Badiuzzaman Said Nursi dilahirkan pada tahun 1873
di kampung bernama “Nurs”, di timur Anatolia. Nama “Nursi” ialah sempena nama
kampung ini. Beliau menerima pendidikan asas daripada para ulama terkenal di
daerahnya. Ketika masih muda, beliau telah menunjukkan kecerdikan dan kemampuan
yang luar biasa untuk belajar. Hal ini membuatkannya terkenal di kalangan
guru-guru, kawan-kawan dan orang ramai. Ketika berusia 16 tahun, beliau
mengalahkan beberapa ulama terkemuka yang telah menjemputnya ke satu majlis perbahasan
(ketika itu perbahasan ialah satu amalan biasa di kalangan ulama). Kemudian
beliau terus mengalahkan berbagai kumpulan ulama lain sebanyak beberapa kali
dalam majlis perbahasan. Selepas peristiwa ini, beliau pun digelar Badiuzzaman
(Kekaguman Zaman).
Pengalaman pendidikan yang telah beliau lalui telah
membukakan fikirannya untuk memikirkan cara untuk menghasilkan sistem
pendidikan yang bersepadu. Ketika itu, dunia sedang memasuki satu zaman baru
yang membawa angin perubahan. Satu zaman di mana sains dan lojik memainkan
peranan penting. Beliau berpendapat ilmu agama perlu diajar di sekolah-sekolah
moden dan sekular, sebaliknya ilmu sains moden pula perlu diajar di
sekolah-sekolah agama. Katanya, “Dengan cara ini, para pelajar di sekolah moden
dilindungi dari kekufuran dan para pelajar di sekolah agama akan dilindungi
dari sikap taksub”.
Dalam usaha merealisasikan cita-citanya, beliau
telah pergi ke Istanbul sebanyak dua kali. Kali pertama adalah pada tahun 1896
dan kali keduaya adalah pada tahun 1907. Beliau cuba meyakinkan Sultan Abdul
Hamid agar membina sebuah universiti di Anatolia yang mengajar ilmu agama dan
ilmu sains secara bersepadu.
Ketika bercakap dengan Sultan Abdul Hamid,
Badiuzzaman menggunakan bahasa yang agak kasar sehingga menyebabkan beliau
dibicarakan di mahkamah tentera. Di mahkamah tentera pula, beliau masih
menggunakan bahasa yang sama. Lantaran terkejut dengan hal ini, para hakim
mahkamah tentera telah menghantarnya ke sebuah hospital sakit jiwa untuk
diperiksa. Walaubagaimanapun, doktor yang memeriksanya melaporkan “Jika
Badiuzzaman gila, maka tidak akan ada seorang manusia siuman pun di dalam dunia
ini”. Dengan ini, beliau pun dibebaskan.
Kebebasan Pertama
Sering kali Badiuzzaman menjadi sasaran tuduhan
(fitnah) yang bertentangan dengan niat dan cita-citanya. Ketika berlakunya
pemberontakan Mac 31, 1909, beliau telah ditangkap dan dibicarakan di mahkamah
tentera atas tuduhan mencetuskan kekacauan. Sebenarnya, beliau telah cuba
mententeramkan keadaan dan telah berjaya melakukannya pada sesuatu peringkat
tertentu. Ketika mayat-mayat orang yang dihukum gantung masih di tiang gantung
di luar tingkap mahkamah, Badiuzzaman telah berjaya berhujah mempertahankan
diri dan akhirnya telah dibebaskan.
Selepas itu, beliau kembali ke Timur Anatolia dan
melawat kawasan-kawasan terpencil untuk menerangkan kepada rakyat bahawa
gerakan pembebasan yang sedang ditubuhkan di Turki tidak bertentangan dengan
Islam. Beliau telah memberitahu mereka bahawa semua bentuk pemerintahan kuku
besi (diktator) ditolak oleh undang-undang Islam. Perundangan Islam akan
berkembang dan menunjukkan kemuliaannya di dalam suasana yang bebas merdeka.
Kemudian beliau telah mengumpulkan syarahan-syarahannya itu di dalam sebuah
buku bertajuk Perbahasan.
Pada musim sejuk tahun 1911, Badiuzzaman pergi ke
Damsyik untuk menyampaikan khutbah di Masjid Umayyad. Para pendengarnya
termasuklah 100 ulama yang terkenal. Dalam ceramahnya, beliau berkata bahawa
tamaddun sebenar yang berada pada Islam akan berdiri tegak di dunia moden ini.
Selepas itu, beliau pergi ke Istanbul sekali lagi untuk meneruskan usahanya
agar sebuah universiti didirikan di Anatolia Timur. Badiuzzaman merupakan wakil
bagi timur Turki yang mengiringi Sultan Muhammad Resyad melawat Rumelia (daerah
Balkan). Ketika di Kosovo Metohija, di mana Sultan bercadang untuk membina
sebuah universiti, beliau pun berkata, "Kawasan Timur lebih memerlukan
sebuah universiti kerana ia merupakan pusat Dunia Islam." Beliau berjaya
meyakinkan Sultan Muhammad Resyad agar menyediakan peruntukan sebanyak 19,000
lira untuk tujuan itu. Beliau kemudian pergi ke Van dan meletakkan batu asas
universiti tersebut. Tetapi malangnya, pembinaan universiti tersebut tidak
dapat disiapkan kerana Perang Dunia Pertama meletus.
Dalam Perang Dunia Pertama, Badiuzzaman menjadi
pemimpin pasukan sukarelawan di medan perang Kaukasia dan Anatolia Timur.
Keperwiraan yang telah ditunjukkan oleh beliau di medan pertempuran mendapat
pujian dari para panglima Tentera Turki Uthmaniah, termasuklah Anwar Pansya,
Menteri Perang dan Ketua Turus Tentera ketika itu. Pasukannya telah digelar
“Pasukan Topi Bulu”. Pasukan ini telah menggerunkan tentera Russia dan
pengganas Armenia. Di medan perang inilah beliau telah menulis tafsirnya yang
bertajuk “Isyaaratul I'jaz” di dalam bahasa Arab. Karyanya ini ditulis ketika
beliau menunggang kuda di barisan hadapan dan di dalam kubu-kubu pertahanan.
Tafsir ini kemudianya mendapat penghargaan daripada para ulama terkenal.
Dalam satu pertempuran menentang pencerobohan
tentera Rusia, Badiuzzaman dan 90 orang pegawai lain ditawan. Beliau dihantar
ke khemah tahanan perang di Kostromaa, iaitu di barat laut Russia dan ditahan
di situ selama 2 tahun.
Badiuzzaman pernah dijatuhkan hukuman tembak sampai
mati kerana menghina Jeneral Nicholas Nicolavich, Ketua Turus Tentera Rusia di
medan perang Kaukasia, yang juga merupakan bapa saudara Czar, Raja Russia.
Walau bagaimana pun, hukuman itu kemudianya dibatalkan. Peristiwa itu adalah
seperti berikut:
Pada satu hari, Jeneral Nicholas Nicolavich melawat
khemah tahanan tersebut dan berjalan di hadapan Badiuzzaman tetapi ulama itu
tidak bangun menghormatinya. Bila ditanya mengapa beliau berbuat demikian,
beliau lantas berkata, “Saya seorang ulama Islam dan di dalam hati saya ada iman.
