepunyaan mereka yang belum berkahwin. Kelemahan ini berpunca daripada sum-sum tulang yang mengalami sedikit hakisan dan kurang menghasilkan antibodi kerana lebih banyak ditumpukan kearah menghasilakan benih-benih bagi tujuan menghasilkan sperma-sperma baru. Penzina jenis ini tidak akan dapat diselamatkan daripada virus HIV AIDS dan rejam sehingga mati adalah merupakan penyelesaian terbaik bagi mengelakkan jangkitan dan penyebaran penyakit di samping memberikan pengajaran yang menyebabkan orang lain takut untuk melakukan kesalahan yang sama.

IMUNITI DAN HIKMAH PELAKSANAAN HUDUD
Sistem imuniti badan manusia adalah menepati sistem pentadbiran dan pertahanan sesebuah negara Islam.Di dalam badan manusia terdapat berjuta-juta sel yang terdiri kebanyakanya daripada protein. Begitu juga keadaanya antibodi yang terdiri 100% daripada protein. Salah satu keistimewaan bagi haiwan vertebrata ialah keupayaan antibodinya mengenali kandungan asal badan (yang di panggil sel asal)dan benda-benda yang datang dari luar. Tindakbalas imuniti adalah merangkumi kesemua aktiviti yang pada akhirnya menghasilkan penghapusan bahan-bahan luar (foreign materials) samaada melalui proses kecederaan atau tidak .Tindakbalas imun adalah merangkumi dua fenomena yang asas:

1.Tindakbalas humoral (tindakan antibody)
2.Tindakbalas pembaikan sel

Toleran (ketiadaan tindakbalas imun) adalah juga salah satu daripada mekanisme tindakbalas imun yang bertindak sebagai mekanisme pertahanan yang memelihara tindakbalas imun terhadap sel sendiri. Dalam banyak hal, mekanisme pertahanan badan (tindak balas imun) adalah seolah–olah sebuah sistem pengawalan (undang-undang hudud) yang di wujudkan bagi tujuan pengawalan.Sistem ini akan dapat mengenali antara orang asing dan penduduk tetap sebuah negeri. Orang asing yang di anggap mengancam keselamatan akan dihapuskan dengan di hukum dan penduduk asal negeri tersebut yang baik akan di tolerankan. Maka yang menyeleweng di kalangan penduduk asal negeri itu juga turut dihapuskan bagi tujuan keselamatan dan sistem sosial yang teratur itu.

Masyarakat yang tidak mempunyai undang-undang hudud yang telah di tentukan oleh Allah itu adalah seolah-olah masyarakat yang sedang dilanda AIDS dimana kesemua unsur asing budaya dan kehidupan yang boleh membahayakan manusia dan boleh memusnahkan kehidupan manusia dibolehkan masuk seluas-luasnya tanpa sebarang pengawasan.Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui tentang segala-gala keperluan biologis, psikologi dan mental manusia. Adalah menjadi satu perkara yang boleh merosakan manusia apabila manusia cuba menentukan haluan mereka sendiri yang mereka sendiri tidak faham dan tidak tahu. Sedangkan Allah ,Tuhan yang menjadikan dan menciptakan yang paling arif dan tahu tentang keperluan-keperluan manusia serta sistem pengawalanan yang dapat  mengawal manusia daripada terjerumus ke lembah perhambaan nafsu yang boleh memusnahkan manusia itu sendiri.

Jawapan Ustaz Zaharuddin kepada Tun Mahadhir

Negarawan Malaysia, Tun Dr Mahathir, berkata di dalam blognya : Tetapi benarkah hukuman ini tepat bagi jenayah minum arak? Beliau kemudiannya berkata :

"Dalam Al-Quran terdapat 43 ayat yang menegaskan; "Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil". Apakah mungkin seorang hakim itu tidak adil ataupun tersilap dalam pertimbangannya? Apakah tidak ada dalam Islam belas kasihan bagi yang bersalah buat kali pertama?

Saya harap pihak-pihak yang pakar dalam perkara ini dapat menunjuk ayat-ayat Al-Quran dan kitab-kitab yang dirujuk oleh hakim apabila hukuman ini dijatuhkan."

