Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Saturday, July 28, 2012

Mencari Lailatul Qadar....





“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”

Nabi shallallahu’alaihi wa sallam pernah mengabarkan kita di beberapa sabda beliau tentang tanda-tandanya, iaitu:

Abi Ibnu Ka’ab telah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda mengenai lailatul qadar yang artinya : Sesungguhnya matahari yang keluar pada hari itu tidak begitu bercahaya (suram). – Hadis riwayat imam Muslim 


Dalam kitab puasa Telah diriwayatkan daripada Nabi S.A.W bahawa baginda telah bersabda yang artinya : 


Sesungguhnya tanda-tanda lailatul qadar, bahawa malamnya bersih suci seolah-olah padanya bulan yang bersinar, tenang sunyi, tidak sejuk padanya dan tidak panas, tiada ruang bagi bintang untuk timbul sehingga subuh, dan sesungguhnya tanda-tandanya matahari pada paginya terbit sama tiada baginya cahaya seperti bulan malam purnama tidak membenarkan untuk syaitan keluar bersamanya pada hari itu. – Hadis riwayat imam Ahmad dengan isnad jayyid daripada Ibadah bin As-Somit -


Dalam Mu’jam At-Tobarani Al-Kabir daripada Waailah bin Al-Asqa’ daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang artinya : Malam lailatul qadar bersih, tidak sejuk, tidak panas, tidak berawan padanya, tidak hujan, tidak ada angin, tidak bersinar bintang dan daripada alamat siangnya terbit matahari dan tiada cahaya padanya(suram).

Telah meriwayat Al-Barraz dalam musnadnya daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang artinya : Malam lailatul Qadar bersih tidak panas dan tidak pula sejuk.

· Untuk tanda tanda terjadinya malam LailatulQadar:

Nota Ringkas Tanda-tanda Lailaul Qadar:-

1. Udara dan suasana pagi yang tenang
Ibnu Abbas radliyallahu’anhu berkata: Rasulullah shallahu’alaihi wa sallam bersabda:
“Lailatul qadar adalah malam tentram dan tenang, tidak terlalu panas dan tidak pula terlalu dingin, esok paginya matahari terbit dengan sinar lemah berwarna merah” (Hadist hasan)

2. Cahaya mentari lemah, cerah tak bersinar kuat keesokannya
Dari Ubay bin Ka’ab radliyallahu’anhu, bahwasanya Rasulullah shallahu’alaihi wa sallam bersabda:
“Keesokan hari malam lailatul qadar matahari terbit hingga tinggi tanpa sinar (suram)” (HR Muslim)

3. Terkadang terbawa dalam mimpi
Seperti yang terkadang dialami oleh sebagian sahabat Nabi radliyallahu’anhum

4. Bulan nampak separuh bulatan
Abu Hurairoh radliyallahu’anhu pernah bertutur: Kami pernah berdiskusi tentang lailatul qadar di sisi Rasulullah shallahu’alaihi wa sallam, beliau berkata,
“Siapakah dari kalian yang masih ingat tatkala bulan muncul, yang berukuran separuh nampan.” (HR. Muslim)

5. Malam yang terang, tidak panas, tidak dingin, tidak ada awan, tidak hujan, tidak ada angin kencang dan tidak ada yang dilempar pada malam itu dengan bintang 
Sebagaimana sebuah hadits, dari Watsilah bin al-Asqo’ dari Rasulullah shallallahu’alaihi wa sallam:

“Lailatul qadar adalah malam yang terang, tidak panas, tidak dingin, tidak ada awan, tidak hujan, tidak ada angin kencang dan tidak ada yang dilempar pada malam itu dengan bintang” (HR. at-Thobroni dalam al-Mu’jam al-Kabir 22/59 dengan sanad hasan)

6. Orang yang beribadah pada malam tersebut merasakan lazatnya ibadah, ketenangan hati dan kenikmatan bermunajat kepada Rabb Rafiqul A'la tidak seperti malam-malam lainnya.

Panduan malam Lailatul Qadar menurut Imam Al-Ghazali:


Mula Puasa                        Lailatul Qadar


Ahad & Rabu                                   29


Isnin                                                   21


Selasa & Jumaat                            27


Khamis                                             25


Sabtu                                                23


-LOVE GOD ALLAHU HAQ-

Wednesday, July 25, 2012

Umat Islam Syria....






Sejarah Ngeri Penindasan yang Disembunyikan Dari Mata Dunia

Umat Islam di Syria, sebuah negara yang diperintah oleh Parti Baath yang merupakan nasionalis Arab sejak tahun 1963, telah mengalami penderitaan dan penindasan sejak tahun 1920-an lagi.

Syria yang memiliki 75 peratus umat Islam, 11 peratus Syiah, dan 9 peratus Kristian, memiliki sejarah Islam yang panjang dan warisan budaya yang sangat dalam. Ramai para ulama Islam lahir di bumi ini.

Syria ditakluk ketika zaman Khalifah Umar, dan kemudian diperintah oleh Umaiyyah, Abbassiyah, Seljuk dan Ayyub. Tanah Syria menjadi sebahagian daripada wilayah Turki Uthmaniyyah pada tahun 1517, dan mereka hidup dalam keadaan aman damai sehingga penggal pertama abad ke-19. Pada tahun 1831, Syria jatuh ke tangan Muhammad Ali Pasha, yang menjadi penentang kerajaan Turki Uthmaniyyah dan kemudian menubuhkan kerajaannya sendiri. Syria kemudian berada di bawah kekuasaan Turki Uthmaniyyah semula sehinggalah ia dijajah Perancis pada tahun 1920. Penaklukan oleh Perancis telah menjadi detik permulaan kekacauan dan kezaliman ke atas rakyat Syria. Perancis telah merobek Syria dari Lubnan, yang mana Lubnan pada zaman dahulu adalah sebahagian dari Syria, kemudian ia telah dipisahkan daripadanya.

