Dalam sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w., syura merupaka amalan serta budaya baginda dan para sahabat. Ini dilakukan dalam perkara-perkara yang besar seperti dalam menentukan strategi peperangan.
Dalam kes menentukan strategi dalam Perang Badar dan Uhud, syura dilaksanakan bagi menentukan kedudukan yang paling baik bagi menempatkan tentera muslimin. Hasil syura dengan para sahabat dalam Perang Khandaq juga telah menatijahkan kesepakatan untuk membina parit bagi menghadapi kaum musyrikin.
Amalan syura juga merupakan kaedah bagi merungkai perbezaan pandangan yang semestinya wujud dalam setiap gerakan Islam. Bagi gerakan Islam yang gagal menghayati amalan syura, sudah pasti akan timbul suasana "bantah-membantah" dan ini telah diberi amaran oleh Allah s.w.t. untuk kita mengelakkannya.
Maksud firman Allah s.w.t. dalam surah al-Anfal, ayat 46:
“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; nanti kamu lemah (kalah) serta hilang kekuatanmu, dan hendaklah kamu berhati sabar. Sesungguhnya Allah bersama-sama orang-orang yang sabar.”
Syura adalah amalan Rasulullah SAW. Syura dihayati bagi membantu mencapai keputusan yang paling hampir dengan kebenaran. Syura dilaksanakan bukan untuk mencari siapa menang dan siapa kalah atau siapa kuat dan siapa lemah. Roh dan semangat ini jauh menyimpang daripada tuntutan Allah s.w.t. dalam melaksanakan syura. Jesteru itu pendukung Gerakan Islam hendaklah sentiasa meningkatkan keikhlasan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. dalam melaksanakan perintah Allah s.w.t. untuk mengikut keputusan Syura.
Amalan syura ini merupakan petunjuk Allah s.w.t. yang penting bagi mencapai kecemerlangan Gerakan Islam.
Firman Allah s.w.t. dalam surah Ali Imran, ayat 159, yang bermaksud:
“Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonlah keampunan bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah (syura) dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian sesudah engkau berazam (setelah melaksanakan syura untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”
Umum sudah ketahui syura PAS pada muktamar yang lepas telah membuat keputusan bahawa PAS akan bersama PR bukan dengan BN. Sekiranya Hasan Ali dan Nasaruddin Mat Isa terus memberi komen dan pandangan mereka di media tanpa menghiraukan keputusan syura dan pimpinan yang menyebabkan pihak musuh mempunyai ruang untuk menyerang PAS maka mereka berdua wajib dipulaukan oleh seluruh ahli PAS sehingga mereka kembali kepada perjuangan Gerakan Islam.
Firman Allah SWT:-
"Dan terhadap 3 orang yang ditangguhkan penerimaan taubatnya oleh ALLAH SWT, sehingga mereka merasakan bumi ALLAH SWT yang luas ini menjadi begitu sempit. Dan sehinggakan mereka merasakan diri mereka juga begitu sempit. Dan mereka merasakan bahwa mereka tidak dapat melarikan diri daripada azab ALLAH SWT. Kemudiannya ALLAH SWT menerima taubat mereka, supaya mereka tetap dalam keadaan bertaubat. Sesungguhnya ALLAH SWT itu, adalah Tuhan yang Maha menerima taubat."
Ayat yang diatas ini merupakan satu ayat yang menceritakan kepada kita suatu kisah yang berlaku kepada 3 orang sahabat Nabi s.a.w., iaitu Kaab bin Malik, Hilal bin Umaiyyah dan Marrarah bin ar-Rabbi`. Di dalam kitab tafsir al-`Azim, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dan ditulis kembali oleh Ibn Kathir; menceritakan bagaimana satu riwayat yang diceritakan sendiri oleh Kaab bin Malik tentang peristiwa yang berlaku terhadap beliau berkaitan dengan ayat tadi.
