“Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah malam Lailatul Qadar. Malam lailatul Qadar lebih baik dari 1000 bulan. Malaikat dan ruh turun pada malam itu dengan izin Tuhan mereka dari setiap perkara. Sejahtera malam itu hingga terbit fajar” (Surah Al-Qadr).
Malam Lailatul Qadar disebut didalam ayat Al-Quran dan banyak Hadis Rasulullah saw. Beribadah pada malam itu lebih baik dari beribadah 1000 bulan atau 83 tahun, menyamai umur panjang seorang insan. Beribadah pada malam adalah tersebut termasuk solat, tilawah Al-Quran, istighfar, berzikir dan sebagainya seperti ibadah di dalam Qiyamullail pada malam-malam yang lain.
Berikut adalah Hadis-hadis Sahih riwayat Iman Al-Bukhari mengenai Malam Lailatul Qadar.
Dari Abu Hurairah ra dari Rasulullah saw bermaksud, “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh iman dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. Sesiapa yang mendirikan solat malam Lailatul Qadar dengan penuh iman dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”.
Beberapa orang Sahabat diperlihatkan malam lailatul Qadar didalam mimpi pada Tujuh Malam Terakhir. Lalu Rasulullah saw bersabda bermaksud, “Aku lihat mimpi kamu kena pada Tujuh Malam Terakhir, maka sesiapa yang mencarinya, carilah pada Tujuh Malam Terakhir”.
Sabda Rasulullah saw bermaksud, “Aku diperlihatkan Malam Lailatul Qadar kemudian aku lupa – atau dilupakan – maka carilah ia pada malam ganjil dari Sepuluh Malam Terakhir. Sesungguhnya aku melihat aku sujud di dalam air dan tanah. Sesiapa yang telah beriktikaf bersama aku (di pertengahan Ramadan) maka datanglah semula (untuk beriktikaf di Akhir Ramadan)”. Para Sahabat ra berkata, “Lalu kami kembali (beriktikaf) dan kami melihat Qaza’ah di langit, datang awan dan turun hujan hingga basah bumbung Masjid yang diperbuat dari pelepah kurma. Solat pun didirikan dan aku melihat Rasulullah saw sujud di dalam air dan tanah, hingga aku lihat kesan tanah di dahinya”.
Dari Aisyah ra berkata Rasulullah saw bersabda bermaksud, “Carilah malam Lailatul Qadar pada malam ganjil dari Sepuluh Malam Terakhir di bulan Ramadan”.
Dari Aisyah ra berkata Rasulullah saw bersabda bermaksud, “Carilah malam Lailatul Qadar pada Sepuluh Malam Terakhir di bulan Ramadan”… dari Ibnu Abbas ra berkata bermaksud, “Carilah malam Lailatul Qadar pada Malam Ke 24″.
Dari Aisyah ra berkata, “Adalah Rasulullah saw apabila masuk Sepuluh Malam Terakhir, Baginda saw mengikat ketat pakaiannya, menghidupkan malamnya (dengan ibadah) dan membangunkan isteri-isteri dan ahli keluarganya”.
Mengenai Iktikaf pula, saya perturunkan Hadis-hadis Sahih riwayat Al-Bukhari mengenainya di bawah ini :
Dari Abdullah bin Omar ra berkata, “Adalah Rasulullah saw beriktikaf pada Sepuluh Terakhir Ramadan”.
Dari Aisyah ra berkata, “Adalah Rasulullah saw beriktikaf pada Sepuluh Terakhir Ramadan sehingga Allah mewafatkannya. Kemudian selepas itu, isteri-isterinya pula beriktikaf”.
SEMOGA KITA SAMA-SAMA MENDAPAT
MALAM LAILATUL QADAR
MALAM PROMOSI PAHALA DARIPADA
ALLAHU HAQ
LOVE GOD
No comments:
Post a Comment