Sebagai menyahut pertanyaan Tun tersebut, saya sediakan artikel ringkas ini memberikan input kepada beliau dan mereka yang masih tertanya-tanya.

ARAK DAN STATISTIK KEBURUKANNYA

Sebelum saya menghuraikan secara ringkas jawapan bagi persoalan Tun Dr Mahathir, izinkan saya meningingatkan pembaca berkenaan arak dan statistik keburukannya, sehingga menyebabkan Islam begitu bersungguh melarang dan meletakkan undang-undang ke atas peminumnya juga. Ia sebenarnya tidak lain kecuali untuk mengutamakan keadilan umum, di atas hak individu.
Menurut statistik rasmi di United Kingdom, Alcohol-related crime adalah seperti berikut :-

* Hampir 45 - 46 % kejadian jenayah, mangsa meyakini bahawa penyerangnya di bawah pengaruh alkohol (arak).

* Angka tadi naik kepada 58% dalam kes serangan oleh individu yang tidak dikenali.

* 39% keganasan dalam rumahtangga melibatkan alkohol (arak)

* Hampir sejuta serangan ganas yang berlaku dalam tahun 2007-2008, dipercayai dilakukan oleh mereka yang sedang mabuk atau separa mabuk.

 (Source: British Crime Survey 2007/08)

Manakala di Russia pula, sekitar 72 % kes pembunuhan adalah berkait dengan akibat minuman arak. 42 % pula kes mati bunuh diri hasil dari arak. Menurut Prof Nemtsov, Russia kehilangan (mati) rakyatnya seramai 500,000 ke 750,000 akibat arak. ( sumber )

Tanpa had dan kawalan berkesan, lebih menggerunkan di UK statistik menunjukkan 30% kanak-kanak berumur 11 hingga 15 tahun turut minum arak sekurang-kurangnya sekali seminggu. 

Selain penyebab jenayah, arak juga turut memberi impak amat buruk kepada kesihatan.

Seorang doktor di London memaklumkan purata umur pesakit dari kesan arak adalah berumur 20 ke 30 tahun, sebelum ini biasanya mereka yang berumur 50 tahun ke atas sahaja yang kerap ke hospital akibat arak. (rujuk)

Dilaporkan oleh organisasi kesihatan, di United Kingdom jumlah penduduk yang dirawat akibat penyakit dari kesan minuman arak bertambah dua kali ganda sejak sepuluh tahun lepas.

Secara purata rakyat Britain 'menelan' arak sebanyak 9.6 liters arak keras dan tulen secara tahunan, ia lebih dahsyat dari Russia yang mencatatkan 8.7 liter sahaja. Sedangkan Russia diwartakan sebagai negara yang terbanyak ‘peminum arak' sebelum ini.

Hasil dari petikan statistik ringkas ini, adakah masih terdapat pemimpin yang begitu ‘TIDAK BERTANGUNGJAWAB' sehingga sanggup mempertahankan penjualan arak dengan MELUAS tanpa kawalan dan hanya beriman dengan ‘kawalan diri'?, disamping membawakan hujjah hak kebebasan individu, bangsa, agama tertentu dan hak syarikat?.

Sebenarnya, membenarkan penjualan arak adalah satu pencabulan hak bagi majoriti masyarakat Malaysia yang lain, kerana ia mendedahkan individu lain dalam keadaan bahaya sebagaimana yang berlaku di UK, Russia dan lain-lain negara aktif arak.


HUKUMAN MINUM ARAK DALAM ISLAM

Dalam Islam, arak itu sendiri adalah haram atau dilarang. Sama ada minum sedikit atau banyak adalah sama sahaja larangannya. Demikian juga dadah. Sabda Nabi s.a.w

ما أسكر كثيره فقليله حرام
Ertinya : Apa-apa yang banyaknya memabukkan, maka sedikitnya juga haram ( walaupun belum memabukkan) ( Riwayat Ahmad, Tirmizi, Abu Daud : Ibn HIbban : Sohih )

Ayat al-Quran dan hadis berkenaannya terlalu banyak dan amat biasa kita baca. Islam mengakui wujudnya manfaat kecil dari arak tetapi manfaatnya adalah berdiri di atas kehancuran pihak yang lain. Sama seperti judi, yang menang sememangnya gembira namun ia menang di atas kekalahan pihak yang lain.