Dimana Kaab bin Malik menceritakan bagaimana sebab turun ayat tadi adalah berkaitan dengan Kaab bin Malik sendiri, Hilal bin Umaiyyah dan Marrarah bin ar-Rabbi`. Peristiwa itu berlaku ketika Nabi s.a.w. memerintahkan umat Islam supaya bersiap-sedia bagi menghadapi peperangan Tabuk (menghadapi tentera Rumawi timur ketika itu). Maka dengan perintah itu, keluarlah semua para sahabat termasuklah Kaab bin Malik, pergi mencari bekalan. Maklumlah, oleh kerana mereka akan menghadapi suatu perjalanan yang begitu jauh (memakan masa begitu lama, serta mengharungi padang pasir yang begitu panas), maka bekalan secukupnya amatlah perlu.
Lalu diceritakan bila Kaab bin Malik keluar mencari bekalan; pada hari pertama dia pulang dengan "tangan kosong". Begitulah juga dengan hari ke2, ke3 dan seterusnya; sehinggalah sampai pada hari sehari sebelum Nabi s.a.w. bersama-sama dengan tentera-tentera ALLAH keluar pun, masih lagi Kaab bin Malik gagal mendapatkan bekalan. Maka dengan kerana itu, Kaab bin Malik pun mengambil keputusan untuk tidak menyertai Nabi bersama-sama dengan sahabat-sahabat yang lain pergi berperang.
Namun demikian, Kaab bin Malik tetap merasa susah hati bila dia tengok Nabi keluar bersama dengan sahabat-sahabat yang lain. Dia merasa kecewa, bimbang dan khuatir dengan kesilapan yang telah dilakukannya. Walaupun kesilapannya itu nampaknya kecil, tetapi Kaab bin Malik tetap merasa susah hati. Maka dia rasa tak sabar-sabar untuk menunggu Nabi s.a.w. pulang daripada peperangan Tabuk untuk dia minta ampun/maaf kepada Nabi dan untuk menyatakan taubatnya kepada ALLAH SWT.
Maka apabila selesai peperangan Tabuk dan Nabi s.a.w. pun kembali ke Madinah, lalu Kaab bin Malik pun pergi berjumpa dengan Nabi dan memberitahu sebab-sebab mengapa dia tidak dapat menyertai peperangan Tabuk. Sebelum dia berbuat demikian, didapatinya bahwa ada juga orang-orang Islam yang lain yang pergi minta maaf kepada Nabi kerana mereka juga tidak pergi perang bersama.
Berbagai-bagai alasan yang mereka bagi; seperti tidak sihat, uzur dan fizikal mereka lemah umpamanya. Dan didapati oleh Kaab bahwa Nabi s.a.w. telah mengampunkan mereka. Dengan apa yang dilihat oleh Kaab itu, maka timbul lintasan dihatinya untuk berbohong kepada Nabi, supaya dia juga dimaafkan oleh Nabi. Tetapi pada masa yang sama, dia juga merasakan kalau dia berbohong kepada Nabi, maka dia akan mendapat dosa yang besar di sisi ALLAH SWT. Oleh kerana tidak sanggup untuk berbohong kepada Nabi, lalu akhirnya, Kaab mengambil keputusan untuk berterus terang kepada Nabi s.a.w.
Lalu Kaab pun memberitahu kepada Nabi bahwa dia sebenarnya seorang pemuda yang sihat, serta mempunyai 2 ekor unta tunggangan yang baik; cumanya dia tidak dapat pergi kerana dia gagal untuk mendapatkan bekalan yang cukup untuk persiapan menghadapi peperangan Tabuk.