Sesiapa saja yang ada iman di dalam hatinya adalah lebih mulia daripada mereka
yang tiada. Saya tidak boleh bertindak bertentangan dengan iman saya.” Akibat
dari peristiwa itu beliau kemudianya dibicarakan di mahkamah tentera dan
dijatuhkan hukuman mati. Sebelum hukuman dijalankan, beliau telah sempat
bersolat di hadapan pasukan penembak. Jeneral Nicholas Nicolavich melihat
kelakuannya itu dan datang kepadanya untuk meminta maaf. Jeneral itu berkata
beliau kini telah sedar bahawa Badiuzzaman bertindak demikian kerana ingin
berpegang teguh kepada imannya. Beliau pun meminta maaf atas gangguan tersebut.
Sungguh sedih sekali kerana penghormatan yang diberikan oleh orang Russia,
musuh lama orang-orang Islam tidak ditunjukkan oleh sebahagian orang-orang Turki
yang telah menyebabkan beliau menjalani hidup yang penuh dengan berbagai
penderitaan.
Kekacauan yang meletus kerana Revolusi Komunis,
memberi peluang kepada Badiuzzaman untuk melepaskan diri. Selepas melalui satu
perjalanan yang jauh, beliau pun sampai ke Istanbul dalam tahun 1918. Di
Istanbul, beliau dianugerahkan sebuah pingat penghormatan atas sumbangannya di
medan perang. Anuar Pasya, telah menawarkan kepadanya beberapa jawatan di dalam
kerajaan tetapi beliau menolak. Namun begitu, atas cadangan pihak tentera
beliau dilantik menjadi anggota Darul Hikmah Al Islamiah tanpa pengetahuanya.
Beliau tidak membantah kerana jawatan ini adalah jawatan ilmiah semata-mata.
Semasa negara Turki diceroboh oleh tentera penjajah
selepas kalah dalam Perang Dunia Pertama. Badiuzzaman telah menunjukkan
penentangan yang terang-terangan kepada penjajah British. Hal ini hampir
membuatkan nyawanya melayang. Di antara kata-kata yang ditujukan kepada pihak
British yang ditulis di dalam akhbar harian ialah, “Wahai anjing yang dianjingkan
ke peringkat anjing yang tertinggi” dan “Ludahlah muka British yang terkutuk
dan tidak tahu malu itu”. Lantaran itu beliau menjadi sasaran komplot bunuh
pihak British. Dengan pertolongan Allah beliau terpelihara daripada ancaman
tersebut dan terus berhadapan dengan tugas dan cabaran-cabaran baru yang sedang
ditunggunya.
Dalam tahun 1922, kerajaan Turki telah menjemputnya
ke Ankara tetapi beliau menolak. Akhirnya, selepas dijemput sebanyak 18 kali,
barulah beliau bersetuju pergi ke Ankara. Beliau disambut oleh Dewan
Perhimpunan Kebangsaan (Parlimen Turki) di Ankara dengan penuh istiadat.
Walaubagaimanapun, beliau mendapati apa yang ada di Ankara tidaklah serupa
dengan apa yang diharapkannya. Kebanyakan para perwakilan di Dewan Perhimpunan
Kebangsaan lalai menunaikan kewajipan agama. Pada 19 Januari 1923, beliau
mengeluarkan satu kenyataan untuk para perwakilan mengajak mereka menunaikan
kewajipan bersolat. Hasilnya ialah, pada mulanya 50 hingga 60 daripada mereka
mula menunaikan solat dan kemudiannya angka ini semakin bertambah.
Badiuzzaman menghabiskan masanya selama lapan bulan
di Ankara dan kemudian ke Van. Beliau menghabiskan dua tahun di Van dengan
mengasingkan diri, beribadat dan berzikir. Sementara itu, satu pemberontakan
berlaku di timur Turki. Para pemberontak meminta sokongan Badiuzzaman kerana
beliau sangat berpengaruh di kalangan rakyat tetapi beliau menolak dengan
berkata, “Pedang hendaklah digunakan ke atas musuh dari luar. Ia bukanlah untuk
digunakan di dalam negeri. Hentikan usaha kamu itu kerana ia akan gagal. Ia
akan mengakibatkan beribu-ribu orang lelaki dan wanita yang tidak bersalah
terbunuh lantaran tindakan beberapa orang penjenayah”.
Sekali lagi Badiuzzaman difitnah dan
mengakibatkannya dibuang ke Burdur. Di Burdur, beliau dikenakan pengawasan
ketat dan menderita akibat penindasan dari pihak berkuasa. Hal ini langsung
tidak menyekatnya dari menyebarkan kebenaran iman kepada orang ramai di
sekelilingnya dan mengumpulkan segala hasil penulisannya dalam bentuk buku.
Kegiatannya ini telah dapat dikesan lalu dilapurkan ke Ankara dan satu
rancangan diatur untuk menyekatnya. Pihak berkuasa kemudiannya menghantarnya ke
Barla pula, sebuah tempat terpencil di bahagian tengah Anatolia. Tempat
tersebut dikelilingi bukit-bukau dan mereka berharap Badiuzzaman akan mati di situ dalam keadaan tidak bermaya dan
keseorangan.
Kemunculan
Risale-i Nur (Risalah Yang Bercahaya)
Sebenarnya penyebaran iman bukanlah sesuatu yang
perlu dibimbangkan. Berdakwah juga bukanlah satu jenayah yang melayakkan nyawa
seseorang diancam. Namun begitu, hal ini dianggap satu jenayah pada ketika itu.
Pada masa itu, kezaliman menyelubungi negara Turki dengan segala kegelapan dan
kezaliman. Azan telah diharamkan. Beratus-ratus masjid telah digunakan untuk
tujuan bukan keagamaan. Perancangan telah dijalankan untuk memutuskan negara
Turki daripada zaman silamnya yang terkenal dengan segala nilai-nilai akhlaknya
yang mulia. Sesiapa yang bercakap mengenai agama memerlukan keberanian. Ketua
Jabatan Percetakan Kerajaan boleh mengarah sidang pengarang akhbar memotong
sebarang makalah yang menyentuh isu agama dalam tempoh 10 hari atas alasan
merbahaya kerana boleh menyemai konsep agama di dalam pemikiran para belia.
Dalam suasana beginilah Badiuzzaman Said Nursi
memasuki bahagian kedua hidupnya yang digelarnya "Said Jadid” (Said Baru).
Bahagian kedua dalam hidupnya ini ditumpukan sepenuhnya kepada penulisan dan
penyebaran mengenai iman dan Islam. Kebenaran iman ialah kebenaran sejagat yang
terpenting. Membangkitkan semula iman dan Islam menjadi matlamatnya apabila
beliau berkata, “Saya akan buktikan kepada dunia bahawa Al-Quran ialah matahari
rohani yang tidak akan luntur dan tidak akan padam”. Maka itulah yang
diperjuangkannya. Badiuzzaman tidak mati keseorangan di Barla tetapi yang
muncul ialah “Said Jadid” yang seumpama matahari, menyinari dunia sains dan
budaya. Semenjak itulah, beliau telah menyinari berjuta-juta manusia dengan
cahaya iman.
Di Barla, pengawasan ketat dan penindasan sedang
menunggu Badiuzzaman. Musuh-musuhnya masih belum mengenalinya lagi. Inilah
orang yang ditakuti tentera Russia ketika Perang Dunia Pertama. Inilah orang
yang sanggup meludah ke muka orang British yang menjajah Istanbul. Inilah orang
yang berjaya terlepas dari tali gantung sebanyak beberapa kali. Walau
bagaimanapun, mereka kemudian mengenalinya juga apabila terpaksa berkata,
“Segala apa yang kami lakukan selama 25 tahun yang lepas tidak berjaya menyekat
Said Nursi dari meneruskan kegiatannya”.
Beliau telah menghabiskan hidupnya di Barla selama
8 tahun setengah di bawah penindasan yang dahsyat. Dalam tempoh tersebut,
beliau sempat menulis 3 suku daripada Risale-i Nurnya. Tafsirnya ini kesemuanya
ditulis dengan tangan kerana pengarang dan para pelajarnya tidak mampu
menyediakan belanja percetakan. Sekalipun mereka mampu, mereka tidak diberi
kebebasan berbuat demikian. Tugas menulis tafsir ini dengan tangan adalah kerja
merbahaya pada ketika itu. Mereka yang melakukannya telah disiksa di dalam
penjara dan balai-balai polis. Pada masa yang sama, berbagai usaha dijalankan
untuk menyekat orang ramai dari menghubungi Badiuzzaman.
Sebanyak 600,000 naskah ditulis dengan tangan.
Ketika itu penulisan atau penyebaran walaupun hanya
1 karya agama bukanlah sesuatu yang sesiapa pun berani lakukan. Inilah
perjuangan berani yang berterusan yang menjadi pilihan Badiuzzaman dan para
pelajarnya. Apabila keadaan di mana Risale-i Nur ditulis dan disebarkan ke
seluruh Anatolia diambil kira, maka betapa benar kata Maryam Jameelah,
“Tidaklah keterlaluan untuk mengatakan bahawa apa saja keimanan Islam yang
masih ada di Turki pada ketika itu adalah atas usaha tanpa penat dari
Badiuzzaman Said Nursi”.
Mereka yang memahami intipati iman melalui Risale-i
Nur mencapai tahap keimanan yang kental sehingga mampu menunjukkan keberanian
dan keperwiraan Islam yang hebat. Badiuzzaman, yang mewakili roh Risale-i Nur
sendiri telah menjadi pemimpin bagi ratusan ribu pelajar dan kini telah
mencapai jutaan pelajar yang menghayati karya tersebut. Beliau menjadi contoh
kepada orang-orang Islam lain di Turki ketika itu. Beliaulah penyokong mereka
di hari-hari yang penuh bahaya, seumpama seorang ketua tentera yang memberi
galakan kepada tenteranya melalui keberanian dan kewibawaannya sendiri. Dengan
ini, mereka pun berjaya menghilangkan ketakutan dan syak wasangka dari hati
orang ramai dan maruah negara dikembalikan. Mereka telah membawa harapan dari
kelegaan dan menyelamatkan orang-orang Islam daripada rasa cemas dan kecewa.
Pada tahun 1935, Badiuzzaman bersama 125 orang
pelajarnya telah ditahan dan dibicarakan di Mahkamah Jenayah Eskisehir. Dalam
tempoh perbicaraan berlangsung, mereka terpaksa menghabiskan selama 11 bulan di
dalam penjara Eskisehir yang penuh dengan penderitaan. Walaupun begitu, mereka
masih membawa harapan dari kelegaan dan menyelamatkan orang-orang Islam
daripada perasaan cemas dan kecewa.
Badiuzzaman kemudianya dipindahkan ke Kastamonu
selama 7 tahun. Di sana, Beliau masih terus menulis dan menyebarkan Risale-i
Nur. Oleh sebab beliau dan para pengikutnya tidak diberi kebebasan, mereka
telah menubuhkan rangkaian pengirim Risale-i Nur yang dinamakan “Posman Nur”
(Nurju). Hasilnya, Posman Nur telah berjaya menyebarkan sebanyak 600,000 naskah
Risale-i Nur ke seluruh Anatolia.
Pada tahun 1943, beliau bersama 126 orang
pelajarnya telah ditahan dan dibicarakan di Mahkamah Jenayah di Denizli. Kali
ini beliau dituduh mencetak secara rahsia satu risalah di Istanbul mengenai
kewujudan Tuhan.
Perjuangannya tidak pernah reda sama ada dalam
buangan mahupun di penjara. Di dalam penjara, beliau telah bertindak memulihkan
para banduan dan penjenayah yang dianggap tidak berguna oleh masyarakat. Beliau
juga telah berjaya menghasilkan karya-karya baru walaupun kertas dan pen tidak
dibenar masuk ke dalam penjara. Jadi, karyanya ditulis atas cebisan-cebisan
kertas yang dikoyak dari kampit-kampit kertas. Karyanya kemudian diseludup
keluar di dalam kotak-kotak mancis. Karyanya yang berjudul “Buah-buah Iman”
telah ditulis dengan cara ini.
Perbicaraan di Denizli berakhir dengan keputusan
beliau dibebaskan sebulat suara. Tetapi ini tidak bermakna beliau telah
diberikan kebebasan sepenuhnya. Atas arahan daripada pihak berkuasa di Ankara,
beliau pun dihantar ke sebuah bandar lain bernama Emirdag.
Kebebasan yang sudah lewat
Bagi Badiuzzaman, Emirdag juga sama dengan
tempat-tempat yang lain. Sekali lagi beliau diawasi, ditindas dan diancam.
Namun begitu, beliau terus memperjuangkan iman dan Islam. Tenmpohnya di Emirdag
sekali lagi berakhir dengan penangkapanya. Kali ini beliau bersama dengan 53
pelajarnya telah ditahan dan dihantar ke Mahkamah Jenayah Afyon untuk
dibicarakan. Beliau dipenjarakan di penjara Afyon selama 20 bulan. Kekejaman di
penjara ini adalah lebih teruk berbanding yang lain. Badiuzzaman ketika itu
berumur 75 tahun dan sedang menderita berbagai penyakit. Pihak berkuasa telah
meletakkannya di sebuah bilik penjara bersendirian yang mempunyai
tingkap-tingkap pecah walaupun beliau uzur. Di dalam bilik penjara bertingkap
pecah inilah Badiuzzaman menghabiskan dua musim sejuk yang sangat mencabar.
Apabila melihat musim sejuk pun tidak dapat membunuhnya, maka musuhnya telah
meracuninya (ada pendapat mengatakan beliau diracun sebanyak 19 kali). Ketika
beliau menderita kesakitan akibat racun tersebut, beberapa orang pelajarnya
memberanikan diri untuk menolongnya tetapi telah dibelasah dengan kejam sekali.
Akhirnya hukuman ke atas Badiuzzaman telah
dibatalkan oleh Mahkamah Agung. Walau bagaimanapun, Mahkamah Agung telah
mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan. Mahkamah membatalkan hukuman
tersebut setelah Badiuzzaman dan para pengikutnya menghabiskan tempoh penjara
yang sama panjang dengan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Afyon. Lapan
tahun kemudian, akhirnya dalam tahun 1956, Mahkamah tersebut mengistiharkan
mereka tidak bersalah selepas mereka menghabiskan dua tahun dalam penjara yang
teruk.
Pilihanraya bebas dan adil yang pertama telah
diadakan di Turki pada tahun 1950. Sistem pelbagai parti telah menggantikan
sistem 1 parti. Pemerintahan kejam Parti Republikan Rakyat yang tidak suka pada
agama telah tamat. Pelbagai bentuk kebebasan dan hak mula diikhtiraf. Satu
zaman baru telah bermula bagi sejarah Republik Turki. Pengharaman ke atas azan
telah dibatalkan dalam sidang pertama parlimen baru Turki. Dalam tahun-tahun
berikutnya, Badiuzzaman terlibat dalam hanya 1 perbicaraan saja. Dalam
perbicaraan di Istanbul ini, beliau tidak ditahan. Keputusannya ialah beliau
dibebaskan sebulat suara.
Selepas hampir seabad berkhidmat untuk iman dan
Islam, Badiuzzaman Said Nursi kembali ke rahmatullah pada pagi 23 hb. Mac,
1960. Beliau telah pergi dengan penuh kemuliaan dan kemenangan. Hasil karyanya
akan terus menyinari abad ini dan abad-abad yang mendatang. Kasih sayang yang
dipupuknya akan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi untuk
selama-lamanya.
Pandangan terhadap Risale-i Nur
Badiuzzaman telah memahami sebab yang paling
penting dalam keruntuhan dunia Islam sebagai kelemahan dalam asas keimanan.
Kelemahan ini bersama serangan-serangan pada asas keimanan pada abad ke 19 dan
20 ini yang dijalankan oleh fahaman kebendaan, ateis dan lainnya atas nama
sains dan kemajuan menjadikannya insaf bahawa keperluan yang mustahak dan
genting adalah untuk menguatkan dan menyelamatkan keimanan. Apa yang diperlukan
adalah untuk mengerahkan semua tenaga untuk membangunkan ajaran Islam melalui
asas keimanan dan untuk menjawab persoalan-persoalan keimanan ini pada tahap
yang diperlukan dengan “Jihad yang Maknawi” atau “Jihad dengan Ayat”.
Dalam masa penahananya, Badiuzzaman telah menulis
satu koleksi karya yang digelar Risale-i Nur, yang menerangkan dan menghuraikan
asas-asas keimanan dari kebenaran Al-Quran kepada manusia moden. Metodologi
yang digunakannya adalah dengan menganalisis keimanan dan kekufuran serta
menunjukkan melalui hujah-hujah yang rasional dan terang bahawa bukan sahaja
keimanan boleh dibuktikan, kesemua kebenaran yang terkandung dalam keimanan
seperti keujudan Tuhan dan keEsaanNya, kerasulan dan kebangkitan manusia di
hari akhirat dalam bentuk jasad juga dapat diterangkan sebagai satu satunya
penjelasan yang rasional dari keujudan manusia dan alam semesta ini.
Dalam menjelaskan keadaan yang sebenarnya dari
tujuan utama penciptaan manusia dan alam semesta ini, Risale-i Nur menunjukkan
bahawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat hanya boleh diperolehi dalam
keimanan dan ilmu ketuhanan. Ia juga menunjukkan akibat dari kekufuran,
menyebabkan roh manusia dan hatinya mengalami kesakitan dan kesedihan yang amat
sangat di mana biasanya orang-orang yang sesat berusaha untuk menghilangkannya
melalui kelalaian dan menolak kenyataan. Oleh itu, sesiapa yang mempunyai
sebarang kesedaran boleh mengambil perlindungan dengan cara berpegang kepada
keimanan.
Berikutnya adalah beberapa petikan yang di utarakan
oleh tokoh-tokoh Islam ketika ini keatas Badiuzzaman dan Risale-i Nur:
Dalam sejarah Islam, tiga pergerakan Islam berikut
telah bangkit dan meyerupai satu dengan yang lain di mana setiap satunya telah
memainkan peranan yang besar dalam
memelihara keimanan orang-orang Islam : 1. Pergerakan Imam Rabbani, Shaykh
Ahmad Sirhindi di India. 2. Pergerakan
Abdulhamid ibnu Badis di Algeria 3. Pergerakan Badiuzzaman Said Nursi di Turki.
Prof. Abdul Wadud Celebi
(Universiti Al-Azhar,Mesir)
Saya percaya bahawa penulisan dalam Risale-i Nur
sahajalah yang melihat dengan secukupnya dan menyeluruh kepada kosmos seperti
keadaaannya yang sebenarnya, menyampaikan keimanan dengan pentafsiran Al-Quran
seperti yang dikehendakki oleh Rasul kita, mencari sebab penyakit yang
menjangkiti manusia moden dan menawarkan ubat yang dapat menyembuhkan
penyakit-penyakit ini dengan sepenuhnya. Sesungguhnya saya berkepecayaan bahawa
pengarang Risale-i Nur layak untuk di gelar Mujaddid.
Dr. Colin Turner (Telah memeluk Islam)
(Universiti Manchester,England)
No comments:
Post a Comment