Polisi penindasan selama 26 tahun yang berakhir dengan kemerdekaan pada tahun 1946 adalah serupa dengan apa yang dikenakan oleh Perancis ke atas Algeria, Tunisia, dan banyak lagi negara-negara Islam yang lain. Rakyat Syria telah memulakan kempen menentang selepas penaklukan Perancis. Perancis dengan kejamnya telah membunuh puluhan ribu rakyat dan mengebom banyak bandar-bandar besar. Kebangkitan yang berlaku telah dihapuskan dengan kejam, namun Perancis menyedari bahawa hari-hari mereka berada di Syria sedang dihitung.

Perancis terpaksa berundur dari Syria selepas Perang Dunia II, dan ia akhirnya menerima kemerdekaan Syria pada tahun 1946. Namun demikian, mereka meninggalkan Syria dalam keadaan yang tidak stabil dan sering terdedah kepada konflik. Mandat Perancis yang dikenakan ke atas Syria selepas Perang Dunia I telah memberikan lebih manfaat kepada puak Syiah berbanding kumpulan-kumpulan lain (Puak Syiah percaya kepada kesucian Saidina Ali r.a. Ia hampir mirip kepada pendewaan yang dilakukan oleh orang-orang Kristian ke atas Nabi Isa a.s.). 

Pentadbiran Perancis telah meletakkan minoriti Syiah dalam jawatan-jawatan penting kerajaan, lalu menimbulkan rasa tidak senang kepada umat Islam dari kalangan ahli sunnah wal jama'ah. Ini seterusnya membenihkan bibit-bibit permusuhan di antara dua golongan tersebut. Ramai pakar di Timur Tengah berpendapat bahawa puak Syiah berjaya mencapai kedudukan politik dan militari yang tinggi semenjak deklarasi kemerdekaan Syria pada tahun 1946. Berikutan dengan kemerdekaan tersebut, perkara penting yang berlaku ialah puak Syiah berjaya mengambil alih pemerintahan negara dengan meminggirkan kedudukan golongan ahli sunnah wal jama'ah yang telah lama menerajui perkembangan politik dan ekonomi tanah air.

Selepas kemerdekaan, Syria menjadi sebuah negara yang sering berlaku rampasan kuasa. Mereka bermula pada tahun 1949 dan terus melakukannya sehingga tahun 1970 yang pada waktu itu dipimpin oleh diktator Hafez Al-Assad. Rejimnya telah menamatkan rampasan kuasa tetapi telah mewujudkan sebuah sistem pemerintahan yang bersifat menekan. 

Kerajaan Baath telah menambah lagi kesusahan kepada umat Islam Syria. Negara itu telah jatuh ke tangan puak minoriti Syiah, yang hanya terdiri daripada 11 peratus sahaja dari keseluruhan populasi. Kesemua ras-ras yang lain telah kehilangan pengaruh. Dalam masa yang singkat sahaja, rejim Assad, yang menggelarkan diri mereka sebagai "Demokrasi Rakyat Sosialis," telah mengenakan pemerintahan yang zalim di negara itu. Kesemua parti politik telah ditutup, dan sokongan terhadap pandangan parti politik lain selain dari ideologi sosialis yang disokong oleh Parti Baath diharamkan. Kesemua pergerakan Islam dihalang. 

Para pemimpin gerakan-gerakan tersebut telah ditangkap dan didera dengan kejam sehingga mati. Pertubuhan hak-hak asasi manusia antarabangsa telah melaporkan bagaimana umat Islam Syria dikenakan penindasan yang sangat teruk dan telah menderita sepanjang era Assad, dan bagaimana wanita Islam diperkosa dan penderaan yang tersangat zalim telah dikenakan ke atas lelaki.

Kekejaman dan Penindasan, Simbol Era Assad


Penduduk Hama, yang dikenali kerana berpegang teguh dengan Islam, telah dibunuh dengan kejam dalam satu peristiwa pembunuhan beramai-ramai selama 27 hari, yang didalangi oleh adik kepada pemimpin Syria Hafez al-Assad, iaitu Rifaat.

Matlamat utama rejim Baath adalah untuk memadamkan identiti Islam Syria. Bagi mencapai hasrat ini, berpuluh-puluh ribu umat Islam telah ditahan tanpa sebab dan kemudiannya didera. Kebanyakannya telah dikenakan hukuman, dan yang lain hilang begitu sahaja. Rejim Assad telah melakukan tindakan-tindakan seperti merogol wanita, memukul mereka sehingga mati dan menggantung mereka pada bahagian kaki. Rejim ini juga cuba untuk memusnahkan masyarakat Islam dengan menyerang rumah-rumah, masjid dan melakukan penghinaan dan kekacauan yang tidak pernah putus, dan sesungguhnya mereka amat gembira melakukannya.

Contoh paling ngeri kebuasan rejim Assad ialah pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan di bandar Hama. Satu-satunya sebab yang membawa kepada penghancuran bandar itu ialah pergerakan-pergerakan Islam amat berkuasa di sana. Rifaat Assad, adik kepada Hafez dan juga merupakan ketua Staf Jeneral, telah mengarahkan satu siri serangan darat dan udara ke atas bandar Hama pada satu malam Februari 1982. Majoriti askar yang enggan menurut perintah telah dibunuh serta-merta. Bandar tersebut telah musnah teruk. Kira-kira 40,000 umat Islam kehilangan nyawa kesan daripada kebuasan rejim Assad selama 27 hari itu.