Walaupun perkara itu kecik, tetapi di dalam jemaah perkara itu amat besar untuk memenangkan Gerakan Islam. Lalu Nabi s.a.w. mengeluarkan satu kenyataan terhadap 3 orang sahabat tersebut, iaitu hendaklah mereka diboycott oleh seluruh penduduk Madinah ketika itu. Apabila Kaab tahu yang perintah pemulauan terhadap mereka bertiga ini telah pun dikuat-kuasakan, maka dia pun pulang ke rumah, menyuruh isterinya berkemas untuk dihantar balik ke kampungnya, kerana isterinya juga turut wajib memulaukan suaminya sendiri.
Setelah Kaab keseorangan tanpa isteri, dia pun keluar pergi ke pasar dengan harapan ada orang yang akan sapa dia. Tetapi harapannya meleset kerana semua orang pakat buat tak tau saja kat dia. Maka mulalah Kaab merasa susah hati dengan boycott yang dikenakan ke atas dirinya. Kemudian Kaab pergi ke masjid pula, bukan saja untuk berjemaah, malah dengan harapan supaya boleh bertegur sapa dengan Nabi s.a.w. dan para sahabat yang lain.
Tetapi rupa-rupanya perkara yang sama seperti di pasar tadi, berlaku lagi sekali di masjid. Kaab merasa sungguh kecewa bila salamnya tidak disambut oleh Nabi, malah Nabi memaling mukanya daripada Kaab supaya mata mereka saling tidak bertembung. Begitu jugalah dengan sahabat-sahabat yang lain, hingga dalam masjid pun mereka memulaukan Kaab bin Malik, Hilal bin Umaiyyah dan Marrarah bin ar-Rabbi`. Keadaan sebegini, membuatkan Kaab begitu tertekan sekali jiwanya. Menyebabkan Kaab merasakan yang bumi ALLAH SWT yang sebegini luas, dirasanya terlalu sempit. Perintah boycott oleh Nabi s.a.w. ke atas 3 sahabatnya itu berlarutan selama 50 hari 50 malam.
Sehinggalah pada suatu ketika pada waktu Subuh, dimana para sahabat r.a. dengan tiba-tiba mengerumuni ke arah Kaab bin Malik untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepadanya kerana ALLAH SWT telah menerima taubat Kaab bin Malik. Sepertimana firman ALLAH, "Kemudian taubat mereka diterima, supaya mereka tetap dalam keadaan bertaubat kepada ALLAH SWT."...Lalu Kaab bin Malik, dengan perasaan begitu gembira, pergi mencari Nabi s.a.w.. Bila saja bertemu dengan Nabi, lalu Kaab tanya kepada Nabi, "Adakah ini keputusan daripada Nabi ataupun keputusan daripada ALLAH SWT, untuk menerima taubat ku?"…Lalu Nabi berkata kepada Kaab, "Bahwa ini adalah keputusan daripada ALLAH. Maka ia bukan keputusan daripada aku."…Setelah diperjelaskan oleh Nabi sedemikian, maka Kaab merasa begitu gembira sehinggakan berkata Kaab kepada Nabi s.a.w., "Sebagai tanda kesyukuran ku kepada ALLAH, aku menyerah seluruh harta benda aku ini pada jalan ALLAH SWT."…Setelah mendengar ucapan daripada Kaab bin Malik itu, maka Nabi s.a.w pun memberi nasihat kepada Kaab, "Janganlah bagi semua wahai Kaab. Simpanlah separuh harta mu itu untuk keperluan kamu."
Justeru itu Hasan Ali dan Nasaruddin Mat Isa perlu kembali kepada Syura dan arahan Pimpinan, sekiranya tidak dilakukan ia akan merugikan, sedangkan ada cara lain lagi yang boleh diselesaikan tanpa kenyataan di media. sedangkan mereka berdua masih lagi diperlukan untuk kemenangan yang semakin hampir ini. seperti kata Harun Taib (Ketua Dewan Ulama') dan Nasaruddin Tantawi (Ketua Pemuda PAS). Hasan Ali dan Nasaruddin Mat Isa amat diperlukan untuk perjuangan Gerakan Islam PAS.
No comments:
Post a Comment