Pengajaran Dari Kisah Badar Kubra Untuk Pejuang Kebenaran
Pencinta-pecinta kebenaran akhir zaman perlu meneliti sejarah kemenangan Islam yang sebenar agar mereka tidak lari dari manhaj strategi perjuangan Rasulullah saw. Sebelum itu mari kita melihat kembali ringkasan sejarah ghazwah Badar Kubra walaupun ramai yang sudah tahu kisah ini. Peristiwa ini berlaku di tempat berhampiran wadi atau lembah Rahqan pada 17 ramadhan tahun 2 hijrah dan ia juga adalah tahun yang sama pensyariatan kepada Ibadah Puasa.
Apabila abu suffian mendengar berita tentera Islam ingin memintas kafilah pimpinannya, ia mengutuskan seorang utusan untuk mengadu hal itu kepada pasukan Qurais agar menggagalkan pasukan Islam. Dia juga telah bertindak melalui jalan tepi pantai sehingga dia selamat. Apabila mendengar utusan itu puak qurais pun bersiap sedia untuk berperang. Namun dalam perjalanan mereka ke Badar sampai pula surat dari abu sufian menyatakan ia selamat dan minta supaya pasukan Qurais kembali ke mekah semula. Namun Abu Jahal berkeras mengajak berperang sehingga akhirnya berlakulah peperangan di Badar.
Di dalam pertempuran itu pasukan Islam telah mencapai kemenangan yang besar. Jumlah tentera yang syahid adalah 14 orang iaitu orang yang pertama gugur syahid adalah Umair bin Humam Al-Ansari. Yang mati katak dari tentera Musyrikin ialah seramai 70 orang dan ditawan seramai 70 orang juga. Di antara orang yang termati katak adalah Abu Jahal atau nama arabnya Umar bin Hisyam, Utbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabiah, Umaiyyah bin Khalaf dan lain-lain yang tak terkenal pun.
Jadi tak perlu kita memanjangkan cerita disebabkan ramai yang sudah tahu kisah ini. Jadi yang perlu kita mengambil pengajaran dari peperangan ini adalah yang pertama wujudnya kebenaran untuk kita berkhilaf di dalam mengeluarkan pandangan di dalam strategi untuk berjuang. Apabila kita melihat Rasulullah saw juga menerima pandangan Al-Habbab bin Al-Munzir dalam menentukan perhentian tentera Islam di Badar. Lokasi stategi tentera Islam ialah berada hampir dengan sumber air.
Kedua Perancangan manusia berdepan dengan perancangan Allah swt. Iaitu Perancangan awal Rasulullah adalah untuk menyekat kumpulan perniagaan Abu Sufyan bin Harb yang dalam perjalanan balik ke Makkah dari Syam untuk merampas harta mereka sebagai ganti kepada harta kaum muslimin Makkah yang dirampas oleh musyrikin setelah penghijrahan muslimin ke Madinah.
Tidak semua perancangan yang kita rancangkan dapat dipraktikkan meskipun perancangan itu sempurna disisi kita. Ini kerana Allah maha mengetahui akan segalanya dan perancangannya adalah perancangan terbaik. Tapi kita sebagai petuga-petugas Allah tidak boleh hanya menunggu ketentuan Allah tanpa merancangkan apa-apa gerak kerja kearah meninggikan SyariatNya.
Ketiga Syura dalam setiap gerak.Nabi S.A.W telah meminta pandangan dari kaum Muhajirin serta kaum Ansar. Sehingga mendapat persetujuan dari kedua pihak, maka Nabi S.A.W meneruskan strategi baru mereka, Jihad menentang tentera Musyrikin Makkah pimpinan Abu Jahal bin Hisham.
Keempat keyakinan terhadap pertolongan Allah swt. Logik akal sekali-kali tidak akan mengakui bahawa 313 orang tentera muslimin mampu menewaskan musuh dari kuffar Quraisy yang jumlah 1000 orang. Samalah keadaanya di Negara kita yang mana kalau hendak di bandingkan dengan tentera ‘musuh’, amat mustahil tentera muslimin mampu mencapai kemenangan.
Tapi ini telah terbukti melalui peristiwa bersejarah di zaman Rasulullah di mana tentera Muslimin yang kebanyakkannya bersenjatakan pelepah tamar berjaya menewaskan Tentera kuffar yang lengkap bersenjata perang malah menerima bantuan dari kerajaan Makkah pimpinan Abu Jahal Ibn Hisyam.
Kelima Penyucian dosa iaitu persiapan wajib setiap gerakan Islam. Sebelum mara ke medan Badar, Rasulullah memohon maaf dari semua sahabat sehinggakan Baginda meminta kepada sesiapa yang tidak berpuas hati kepada baginda untuk membalas perbuatannya disitu juga. Lalu bangun sorang sahabat yang penah dipukul baginda menuju kearahnya. Baginda lantas menyelak perut dan bersedia dengan balasan yang akn diberi oleh sahabat tersebut. Namum apa yang terjadi ialah, sahabat itu meluru lantas mencium perut baginda Rasulullah.
Peristiwa sama berlaku pada zaman pemerintahan Khalifah Umar R.A. Ketika mana beliau ingin mengutuskan beberapa orang sahabat untuk berperang, beliau berpesan dalam khutbahnya yang berbunyai, “ sesungguhnya aku lebih takut akan dosa yang kamu lakukan dari kekuatan musuh”. Ini membayangkan kepada kita bahwa ‘tazkiyyatul nafsi’ amatlah penting kerana dengan ketiadaannya akan menyebabkan kerja-kerja dakwah bakal tergendalan dan jauh dari rahmat Allah yang menjadi faktor utama kejayaan kepada gerakan dakwah islamiyyah seluruh dunia.
Keenam Ketenangan kunci kejayaan.Malam sebelum peperangan, semua tentera islam tidur nyenyak dalam keadaan yang penuh ketenangan. Manakala selepas itu hujan turun sehingga membolehkan para sahabat mandi. Kata Nabi S.A.W dalam hadithnya yang bermaksud, “ terkejar-kejar dan gopoh-gapah itu dari Syaitan manakala ketenangan dan beransur-ansur itu dari (gerak-geri) tuhan Ar-Rahman”.
Dalam mempraktikkan gerak kerja dakwah, kita tidak boleh bergopoh dan ingin cepat mendapat hasil. Ianya perlu melalui tahap-tahap tertentu untuk mematangkan keadaan. Bekerja dalam jamaah semestinya memerlukan jiwa yang tenang kerana ketenangan itu akan menerbitkan idea-idea bernas yang diperlukan setiap masa di dalam jamaah.
Ketujuh Doa senjata mu’min.Rasulullah saw bermunajat berdoa kepada Allah sebelum mara ke medan Badar, “ya Allah, seandainya engkau hancurkan tentera ini, nescaya kau tidak akan di sembah selamanya.Sebagai seorang Gerakan Islam, doa sepatutnya menjadi amalan wajib sebagai satu sumber makanan rohani yang mampu mencetuskan satu perasaan pergantungan yang tinggi kepada Tuhan swt. Pergantungan ini pula haruslah disertai dengan keyakinan bahawa pertolongan itu pasti mendatangi kita.
Semoga Kebangkitan Islam akan berlaku di dalam masa terdekat ini dengan keyakinan dan usaha kita untuk menegakkan syariatnya. ‘Ya Allah menangkan Islam dengan berkat Ahli Badr, Ya Allah” 3x…………. Allahu Haq.
Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa dimuka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang Derhaka!!. (Annur:55)
No comments:
Post a Comment