Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Sunday, June 17, 2012

Jawapan Isu HAJI dan PRU 13....


Saya tidak menyangka bahawa tulisan saya yang menyebut haji dan pilihan raya secara sepintas lalu menjadi polemik hangat beberapa hari. Saya hanya menyebut bahawa masyarakat Islam kebanyakannya tidak tahu perbezaan di antara wajib mudoyyak dan wajib muwassa' yang tidak ada dalam pelajaran fardu ain.

Apabila Ketua Penerangan PAS, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membuat kenyataan susulan, beliau menjadi sasaran serangan media Umno yang berpelurukan kenyataan berbagai pihak. Maka Umno tidak mengambil kira musim haji atau musim puasa dan sebagainya, kerana Umno tidak menjadikan Islam itu dasar panduan perjuangannya. Tuan Haji Subky Latif pernah menjadi sasarannya apabila menyentuh perkara ini ketika menjadi Ketua Penerangan PAS Pusat.

Media jurubicara UMNO mendedahkan kebebalan mereka berkenaan hukum Islam dan mendedahkan kejahilan pemimpin utama mereka sendiri, seterusnya mendedahkan ada di kalangan tokoh agama termasuk berjawatan mufti, bahawa roh dan jasadnya bersama UMNO. Paling malang dan menjadi lebai malang ialah kalangan yang jahilnya murakkab, tidak mengenali ilmu usul feqah dan maqasid syariah.

PAS tetap berpegang kepada ajaran Islam yang tidak memisahkan politik daripada agama Islam, walaupun politik tidak termasuk dalam rukun Islam seperti ibadah haji dan tidak termasuk rukun iman. Begitulah juga wajibnya menutup aurat dan menjelaskan hutang sesama manusia, perkara ini tetap wajib ditunaikan serta-merta, walaupun tidak dimasukkan secara sebutan dalam rukun Islam. Para ulama menegaskan bahawa perkara-perkara yang tidak disebut dalam rukun itu, tetap termasuk dalam rukun pertama dua kalimah syahadah dan tidak boleh dipisahkan daripada mana-mana rukun iman.

Dalam perkara wajib, para ulama usul fiqh bukan sahaja membahagikan kepada fardu ain dan fardu kifayah. Perkara wajib juga dibahagikan dari segi kesesuaian kadar waktu menunaikannya, sama ada wajib disegerakan, tidak boleh ditangguh, yang dinamakan wajib mudoyyaq seperti puasa Ramadhan dan sembahyang di akhir waktu. Ada juga wajib yang boleh ditangguh kerana luas waktunya dan tidak berdosa menangguhkannya seperti haji dan sembahyang wajib yang lama masanya di awal waktu. Perkara ini dinamakan wajib muwassa'.

Apabila bertembung dua perkara yang sama wajibnya, maka didahulukan kepada menunaikan wajib mudoyyaq seperti wanita kematian suami yang wajib menunaikan idah berada di rumah dalam masa beberapa bulan yang ditetapkan oleh Al Quran, dalam masa yang sama dia berharta dan mampu menunaikan haji kali pertama yang wajib dan menjadi rukun Islam. Hukumnya hendaklah menunaikan idahnya terlebih dahulu, wajib berada di rumah kerana wajibnya mudoyyaq dan menangguhkan haji kerana wajibnya muwassa'. Walaupun perkara idah tidak termasuk dalam rukun Islam. Begitu juga dengan seseorang yang cukup duitnya menunaikan haji, dalam masa yang sama dia berhutang dan diminta membayar segera, maka hendaklah membayar hutangnya terlebih dahulu atau keluarga wajib diberi nafkah, maka tunaikan nafkah dengan cukup terlebih diutamakan walaupun perkara-perkara tersebut tidak termasuk dalam rukun Islam.

Rasulullah S.A.W menangguhkan ibadat hajinya walaupun diwajibkan lebih awal, ada kalangan ulama yang menyatakan sejak zaman Nabi Adam. Ada yang menyatakan sejak zaman Nabi Ibrahim dan ada yang menyatakan di tahun ketujuh hijrah. Rasulullah S.A.W membebaskan Makkah (Fathul Makkah) daripada Jahiliyyah terlebih dahulu daripada menunaikan haji dan menghadapi qabilah Hawazin dalam peperangan Hunain. Walaupun banyak harta dan bekalan berada dalam tangan melimpah ruah dan sudah masuk bulan Syawal (bulan haji), namun terus pulang ke Madinah tanpa menunaikan haji.

