Kisah Ibn Taimiyyah bertemu Raja Tartar
Satu ketika Ibn Taimiyyah bersama dengan sejumlah ulama Damsyik pergi berjumpa dengan Raja Tatar yang bernama Qazan. Raja Tatar tersebut mendakwa telah menganut Islam, tetapi melakukan penyelewengan dan kezaliman terhadap umat Islam. Ibnu Taimiyyah masuk untuk menasihatinya. Dengan nada tegas dan mesej yang jelas Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah menasihati Raja Qazan berkenaan.
Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah kepada penterjemah Raja Qazan:
“Beritahu Qazan, engkau mendakwa engkau seorang muslim, aku dengar bersama engkau ramai ulama. Habis mengapa engkau memerangi negeri kami? Bapa dan datuk engkau Hulako dahulu adalah kafir, tetapi mereka tidak menyerang negeri kami, sebaliknya membuat perjanjian. Adapun engkau berjanji tetapi mungkir, berkata tetapi tidak tunaikan.”
Kemudian berlangsunglah dialog antara Ibn Taimiyyah dan Raja Qazan. Selepas itu Raja Qazan berkenaan menjamu sekelian yang hadir ke majlis tersebut dengan hidangan. Kesemua yang hadir makan dengan lazatnya. Namun Ibn Taimiyyah tidak mahu makan. Lalu Raja Tatar itu bertanya: “Mengapa engkau tidak mahu makan?”.
Jawab Ibn Taimiyyah:
“Bagaimana aku hendak makan, kesemua ini adalah hasil rampasanmu ke atas harta orang ramai? Kamu pula memasaknya dengan menggunakan kayu yang kamu potong daripada pokok-pokok milik orang ramai!”.
Kata Raja Qazan: “Berdoalah untukku”.
Kata Ibn Taimiyyah:
“Ya Allah, jika hambaMu ini seorang yang mulia, berperang untuk meninggikan kalimahMu, maka bantulah dia, kuatkan kerajaannya. Namun jika dia berperang kerana menunjuk-nunjuk, untuk mengangkat dirinya dan menghina Islam, maka ambillah tindakan terhadapnya”.
Ulama-ulama yang sedang makan dengan asyik hidangan Raja Tatar itu, masing-masing mengangkat jubah mereka. Lalu Ibn Taimiyyah bertanya mereka:
“Mengapa kamu semua mengangkat jubah?”.
Jawab mereka: “Kami bimbang jika Raja memancung kepala engkau, nanti darah engkau akan terkena jubah kami”.
Apabila keluar dari majlis berkenaan mereka berkata kepada Ibn Taimiyyah: “Engkau telah telah membahayakan kami, kami tidak mahu bersama dengan engkau lagi”.
Jawab Ibn Taimiyyah:
“Aku pun tidak mahu bersama kamu semua lagi” (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 14/92, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Saya memetik cerita ini bagi menggambarkan kadang-kala betapa ramai mereka yang memakai gelaran agama seperti ulama, syeikh, mufti dan seumpamanya yang mementingkan jubahnya agar tidak kotor atau tercemar lebih daripada mementingkan tanggungjawab mereka sebagai ilmuwan Islam untuk menegakkan kebenaran kerana Allah.
Jika Ibn Taimiyyah tidak makan kerana mengenangkan nilai makanan yang dijamu, sementara ramai ulama lain yang ‘sebat semacam’ dalam kegawatan pertarungan yang seperti itu, apakah ulama di zaman keresahan rakyat miskin kini disebabkan kenaikan harga barang, akan mencontohi sikap Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, atau akan tiru macam ulama-ulama dalam majlis Qazan itu lalu mereka juga akan ‘sebat semacam’ jamuan mewah yang melampaui batas yang patut menggunakan harta rakyat.
..saya menulis ini bertujuan untuk mengingatkan diri sendiri, bukan untuk orang lain. Ia boleh dibaca sebagai iktibar..
~ DrMaza.Com
p/s: Khusus untuk Ulama bingai, pembodek dalam Umno... hehe..
No comments:
Post a Comment