MYANMAR, Penduduk yang Berhadapan Dengan Kezaliman Penganut Budda
Myanmar (sebelum ini dikenali sebagai Burma) mempunyai rakyat seramai 48 juta orang, 15 peratus daripadanya beragama Islam. Bakinya kebanyakan beragama Budda. Umat Islam tinggal di kawasan Arakan yang terletak di negara tersebut.
Arakan merupakan sebuah kawasan yang paling kaya dari segi simpanan minyak dan gas asli, dan penduduknya telah memeluk Islam melalui pedagang-pedagang Arab. Perubahan ke arah Islam memuncak dengan penubuhan kerajaan Islam pada tahun 1430. Negara ini telah bertahan selama 350 tahun, sehinggalah penganut Budda menamatkannya dengan menakluki Arakan.
Serta-merta selepas umat Islam kehilangan kuasa politiknya pada tahun 1783, penganut Budda Burma telah memulakan polisi menindas dan malah secara fizikal cuba menghapuskan umat Islam. Negara ini kemudian dikoloni oleh British sehingga akhir abad ke-19.
Kempen anti-Islam yang dilancarkan oleh penganut Budda semakin rancak pada abad ke-20, dan terjadilah peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Arakan pada tahun 1942 yang mengakibatkan kematian kira-kira 100,000 umat Islam. Beratus-ratus ribu yang lain pula sama ada lumpuh atau dihalau dari tanah mereka sendiri.
Burma mendapat kemerdekaan pada tahun 1948 dengan berakhirnya pemerintahan British. Namun, pemerintah yang baru telah menjadikan kehidupan umat Islam lebih huru-hara. Jeneral komunis Ne Win, yang mendapat kuasa melalui rampasan kuasa ketenteraan pada tahun 1948, telah menggerakkan kesemua pasukan bagi menghapuskan seluruh umat Islam. "Program Parti Sosialis Burma" telah menggunakan segala macam cara untuk memesongkan umat Islam dari agama mereka.
Ini bermakna umat Islam telah kehilangan semua hak-hak politik. Semua kemudahan pendidikan Islam, masjid-masjid dan tempat yang serupa telah ditutup. Masjid-masjid telah ditukar menjadi pusat hiburan ataupun kuil Budda. Mengerjakan haji, berkorban di bulan Haji, solat berjemaah dan segala macam bentuk ibadah yang lain telah diharamkan. Kesan daripada tekanan-tekanan yang dilakukan, sesetengah rakyat yang beragama Islam lari meninggalkan negara itu. Walaupun berlakunya perpindahan, majoriti rakyat di Arakan masih beragama Islam. Jeneral Ne Win dengan itu meningkatkan lagi tekanan, dan melakukan tangkapan-tangkapan yang tidak sah dan seterusnya mendera mereka. Akibatnya, lebih sejuta umat Islam dipaksa meninggalkan Burma. Untuk menyembunyikan kebuasan yang dilakukan, kerajaan Burma enggan membenarkan kemasukan wartawan asing dan juga pelancong selama bertahun-tahun.
Rejim militari di Myanmar memulakan perang besar-besaran ke atas umat Islam, terutama ke atas masjid-masjid, para imam dan orang-orang soleh. Para pelajar Islam juga dipaksa menerima ajaran Buddha di Arakan. Wanita-wanita Islam dibawa ke kem-kem, dengan alasan untuk memberi “latihan profesional,” dan kemudian dirogol. Sesiapa yang didapati hamil akan dipaksa mengahwini mana-mana ahli pasukan keselamatan Buddha. Perkampungan dimusnahkan, rumah ditukar menjadi stesen polis, dan mereka yang kehilangan rumah berhadapan dengan kelaparan dan kemiskinan.
Berdasarkan kepada laporan pertubuhan hak-hak asasi manusia antarabangsa, kira-kira 20,000 umat Islam Arakan telah dibunuh oleh rejim penindas ini di antara tahun 1962 sehingga 1984. Beratus-ratus wanita diperkosa dan semua harta benda milik umat Islam telah dirampas. Komunikasi dalam negeri telah digunakan untuk menyebarkan pembohongan dan fitnah terhadap Islam. Pada 1978, kerosakan yang dilakukan oleh askar memaksa lebih 200,000 umat Islam melarikan diri ke Bangladesh dalam keadaan yang sangat memayahkan. Mereka kembali di bawah perlindungan PBB pada 1979.60
Untuk menggambarkan Arakan sebagai sebuah wilayah Buddha, kerajaan Ne Win telah memulakan operasi pelarian di bawah nama “Naga Raja.” Rakyat yang tinggal di perkampungan-perkampungan kecil dipaksa berpindah ke kem-kem. Kampung-kampung dan masjid-masjid dimusnahkan, ramai yang dibunuh, dirogol, ditangkap dan didera. Pada tahun 1978, seramai 200,000 umat Islam meninggalkan Arakan dan melarikan diri ke Bangladesh. Namun kem-kem pelarian di negara itu hanya memberikan sebuah kemiskinan, kelaparan dan penyakit. Gambar-gambar ini sudah cukup untuk memeberikan idea tentang keadaan mereka yang berada di kem pelarian Rohingya.
Selepas perletakan jawatan Ne Win pada tahun 1988, pelbagai pentadbiran awam dan militari telah silih berganti, dan lebih dari 3,000 orang telah dibunuh dalam satu kebangkitan yang tercetus ketika itu. Pada 1992, kira-kira 700 orang umat Islam minoriti yang tinggal di sempadan Bangladesh telah dihapuskan. Lebih dari 1,000 orang menjadi mangsa pembunuhan pada tahun 1994.
Kes wanita Islam yang dirogol dan didera di Myanmar masih terdapat dalam laporan hak-hak asasi manusia setiap tahun. Namun disebabkan oleh faktor-faktor tertentu, Barat masih terus membisu.
Salah satu masalah paling berat yang sedang dihadapi oleh umat Islam yang tidak bersenjata di Myanmar ialah mereka tidak berupaya untuk berkomunikasi dengan dunia luar untuk memberitahu apa yang sedang terjadi ke atas diri mereka. Ini kerana kerajaannya menghalang seseorang dari memasuki negara itu dengan jalan darat, dan walaupun seseorang boleh memasukinya dengan jalan udara, namun banyak kawasan yang ditutup kepada orang asing. Adalah sesuatu yang sukar untuk mengetahui perkara-perkara yang dikenakan ke atas umat Islam Myanmar.
Satu lagi layanan buruk yang dikenakan berlaku pada tahun 1990-an, yang mana ketika itu kira-kira 200,000 orang lagi terpaksa melarikan diri ke Bangladesh.61 Para pelarian yang lari dari penindasan Myanmar kemudian mendapati mereka sedang berhadapan dengan sebuah drama kemanusiaan yang menakutkan. Bangladesh merupakan sebuah negara Islam yang miskin, dan ia tidak mampu memberikan makanan dan tempat perlindungan kepada pelarian dari Myanmar, walaupun ia membenarkan kemasukan mereka.
Semua umat Islam mesti menghayati tangisan dan jeritan meminta tolong dari Myanmar dan juga Bangladesh. Di dalam al-Quran, Allah mengarahkan manusia supaya membantu orang-orang miskin, mereka yang dihalau dari rumah dan juga mereka yang memerlukan. Ia menjadi satu tugas bagi setiap umat Islam untuk menyediakan persekitaran yang selesa kepada mereka yang dihalau, sedia berkorban untuk membantu mereka, dan memberikan sokongan serta menunjukkan rasa kasih sayang kepada mereka. Contoh-contoh tersebut telah diberitahu di dalam al-Quran, yang telah memberikan contoh terbaik yang patut diikuti oleh umat Islam terhadap mereka yang diusir dari tempat tinggal masing-masing:
Bagi para fakir yang berhijrah, yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka, (kerana) mencari kurnia Allah dan keredaan-Nya, dan mereka menolong Allah dan rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar. (Al-Hasyr, 59:8)
Dan orang-orang yang telah berada di kota Madinah dan telah beriman (iaitu orang-orang Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (iaitu orang-orang Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka. Dan mereka tidak menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka, dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung. (Al-Hasyr, 59:9)
Seperti yang telah diwahyukan di dalam Al-Quran, orang-orang mukmin adalah mereka yang menghulurkan tangan persaudaraan kepada seseorang yang mereka cintai. Apabila sikap yang tersangat mulia ini dapat diamalkan di seluruh dunia, maka sudah pastilah masalah kemiskinan dan juga masalah-masalah lain yang sedang dihadapi oleh para pelarian akan dapat diatasi.
KUALA LUMPUR: Sempena Ramadhan al Mubarak, seluruh ummat Islam prihatin digesa untuk mengadakan Munajat Perdana dan Bantah Kekejaman ke atas Ummat Islam Rohingya.
Munajat dan bantahan ini akan dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri - negeri dengan kerjasama ngo - ngo Islam yang lain di setiap masjid negeri masing - masing di seluruh negara.
Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan berkata, program ini akan diadakan serentak di seluruh negara selepas Solat Jumaat
27 Julai 2012 ini di semua masjid negeri seluruh negara.
"Dewan Pemuda PAS Malaysia mengharapkan seluruh Ummat Islam bangkit berdoa dan bermunajat kepada Allah Azza wa Jalla agar menyelamatkan Ummat Islam Rohingya sekaligus menghancurkan regim zalim yang melakukan pembersihan etnik ke atas ummat Islam Rohingya," kata Nasrudin dalam kenyataannya.
Pemuda PAS, katanya, turut menggesa agar Kerajaan Malaysia mengambil satu langkah berkesan untuk memastikan ummat Islam Rohingya tidak lagi disembelih dan dibantai sedemikian kejam.
Melalui Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Malaysia, katanya, memorandum rasmi akan dihantar ke Wisma Putra dan juga kepada pihak bertanggungjawab di peringkat antarabangsa seperti OIC, NAM dan lainnya untuk segera mengambil tindakan menghentikan kekejaman tersebut.
No comments:
Post a Comment