Rasulullah S.A.W menugaskan sahabatnya Abu Bakar R.A supaya memimpin umat Islam menunaikan haji pada tahun kesembilan hijrah. Adapun Rasulullah S.A.W menangguhkan haji sehingga tahun kesepuluh hijrah, sebelum sedikit kewafatan baginda. Para ulama menegaskan bahawa wajib haji adalah muwassa', boleh ditangguh dan Rasulullah S.A.W mendahulukan urusan politik negaranya dengan menerima rombongan yang datang menyerah diri masuk Islam atau sedia berdamai.

Dalam peristiwa Hudaibiyah pula, Rasulullah dan para sahabat telah memakai pakaian ihram bagi menunaikan umrah. Tiba-tiba dihalang memasuki Makkah dan berakhir dengan perjanjian Hudaibiyah yang salah satu syaratnya menangguhkan umrah. Maka ditangguhkan umrah dan dibayar dam (denda) tanpa menunaikan umrah pada tahun tersebut. Umrah ditangguh kerana perjanjian Hudaibiyah memberi kemenangan politik yang tidak boleh ditangguhkan.

Kepada PAS, pilihanraya adalah amalan politik yang menjadi hak memilih pemimpin dan kerajaan. Politik adalah sebahagian daripada ajaran Islam, walaupun pilihanraya itu dikatakan asalnya dari Barat. Passport dan visa haji juga berasal daripada Barat, kedua-duanya tidak termasuk dalam syarat dan rukun haji. Para ulama usul Fiqh menetapkan kaedah bahawa perkara yang menjadi halangan menunaikan yang wajib kalau tidak melakukannya menjadi wajib juga. Begitulah pilihanraya adalah cara memilih pemimpin dan kerajaan yang menjadi perkara wajib mengikut semua mazhab Islam dengan nas dan ijmak, kecuali mazhab yang sesat. Al Quran menyebut ayat-ayat yang banyak dalam beberapa surah menunjukkan memilih pemimpin dan kerajaan adalah perkara yang akan dihisab pada hari qiamat nanti. Amaran ini berulang kali lebih banyak daripada ayat haji dan umrah.

PAS tetap mendidik ahli dan penyokongnya bahawa politik tidak boleh dipisahkan daripada agama Islam, laksana tidak boleh dipisahkan kepala dengan badan. Imam Al Ghazali seorang tokoh ulama tasawuf juga menegaskan, "Agama adalah asas, kuasa pemerintahan (politik) adalah pengawas. Kalau tidak ada asas runtuh, kalau tidak ada pengawas, hilang tercicir". Maka banyak hukum-hakam Islam dihilangkan kerana politik Islam ditinggalkan. Almarhum Syed Alawi Al Haddad, Mufti Kerajaan Johor ditahun 50-an menyatakan dalam fatwanya yang diterbitkan berkenaan kewajipan pilihanraya dan parti mana yang wajib dipilih. Kepada imam-imam yang masih kuat menyokong UMNO di Johor, sila cari buku fatwa ini.

PAS yang bersama Pakatan Rakyat, sekiranya diberi kuasa memerintah negara tidak mengizinkan musim haji menafikan hak rakyat menunaikan kewajipan politik ini tanpa mengira menang atau kalah, kerana hak politik adalah amanah besar dalam ajaran Islam. Rasulullah S.A.W menegaskan bahawa menghilangkan amanah ini menjadi salah satu sebab berlakunya kiamat yang menamatkan alam dunia dengan kehancurannya.

Akhirnya percayalah bahawa diam lebih baik daripada bercakap kejahilan, kerana bercakap dalam perkara yang tidak diketahui mendedahkan kebodohan diri sendiri. Beginilah jadinya apabila lesen memandu dijual, boleh membawa kemalangan. Kalau tauliah ilmu juga boleh dijual beli dengan harta dan pangkat, boleh menyesatkan orang ramai. Namun cahaya ilmu Islam pasti bersuluh dan dipelihara Allah. Sesiapa yang mengkhianati ilmu Islam pasti tersungkur akhirnya.

Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang
Presiden PAS

No comments: