PERUTUSAN MAAL HIJRAH.
Parti Islam Se-Malaysia PAS mengucapkan selamat menyambut maal hijrah kepada seluruh umat Islam di Malaysia dan dunia amnya. Peristiwa hijrah adalah peristiwa besar yang memberi pengajaran bermakna kepada kita khususnya rakyat Malaysia dalam berdepan dengan pilihanraya.
Tindakan pertama Rasulullah SAW selepas hijrah dalam membangunkan negara Madinah ialah mendirikan masjid
dan keduanya membina pasar. Kedua tindakan nabi ini adalah simbolik kepada pembangunan insan dan pembangunan ekonomi yang dititik beratkan dalam membina sesebuah negara. Masjid adalah tempat membangunkan manusia untuk bertaqwa kepada Allah dan menghubungkan manusia sesama mereka. Manakala pasar pula sebagai pusat kegiatan ekonomi yang kedua penting dalam membangunkan negara.
Sudah lebih setengah abad Malaysia merdeka dalam keadaan rasuah dan jenayahnya yang sangat parah. Ia telah merosakkan negara dan rakyat sehingga menjadikan negara dan rakyatnya mundur. Begitu juga dengan agihan ekonomi yang berlaku secara tidak adil. Yang kaya dikalangan kroni terus menerus menjadi kaya dan yang miskin terus miskin walaupun keras berusaha. Perkara ini tidak tepat dengan kehendak Islam.
Oleh itu mengambil semangat hijrah, perlu untuk kita berubah dengan meletakkan kepimpinan negara kepada manusia yang amanah yang bukan sahaja mampu membangunkan negara, tetapi amanah dalam pemerintahan dan adil layanannya kepada rakyat.
Disamping itu kita sebagai individu muslim juga mesti berubah kearah yang lebih baik dalam amal ibadah dan kefahaman kita untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Semoga tahun baru hijrah ini akan membawa perubahan bermakna kepada seluruh dunia kearah melihat dunia yang lebih adil dan terkeluar daripada kezaliman, peperangan dan penindasan yang banyak berlaku dimasa ini
No comments:
Post a Comment