Firman Allah swt :
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا
"Mereka bertanyakan kepada kamu tentang arak dan judi, katakanlah (kepada mereka) pada kedua-duanya terdapat dosa yang besar dan kebaikan kepada manusia, dan dosa pada kedua-duanya lebih banyak dari kebaikan" (Al-Baqarah : 219)

Lagi Allah menegaskan :-
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan setan. Maka jauhilah ( DIHARAMKAN) perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan ( Al-Maidah : 90)

Terbukti secara teori dalam ilmu Islam dan realiti dari statistik yang diberikan, arak adalah salah satu punca utama jenayah, selagi ruang dan peluang dibuka seluasnya selagi itulah manusia akan melakukan kesalahan mabuk.

Kerana itu nabi menyebut :-
الخمر أم الخبائثErtinya : Arak itu adalah ibu kepada kejahatan ( Hadis Hasan : Albani ; Silsilah Ahadith As-Sohihah, 1854)

Gunakan kuasa dengan tepat dan adil, selaras dengan perjuangan kamu. Adil dalam konteks arak adalah mengharamkannya dalam penjualan bebas.

HUKUMAN SEBAT BAGI PEMINUM ARAK

Bagi sesiapa sahaja yang bertanya dari kitab mana, dan buku mana, sumber mana diambil hukuman sebat bagi peminum arak, jawapannya adalah seperti berikut, tindakan mengenakan sebatan bagi peminum arak adalah diambil dari kumpulan hadis-hadis Nabi yang cukup banyak, antaranya :-

1)   Hadis Nabi :
إذا شربوا الخمر فاجلدوهم , ثم إن شربوا فاجلدوهم , ثم إن شربوا فاجلدوهم
Ertinya : Apabila mereka minum arak, sebatlah mereka, dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka ( Riwayat Abu Daud)

2. Hadis Nabi :
أن النبي أتي برجل قد شرب الخمر , فجلده بجريدتين نحو أربعين
Ertinya : Nabi telah didatangi oleh seorang lelaki yang telah meminum arak, lalu telah disebatnya dengan dua pelepah tamar sebanyak 40 kali (Riwayat Muslim) [1]

3. Hadis Nabi
كان يضرب في الخمر بالنعال والجريد أربعين
Ertinya : Sesungguhnya dipukul (sebat) bagi arak (peminum) dengan kasut-kasut dan pelapah tamar sebanyak 40 kali (Riwayat Muslim) [2]

4.  Hadis Nabi :-
أن النبي صلى الله عليه وسلم : جلد في الخمربالجريد والنعال , ثم جلد أبو بكر أربعين فلما كان عمر ودنا الناس من الريف والقرى , قال : ما ترون في جلد الخمر؟ فقال عبدالرحمن بن عوف : أرى أن نجعلها كأخف الحدود , فجلد عمر ثمانين

Ertinya : Sesungguhnya Nabi s.a.w merotan (sebat) dalam kes arak dengan pelepah tamar dan sepatu, kemudian Abu Bakar ( di zaman pemerintahannya) juga menyebat dengan 40 kali sebatan, di ketika pemerintahan Umar, beliau meminta pandangan orang ramai dari kampong dan desa lalu berkata : Apa pandangan kamu berkenaan sebatan bagi peminum arak?, lalu Abd Rahman Auf berkata : Aku berpandangan kita menjadikannya hudud yang paling ringan (merujuk kepada sebatan qazf) [3], maka Umar membuat keputusan untuk menyebat dengan 80 kali sebatan ( Riwayat Muslim dan Abu Daud)[4]

5. Athar sahabat
قال علي : جلد رسول الله في الخمر أربعين , وأبو بكر أربعين , وعمر ثمانين , وكل سنة وهذا أحب إليّ
Ertinya : Berkata Ali r.a : Rasulullah menyebat peminum arak 40 sebatan, Abu Bakar juga 40 sebatan, Umar menyebat 80 sebatan, semuanya adalah sunnah, dan ini ( merujuk kepada 40 sebatan) adalah lebih aku sukai. ( Riwayat Muslim ) [5]

6. Hadis Nabi
أن رجلا رفع إلى النبي صلى الله عليه وسلم قد سكر ، فأمر قريبا من عشرين رجلا ، فجلدوه بالجريد ، والنعال
Ertinya : Seorang lelaki dibawa ke penghakiman Nabi s.a.w kerana telah mabuk (minum arak), lalu Nabi s.a.w mengarahkan sekitar 20 orang lelaki untuk menyebatnya dengan pelepah tamar dan sepatu ( Al-Bayhaqi)[6]

Jika dikatakan, itu semuadari hadis, maka apakah pula dalil al-Quran yang menyuruh? jawabnya adalah

وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
Ertinya : Kami turunkan kepadamu Al Qur'an, agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan ( An-Nahl : 44)

Maka itulah tugas hadis nabi yang bersumber dari kata-kata, perbuatan dan perakuan baginda Nabi s.a.w yang menjadi penjelas kepada Al-Quran.

PERBEZAAN TASFIRAN ULAMA

Ulama telah bersepakat bahawa mesti dijatuhkan hukuman bagi peminum arak, sama ada ia minum banyak atau sedikit. Namun ulama berbeza pandangan dalam sekurang-kurang dua perkara iaitu :-

1)     Adakah hukuman sebatan ke atas peminum arak adalah dalam kategori hukuman hudud atau hanya ta'zir.

Kebanyakan mazhab seperti Hanafi, Maliki, Syafie meletakkan hukuman sebat ke atas peminum arak sebagai hukuman hudud.

Namun demikian, sebahagian ulama lain seperti At-Tabari, Ibn Munzir, As-Syawkani, Ibn Qayyim, Al-Qaradhawi, Al-Uthaymin menganggapnya sebagai ta'zir semata-mata, yang mana ia terserah kepada hakim untuk menentukan jumlah sebatan dan keperluan untuk menyebat atau tidak.

Menurut Al-Qaradhawi, ia terbukti sebagai ta'zir kerana wujud pelbagai dalil yang menunjukkan :-

a-                Jumlah pukulan berbeza mengikut keadaan peminum. Ada yang dikenakan 40 kali dan ada yang dikenakan 80 kali. Sifat hukuman hudud adalah tetap, namun ini berbeza-beza menunjukkan ia hanyalah dari hukuman ta'zir, yang terserah kepada kebijaksanaan hakim menentukan jumlahnya.

b-                 Dalam salah satu hadis yang tesebut di atas, Abd Rahman Auf r.a mencadangkan kepada Umar agar diletakkan hukuman yang paling rendah berbanding hudud, ini menunjukkan hukuman ini adalah ta'zir kerana menurut majoriti ulama, hukuman ta'zir tidak boleh melebihi hudud.

c-               Cara penjatuhan hukuman juga berbeza, ada yang disebat menggunakan sepatu, ada yang menggunakan tangan, baju dan sebahagian lain menggunakan pelepah tamar[7]. Tidak mungkin hukuman ini dari jenis hudud jika sedemikian kerana hukuman hudud semestinya fixed atau tetap jumlahnya.

Berdasarkan penelitian terhadap dalil dan perbincangan para ulama yang panjang lebar dan mendalam, secara peribadi saya cenderung kepada hukuman ini adalah ta'zir dan bukan hudud. Wallahu'alam.

2)      Jumlah sebatan yang perlu dikenakan.
Dalam hal ini, para ulama terbahagi kepada dua kumpulan :-

Pertama : Mazhab Hanafi, Maliki, At-Thawry dan Hanbali  : Sebatan sebanyak 80 kali sebatan sama ada lelaki atau perempuan.

Kedua : Mazhab Syafie : 40 kali sebatan sahaja. Namun jika hakim mendapati kesalahannya berat, hakim boleh menambah sehingga 80 kali sebatan, dan lebih dari 40 sebatan itu dikira sebagai ta'zir , manakala 40 sebatan yang awal adalah hudud.

BOLEHKAH PESALAH TIDAK DISEBAT?

Ia bergantung kepada mazhab mana yang dterima pakai oleh Mahkamah Syariah Malaysia, hakim dan negara Malaysia.

Jika Hudud
Jika kesalahan meminum arak diterima sebagai kesalahan hudud sebagaimana pandangan mazhab Syafie. Pesalah tidak boleh dielak dari hukuman sebat tadi kerana hukuman sebat dikira sebagai hak Allah swt. Hak Allah perlu didahulukan dari sekalian hak makhluk dan sesuatu itu termasuk dalam hak Allah apabila kemudaratannya meluas dan umum, seperti zina, riba, murtad dan sebagainya. Namun pelaksanaan hukuman hudud ke atas seseorang pesalah, boleh ditangguh berdasarkan keperluan tertentu.

Dalam kategori ini, semua pesalah walau kali pertama[8] melakukan kesalahan, akan dihukum kerana mudarat ke atas masyarakat umum.

Jika Ta'zir
Jika kesalahan ini dianggap dari jenis Ta'zir, maka hakim mempunyai kuasa untuk mengampun sama ada atas alasan ia kesalahan kali pertama, ia seorang yang lemah, ia seorang tidak sihat dan sebagainya. Demikian menurut mazhab Syafie.

Justeru, sebelum dikritik keputusan hakim, bincangkan terlebih dahulu mazhab mana yang ingin diikuti di Malaysia, khususnya dalam konteks hukum minum arak ini.

SEJAUH MANA SEBATAN INI ADIL?

Pertama
Jika ia benar-benar hudud dan termasuk dalam hak Allah swt, tidak layak manusia yang hina untuk mempersoalkan tentang keadilan, kerana Allah swt sentiasa adil walau menghumban sesorang manusia ke nerakaNya. Allah tetap adil walau Dialah yang menyesatkan sekumpulan manusia dan memberi hidayat kepada sebahagian yang lain. Kerana apa adil? Kerana piawan adil Allah tidak sama dengan manusia yang dicipta. Keadilan Allah adalah kerana dia yang mencipta kita, dan Dia berhak untuk menentukan apa sahaja yang diinginiNya. Jika kita merasakan Allah tidak adil menyesatkan sekumpulan manusia, maka individu tersebut perlu memulangkan nyawa yang Allah berikan kepada mereka dan beredar dari galaksi ciptaan Allah swt ini ke sebuah alam ciptaan sendiri.

Kedua
Sebatan ini, tidak zalim sama sekali kerana ia bukan bertujuan menyakitkan seperti sebatan ekor pari yang menghakis kulit, daging dan sampai ke tulang. Sebatan ini hanyalah untuk pengajaran, seperti denda cikgu kepada muridnya, ibu kepada anaknya atas tujuan mengajar, atas asas belas kasihan dan bukan dendam kesumat dan ‘geram' memukul.

Hasilnya, pelbagai displin sebatan telah ditentukan dalam hukum Islam iaitu [9] :-

Tidak boleh dipukul wajah dan kemaluan.[10]

Alat yang digunakan mestilah tidak besar, bukan tongkat yang besar, ia adalah seperti dahan dan ranting sederhana sahaja.
Tidak diharuskan si pemukul mengangkat tanganya melebihi paras ketiaknya, atau tidak boleh terlihat bawah lengannya semasa mengangkat pemukul, dan pukulan tidak terlalu menyakitkan, tidak pula terlalu perlahan.
Yang diangkat adalah sikunya sahaja dan bukan lengan.
Lelaki disebat secara berdiri, wanita secara duduk.
Adakah jenis pukulan yang sebegini pun dianggap zalim? Jika demikian guru-guru sekolah, ibu bapa, suami memukul, adalah lebih zalim kerana hukumannya tidak dibicarakan di mahkamah.

