Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Tuesday, April 14, 2009

MARI KITA GEMILANGKAN KEMBALI ISLAM




Pada era selepas tujuh ratus tahun hingga sekarang ini iaitu di kala mana empayar Islam telah runtuh dan umat Islam mula dijajah oleh kuasa-kuasa Barat, semakin banyak amalan dan cara hidup Islam ditinggalkan dan diganti dengan amalan-amalan dan cara hidup penjajah. Sekarang ini, tidak salah kalau kita anggarkan bahawa nisbah amalan Islam hanya tinggal satu walhal ilmunya tetap sepuluh, sama seperti di zaman Rasulullah SAW dahulu. Ilmu Islam tidak rosak. Ilmu Islam tidak berkurangan. Ilmu Islam tidak susut. Yang menjadi kurang, yang rosak dan yang susut ialah amalannya yang sudah banyak ditinggal dan dilupakan oleh umat Islam.

Maka terbuktilah kebenaran firman Allah yang berbunyi:

“Dan sekali-kali tidak akan redha kaum Yahudi dan Nasrani itu kepada engkau ya Muhammad selagi kamu tidak mengikut cara hidup mereka.”

Amalan yang tinggal di waktu ini hanyalah apa yang termaktub di dalam rukun Islam. Itu pun kerana ianya dijadikan rukun. Kalau tidak, mungkin amalan-amalan tersebut dilupakan juga. Amalan-amalan yang menjadi rukun ini, kalau tidak diyakini dan diamalkan, maka akan terjejas keimanan. Justeru itu, masih ada umat Islam yang bersolat walaupun ramai sudah tidak bersolat atau tidak tahu bagaimana hendak bersolat. Masih ada umat Islam yang berpuasa di bulan Ramadhan. Masih ada umat Islam yang membayar zakat dan masih ada yang menunaikan haji. Amalan-amalan yang lain yang tidak merupakan rukun, hampir kesemuanya sudah lenyap ditelan zaman.

Itu sebab Islam di zaman ini tidak syumul lagi. Itu sebab orang Islam tidak banyak bezanya dengan orang bukan Islam. Itu sebab umat Islam sudah hilang identiti mereka. Kecantikan dan keindahan Islam sudah tidak dapat dilihat lagi. Keselamatan dan kesejahteraan yang dijanjikan oleh Islam tidak dapat dirasakan lagi. Umat Islam berpecah-belah. Akhlak dan moral umat Islam runtuh menyapu bumi. Masyarakat umat Islam kucar-kacir. Ekonomi umat Islam mundur. Itu sebab juga umat Islam sudah tidak dihormati dan digeruni malahan dikeji dan dihina di seluruh dunia. Kebanyakan umat Islam hari ini hanya Islam pada keyakinan tetapi tidak Islam pada amalan. Lain yang diyakini, lain pula yang diamalkan. Mereka mengaku Islam tetapi cara hidup, cara berfikir dan cara menilai sangat kebaratan.

Bila dikembalikan semula amalan-amalan Islam yang telah ditinggalkan dan dilupakan, masyarakat menjadi huru-hara. Banyak mata yang terbeliak. Ramai yang terkejut. Ramai yang terpekik terlolong menuduh songsang dan sesat. Sedih. Umat Islam sendiri sudah tidak kenal Islam. Islam hanya tinggal rukun. Islam pada mereka hanya solat, puasa, zakat dan haji.

Umat Islam sudah lupa berpakaian secara Islam. Mereka sudah lupa makan minum dan bergaul secara Islam. Mereka sudah lupa berekonomi, menjalankan pelajaran dan pendidikan, berkebudayaan, bermasyarakat dan berpolitik secara Islam. Mereka sudah lupa bersahabat dan berjiran secara Islam. Mereka sudah lupa berhibur secara Islam. Mereka sudah lupa tentang had-had dan batas-batas yang ditetapkan oleh Islam.

Itu belum lagi diperkatakan tentang berekonomi secara Islam yang menentang penindasan, riba, monopoli dan pembaziran yang sangat berbeza dengan sistem kapitalis yang diamalkan yang hanya mementingkan untung berlipat ganda. Ataupun soal pelajaran dan pendidikan Islam yang membawa manusia kepada Tuhan dan bukan kepada kebendaan Atau soal kebudayaan Islam yang membawa kesedaran dan membina kehalusan akhlak manusia dan bukan yang melalaikan, merosakkan aqidah, akhlak, moral dan yang menggalakkan pergaulan bebas muda-mudi dan penggunaan dadah. Sistem sosial Islam yang berkasih sayang, bertolong bantu, kuat menguatkan, bersatu padu, penuh dengan kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan serta bukan sistem sosial yang menindas dan menekan, hidup cara nafsi-nafsi, yang kuat timbul yang lemah tenggelam seperti kehidupan haiwan di belantara atau seperti pokok di hutan yang berebut-rebut meninggikan pucuk masing-masing untuk mendapat cahaya matahari. Dan juga sistem pentadbiran Islam yang menyatu-padukan umat, yang adil, yang bebas dari krisis, pilih kasih dan perebutan kuasa, yang melagangkan ketuhanan dan bukan ideologi ciptaan manusia dan yang mementingkan pembangunan insan dan rohaniah lebih dari pembangunan material. Sudah begitu jauh cara hidup umat Islam kini dari cara hidup Islam yang sebenar. Cara hidup musuh dianggap Islam, cara hidup Islam dipandang serong, dimomok dan dikatakan ketinggalan zaman.

Untuk menebus kembali maruah umat Islam yang sudah punah-ranah ini, untuk membawa Islam kembali ke mercu kegemilangannya dan untuk menjadikan umat Islam ini pewaris bagi bumi Allah ini, maka kita perlu tingkatkan amalan Islam kita. Kita perlu hidupkan semula segala amalan-amalan Islam yang telah lama kita tinggalkan dan kita lupakan. Umat Islam perlu kembali kepada amalan Islam yang sebenar.

Kalaulah amalan Islam kita pada hari ini diibaratkan hanya satu dari sepuluh ilmu Islam yang ada, marilah kita tingkatkan amalan kita itu kepada dua, tiga, empat, lima dan seterusnya setakat mana yang kita mampu. Islam itu ialah iman, ilmu dan amal. Kalau tidak ada ketiga-tiga perkara ini, Islam tidak akan terlaksana. Islam akan hanya menjadi seperti benih yang belum ditanam. Pokoknya tidak ada. Kalau pokok Islam tidak ada, masakan dapat kita nikmati buahnya yang enak, lazat dan manis. Dengan ketiga-tiga perkara ini juga, Islam kita akan bertambah syumul dan bertambah syumul. Di atas kesyumulan inilah letaknya kasih sayang Tuhan. Di atas kesyumulan inilah letaknya nikmat, rahmat dan keampunan Tuhan. -Minda Ikhwan [LOVE GOD]