Terdapat banyak lagi pembunuhan yang dilakukan oleh Assad selama 3 dekad sebagai seorang diktator. Ramai umat Islam Syria yang melarikan diri dari Assad masih hidup di perantauan sebagai seorang pelarian. Terdapat kira-kira 1 juta umat Islam Syria di Arab Saudi sahaja.

Di sebalik semua ini, polisi Bashar Assad, yang mengambil alih pemerintahan negara selepas kematian bapanya, telah menghantar signal yang lebih positif tentang sikapnya terhadap komuniti agama di Syria. Kami berharap signal ini akan membawa kepada satu perubahan positif dan seterusnya membolehkan Syria bebas, aman dan menjadi sebuah negara yang adil. Tiada seorang pun yang ditekan disebabkan oleh kepercayaan dan asal-usul keturunannya.

Namun demikian, kita harus ingat bahawa tiada satu pun masalah sosial di Timur Tengah dan di kawasan-kawasan Islam lain yang tidak memiliki jalan penyelesaian. Sekali pandang, memanglah masalah yang berlaku di kawasan tersebut sangat kompleks dan tidak dapat diselesaikan sama sekali. Namun demikian, jalan penyelesaiannya di cari selama beratus-ratus tahun di tempat yang salah. Jawapan kepada permasalahan itu ialah dengan hidup berlandaskan ajaran Al-Quran yang telah Allah turunkan kepada seluruh manusia. Menjadi lemah dalam menghadapi situasi sedemikian adalah tidak patut bagi diri umat Islam. Ini kerana Allah, yang telah menciptakan segala-galanya, yang membina sebuah sistem yang membolehkan manusia hidup di dalamnya dalam aman, sejahtera dan selamat, dan telah mewahyukan semua itu kepada manusia melalui al-Quran. al-Quran telah menunjukkan kepada kita jalan yang sebenar bagi setiap perkara, seperti yang diterangkan dalam ayat berikut, 

"...Kami turunkan kepada kamu Al-Kitab (Al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi Muslimin." (An-Nahl, 16:89)


Adik kepada Hafez al-Assad, Rifaat telah mengarahkan pembunuhan beramai-ramai Hama selama 27 hari yang bermula pada 2 Februari 1982. Rifaat telah diberikan kuasa sepenuhnya oleh abangnya, dan dia mengarahkan 12,000 orang askar, termasuk pasukan-pasukan khas. Satu pertiga dari bumi Hama yang diduduki seramai 350,000 orang telah dimusnahkan. Seramai 30-40,000 orang telah dibunuh dan tiada berita tentang 15,000 yang lain. Beribu orang penduduk terpaksa melarikan diri. 

Masjid-masjid dan bangunan bersejarah telah diruntuhkan. Kerajaan Syria telah mengambil tindakan bagi memastikan berita tentang peristiwa itu tidak sampai ke pengetahuan wartawan asing. Segala bentuk komunikasi denga bandar tersebut telah diputuskan, dan tiada siapa yang dibenarkan masuk atau keluar. Walaupun begitu, mereka tetap gagal untuk menyembunyikan pembunuhan beramai-ramai yang kejam.
Sekiranya ajaran moral terbaik yang diberitahu di dalam al-Quran dapat difahami dan seterusnya diamalkan, maka segala masalah yang sedang berlaku di dunia ini akan dapat diselesaikan dengan mudah. 

Memandangkan jalan penyelesaiannya adalah hidup berdasarkan ajaran al-Quran, maka mereka yang memiliki kesedaran adalah bertanggungjawab untuk menerangkan al-Quran kepada orang lain. Di dalam al-Quran, para utusan Allah telah menerangkan tanggungjawab mereka seperti berikut:

Kami hanya bertanggungjawab untuk menyampaikan dengan jelas. (Yaasin, 36:17)

Allah menyeru kepada keamanan dan menunjuki orang yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus. (Yunus, 10:25)

Segala Peristiwa di Tanah Umat Islam Adalah Petanda Akhir Zaman

Konsep "Akhir Zaman" mungkin agak asing bagi sesetengah orang. Jadi adalah penting di sini untuk menerangkan secara ringkas tentangnya. Menurut Islam, Akhir Zaman adalah satu zaman yang hampir dengan Hari Kiamat, iaitu satu waktu yang mana ajaran al-Quran diamalkan di seluruh muka bumi ini. Keadaan persekitarannya akan dapat memuaskan hati semua pihak. Manusia hidup dengan aman dan selamat. Kemewahan, kekayaan dan keadilan akan menggantikan segala masalah yang pernah wujud dahulu. Segala masalah moral, penipuan dan kebejatan sosial akan lenyap. Ini adalah satu zaman yang meriangkan, yang telah dinanti buat sekian lama, apabila ajaran moral al-Quran mendominasi dunia....I.Allah


Allahu Haq

Monday, July 23, 2012

Umat Islam Rohingya.....



MYANMAR, Penduduk yang Berhadapan Dengan Kezaliman Penganut Budda

Myanmar (sebelum ini dikenali sebagai Burma) mempunyai rakyat seramai 48 juta orang, 15 peratus daripadanya beragama Islam. Bakinya kebanyakan beragama Budda. Umat Islam tinggal di kawasan Arakan yang terletak di negara tersebut.