Bagi saya, jika hukuman sebegini pun masih zalim, tentunya yang menuduh ia zalim itu akan jadi lebih zalim kerana bercakap dan mengkritik tanpa ilmu.
Cara sebatan di bawah adalah yang dilaksanakan di Arab Saudi. Lebih lembut dari apa yang didemokan di Malaysia

Ketiga
Sejauh mana pula adilnya orang luar seperti Tun Dr Mahathir dan yang lainnya, mempertikaikan hak seorang hakim dalam membuat keputusan?.

Bukankah sang hakim lebih berhak menentukan hukuman yang paling adil disebabkan beliau berada sepanjang sesi perbicaraan dari kedua-dua belah pihak, mendengar pandangan kesemua pembela dan pendakwa. Justeru, adalah TIDAK ADIL bagi orang di luar mahkamah untuk mengkiritk sewenangnya keputusan hakim, sedangkan mereka tidak mempunyai gambaran sebenar di sebalik sesebuah kes. Mungkin sahaja, si pesalah sendiri redha dan ingin hukuman dilaksanakan. Justeru itulah keadilannya.

Keempat
Bukankah keputusan hakim patut dihormati sebagai menunjukkan autoriti badan kehakiman dari sebarang gangguan luar?. Kita kerap mendengar di mahkamah civil bahawa sebarang keputusan mahkamah tidak boleh dikritik terbuka sama ada di dalam mahkamah atau diluarnya, kerana akan termasuk di dalam kesalahan ‘menghina mahkamah' (contempt of court), lalu mengapa pula pihak yang kurang maklumat di luar ini dengan senang dan mudah mengkritik keputusan mahkamah Syariah?.

Kelima
Di dalam Islam, adil atau tidak bukan terletak pada logik aqal manusia semata-mata, namun adil yang sebenarnya adalah melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah swt dan baginda Nabi s.a.w.  Kalau dalam konteks kes ini, pesalah juga telah bersedia menjalani hukuman tersebut sebagai satu proses kesedaran dirinya. Adilkah kita mempersoalkan hak pesalah untuk mendapat hukuman.?

KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan kepada beberapa jawapan kepada persoalan yang diutarakan oleh Tun Dr Mahathir.

DR. M : Tetapi benarkah hukuman ini tepat bagi jenayah minum arak?

UZAR: Ye, benar, bukti-bukti berkenaan wujudnya hukuman ini bersumberkan hadis-hadis yang sohih.

DR. M : Apakah ada larangan dalam Islam untuk mengkanunkan undang-undang syariah?

UZAR: Di dalam Islam, tiada larangan sama sekali, malah digalakkan bagi mencapai keseragaman dalam keputusan hakim.

DR. M : Jika Kerajaan tidak mengkanunkan undang-undang syariah melalui proses perbahasan dan kelulusan oleh dewan-dewan undangan, atau melalui fatwa oleh ulama-ulama, bolehkah tulisan-tulisan ulama tertentu dijadikan asas hukum mengikut pendapat hakim?

UZAR: Ini saya tidak pasti, memang sepatutnya tidak boleh hakim menjatuhkan hukuman tanpa undang-undang itu dikanunkan, cuma saya tidak pasti mengapa ia belum dikanunkan. Sepatutnya sesebuah kerajaan negeri bertanggungjawab untuk mengkanunkannya. Namun sebelum ia dikanunkan, pertikaian yang diutarakan oleh Tun memang relevan dalam konteks hukum dunia, namun adalah salah di sisi Islam, kerana semua hukum Islam sepatutnya dikanunkan.

Mahkamah ini pula adalah mahkamah Syariah yang khusus untuk hal ehwal orang Islam dan bukannya mahkamah sivil. Justeru apa ertinya sebuah mahkamah dinamakan ‘SYARIAH' jika keputusan yang berlandaskan hukum Islam juga tidak boleh dilaksanakan.? Jika demikian, tiada erti nama ‘syariah' pada sebuah mahkamah Syariah lagi.

DR.M : Dalam Al-Quran terdapat 43 ayat yang menegaskan; "Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil". Apakah mungkin seorang hakim itu tidak adil ataupun tersilap dalam pertimbangannya? Apakah tidak ada dalam Islam belas kasihan bagi yang bersalah buat kali pertama?

