Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday, December 13, 2012

Ulamak Pewaris Nabi....



Ulama' ialah ahli agama atau ilmuan yang menguasai beberapa cabang ilmu akidah, syariah dan akhlak. Ilmu ini adalah ilmu yang bermartabat tinggi kerana ia berkaitan dengan Allah, Rasulullah, Al-Quran, sistem kehidupan, politik, budaya, ekonomi dan perkara-perkara besar yang lain. Ilmu ini akan menentukan nasib baik seseorang atau sebaliknya di dunia dan di akhirat kelak. Ilmu inilah yang disebut sebagai Ad-din oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya:

"Sesiapa yang Allah ingin memberikan kebaikan kepadanya, nescaya Allah memberi dia kefahaman yang baik tentang agama".

                                                                         (Muttafaqun ‘Alaih dari Mu'awiyah r.a)

Ilmu ini juga disebut Al-Hikmah seperti firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 269:

"Allah memberi Al-Hikmah kepada siapa yang dikehendaki-Nya; barangsiapa yang telah dianugerahkan dengan hikmah itu bermakna dia telah diberikan kebaikan yang banyak".

Allah mengangkat martabat orang yang beriman dan berilmu pengetahuan dengan beberapa darjat. Allah berfirman dalam surah Al-Mujadalah ayat 11:

"Allah meninggikan darjat orang yang beriman di kalangan kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan (di kalangan kamu) beberapa darjat. (Ingatlah) Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan".

Dalam hadith yang lain Rasulullah s.a.w. menegaskan:

"Sesungguhnya Allah meninggikan martabat sesuatu kaum dengan Al-Quran ini (yakni ilmu tentang Al-Quran) dan merendahkan martabat yang lain kerananya".

 (Riwayat Muslim)

Ilmu inilah yang dinyatakan oleh Allah akan direnggut dan dicabut daripada sesuatu kaum dengan dimatikan golongan orang Alim dalam kalangan sesuatu kaum itu. Rasulullah s.a.w bersabda dengan maksud:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mencabut ilmu (ilmu agama) daripada umat manusia dengan sekali renggut. Akan tetapi Dia mencabut ilmu dengan mewafatkan para ulama'. Sehingga apabila tiada lagi seorang Alim pun hidup maka orang ramai menjadikan orang-orang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka mereka (para pemimpin itu) ditanya, lalu mereka berfatwa tanpa ilmu. Maka dengan demikian mereka menjadi sesat dan menyesatkan orang lain".

(Muttafaqun ‘Alaih)

 Peranan ulama' antara lain ialah:

Sebagai pewaris para Nabi atau penyebar ajaran yang dibawanya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya para ulama' itu adalah pewaris para Nabi. Dan sesungguhnya para Nabi tidaklah mewariskan dinar mahupun dirham, tetapi mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambilnya (ilmu tersebut) bererti dia telah mengambil bahagian ilmu yang banyak".    

(Riwayat Abu Daud dan At-Tarmizi)

Menghina dan mengepikan ulama' serta menghalang mereka daripada menyampaikan ilmu malah membunuh mereka adalah satu kejahatan dan perbuatan yang berdosa. Allah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 21-22:

"Sesungguhnya orang yang mengingkari ayat-ayat keterangan Allah, membunuh Nabi-nabi tanpa alasan yang benar dan membunuh orang yang menyuruh berlaku adil di kalangan manusia, maka sampaikanlah (berita yang menggembirakan) kepada mereka akan adanya azab yang pedih. Mereka itulah orang yang telah terbatal amal perbuatannya di dunia dan di akhirat. Mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan".

Thursday, December 6, 2012

RIWAYAT HIDUP RINGKAS BADIUZZAMAN SAID NURSI



Badiuzzaman Said Nursi dilahirkan pada tahun 1873 di kampung bernama “Nurs”, di timur Anatolia. Nama “Nursi” ialah sempena nama kampung ini. Beliau menerima pendidikan asas daripada para ulama terkenal di daerahnya. Ketika masih muda, beliau telah menunjukkan kecerdikan dan kemampuan yang luar biasa untuk belajar. Hal ini membuatkannya terkenal di kalangan guru-guru, kawan-kawan dan orang ramai. Ketika berusia 16 tahun, beliau mengalahkan beberapa ulama terkemuka yang telah menjemputnya ke satu majlis perbahasan (ketika itu perbahasan ialah satu amalan biasa di kalangan ulama). Kemudian beliau terus mengalahkan berbagai kumpulan ulama lain sebanyak beberapa kali dalam majlis perbahasan. Selepas peristiwa ini, beliau pun digelar Badiuzzaman (Kekaguman Zaman).

Pengalaman pendidikan yang telah beliau lalui telah membukakan fikirannya untuk memikirkan cara untuk menghasilkan sistem pendidikan yang bersepadu. Ketika itu, dunia sedang memasuki satu zaman baru yang membawa angin perubahan. Satu zaman di mana sains dan lojik memainkan peranan penting. Beliau berpendapat ilmu agama perlu diajar di sekolah-sekolah moden dan sekular, sebaliknya ilmu sains moden pula perlu diajar di sekolah-sekolah agama. Katanya, “Dengan cara ini, para pelajar di sekolah moden dilindungi dari kekufuran dan para pelajar di sekolah agama akan dilindungi dari sikap taksub”.

Dalam usaha merealisasikan cita-citanya, beliau telah pergi ke Istanbul sebanyak dua kali. Kali pertama adalah pada tahun 1896 dan kali keduaya adalah pada tahun 1907. Beliau cuba meyakinkan Sultan Abdul Hamid agar membina sebuah universiti di Anatolia yang mengajar ilmu agama dan ilmu sains secara bersepadu.

Ketika bercakap dengan Sultan Abdul Hamid, Badiuzzaman menggunakan bahasa yang agak kasar sehingga menyebabkan beliau dibicarakan di mahkamah tentera. Di mahkamah tentera pula, beliau masih menggunakan bahasa yang sama. Lantaran terkejut dengan hal ini, para hakim mahkamah tentera telah menghantarnya ke sebuah hospital sakit jiwa untuk diperiksa. Walaubagaimanapun, doktor yang memeriksanya melaporkan “Jika Badiuzzaman gila, maka tidak akan ada seorang manusia siuman pun di dalam dunia ini”. Dengan ini, beliau pun dibebaskan.

Kebebasan Pertama

Sering kali Badiuzzaman menjadi sasaran tuduhan (fitnah) yang bertentangan dengan niat dan cita-citanya. Ketika berlakunya pemberontakan Mac 31, 1909, beliau telah ditangkap dan dibicarakan di mahkamah tentera atas tuduhan mencetuskan kekacauan. Sebenarnya, beliau telah cuba mententeramkan keadaan dan telah berjaya melakukannya pada sesuatu peringkat tertentu. Ketika mayat-mayat orang yang dihukum gantung masih di tiang gantung di luar tingkap mahkamah, Badiuzzaman telah berjaya berhujah mempertahankan diri dan akhirnya telah dibebaskan.

Selepas itu, beliau kembali ke Timur Anatolia dan melawat kawasan-kawasan terpencil untuk menerangkan kepada rakyat bahawa gerakan pembebasan yang sedang ditubuhkan di Turki tidak bertentangan dengan Islam. Beliau telah memberitahu mereka bahawa semua bentuk pemerintahan kuku besi (diktator) ditolak oleh undang-undang Islam. Perundangan Islam akan berkembang dan menunjukkan kemuliaannya di dalam suasana yang bebas merdeka. Kemudian beliau telah mengumpulkan syarahan-syarahannya itu di dalam sebuah buku bertajuk Perbahasan.

Pada musim sejuk tahun 1911, Badiuzzaman pergi ke Damsyik untuk menyampaikan khutbah di Masjid Umayyad. Para pendengarnya termasuklah 100 ulama yang terkenal. Dalam ceramahnya, beliau berkata bahawa tamaddun sebenar yang berada pada Islam akan berdiri tegak di dunia moden ini. Selepas itu, beliau pergi ke Istanbul sekali lagi untuk meneruskan usahanya agar sebuah universiti didirikan di Anatolia Timur. Badiuzzaman merupakan wakil bagi timur Turki yang mengiringi Sultan Muhammad Resyad melawat Rumelia (daerah Balkan). Ketika di Kosovo Metohija, di mana Sultan bercadang untuk membina sebuah universiti, beliau pun berkata, "Kawasan Timur lebih memerlukan sebuah universiti kerana ia merupakan pusat Dunia Islam." Beliau berjaya meyakinkan Sultan Muhammad Resyad agar menyediakan peruntukan sebanyak 19,000 lira untuk tujuan itu. Beliau kemudian pergi ke Van dan meletakkan batu asas universiti tersebut. Tetapi malangnya, pembinaan universiti tersebut tidak dapat disiapkan kerana Perang Dunia Pertama meletus.

Dalam Perang Dunia Pertama, Badiuzzaman menjadi pemimpin pasukan sukarelawan di medan perang Kaukasia dan Anatolia Timur. Keperwiraan yang telah ditunjukkan oleh beliau di medan pertempuran mendapat pujian dari para panglima Tentera Turki Uthmaniah, termasuklah Anwar Pansya, Menteri Perang dan Ketua Turus Tentera ketika itu. Pasukannya telah digelar “Pasukan Topi Bulu”. Pasukan ini telah menggerunkan tentera Russia dan pengganas Armenia. Di medan perang inilah beliau telah menulis tafsirnya yang bertajuk “Isyaaratul I'jaz” di dalam bahasa Arab. Karyanya ini ditulis ketika beliau menunggang kuda di barisan hadapan dan di dalam kubu-kubu pertahanan. Tafsir ini kemudianya mendapat penghargaan daripada para ulama terkenal.
Dalam satu pertempuran menentang pencerobohan tentera Rusia, Badiuzzaman dan 90 orang pegawai lain ditawan. Beliau dihantar ke khemah tahanan perang di Kostromaa, iaitu di barat laut Russia dan ditahan di situ selama 2 tahun.

Badiuzzaman pernah dijatuhkan hukuman tembak sampai mati kerana menghina Jeneral Nicholas Nicolavich, Ketua Turus Tentera Rusia di medan perang Kaukasia, yang juga merupakan bapa saudara Czar, Raja Russia. Walau bagaimana pun, hukuman itu kemudianya dibatalkan. Peristiwa itu adalah seperti berikut:

Pada satu hari, Jeneral Nicholas Nicolavich melawat khemah tahanan tersebut dan berjalan di hadapan Badiuzzaman tetapi ulama itu tidak bangun menghormatinya. Bila ditanya mengapa beliau berbuat demikian, beliau lantas berkata, “Saya seorang ulama Islam dan di dalam hati saya ada iman. Sesiapa saja yang ada iman di dalam hatinya adalah lebih mulia daripada mereka yang tiada. Saya tidak boleh bertindak bertentangan dengan iman saya.” Akibat dari peristiwa itu beliau kemudianya dibicarakan di mahkamah tentera dan dijatuhkan hukuman mati. Sebelum hukuman dijalankan, beliau telah sempat bersolat di hadapan pasukan penembak. Jeneral Nicholas Nicolavich melihat kelakuannya itu dan datang kepadanya untuk meminta maaf. Jeneral itu berkata beliau kini telah sedar bahawa Badiuzzaman bertindak demikian kerana ingin berpegang teguh kepada imannya. Beliau pun meminta maaf atas gangguan tersebut. Sungguh sedih sekali kerana penghormatan yang diberikan oleh orang Russia, musuh lama orang-orang Islam tidak ditunjukkan oleh sebahagian orang-orang Turki yang telah menyebabkan beliau menjalani hidup yang penuh dengan berbagai penderitaan.

Kekacauan yang meletus kerana Revolusi Komunis, memberi peluang kepada Badiuzzaman untuk melepaskan diri. Selepas melalui satu perjalanan yang jauh, beliau pun sampai ke Istanbul dalam tahun 1918. Di Istanbul, beliau dianugerahkan sebuah pingat penghormatan atas sumbangannya di medan perang. Anuar Pasya, telah menawarkan kepadanya beberapa jawatan di dalam kerajaan tetapi beliau menolak. Namun begitu, atas cadangan pihak tentera beliau dilantik menjadi anggota Darul Hikmah Al Islamiah tanpa pengetahuanya. Beliau tidak membantah kerana jawatan ini adalah jawatan ilmiah semata-mata.

Semasa negara Turki diceroboh oleh tentera penjajah selepas kalah dalam Perang Dunia Pertama. Badiuzzaman telah menunjukkan penentangan yang terang-terangan kepada penjajah British. Hal ini hampir membuatkan nyawanya melayang. Di antara kata-kata yang ditujukan kepada pihak British yang ditulis di dalam akhbar harian ialah, “Wahai anjing yang dianjingkan ke peringkat anjing yang tertinggi” dan “Ludahlah muka British yang terkutuk dan tidak tahu malu itu”. Lantaran itu beliau menjadi sasaran komplot bunuh pihak British. Dengan pertolongan Allah beliau terpelihara daripada ancaman tersebut dan terus berhadapan dengan tugas dan cabaran-cabaran baru yang sedang ditunggunya.

Dalam tahun 1922, kerajaan Turki telah menjemputnya ke Ankara tetapi beliau menolak. Akhirnya, selepas dijemput sebanyak 18 kali, barulah beliau bersetuju pergi ke Ankara. Beliau disambut oleh Dewan Perhimpunan Kebangsaan (Parlimen Turki) di Ankara dengan penuh istiadat. Walaubagaimanapun, beliau mendapati apa yang ada di Ankara tidaklah serupa dengan apa yang diharapkannya. Kebanyakan para perwakilan di Dewan Perhimpunan Kebangsaan lalai menunaikan kewajipan agama. Pada 19 Januari 1923, beliau mengeluarkan satu kenyataan untuk para perwakilan mengajak mereka menunaikan kewajipan bersolat. Hasilnya ialah, pada mulanya 50 hingga 60 daripada mereka mula menunaikan solat dan kemudiannya angka ini semakin bertambah.

Badiuzzaman menghabiskan masanya selama lapan bulan di Ankara dan kemudian ke Van. Beliau menghabiskan dua tahun di Van dengan mengasingkan diri, beribadat dan berzikir. Sementara itu, satu pemberontakan berlaku di timur Turki. Para pemberontak meminta sokongan Badiuzzaman kerana beliau sangat berpengaruh di kalangan rakyat tetapi beliau menolak dengan berkata, “Pedang hendaklah digunakan ke atas musuh dari luar. Ia bukanlah untuk digunakan di dalam negeri. Hentikan usaha kamu itu kerana ia akan gagal. Ia akan mengakibatkan beribu-ribu orang lelaki dan wanita yang tidak bersalah terbunuh lantaran tindakan beberapa orang penjenayah”.

Sekali lagi Badiuzzaman difitnah dan mengakibatkannya dibuang ke Burdur. Di Burdur, beliau dikenakan pengawasan ketat dan menderita akibat penindasan dari pihak berkuasa. Hal ini langsung tidak menyekatnya dari menyebarkan kebenaran iman kepada orang ramai di sekelilingnya dan mengumpulkan segala hasil penulisannya dalam bentuk buku. Kegiatannya ini telah dapat dikesan lalu dilapurkan ke Ankara dan satu rancangan diatur untuk menyekatnya. Pihak berkuasa kemudiannya menghantarnya ke Barla pula, sebuah tempat terpencil di bahagian tengah Anatolia. Tempat tersebut dikelilingi bukit-bukau dan mereka berharap Badiuzzaman akan  mati di situ dalam keadaan tidak bermaya dan keseorangan.


Kemunculan  Risale-i Nur (Risalah Yang Bercahaya)

Sebenarnya penyebaran iman bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan. Berdakwah juga bukanlah satu jenayah yang melayakkan nyawa seseorang diancam. Namun begitu, hal ini dianggap satu jenayah pada ketika itu. Pada masa itu, kezaliman menyelubungi negara Turki dengan segala kegelapan dan kezaliman. Azan telah diharamkan. Beratus-ratus masjid telah digunakan untuk tujuan bukan keagamaan. Perancangan telah dijalankan untuk memutuskan negara Turki daripada zaman silamnya yang terkenal dengan segala nilai-nilai akhlaknya yang mulia. Sesiapa yang bercakap mengenai agama memerlukan keberanian. Ketua Jabatan Percetakan Kerajaan boleh mengarah sidang pengarang akhbar memotong sebarang makalah yang menyentuh isu agama dalam tempoh 10 hari atas alasan merbahaya kerana boleh menyemai konsep agama di dalam pemikiran para belia.

Dalam suasana beginilah Badiuzzaman Said Nursi memasuki bahagian kedua hidupnya yang digelarnya "Said Jadid” (Said Baru). Bahagian kedua dalam hidupnya ini ditumpukan sepenuhnya kepada penulisan dan penyebaran mengenai iman dan Islam. Kebenaran iman ialah kebenaran sejagat yang terpenting. Membangkitkan semula iman dan Islam menjadi matlamatnya apabila beliau berkata, “Saya akan buktikan kepada dunia bahawa Al-Quran ialah matahari rohani yang tidak akan luntur dan tidak akan padam”. Maka itulah yang diperjuangkannya. Badiuzzaman tidak mati keseorangan di Barla tetapi yang muncul ialah “Said Jadid” yang seumpama matahari, menyinari dunia sains dan budaya. Semenjak itulah, beliau telah menyinari berjuta-juta manusia dengan cahaya iman.

Di Barla, pengawasan ketat dan penindasan sedang menunggu Badiuzzaman. Musuh-musuhnya masih belum mengenalinya lagi. Inilah orang yang ditakuti tentera Russia ketika Perang Dunia Pertama. Inilah orang yang sanggup meludah ke muka orang British yang menjajah Istanbul. Inilah orang yang berjaya terlepas dari tali gantung sebanyak beberapa kali. Walau bagaimanapun, mereka kemudian mengenalinya juga apabila terpaksa berkata, “Segala apa yang kami lakukan selama 25 tahun yang lepas tidak berjaya menyekat Said Nursi dari meneruskan kegiatannya”.

Beliau telah menghabiskan hidupnya di Barla selama 8 tahun setengah di bawah penindasan yang dahsyat. Dalam tempoh tersebut, beliau sempat menulis 3 suku daripada Risale-i Nurnya. Tafsirnya ini kesemuanya ditulis dengan tangan kerana pengarang dan para pelajarnya tidak mampu menyediakan belanja percetakan. Sekalipun mereka mampu, mereka tidak diberi kebebasan berbuat demikian. Tugas menulis tafsir ini dengan tangan adalah kerja merbahaya pada ketika itu. Mereka yang melakukannya telah disiksa di dalam penjara dan balai-balai polis. Pada masa yang sama, berbagai usaha dijalankan untuk menyekat orang ramai dari menghubungi Badiuzzaman.

Sebanyak 600,000 naskah ditulis dengan tangan.

Ketika itu penulisan atau penyebaran walaupun hanya 1 karya agama bukanlah sesuatu yang sesiapa pun berani lakukan. Inilah perjuangan berani yang berterusan yang menjadi pilihan Badiuzzaman dan para pelajarnya. Apabila keadaan di mana Risale-i Nur ditulis dan disebarkan ke seluruh Anatolia diambil kira, maka betapa benar kata Maryam Jameelah, “Tidaklah keterlaluan untuk mengatakan bahawa apa saja keimanan Islam yang masih ada di Turki pada ketika itu adalah atas usaha tanpa penat dari Badiuzzaman Said Nursi”.

Mereka yang memahami intipati iman melalui Risale-i Nur mencapai tahap keimanan yang kental sehingga mampu menunjukkan keberanian dan keperwiraan Islam yang hebat. Badiuzzaman, yang mewakili roh Risale-i Nur sendiri telah menjadi pemimpin bagi ratusan ribu pelajar dan kini telah mencapai jutaan pelajar yang menghayati karya tersebut. Beliau menjadi contoh kepada orang-orang Islam lain di Turki ketika itu. Beliaulah penyokong mereka di hari-hari yang penuh bahaya, seumpama seorang ketua tentera yang memberi galakan kepada tenteranya melalui keberanian dan kewibawaannya sendiri. Dengan ini, mereka pun berjaya menghilangkan ketakutan dan syak wasangka dari hati orang ramai dan maruah negara dikembalikan. Mereka telah membawa harapan dari kelegaan dan menyelamatkan orang-orang Islam daripada rasa cemas dan kecewa.

Pada tahun 1935, Badiuzzaman bersama 125 orang pelajarnya telah ditahan dan dibicarakan di Mahkamah Jenayah Eskisehir. Dalam tempoh perbicaraan berlangsung, mereka terpaksa menghabiskan selama 11 bulan di dalam penjara Eskisehir yang penuh dengan penderitaan. Walaupun begitu, mereka masih membawa harapan dari kelegaan dan menyelamatkan orang-orang Islam daripada perasaan cemas dan kecewa.

Badiuzzaman kemudianya dipindahkan ke Kastamonu selama 7 tahun. Di sana, Beliau masih terus menulis dan menyebarkan Risale-i Nur. Oleh sebab beliau dan para pengikutnya tidak diberi kebebasan, mereka telah menubuhkan rangkaian pengirim Risale-i Nur yang dinamakan “Posman Nur” (Nurju). Hasilnya, Posman Nur telah berjaya menyebarkan sebanyak 600,000 naskah Risale-i Nur ke seluruh Anatolia.

Pada tahun 1943, beliau bersama 126 orang pelajarnya telah ditahan dan dibicarakan di Mahkamah Jenayah di Denizli. Kali ini beliau dituduh mencetak secara rahsia satu risalah di Istanbul mengenai kewujudan Tuhan.

Perjuangannya tidak pernah reda sama ada dalam buangan mahupun di penjara. Di dalam penjara, beliau telah bertindak memulihkan para banduan dan penjenayah yang dianggap tidak berguna oleh masyarakat. Beliau juga telah berjaya menghasilkan karya-karya baru walaupun kertas dan pen tidak dibenar masuk ke dalam penjara. Jadi, karyanya ditulis atas cebisan-cebisan kertas yang dikoyak dari kampit-kampit kertas. Karyanya kemudian diseludup keluar di dalam kotak-kotak mancis. Karyanya yang berjudul “Buah-buah Iman” telah ditulis dengan cara ini.

Perbicaraan di Denizli berakhir dengan keputusan beliau dibebaskan sebulat suara. Tetapi ini tidak bermakna beliau telah diberikan kebebasan sepenuhnya. Atas arahan daripada pihak berkuasa di Ankara, beliau pun dihantar ke sebuah bandar lain bernama Emirdag.

Kebebasan yang sudah lewat

Bagi Badiuzzaman, Emirdag juga sama dengan tempat-tempat yang lain. Sekali lagi beliau diawasi, ditindas dan diancam. Namun begitu, beliau terus memperjuangkan iman dan Islam. Tenmpohnya di Emirdag sekali lagi berakhir dengan penangkapanya. Kali ini beliau bersama dengan 53 pelajarnya telah ditahan dan dihantar ke Mahkamah Jenayah Afyon untuk dibicarakan. Beliau dipenjarakan di penjara Afyon selama 20 bulan. Kekejaman di penjara ini adalah lebih teruk berbanding yang lain. Badiuzzaman ketika itu berumur 75 tahun dan sedang menderita berbagai penyakit. Pihak berkuasa telah meletakkannya di sebuah bilik penjara bersendirian yang mempunyai tingkap-tingkap pecah walaupun beliau uzur. Di dalam bilik penjara bertingkap pecah inilah Badiuzzaman menghabiskan dua musim sejuk yang sangat mencabar. Apabila melihat musim sejuk pun tidak dapat membunuhnya, maka musuhnya telah meracuninya (ada pendapat mengatakan beliau diracun sebanyak 19 kali). Ketika beliau menderita kesakitan akibat racun tersebut, beberapa orang pelajarnya memberanikan diri untuk menolongnya tetapi telah dibelasah dengan kejam sekali.

Akhirnya hukuman ke atas Badiuzzaman telah dibatalkan oleh Mahkamah Agung. Walau bagaimanapun, Mahkamah Agung telah mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan. Mahkamah membatalkan hukuman tersebut setelah Badiuzzaman dan para pengikutnya menghabiskan tempoh penjara yang sama panjang dengan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Afyon. Lapan tahun kemudian, akhirnya dalam tahun 1956, Mahkamah tersebut mengistiharkan mereka tidak bersalah selepas mereka menghabiskan dua tahun dalam penjara yang teruk.

Pilihanraya bebas dan adil yang pertama telah diadakan di Turki pada tahun 1950. Sistem pelbagai parti telah menggantikan sistem 1 parti. Pemerintahan kejam Parti Republikan Rakyat yang tidak suka pada agama telah tamat. Pelbagai bentuk kebebasan dan hak mula diikhtiraf. Satu zaman baru telah bermula bagi sejarah Republik Turki. Pengharaman ke atas azan telah dibatalkan dalam sidang pertama parlimen baru Turki. Dalam tahun-tahun berikutnya, Badiuzzaman terlibat dalam hanya 1 perbicaraan saja. Dalam perbicaraan di Istanbul ini, beliau tidak ditahan. Keputusannya ialah beliau dibebaskan sebulat suara.

Selepas hampir seabad berkhidmat untuk iman dan Islam, Badiuzzaman Said Nursi kembali ke rahmatullah pada pagi 23 hb. Mac, 1960. Beliau telah pergi dengan penuh kemuliaan dan kemenangan. Hasil karyanya akan terus menyinari abad ini dan abad-abad yang mendatang. Kasih sayang yang dipupuknya akan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi untuk selama-lamanya.

Pandangan terhadap Risale-i Nur

Badiuzzaman telah memahami sebab yang paling penting dalam keruntuhan dunia Islam sebagai kelemahan dalam asas keimanan. Kelemahan ini bersama serangan-serangan pada asas keimanan pada abad ke 19 dan 20 ini yang dijalankan oleh fahaman kebendaan, ateis dan lainnya atas nama sains dan kemajuan menjadikannya insaf bahawa keperluan yang mustahak dan genting adalah untuk menguatkan dan menyelamatkan keimanan. Apa yang diperlukan adalah untuk mengerahkan semua tenaga untuk membangunkan ajaran Islam melalui asas keimanan dan untuk menjawab persoalan-persoalan keimanan ini pada tahap yang diperlukan dengan “Jihad yang Maknawi” atau “Jihad dengan Ayat”.

Dalam masa penahananya, Badiuzzaman telah menulis satu koleksi karya yang digelar Risale-i Nur, yang menerangkan dan menghuraikan asas-asas keimanan dari kebenaran Al-Quran kepada manusia moden. Metodologi yang digunakannya adalah dengan menganalisis keimanan dan kekufuran serta menunjukkan melalui hujah-hujah yang rasional dan terang bahawa bukan sahaja keimanan boleh dibuktikan, kesemua kebenaran yang terkandung dalam keimanan seperti keujudan Tuhan dan keEsaanNya, kerasulan dan kebangkitan manusia di hari akhirat dalam bentuk jasad juga dapat diterangkan sebagai satu satunya penjelasan yang rasional dari keujudan manusia dan alam semesta ini.

Dalam menjelaskan keadaan yang sebenarnya dari tujuan utama penciptaan manusia dan alam semesta ini, Risale-i Nur menunjukkan bahawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat hanya boleh diperolehi dalam keimanan dan ilmu ketuhanan. Ia juga menunjukkan akibat dari kekufuran, menyebabkan roh manusia dan hatinya mengalami kesakitan dan kesedihan yang amat sangat di mana biasanya orang-orang yang sesat berusaha untuk menghilangkannya melalui kelalaian dan menolak kenyataan. Oleh itu, sesiapa yang mempunyai sebarang kesedaran boleh mengambil perlindungan dengan cara berpegang kepada keimanan.

Berikutnya adalah beberapa petikan yang di utarakan oleh tokoh-tokoh Islam ketika ini keatas Badiuzzaman dan Risale-i Nur:

Dalam sejarah Islam, tiga pergerakan Islam berikut telah bangkit dan meyerupai satu dengan yang lain di mana setiap satunya telah memainkan peranan yang  besar dalam memelihara keimanan orang-orang Islam : 1. Pergerakan Imam Rabbani, Shaykh Ahmad Sirhindi di India.  2. Pergerakan Abdulhamid ibnu Badis di Algeria  3.  Pergerakan Badiuzzaman Said Nursi di Turki.

Prof. Abdul Wadud Celebi
(Universiti Al-Azhar,Mesir)

Saya percaya bahawa penulisan dalam Risale-i Nur sahajalah yang melihat dengan secukupnya dan menyeluruh kepada kosmos seperti keadaaannya yang sebenarnya, menyampaikan keimanan dengan pentafsiran Al-Quran seperti yang dikehendakki oleh Rasul kita, mencari sebab penyakit yang menjangkiti manusia moden dan menawarkan ubat yang dapat menyembuhkan penyakit-penyakit ini dengan sepenuhnya. Sesungguhnya saya berkepecayaan bahawa pengarang Risale-i Nur layak untuk di gelar Mujaddid.

Dr. Colin Turner (Telah memeluk Islam)
(Universiti Manchester,England)

Hari Esok Untuk ISLAM.....



Hari esok untuk Islam,
Hari ini kita berjuang,
Menegakkan kebenaran,
Walau manusia membenci,
Walau manusia mencaci,
Hari esok untuk Islam,

Yakinlah wahai pejuang,
Hari esok untuk Islam,
Bekalkan dirimu Ilmu dan Iman,
Itulah tenaga kejayaan,

Wahai teman sejati,
Sambutlah kebangkitan ini,
Bumi yang gelap sama disinari,
Dengan cahaya Din yang suci,
Wahai teman sejati,
Bantulah perjuangan ini,
Bumi yang gelap sama disinari,
Dengan cahaya Din yang suci,

Setiap kebatilan pasti kan hilang,
Setiap kebenaran pasti kan menang (2x),

Yakinlah wahai pejuang,
Jahiliyyah pasti diruntuhkan,
Islam kan kembali gemilang,
Hari esok untuk Islam,
Hari esok untuk Islam,
   Hari esok untuk Islam…

Wednesday, November 21, 2012

Tuesday, November 20, 2012

Doa orang yang dizalimi...





1. Sesiapa sahaja yang menzalimi orang lain, maka akan ada pembalasan Allah ke atasnya sekalipun insan yang dizalimi itu telah mati, atau gagal bertindak apa-apa.
Allah tidak lupa perbuatan mereka yang zalim. Akan ada hari yang mendatang di mana si zalim akan tetap dibalas Allah dengan cara yang dikehendakiNya. Percayalah hal ini. Jika tidak pun di dunia, pembalasan akhirat tetap menanti. Dosa itu akan tetap ditanggung oleh si zalim. Akan tetap tiba hari yang maha adil untuk semua.

Sabda Nabi s.a.w:

"Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk" (Riwayat Muslim).


2. Jika benar saudara dizalimi, saudara tidak akan disia-siakan pada Hari Akhirat kelak. Si zalim pula akan berhadapan dengan mahkamah Allah di Mahsyar nanti. Amalan baiknya akan saudara perolehi, jika tidak dia akan menanggung dosa saudara.

Sabda Nabi s.a.w:

"Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tidak ada dinar dan dirham (Hari Kiamat). Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dos orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya" (Riwayat al-Bukhari).


3. Berdasarkan hadis-hadis, baginda Nabi s.a.w pernah berdoa agar Allah mengambil tindakan ke atas musuh-musuh Islam. Banyak hadis-hadis mengenai hal tersebut. antaranya doa baginda s.a.w ke atas kumpulan Quraish yang menzalimi baginda:

"Ya Allah, ambillah tindakanMu ke atas Quraish" (Riwayat al-Bukhari).

4. Adapun sesama muslim, perkara yang patut didahulukan –jika mampu- adalah memaafkan atau memohon hidayah agar diberikan kepada si zalim.

Sabda Nabi s.a.w:

"Sedekah tidak akan mengurangkan harta, Allah akan tambah kemuliaan untuk seseorang hamba disebabkan kemaafannya dan tiada seorang pun yang bertawaduk kerana Allah melainkan Allah akan mengangkatnya". (Riwayat Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya).


5. Adapun jika saudara mahu juga berdoa agar Allah mengambil tindakan kepadanya, maka perkara tersebut tidaklah salah. Pastikan dahulu memang saudara dizalimi dan perbuatan individu berkenaan memang terbukti dan zalim.

Dalam hadis riwayat al-Imam Muslim menyebut:

Umm Sulaim iaitu Umm Anas memiliki seorang anak yatim perempuan. Suatu hari Nabi s.a.w melihat kepada anak yatim tersebut. Baginda bersabda: "Oh awak, dah besar pun awak. Umur awak takkan membesar lagi".

Anak yatim tersebut kembali kepada Umm Sulaim dan menangis. Umm Sulaim bertanya: "Kenapa wahai anakku?".

Kata gadis itu: "Nabi Allah s.a.w telah mendoakan keburukan ke atasku agar umurku tidak membesar. Maka mulai sekarang umurku tidak akan membesar lagi selama-lamanya.

Maka Umm Sulaim pun keluar, tergesa-gesa mengenakan tudungnya sehingga berjumpa Rasulullah s.a.w. Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: "Kenapa wahai Umm Sulaim?". Kata Umm Sulaim: "Wahai Nabi Allah, adakah engkau telah mendoakan keburukan ke atas anak yatimku?".

Baginda bertanya: "Apadia wahai Umm Sulaim?". Kata Umm Sulaim: "Anak yatimku mendakwa engkau mendoakan agar umurnya tidak membesar".

Rasulullah s.a.w pun ketawa kemudian bersabda: "Wahai Umm Sulaim! Tidakkah engkau tahu syaratku untuk tuhanku? Aku telah memberikan syarat untuk tuhanku, aku berkata:

"Sesungguhnya aku manusia; aku redha seperti mana manusia redha, aku marah seperti mana manusia marah. Justeru, sesiapa sahaja di kalangan umatku yang aku doakan keburukan ke atasnya dengan sesuatu doa, sedangkan dia tidak layak maka Allah akan jadikan untuknya kesembuhan, penyucian dan perkara yang mendekatkannya dengan Allah pada Hari Kiamat nanti".

Gurauan Nabi s.a.w telah merisaukan Umm Salamah. Nabi s.a.w menjelaskan bahawa doa itu tidak akan menimpa gadis itu kerana dia tidak layak. Ertinya, jika sesiapa yang layak maka doa itu akan menimpanya.


6. Dalam riwayat al-Imam Muslim seorang sahabat besar Nabi s.a.w iaitu Sa'id bin Zaid telah berdoa agar Allah mengambil tindakan kepada Arwa binti Aus yang memfitnah beliau mengambil tanahnya serta mengangkat kes itu kepada Gabenor Marwan bin al-Hakam.

Sa'id bin Zaid berdoa dengan menyebut: "Ya Allah! Jika dia seorang pendusta maka butakanlah matanya dan bunuhlah dia dalam tanahnya". Maka Arwa pada akhir hayatnya buta mata dan ketika sedang berjalan terjatuh dalam sebuah lubang dalam tanahnya dan meninggal.

Dalam riwayat al-Bukhari pula menceritakan bahawa ada penduduk Kufah yang mempertikai kepimpinan gabenor mereka Sa'd bin Abi Waqqas sedangkan beliau sahabat Nabi s.a.w yang besar dan pemimpin yang soleh. Khalifah 'Umar mengambil tindakan menggantikan Sa'd bin Abi Waqqas dengan 'Ammar bin Yasir.

Ketika siasatan sedang dijalankan didapati rakyat memuji kepimpinan Sa'd, kecuali di Masjid Bani 'Abs seorang yang bernama Usamah bin Qatadah bangun membuat dakwaan seperti berikut:

"Sesungguhnya Sa'd tidak menyertai peperangan, tidak membahagi harta secara saksama dan tidak adil dalam hukuman".

Sa'd menjawab: "Demi Allah aku akan berdoa dengan tiga perkara: "Ya Allah! Jika hambaMu ini (penuduh) seorang pendusta, tampil untuk menunjuk-nunjuk maka panjangkan umurnya, panjangnya kefakirannya dan dedahkan dia kepada fitnah".

Maka lelaki tersebut hidup dalam kefakiran sehingga umur terlalu lanjut tapi masih mengganggu gadis-gadis di jalanan dan cuba meraba mereka.


7. Doa-doa di atas jika kita lihat mereka tidaklah terus meminta bala kepada muslim yang dianggap zalim itu, sebaliknya diikat dengan ungkapan "Ya Allah, jika dia ini berdusta maka…" atau mungkin kita sebut "jika dia telah menzalimiku maka..". Ini kerana kita mungkin tersalah anggap, atau silap tafsiran maka wajarlah berlapik kata dalam hal ini dan serahkan kepada Allah Yang Maha Mengetahui.

8. Kita hendaklah sentiasa bimbangkan doa orang yang kita zalimi. Akan ada masanya Allah memustajabkan doa insan yang dizalimi lalu membalasnya kepada si zalim. Sabda Nabi:

"Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat Ahmad, baginda bersabda:

"Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya" (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).

Dalam riwayat Ahmad yang lain:

"Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).

Ertinya, walaupun insan yang dizalimi itu mungkin tidak baik agamanya, tetapi perbuatan orang lain menzaliminya tetap akan Allah balas. Dosa individunya itu urusan dirinya. Dosanya itu tidak memberi 'lesen' kepada orang lain untuk menzaliminya. Maka berhati-hatilah kita.

Saturday, November 17, 2012

Teruskan Bersama Perjuangan Islam






Ucapan Perasmian Presiden Pas - Muktamar Muslimat Ke 52

PAS tidak pernah lari dari perjuangan asal - Syura Ulamak




KOTA BHARU: Majlis Syura Ulamak PAS menyeru seluruh ahli, pendokong dan penyokong PAS agar jangan melayan fitnah-fitnah yang ditaburkan oleh musuh-musuh PAS yang kononya PAS telah terpesong dari perjuangannya.


Menurut Timbalan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Dr Haron Din, musuh tahu bahawa PAS masih di atas keasliannya, akan tetapi sengaja manabur fitnah itu tanpa mereka menyedari bahawa sebenarnya mereka mengiktiraf PAS adalah parti yang memperjuangkan Islam yang sebenar.

Di waktu yang sama katanya, mereka berkenaan seperti tidak menyedari bahawa itu adalah taktik dan strategi musuh PAS untuk menyelamatkan diri mereka daripada ditolak rakyat dengan menggunakan individu-individu tertentu untuk mencalarkan PAS demi menjaga kepentingan mereka yang amat tergugat.

"Majlis Syura Ulama sebulat suara membuat penekanan dan perakuan rasmi bahawa PAS adalah PAS dahulu, perjuangannya tidak lari dari perjuangan asal.

"Arah tuju PAS dahulu dan PAS sekarang adalah sama. PAS masih utuh dan masih tetap atas perjuangan asalnya tanpa sedikit pun menyeleweng dari apa yang tercatat di dalam perlembagaan Fasal 5(1)," katanya kepada Harakah dan Harakahdaily hari ini.

Perakuan itu juga ujarnya aalah hasil Mesyuarat Majlis Syura Ulamak yang bersidang di JKR10 di sini malam tadi dengan mengambil kira dua ucapan dasar Presiden PAS di dua muktamar iaitu di Taman Melewar pada 2011 dan di Putik semalam.

Terdahulu, dalam perbahasan ucapan dasar Presiden PAS, perwakilan Ulama Hairun Nizam (kanan) berkata, dasar tahaluf siasi yang diputuskan Ulama ia wajib dipatuhi oleh semua ahli demi keutuhan dan kemantapan organisasi.

"Liku-liku politik yang telah ditempuhi oleh baginda rasulullah sendiri yang patut kita beri perhatian ketika membuat keputusan-keputusan tahaluf siasi," katanya.

Malah katanya, kepimpinan Ulama mahukan bukan kemenangan untuk menjatuhkan BN semata-mata tetapi mahukan kemenangan untuk agama Islam.

"Kita perlu meletakkan kemenangan menjadi hak Allah. Jangan menyorokan Islam seketika untuk mendapat kemenangan dengan meletakkan hukum syarak di nombor dua tiga dan seterusnya, sebaliknya meletakkan hukum syarak itu yang paling utama," katanya.

Beliau turut memberi peringatan kepada pucuk pimpinan PAS agar menolak calon yang melobi diri sendiri untuk menjadi calon dalam PRU akan datang. 

"Mohon kepimpinan untuk lihat sebarang tindakan yang melobi diri sendiri menjadi calon, minta calon ini tidak dijadikan calon PRU nanti," jelasnya.

Wednesday, November 14, 2012

Salam Maal Hijrah 1434H



PERUTUSAN MAAL HIJRAH.

Parti Islam Se-Malaysia PAS mengucapkan selamat menyambut maal hijrah kepada seluruh umat Islam di Malaysia dan dunia amnya. Peristiwa hijrah adalah peristiwa besar yang memberi pengajaran bermakna kepada kita khususnya rakyat Malaysia dalam berdepan dengan pilihanraya.

Tindakan pertama Rasulullah SAW selepas hijrah dalam membangunkan negara Madinah ialah mendirikan masjid
dan keduanya membina pasar. Kedua tindakan nabi ini adalah simbolik kepada pembangunan insan dan pembangunan ekonomi yang dititik beratkan dalam membina sesebuah negara. Masjid adalah tempat membangunkan manusia untuk bertaqwa kepada Allah dan menghubungkan manusia sesama mereka. Manakala pasar pula sebagai pusat kegiatan ekonomi yang kedua penting dalam membangunkan negara.

Sudah lebih setengah abad Malaysia merdeka dalam keadaan rasuah dan jenayahnya yang sangat parah. Ia telah merosakkan negara dan rakyat sehingga menjadikan negara dan rakyatnya mundur. Begitu juga dengan agihan ekonomi yang berlaku secara tidak adil. Yang kaya dikalangan kroni terus menerus menjadi kaya dan yang miskin terus miskin walaupun keras berusaha. Perkara ini tidak tepat dengan kehendak Islam.

Oleh itu mengambil semangat hijrah, perlu untuk kita berubah dengan meletakkan kepimpinan negara kepada manusia yang amanah yang bukan sahaja mampu membangunkan negara, tetapi amanah dalam pemerintahan dan adil layanannya kepada rakyat.

Disamping itu kita sebagai individu muslim juga mesti berubah kearah yang lebih baik dalam amal ibadah dan kefahaman kita untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Semoga tahun baru hijrah ini akan membawa perubahan bermakna kepada seluruh dunia kearah melihat dunia yang lebih adil dan terkeluar daripada kezaliman, peperangan dan penindasan yang banyak berlaku dimasa ini




PAS 4 ALL

Wednesday, October 31, 2012

Himpunan Kebangkitan Rakyat 3 NOvember 2012




SEREMBAN: PAS Negeri Sembilan mengalu-alukan kedatangan semua ahli dan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat ke negeri ini sempena program Pelancaran Himpunan Kebangkitan Rakyat, 3 November ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan Nor Azman Mohamad berkata dua lokasi berkumpul telah disediakan iaitu di Markaz MTD DUN Chembong, Kampung Mulia dan Markaz PR DUN Seri Menanti, Terachi yang akan dibuka bermula jam 3 petang.

"Bagi memudahkan perjalanan, semua ahli dan penyokong PAS digalakkan hadir secara berkonvoi.

"Berkenaan dengan kemudahan lokasi, boleh menggunakan lebuhraya PLUS susur keluar (exit) Senawang manakala stesyen komuter yang terdekat ialah Stesyen Komuter Sungai Gadut yang jaraknya ke lokasi program 1.5 kilometer," katanya.

Himpunan yang akan di adakan di Taman Seremban Jaya, Seremban itu akan bermula jam 4 petang sehingga 12 tengah malam.

Program tersebut akan dihadiri oleh semua kepimpinan utama Pakatan Rakyat antaranya termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Dijangka lebih 50,000 ahli, penyokong dan rakyat tempatan hadir ke program itu nanti.

Sementara itu juga, PAS Negeri Sembilan akan mengadakan ceramah mobilasi di beberapa kawasan sebagai persediaan menjelang himpunan itu nanti.

Kawasan ceramah tersebut seperti berikut:

1) 31 Oktober 2012 - 9 Malam - Pasti Al-Hasanah, Bandar Seremban Selatan (YB Mohd Taufek Abd Ghani, Che'GuBard Samm, Fareedah Samad, Tuan Speaker)

2) 31 Oktober 2012 - 9 malam - Pasti al-Mawaddah Warisan Puteri, Seremban ( YB Wilfried Bumbering (MP Tuaran) , YB Ahmad Kasim (MP Kuala Kedah) YB John Fernandaz (MP Seremban) YB Loke (MP Rasah) YB Aminuddin (ADUN Sikamat)

3) 1 November 2012 - 9 Malam - Kampung Gedok, Gemencheh, Tampin (Yb Mohd Taufek Abd Ghani, Che'GuBard, Bob Lokman, Yb Veerapan (ADUN Repah)

4) 1 November 2012 - 9 Malam - Markaz MTD Labu, Sepang Road, Jalan Salak, Nilai (Ybhg Tuan Haji Mohamad Sabu, Ustaz Mohd Khairil Wafa, Nazree Yunus, YB Cha Kee Cin (ADUN Kepayang)

5) 1 November 2012 - 9 Malam - Muassasah Darus Syarif, Jalan Batui Kikir-Bahau, Jempol (YB Siti Zailah (MP Rantau Panjang) Aishah (artis) Aiman Athirah , Kumuta , Fareedah Samad)

Friday, October 26, 2012

Eidul Adha: Medan dakwah Rasulullah


Ibadah haji dilaksanakan di Makkah yang menghimpunkan umat Islam seluruh dunia bagi melaksanakan rukun Islam kelima. 

Ia bukan sekadar ibadah biasa, tetapi mempunyai maksud yang besar kepada kesatuan Ummah dalam mendamaikan dunia dengan Islam.

Rasulullah SAW menjadikan musim haji di zaman jahiliyah untuk berdakwah kepada kelompok kabilah-kabilah Arab yang datang daripada berbagai wilayah. 

Bukan sekadar menyeru mereka memeluk Islam, bahkan mengajak mereka mendirikan negara yang melaksanakan syariat Allah SWT yang sifatnya adil untuk semua manusia tidak mengira agama dan bangsa dan juga adil kepada makhluk lain yang dipelihara dibawah pemerintahan.

Daripada satu kabilah kepada satu kabilah, sehinggalah akhirnya bertemu dengan penduduk Madinah suku Aus dan Khazraj yang menerima Islam dan bersedia menjadikan negara mereka Madinah sebagai tapak kekuasaan Islam. 

Tidak lama selepas peristiwa itu, Nabi SAW telah berhijrah ke Madinah mendirikan kerajaan dan tamadun manusia yang berjaya mengeluarkan bangsa Arab daripada kegelapan jahiliyah, hidup yang porak peranda, jenayah yang berleluasa kepada kehidupan yang bersatu, maju dan sejahtera dibawah pemerintahan Islam.

Bermula daripada inilah, maka tamadun manusia itu berkembang pesat mengambil contoh tauladan pemerintahan Rasululah SAW.

Begitu juga ibadah qorban yang dilaksanakan Nabi Ibrahim AS penuh dengam ketaatan dan ujian yang berat. 

Namun keimanan Nabi Ibrahim dan anaknya yang teguh menjadikan mereka manusia yang berjaya bukan sekadar melaksanakan perintah Allah dalam hal qorban, tetapi juga berjaya mendirikan kerajaan orang beriman dan mengemudinya di Mekah, Palestin dan Syam. 

Daripada keturunan Nabi Ibrahim ini melahirkan nabi yang ramai dan tersebar luasnya dakwah Islam zaman berzaman sehinggalah munculnya Nabi Muhammad daripada keturunan Ismail dam Nabi Yaakub, Nabi Zakaria, Nabi Yahya, Nabi Musa, Nabi Isa dan lain-lain nabi yang membawa risalah Allah SWT.

Marilah kita mengambil pengajaran diatas dua peristiwa ini untuk meningkatkan keyakinan dan ketaatan kepada agama Allah SWT. 

Moga-moga kita dipilih oleh Allah menjadi hambanya yang istiqamah dalam menegakkan keadilan Islam untuk kesejahteraan di muka bumi ini.

Mewakili PAS, saya mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Idil Adha kepada seluruh muslimin dan muslimat di negara ini dan seluruhnya

Tuesday, October 23, 2012

Hari Raya Aidiladha dalam hadis

Hari Raya Aidiladha dalam hadis

* Diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a, yang bermaksud: "Rasulullah SAW datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah SAW bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman Jahiliah: Kemudian Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas)

*  “Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

* Diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Al-Hakim yang bermaksud: "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih."

*  Ibnu Abbas dan Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a: Diriwayatkan daripada Ibnu Juraij katanya: Aku telah diberitahu oleh Ata' daripada Ibnu Abbas dan Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a kedua-duanya berkata: Tidak ada azan bagi sembahyang Hari Raya Fitrah (Aidilfitri) dan sembahyang Hari Raya Korban (Aidiladha). Selepas beberapa ketika aku bertanya Ata' tentang perkara tersebut: Lantas dia menjawab dengan berkata: Aku telah diberitahu oleh Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a bahawa: Tidak ada azan bagi sembahyang Hari Raya Fitrah (Aidilfitri), baik ketika imam keluar atau sesudahnya. Juga tiada iqamat atau apa-apa pun.

SEMOGA KORBAN KITA DITERIMA OLEH ALLAH SWT Ameeenn....
-Selamat Hari Raya Korban-