Arakan merupakan sebuah kawasan yang paling kaya dari segi simpanan minyak dan gas asli, dan penduduknya telah memeluk Islam melalui pedagang-pedagang Arab. Perubahan ke arah Islam memuncak dengan penubuhan kerajaan Islam pada tahun 1430. Negara ini telah bertahan selama 350 tahun, sehinggalah penganut Budda menamatkannya dengan menakluki Arakan.

Serta-merta selepas umat Islam kehilangan kuasa politiknya pada tahun 1783, penganut Budda Burma telah memulakan polisi menindas dan malah secara fizikal cuba menghapuskan umat Islam. Negara ini kemudian dikoloni oleh British sehingga akhir abad ke-19.

Kempen anti-Islam yang dilancarkan oleh penganut Budda semakin rancak pada abad ke-20, dan terjadilah peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Arakan pada tahun 1942 yang mengakibatkan kematian kira-kira 100,000 umat Islam. Beratus-ratus ribu yang lain pula sama ada lumpuh atau dihalau dari tanah mereka sendiri.

Burma mendapat kemerdekaan pada tahun 1948 dengan berakhirnya pemerintahan British. Namun, pemerintah yang baru telah menjadikan kehidupan umat Islam lebih huru-hara. Jeneral komunis Ne Win, yang mendapat kuasa melalui rampasan kuasa ketenteraan pada tahun 1948, telah menggerakkan kesemua pasukan bagi menghapuskan seluruh umat Islam. "Program Parti Sosialis Burma" telah menggunakan segala macam cara untuk memesongkan umat Islam dari agama mereka.

Ini bermakna umat Islam telah kehilangan semua hak-hak politik. Semua kemudahan pendidikan Islam, masjid-masjid dan tempat yang serupa telah ditutup. Masjid-masjid telah ditukar menjadi pusat hiburan ataupun kuil Budda. Mengerjakan haji, berkorban di bulan Haji, solat berjemaah dan segala macam bentuk ibadah yang lain telah diharamkan. Kesan daripada tekanan-tekanan yang dilakukan, sesetengah rakyat yang beragama Islam lari meninggalkan negara itu. Walaupun berlakunya perpindahan, majoriti rakyat di Arakan masih beragama Islam. Jeneral Ne Win dengan itu meningkatkan lagi tekanan, dan melakukan tangkapan-tangkapan yang tidak sah dan seterusnya mendera mereka. Akibatnya, lebih sejuta umat Islam dipaksa meninggalkan Burma. Untuk menyembunyikan kebuasan yang dilakukan, kerajaan Burma enggan membenarkan kemasukan wartawan asing dan juga pelancong selama bertahun-tahun.

Rejim militari di Myanmar memulakan perang besar-besaran ke atas umat Islam, terutama ke atas masjid-masjid, para imam dan orang-orang soleh. Para pelajar Islam juga dipaksa menerima ajaran Buddha di Arakan. Wanita-wanita Islam dibawa ke kem-kem, dengan alasan untuk memberi “latihan profesional,” dan kemudian dirogol. Sesiapa yang didapati hamil akan dipaksa mengahwini mana-mana ahli pasukan keselamatan Buddha. Perkampungan dimusnahkan, rumah ditukar menjadi stesen polis, dan mereka yang kehilangan rumah berhadapan dengan kelaparan dan kemiskinan.
Berdasarkan kepada laporan pertubuhan hak-hak asasi manusia antarabangsa, kira-kira 20,000 umat Islam Arakan telah dibunuh oleh rejim penindas ini di antara tahun 1962 sehingga 1984. Beratus-ratus wanita diperkosa dan semua harta benda milik umat Islam telah dirampas. Komunikasi dalam negeri telah digunakan untuk menyebarkan pembohongan dan fitnah terhadap Islam. Pada 1978, kerosakan yang dilakukan oleh askar memaksa lebih 200,000 umat Islam melarikan diri ke Bangladesh dalam keadaan yang sangat memayahkan. Mereka kembali di bawah perlindungan PBB pada 1979.60
Untuk menggambarkan Arakan sebagai sebuah wilayah Buddha, kerajaan Ne Win telah memulakan operasi pelarian di bawah nama “Naga Raja.” Rakyat yang tinggal di perkampungan-perkampungan kecil dipaksa berpindah ke kem-kem. Kampung-kampung dan masjid-masjid dimusnahkan, ramai yang dibunuh, dirogol, ditangkap dan didera. Pada tahun 1978, seramai 200,000 umat Islam meninggalkan Arakan dan melarikan diri ke Bangladesh. Namun kem-kem pelarian di negara itu hanya memberikan sebuah kemiskinan, kelaparan dan penyakit. Gambar-gambar ini sudah cukup untuk memeberikan idea tentang keadaan mereka yang berada di kem pelarian Rohingya.
  
Selepas perletakan jawatan Ne Win pada tahun 1988, pelbagai pentadbiran awam dan militari telah silih berganti, dan lebih dari 3,000 orang telah dibunuh dalam satu kebangkitan yang tercetus ketika itu. Pada 1992, kira-kira 700 orang umat Islam minoriti yang tinggal di sempadan Bangladesh telah dihapuskan. Lebih dari 1,000 orang menjadi mangsa pembunuhan pada tahun 1994.

Kes wanita Islam yang dirogol dan didera di Myanmar masih terdapat dalam laporan hak-hak asasi manusia setiap tahun. Namun disebabkan oleh faktor-faktor tertentu, Barat masih terus membisu.
Salah satu masalah paling berat yang sedang dihadapi oleh umat Islam yang tidak bersenjata di Myanmar ialah mereka tidak berupaya untuk berkomunikasi dengan dunia luar untuk memberitahu apa yang sedang terjadi ke atas diri mereka. Ini kerana kerajaannya menghalang seseorang dari memasuki negara itu dengan jalan darat, dan walaupun seseorang boleh memasukinya dengan jalan udara, namun banyak kawasan yang ditutup kepada orang asing. Adalah sesuatu yang sukar untuk mengetahui perkara-perkara yang dikenakan ke atas umat Islam Myanmar.

Satu lagi layanan buruk yang dikenakan berlaku pada tahun 1990-an, yang mana ketika itu kira-kira 200,000 orang lagi terpaksa melarikan diri ke Bangladesh.61 Para pelarian yang lari dari penindasan Myanmar kemudian mendapati mereka sedang berhadapan dengan sebuah drama kemanusiaan yang menakutkan. Bangladesh merupakan sebuah negara Islam yang miskin, dan ia tidak mampu memberikan makanan dan tempat perlindungan kepada pelarian dari Myanmar, walaupun ia membenarkan kemasukan mereka.

Semua umat Islam mesti menghayati tangisan dan jeritan meminta tolong dari Myanmar dan juga Bangladesh. Di dalam al-Quran, Allah mengarahkan manusia supaya membantu orang-orang miskin, mereka yang dihalau dari rumah dan juga mereka yang memerlukan. Ia menjadi satu tugas bagi setiap umat Islam untuk menyediakan persekitaran yang selesa kepada mereka yang dihalau, sedia berkorban untuk membantu mereka, dan memberikan sokongan serta menunjukkan rasa kasih sayang kepada mereka. Contoh-contoh tersebut telah diberitahu di dalam al-Quran, yang telah memberikan contoh terbaik yang patut diikuti oleh umat Islam terhadap mereka yang diusir dari tempat tinggal masing-masing:

Bagi para fakir yang berhijrah, yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka, (kerana) mencari kurnia Allah dan keredaan-Nya, dan mereka menolong Allah dan rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar. (Al-Hasyr, 59:8)

Dan orang-orang yang telah berada di kota Madinah dan telah beriman (iaitu orang-orang Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (iaitu orang-orang Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka. Dan mereka tidak menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka, dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung. (Al-Hasyr, 59:9)

Seperti yang telah diwahyukan di dalam Al-Quran, orang-orang mukmin adalah mereka yang menghulurkan tangan persaudaraan kepada seseorang yang mereka cintai. Apabila sikap yang tersangat mulia ini dapat diamalkan di seluruh dunia, maka sudah pastilah masalah kemiskinan dan juga masalah-masalah lain yang sedang dihadapi oleh para pelarian akan dapat diatasi.


 




KUALA LUMPUR: Sempena Ramadhan al Mubarak, seluruh ummat Islam prihatin digesa untuk mengadakan Munajat Perdana dan Bantah Kekejaman ke atas Ummat Islam Rohingya. 

Munajat dan bantahan ini akan dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri - negeri dengan kerjasama ngo - ngo Islam yang lain di setiap masjid negeri masing - masing di seluruh negara.

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan berkata, program ini akan diadakan serentak di seluruh negara selepas Solat Jumaat
27 Julai 2012 ini di semua masjid negeri seluruh negara.

"Dewan Pemuda PAS Malaysia mengharapkan seluruh Ummat Islam bangkit berdoa dan bermunajat kepada Allah Azza wa Jalla agar menyelamatkan Ummat Islam Rohingya sekaligus menghancurkan regim zalim yang melakukan pembersihan etnik ke atas ummat Islam Rohingya," kata Nasrudin dalam kenyataannya.

Pemuda PAS, katanya, turut menggesa agar Kerajaan Malaysia mengambil satu langkah berkesan untuk memastikan ummat Islam Rohingya tidak lagi disembelih dan dibantai sedemikian kejam.

Melalui Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Malaysia,  katanya, memorandum rasmi akan dihantar ke Wisma Putra dan juga kepada pihak bertanggungjawab di peringkat antarabangsa seperti OIC, NAM dan lainnya untuk segera mengambil tindakan menghentikan kekejaman tersebut.

Friday, July 20, 2012

Video Debat PRU 13: Anak Muda Pilih Siapa??







KESIMPULAN
ANAK MUDA TOLAK UMNO!!
!!ABU!!

Thursday, July 19, 2012

Kemengan Islam Pasti Berlaku...I.Allah dalam masa terdekat!!






Semoga dengan Ramdhan kali ini seluruh Doa2 Para Ikhwan dan Pencinta Kebenaran akan dimakbulkan. Justeru itu marilah sama-sama kita meningkat ketaqwaan kita kepada Allah supaya kemenangan Islam tidak lagi ditanguh disebabkan dosa-dosa kita kepada Allah Taala. Yakinlah Panji-panji kebenaran akan tiba bersama penyelamat Akhir Zaman kerana ini adalah janji Allah yang Pasti berlaku. Panji-panji ini akan datang dari sebelah Timur! Walaupun ada pihak yang menghalang! ingatlah bahawa segala usaha mereka akan menjadi sia-sia sahaja....

Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahwa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa dimuka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diridhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentausa. Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik. ( Annur : 55)

Dia-lah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang musyrik membenci.(As-shaff:9)

Dialah yang telah mengutus RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Quran) dan agama yang benar untuk dimenangkanNya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrikin tidak menyukai. ( At-Taubah : 33 )

Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat ( An-Nashr : 1-3 )

Dan (ada lagi) karunia yang lain yang kamu sukai (yaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman. ( As-Shaff : 13 )

Dan katakanlah: "Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap." Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.( Al-Israa : 81 )

Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat sebelum kamu, ketika mereka berbuat kezaliman, padahal rasul-rasul mereka telah datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, tetapi mereka sekali-kali tidak hendak beriman. Demikianlah Kami memberi pembalasan kepada orang-orang yang berbuat dosa. Kemudian Kami jadikan kamu pengganti-pengganti (mereka) di muka bumi sesudah mereka, supaya Kami memperhatikan bagaimana kamu berbuat. ( Yunus : 13-14 )

Dan sesungguhnya telah tetap janji Kami kepada hamba-hamba Kami yang menjadi rasul, (yaitu) sesungguhnya mereka itulah yang pasti mendapat pertolongan. Dan sesungguhnya tentara Kami itulah yang pasti menang, ( As-Shaffat : 171-173 )

Allah telah menetapkan: "Aku dan rasul-rasul-Ku pasti menang." Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa ( Al Mujadilah : 21)

Karena itu janganlah sekali-kali kamu mengira Allah akan menyalahi janji-Nya kepada rasul-rasul-Nya; sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi mempunyai pembalasan ( Ibrahim : 47 )



Dia-lah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang hak agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama. Dan cukuplah Allah sebagai saksi. ( Al-Fath : 28 )



Dan Kami pasti akan menempatkan kamu di negeri-negeri itu sesudah mereka. Yang demikian itu (adalah untuk) orang-orang yang takut (akan menghadap) kehadirat-Ku dan yang takut kepada ancaman-Ku. Dan mereka memohon kemenangan (atas musuh-musuh mereka) dan binasalah semua orang yang berlaku sewenang-wenang lagi keras kepala, ( Ibrahim : 14-15 )

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata, supaya Allah memberi ampunan kepadamu terhadap dosamu yang telah lalu dan yang akan datang serta menyempurnakan nikmat-Nya atasmu dan memimpin kamu kepada jalan yang lurus, dan supaya Allah menolongmu dengan pertolongan yang kuat (banyak).( Al-Fath : 1-3 )

Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada Rasul-Nya, tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya (yaitu) bahwa sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram, insya Allah dalam keadaan aman, dengan mencukur rambut kepala dan mengguntingnya, sedang kamu tidak merasa takut. Maka Allah mengetahui apa yang tiada kamu ketahui dan Dia memberikan sebelum itu kemenangan yang dekat. ( Al-Fath : 27 )

Dan sungguh orang-orang kafir yang sebelum mereka (kafir Mekah) telah mengadakan tipu daya, tetapi semua tipu daya itu adalah dalam kekuasaan Allah. Dia mengetahui apa yang diusahakan oleh setiap diri, dan orang-orang kafir akan mengetahui untuk siapa tempat kesudahan (yang baik) itu. ( Ar-R'ad : 42 )


Kecuali orang-orang (penyair-penyair) yang beriman dan beramal saleh dan banyak menyebut Allah dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman. Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali. ( As-Shu'ara : 227 )

Kemudian Kami selamatkan rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman, demikianlah menjadi kewajiban atas Kami menyelamatkan orang-orang yang beriman. ( Yunus : 103)

Dan Kami pusakakan kepada kaum yang telah ditindas itu, negeri-negeri bahagian timur bumi dan bahagian baratnya yang telah Kami beri berkah padanya. Dan telah sempurnalah perkataan Tuhanmu yang baik (sebagai janji) untuk Bani Israil disebabkan kesabaran mereka. Dan Kami hancurkan apa yang telah dibuat Fir'aun dan kaumnya dan apa yang telah dibangun mereka. (Al-A'raf : 137 )

Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan- ucapan) mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai.( At-Taubah : 32)

Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justru) menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya." ( As-Shaff : 8 )

Dan Dia mewariskan kepada kamu tanah-tanah, rumah-rumah dan harta benda mereka, dan (begitu pula) tanah yang belum kamu injak. Dan adalah Allah Maha Kuasa terhadap segala sesuatu. ( Al-Azhab : 27 )

Katakanlah: "Masing-masing (kita) menanti, maka nantikanlah oleh kamu sekalian! Maka kamu kelak akan mengetahui, siapa yang menempuh jalan yang lurus dan siapa yang telah mendapat petunjuk." ( Taahaa : 135 )

Dan Allah menyelamatkan orang-orang yang bertakwa karena kemenangan mereka, mereka tiada disentuh oleh azab (neraka dan tidak pula) mereka berduka cita. ( Az-Zumar : 61 )

Sebenarnya Kami melontarkan yang hak kepada yang batil lalu yang hak itu menghancurkannya, maka dengan serta merta yang batil itu lenyap. Dan kecelakaanlah bagimu disebabkan kamu mensifati (Allah dengan sifat-sifat yang tidak layak bagi-Nya). ( Al-Anbiya : 18 )

Dan Allah akan mengokohkan yang benar dengan ketetapan-Nya, walaupun orang-orang yang berbuat dosa tidak menyukai(nya). ( Yunus : 82 )

(yaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi niscaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan. ( Al-Hajj : 41) 

Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman. ( Ali Imran : 139 )

Menurut petunjuk dari ayat -ayat ini. Allah telah berjanji bahwa nilai-nilai moral Islam akan menang.  Dan banyak  orang mengira bahawa hal itu tidak akan terjadi pada abad ini. Pejuang Islam tidak akan pernah putus harapan kepada Allah. Allah memberitahukan kepada kita  tentang ayat-ayat ini , bahwa Pejuang Kebenaran tidak akan pernah putus harapan kepada Allah.:

Hai anak-anakku, pergilah kamu, maka carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir." ( Yusuf : 87 )

Dan sungguh telah Kami tulis didalam Zabur, sesudah (Kami tulis dalam) Lauh Mahfuzh, bahwasanya bumi ini dipusakai hamba-hambaKu yang saleh ( Al-Anbiya : 105)


Allahu Haq


Wednesday, July 18, 2012

Salam Ramadhan..





Hikmah dan Adab-Adab Puasa.


Ibadah puasa dibulan Ramadhan adalah salah satu daripada Rukun Islam yang wajib dilaksanakan.

Pengertian puasa
Takrif puasa dari segi istilah bermaksud menahan diri daripada makan dan minum dan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari beserta niat.

Dalil Wajib puasa :
Umat Islam yang mempunyai cukup syarat diwajibkan berpuasa di bulan Ramadhan bersandarkan dalil seperti berikut:

Al-Quran:
Firman Allah s.w.t maksudnya : " Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa keatas kamu sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa".
(Surah al-Baqarah ayat 183)

Hadis:
Sabda Nabi s.a.w maksudnya : Daripada Ibnu Umar dari Nabi Muhammad s.a.w. bersabda maksudnya ; "Islam itu dibina atas lima perkara, bersaksi tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, membayar zakat, menunaikan haji dan puasa pada bulan Ramadhan."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sehubungan dengan adanya dalil daripada Al-Quran dan hadis yang jelas tentang wajibnya puasa, maka orang yang mengingkari kewajipan berpusa adalah dihukum sebagai murtad (keluar daripada Islam)

Lafaz Niat
Lafaz niat puasa bulan Ramadhan:
Maksudnya: "Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala."

Lafaz niat puasa Ramadhan sepenuhnya (sebulan):
Maksudnya: "Sahaja aku puasa untuk sebulan pada bulan Ramadhan kerana Allah Taala."

Syarat –syarat wajib berpuasa empat perkara iaitu:

1. Islam :
Tidak diwajibkan kepada orang kafir.

2. Baligh:
Tidak diwajibkan berpuasa ke atas kanak-kanak yang belum sampai umur baligh. Walau bagaimanapun kanak-kanak digalakkan berpuasa

3. Berakal :
Tidak diwajibkan puasa bagi orang gila.

4. Berkemampuan:
Tidak wajib berpuasa ke atas orang yang tidak berdaya berpuasa seperti orang sakit, musafir, orang tua dan sebagainya.

Syarat-syarat sah puasa itu enam perkara:

1. Islam:
Orang Islam yang sedang berpuasa kemudian ia murtad walaupun sekejap, maka puasanya batal.

2. Berakal: Orang Gila tidak sah puasanya

3. Suci daripada nifas dan haid

4. Masuk waktu puasa

5. Berniat pada setiap malam: Menurut mazhab Imam Malik-memadai dengan sekali niat sahaja iaitu pada malam pertama bulan Ramadhan.

6. Menahan diri daripada sesuatu yang membatalkan puasa.

Rukun Puasa ada tiga :
1. Orang yang berpuasa
2. Niat
3. Menahan diri daripada sesuatu yang membatalkan puasa.

Hikmah Puasa
Puasa mempunyai pelbagai hikmah antaranya:

1. Menandakan kesyukuran kepada Allah
2. Melatih diri dengan sifat-sifat mahmudah (terpuji seperti sabar, tabah, amanah dan sebagainya).
3. Melatih sikap tolong-menolong di antara satu sama lain
4. Meningkatkan kesihatan diri.
5. Mendapat dua kegembiraan iaitu ketika berbuka (hari raya) dan ketika berjumpa dengan Tuhannya pada hari kiamat.
6. Menjauhkan dari sifat-sifat mazmumah (keji) sepert tamak, sombong hasad dengki dan sebagainya.

Kelebihan Ramadhan :
Bulan Ramadhan mempunyai banyak kelebihan antaranya;

1. Bulan diturunkan Al-Quran :
Firman Allah s.w.t. maksudnya : "Bulan Ramadhan padanya diturunkan al-Quran yang mempunyai keterangan-keterangan yang nyata sebagai petunjuk kepada manusia"

2. Bulan penuh berkat :
Bulan Ramadhan merupakan satu bulan yang disebut sebagai bulan mulanya rahmat, ditengahnya pengampunanNya dan akhirnya merdeka daripada api Neraka.
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "Apabila bulan Ramadhan telah datang maka dibukalah pintu-pintu Syurga, dihapuslah pintu-pintu Neraka dan di ikatlah semua syaitan."

3. Bulan Penghapusan dosa :
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "Sesiapa berpuasa Ramadhan dan berjaga malamnya dengan penuh kepercayaan dan ketelusan ikhlasnya nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu."

4. Bulan diturunkan Lailatul Qadar :
Firman Allah s.w.t. maksudnya : "Sesungguhnya kami telah menurunkan (Al-Quran ) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan tahukah kamu apa dia Lailatul Qadar itu. Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu diturunkan malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengutus segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar"
(Surah al-Qadr ayat 1-5)


Adab-adab berpuasa

1.Makan sahur.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Makan sahurlah kalian kerana sesungguhnya makan sahur itu berkah"
(Hadis Riwayat Bukhari)

Diriwayatkan dari Zaid bin Tsabit bahawa kami bersahur bersama Rasulullah kemudian kami bangkit untuk menunaikan solat subuh lalu beliau bertanya, "Berapa saat jarak antara kedua (waktu sahur dan waktu subuh)?" Nabi bersabda maksudnya, "Selama orang membaca 50 ayat."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan dari Amru bin Maimun bahawa para sahabat Muhammad s.a.w adalah orang yang menyegerakan berbuka dan melambatkan sahur.
(Riwayat al-Baihaqi)

2.Menyegerakan berbuka :

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Selalulah manusia dalam kebaikan, selama mereka menyegerakan berbuka."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan dari Salman bin Amir, bahawa Nabi s.a.w telah bersabda yang bermaksud, "Apabila salah seorang di antara kamu berpuasa hendaklah berbuka dengan kurma, bila tidak ada kurma hendaklah dengan air, sesungguhnya air itu bersih."
(Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

Diriwayatkan dari Ibnu Umar, bahawa Nabi s.a.w apabila selesai berbuka baginda berdo'a. "Telah pergi rasa haus dan menjadi basah semua urat-urat dan pahala tetap ada insya Allah."
(Hadis Riwayat ad-Daaruqthni dan Abu Daud)

3.Berdo'a ketika berpuasa dan waktu berbuka :

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa, pada waktu berbuka, tersedia do'a yang makbul."

Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Ada tiga golongan yang tidak ditolak do'a mereka : Orang yang berpuasa hingga dia berbuka, Imam (ketua) yang adil dan orang yang teraniaya."

4.Menjauhi perkara yang bertentangan dengan puasa :

Puasa adalah ibadah yang utama untuk kita mendekatkan diri kepada Allah, untuk mendidik jiwa dan melatihnya berbuat kebaikan.

Sesungguhnya puasa bukan setakat menahan diri dari makan dan minum sahaja, tetapi juga menahan diri dari apa jua yang dilarang oleh Allah s.w.t., disamping mengikhlaskan niat kerana Allah s.w.t semata-mata.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Tidaklah puasa itu dari makan dan minum, tetapi puasa itu adalah dari perbuatan yang sia-sia dan dari perbuatan keji."

Sabda baginda s.a.w lagi yang bermaksud, "Berapa ramai yang berpuasa tetapi yang diterimanya hanyalah rasa lapar dan dahaga sahaja; dan berapa banyak orang yang bangun bersolat, tetapi yang diterimanya tiada lebih dari letih dan penat sahaja."

5.Menggosok gigi (bersugi)

Disunatkan menurut riwayat bahawa Rasulullah s.a.w biasa bersugi ketika berpuasa.(Jika boleh jangan menggunakan ubat gigi, gunakan berus kosong saja atau gunakan kayu sugi)

6.Lebih bersifat dermawan. (banyak bersedekah dan menolong orang lain) dan membaca al-Qur'an.

Kedua perkara ini adalah disunatkan pada setiap ketika, dan lebih utama dalam bulan Ramadhan, dimana ganjaran pahalanya digandakan oleh Allah s.w.t.

Diriwayatkan Ibnu Abbas bahawa Rasulullah orang yang paling dermawan dan baginda lebih dermawan lagi dalam bulan Ramadhan. Jibril menemui Nabi s.a.w setiap malam pada bulan Ramadhan untuk mentadaruskan al-Qur'an kepada baginda dan benar-benar Rasulullah lebih dermawan dan cepat melakukan kebajikan (lebih cepat daripada angin yang dikirim)
(Hadis Riwayat Bukhari)

7.Menghidupkan malam dengan solat Tarawih secara berjemaah.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, "Barangsiapa yang solat malam di bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala dari Allah maka diampuni dosanya yang telah lalu."
(Hadis Riwayat Jama'ah)

8.Giat beribadat pada 10 hari terakhir dalam bulan Ramadhan.

Syaidatina Aisyah r.h meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bila telah masuk puluhan terakhir dari bulan Ramadhan, diramaikan waktu malam, dibangunkan keluarganya dan diikat eratkan kain sarungnya.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

"Baginda amat giat (beribadat) pada puluhan terakhir, melebihi kegiatannya pada saat-saat lainnya."
(Hadis Riwayat Muslim)

Diriwayatkan dari Aisyah r.h bahawa saya berkata kepada Rasulullah s.a.w, " Ya Rasulullah, bagaimana pendapat tuan bila saya mengetahui Lailatul qadar, apa yang harus saya baca pada malam itu?' Baginda bersabda, "Bacalah, 'Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Ampun, Engkau suka kepada keampunan maka ampunilah daku"
(Hadis Riwayat at-Tirmidzi dan Ahmad)

9.Menjauhi perkara keji dan pertengkaran.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :

"Setiap amal anak Adam adalah untuknya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku yang akan memberikan pahala dengannya. Dan sesungguhnya puasa itu adalah benteng pertahanan, pada hari ketika kamu berpuasa janganlah berbuat keji, jangan berteriak-teriak (pertengkaran), apabila seorang memakinya sedang ia berpuasa maka hendaklah ia katakan : 'Sesungguhnya saya sedang berpuasa.'Demi jiwa Muhammad yang ada di tangan-Nya sungguh bau busuk mulut orang yang sedang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah pada hari kiamat daripada kasturi. Dan bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, apabila ia berbuka ia bergembira dengan bukanya dan apabila ia berjumpa dengan Rabbnya ia gembira kerana puasanya."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)