UZAR: Lebih zalim yang mengkritik tanpa ilmu. Hukuman ini adalah adil atau tidak telah diulas di atas, dan ia juga tertakluk kepada penentuan sama ada hukuman sebat peminum arak adalah hudud atau takzir.

DR. M : Sudahkah kita rujuk kepada Al-Quran berkenaan dengan minum beer (arak) dan hukuman yang perlu dikenakan supaya keadilan tercapai?

UZAR:Oleh kerana dirujuk kepada hukum al-Quran dan Hadis nabi, hukuman tersbeut patut dijalankan. Kerna arak terbukti merosakkan umum dan bukan hanya individu terbabit semata-mata. Cuba lihat dan fahami statistik yang disertakan di atas.

DR. M : Saya harap pihak-pihak yang pakar dalam perkara ini dapat menunjuk ayat-ayat Al-Quran dan kitab-kitab yang dirujuk oleh hakim apabila hukuman ini dijatuhkan.

UZAR:Jika seseorang itu berkefahaman sesat 'anti hadis', sudah tentu hanya akan mendakwa tiadanya ayat Quran yang specifik sebagai alasan, namun terlalu banyak ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan keperluan untuk taat dan mengikuti Rasulullah,  bagaimana cara taat? tidak lain dengan merujuk kepada sumber perincian ayat-ayat Al-Quran yang biasanya bersifat umum, sumber itu adalah hadis-hadis Nabi. Tidak menerima Hadis bermakna seseorang itu tidak menerima Al-Quran. Gelaran yang tepat bagi kumpulan yang tidak meyakini hadis, sebenarnya bukan kumpulan 'anti hadis' tetapi golongan anti 'Al-Quran dan Hadis' sekaligus.

Kalaulah semua hadis itu tidak boleh dipercayai sebagaimana dakwaan kumpulan sesat 'anti hadis (& Quran) tadi,' bagaimana mungkin boleh wujud ayat-ayat Al-Quran seperti di bawah yang menyuruh kita mengikut Rasulullah? Sudah tentu akan berlaku kontradiksi, dan mustahil Allah akan mengarahkan kita kepada sesuatu perkara yang mustahil atau di luar kemampuan untuk diikuti.

Kerana itu jelas bahawa apabila Allah memberitahu bahawa Allah menjaga Al-Quran, maka yang termasuk juga di dalam peliharaan Allah adalah hadis-hadis. Kerana itu sehingga hari ini, kita dapat lihat sistem yang sangat terperinci dalam tapisan sesebuah hadis.

Dalam konteks sebatan ini, ayat-ayat yang menjadi sumber hukumannya merujuk kepada semua ayat-ayat yang mengarahkan kita untuk patuh kepada Nabi s.a.w dan mencontohinya, itulah satu-satunya jalan selamat dan diredhai Allah swt . Sebagai contoh ,ayat nya adalah dari Surah Al-Imran ayat ke- 31

Ertinya : Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. ( Ali- Imran : 31 )

dan sebuah ayat lagi :-

Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalilah ia kepada Allah (Al Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. ( An-Nisa : 59)

Jadi bagaimana ingin mengikuti dan merujuk kepada Rasul dalam konteks hukuman bagi peminum arak ini?. Jawapannya sekali lagi, iaitu dengan merujuk kepada hadis-hadis baginda Nabi. sebahagiannya telah disebut di atas. Manakala kitab-kitab rujukannya boleh rujuk senarai kitab yang dirujuk di dalam nota kaki artikel ini. Itulah kitab-kitabnya. Jika mahu melihat gambar kitabnya, saya sertakan salah sebuah darinya yang amat penting. Semoga dapat membacanya dengan faham.

AKHIRNYA DIHARAP TUN DR MAHATHIR SUDI UNTUK MEMBACA ULASAN DAN JAWAPAN SAYA KEPADA SOALAN-SOALAN BELIAU INI.

Semoga beroleh manfaat, sekian
Zaharuddin Abd Rahman (UZAR)

No comments: