Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Friday, September 21, 2012

Takut, Gelojoh, Murung dan sifat Amarah tidak wujud di dalam diri para Nabi



Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang  yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang  dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah;  mereka itulah orang-orang yang benar. (QS. Al-Hujurat, 15)

Firman Allah yang bermaksud, "Percaya sepenuhnya tanpa  ragu-ragu" menjadi prinsip dasar dari keimanan yang sebenar bagi orang-orang yang beriman. Jadi, jika seorang muslim  percaya pada kewujudan Allah, ia tidak akan merasa ragu dan akan mempunyai penuh keyakinan terhadap Allah dalam keadaan apa sekalipun. Dia sentiasa sedar  bahawa Allah sentiasa melihat dan mendengar perbuatannya pada setiap saat, dan ia mematuhi perintah dan ajaran Allah sepanjang hidupnya, dengan menerapkan nilai moral yang indah yang diperintah Allah ke atasnya. Ia begitu yakin tentang adanya hidup selepas mati. Ia sedar bahawa hidup matinya ditangan Allah dan ia boleh mati bila-bila masa sahaja dan akan dibawa ke muka pengadilan di mahkamah Allah. Keimanan ini menguatkan keyakinannya, sebagaimana yang disebutkan oleh Allah di dalam Al-Quran.


Seperti yang kita lihat di dalam ayat tersebut, Allah memuji orang-orang yang mempunyai  keimanan yang tinggi terhadap Allah dan Rasul dan orang-orang yang berjuang di jalanNya bagi menentang fahaman yang tidak mengakui adanya agama dan Tuhan yang benar. Namun, tidak setiap orang yang mengaku memiliki iman  mempunyai ketinggian iman seperti yang disebutkan tadi. Allah juga menyebutkan perihal orang-orang yang memiliki iman yang lemah dan dalam banyak ayat-ayat Al-Quran, memberi amaran kepada mereka yang lemah imannya ini.

Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula ( kepada kekufurannya ). ( Dengan sikap itu )rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata.    (QS. Al-Hajj, 11)

Pastinya orang yang benar-benar percaya, akan menyerahkan seluruh jiwa dan raganya dan ia tidak akan melencong dari nilai moral yang telah ditentukan oleh Allah dalam setiap saat kehidupannya. Dia akan menunjukkan sikap yang paling murni, paling suci dan mempunyai adab sopan yang paling indah, dengan harapan Allah akan meredhainya, walau dalam apa keadaan sekalipun. Dia akan mengucapkan kata-kata yang terbaik, akan  berjuang dengan cara yang paling bijaksana, berani dan dengan penuh kesabaran. 

Setiap muslim yang mencintai Allah, yang berasa senang mencintai Allah, akan merasa takut akan azab Allah dan orang yang berserah  hanya kepada-Nya akan dapat mencapai keimanan yang tinggi yang telah dicapai oleh semua para nabi. Yang penting adalah untuk menunjukkan komitmen yang konsisten dan berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah, dan tidak pernah lupa bahawa tidak ada kuasa selain Allah, serta menjadikan Allah sebagai teman dan meletakkan sepenuh kepercayaan hanya kepadaNya dalam setiap detik kehidupan. Seseorang mukmin yang memenuhi semua ciri-ciri keimanan ini dengan sepenuh jiwa dan raganya akan menjalani kehidupan dunia ini mirip kehidupan di syurga. Ia menjauhi perangai buruk seperti marah, terburu-buru, panik, ketakutan dan kesedihan yang semuanya merupakan nilai yang jauh  dari nilai-nilai moral yang disaran oleh Al-Quran. Dengan demikian, ia mencapai tahap keimanan yang hampir sama dengan tahap keimanan para nabi dan para ulama, sementara ia amat berharap menjadi salah seorang hamba yang disenangi oleh Allah.

Dalam memahami tahap keimanan sebenar yang diperolehi melalui cinta yang mendalam dan tekad yang kuat, kita dapat menjadikan kehidupan para nabi sebagai contoh kepada kita.  Nabi Isa (AS) misalnya menunjukkan sikap orang yang memiliki iman yang tinggi pada keseluruhan peringkat kehidupannya. Dia sentiasa tunduk kepada perintah Allah dalam menghadapi kesulitan-kesulitan yang timbul, melihat kebaikan dalam segala hal, tidak pernah menyerah kalah di atas segala kemudharatan yang menimpa dan selalu menunjukkan sikap yang matang. Dalam menghadapi kelemahan iman para pengikutnya, beliau menunjukkan kematangannya dengan mengajak mereka ke jalan yang lurus secara lembut dan penuh kasih sayang kerana beliau tahu bahawa Allahlah yang menciptakan mereka sebegitu. Beliau memohon kepada Allah supaya menguatkan iman mereka.

Dan ( ingatlah ) ketika orang-orang Hawariyiin berkata,'' Wahai ‘Isa Ibni Mariam! Daptkah kiranya Tuhanmu berkenan menurunkankepada kami satu hidangan dari langit ? Nabi ‘Isa menjawab, “ Bertaqwalah kamu kepada Allah jika benar kamu orang-orang yang beriman “

Mereka berkata, "Kami hanya ingin hendak makan dari hidangan itu ( untuk mengambil berkat ) dan supaya tenang tenteram hati kami dan juga untuk kami ketahui dengan yakin, bahawa sesungguhnya engkau telah berkata benar kepada  kami, dan supaya menjadilah kami  orang-orang yang menyaksikannya sendiri."


'Isa ibni Mariam ( pun berdoalah ke hadrat Allah dengan ) berkata: “ Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang adahari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda ( mukjizat ) daripadaMu ( yang menunjukkankebesaran dan kekuasaanMu; dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi rezeki “   (QS. Al-Ma'ida, 112-114)

Dia menjawab kepada Allah dengan jawapan yang baik ketika ditanya oleh Allah, sambil memuji and memuliakan Allah. Beliau telah menunjukkan kasih yang mendalam kepada Allah dan pengabdian yang tinggi dengan kata-kata yang penuh hormat dan patuh kepada perintah dan larangan Allah. Jika kita melihat ayat-ayat di bawah ini tentang ketulusan kata-kata Nabi Isa (AS), kita akan dapat melihat perasaan hormat dan cinta yang mendalam terhadap Allah. Maka ketulusan dan keimanan ini merupakan penunjuk yang jelas tentang cinta yang mendalam dan rasa takut yang amat sangat terhadap azab Allah. Inilah keimanan yang sebenarnya.

Dan ( ingatlah ) ketika Allah berfirman,'' Wahai ‘Isa Ibni Mariam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: "Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah?" Nabi ‘Isa menjawab, “ Maha Suci Engkau ( wahai tuhan )! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak ( mengatakannya ). Jika ada aku mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau telah mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu, kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib.

Aku tidak mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaku mengatakannya, iaitu: " Sembahlah kamu akan Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu dan adalah aku menjadi pengawas terhadap mereka ( dengan membenarkan yang benar dan menyalahkan yang salah ) selama aku berada dalam kalangan mereka; kemudian  apabila Engkau sempurnakan tempohku, menjadilah Engkau sendiri yang mengawasi keadaan mereka dan engkau jualah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu.


“ Jika Engkau menyeksa mereka, ( maka tidak ada yang menghalanginya ) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang  Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" (QS Al-Ma'ida, 116-118)


Seorang Muslim yang menjadikan nabi sebagai model akan sentiasa mengharapkan pertolongan dari Allah ke atas segala dugaan yang dihadapi, sentiasa menurut perintah Allah, menghindari dari sikap yang tercela dan selalu mendekatkan diri kepada Allah dan AlQuran dengan perilaku yang mulia dan layak untuk menjadi seorang yang beriman.

No comments: