Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Saturday, December 31, 2011

Thursday, December 29, 2011

Tarbiyah Dzatiyah

Definisi Tarbiyah Dzatiyah:

"Sejumlah wasilah Tarbiyah yang diberikan seorang Muslim kepada dirinya sendiri, untuk membentuk keperibadian Islam yang sempurna (Ilmu, Iman, Akhlak, Sosial dll) dan naik tinggi ke tingkatan kesempurnaan sebagai manusia."

  1. Ringkasnya, Tarbiyah seseorang terhadap diri sendiri, oleh dirinya sendiri (Self-Tarbiyah).
  2. Tarbiyah Dzatiyah merupakan penerusan terhadap Tarbiyah Jama'iyah (Usrah, Mabit, Daurah, Mukhayyam dll) yang telah diikuti oleh kita.
Kepentingan Tarbiyah Dzatiyah:

    1. Menjaga diri sendiri mestilah didahulukan daripada menjaga orang lain.
"Hai orang-orang yang beriman, jagalah diri dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu…"
(At-Tahrim 66: 6)


    1. Jika kita tidak mahu mentarbiyah diri sendiri, siapa yang akan mentarbiyah kita?
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat)…"
(Al-Hasyr 59: 18)


    1. Hisab Allah SWT di Hari Akhirat kelak bersifat individual.
"Dan setiap mereka datang kepada Allah pada hari kiamat dengan sendiri-sendiri."
(Maryam 19: 95)

    1. Tarbiyah Dzatiyah sangat efektif kerana kitalah yang paling mengetahui keadaan diri sendiri (Keaiban, kelemahan, Dosa-dosa dan Maksiat yang dirahsiakan) sehingga kita dapat mendidik diri agar mampu menanganinya.
    2. Tarbiyah Dzatiyah adalah wasilah untuk kita terus Tsabat dan Istiqamah dengan ajaran Islam (walau ketika berseorangan dan jauh dari Murabbi/ikhwah).
    3. Tarbiyah Dzatiyah sangat penting kerana ia merupakan salah satu cara yang efektif untuk mendakwahi orang lain. Peribadi yang sentiasa menjadi Qudwah dalam keimanan, akhlak, keilmuan, ibadah dll terhasil antaranya melalui Tarbiyah Dzatiyah.
    4. Tarbiyah Dzatiyah jugalah yang diperlukan untuk memperbaiki realiti umat hari ini yang kian rosak. Setelah individu-individu ini baik keislamannya, maka akan berlaku perubahan di peringkat keluarga, masyarakat dan negara (Bertambah cepat bila digabungkan dengan Tarbiyah Jama'yah).
    5. Tarbiyah Dzatiyah sangat istimewa kerana ia mudah dilakukan, ada pelbagai wasilah dan tidak bergantung kepada masa atau tempat tertentu. (Usrah perlukan masa tertentu, kehadiran orang-orang tertentu dan di tempat tertentu.)
 Kenapa Tidak Pedulikan Tarbiyah Dzatiyah?

    1. Minimumnya ilmu Keislaman. Dalam Al-Quran dan Sunnah banyak sekali arahan agar kita mentarbiyah diri sendiri (menjaga keimanan, iltizam dengan ibadah dan berakhlak mulia).
    2. Tidak jelas akan matlamat hidup di dunia ini. Kita akan hidup dengan mengikut-ikut trend manusia kebanyakan dan tidak peduli dengan usaha pembaikan keislaman diri dan pembersihan jiwa.
    3. Hanyut dengan kehidupan dunia. Kita terlalu leka dengan kesibukan dunia dan tuntutannya sehingga kita terlupa (atau ala kadar) untuk beribadah kepada Allah SWT dan memenuhi tuntutan-Nya.
    4. Salahfaham terhadap Tarbiyah Dzatiyah dengan menganggap ia akan membebankan dan menuntut masa yang banyak sehingga menggangu kehidupan seharian kita. Atau juga merasakan bahawa kita telah laksanakan ibadah-ibadah wajib, jadi kenapa masih perlu Tarbiyah Dzatiyah?
    5. Kurangnya asas-asas Tarbiyah hingga kita tidak merasakan kepentingan membina, mendidik dan memperbaiki diri sendiri. 
    6. Murabbi kita mungkin kurang menekankan soal Tarbiyah Dzatiyah ini. Sehingga kita anggap sudah cukup dengan sekadar menghadiri program-program Tarbiyah Jama'iyah sahaja.
    7. Kita merasa umur masih muda dan kematian masih jauh, sehingga kita tidak terlalu peduli dengan Tarbiyah Dzatiyah.
 Medium Tarbiyah Dzatiyah:

    1. Muhasabah:

      1. Dilakukan secara rutin (seeloknya pada setiap malam sebelum tidur agar kita dapat menilai kehidupan sepanjang hari).
      2. Beberapa Perkara Utama yang perlu dimuhasabah:
  • Kesejahteraan Akidah kita dan kebersihan Tauhid dari Syirik kecil yang tersembunyi.
  • Perlaksanaan kewajipan-kewajipan kita (Solat 5 waktu, Berbakti kepada Ibubapa, Silaturrahim dan Amar Ma'ruf Nahi Mungkar).
  • Sejauh mana kita menjauhi kemaksiatan dan kemungkaran.
  • Bagaimana dengan ibadah-ibadah Sunat dan ketaatan yang lain.


  • Jenis-jenis Muhasabah:
  • Muhasabah diri sebelum berbuat sesuatu.
  • Muhasabah diri setelah berbuat sesuatu (ketaatan yang dilalaikan, perbuatan baik yang ditinggalkan, perkara mubah (harus) yang dikerjakan secara berlebihan).
  1. Muhasabah akan perjalanan waktu yang merupakan modal kehidupan kita. Adakah digunakan untuk hal-hal kebaikan dan kemanfaatan, atau sebaliknya.
  2. Ingatlah akan Hisab yang lebih besar di akhirat kelak. Setiap daripada kita pasti akan dihisab amalan di dunia. Oleh itu, marilah kita menghisab diri sebelum kita dihisabkan.
 Taubat dari Segala Dosa:
    1. Dosa pada hakikatnya adalah tidak mengerjakan kewajipan-kewajipan Syar'i, atau melalaikannya (tidak kerjakan seperti yang semestinya).
    2. Semua dosa merupakan kesalahan kepada Allah SWT.
    3. Taubat Nasuha: Taubat secara jujur dan serius, yang akan menghapuskan segala kesalahan sebelumnya dan melindungi pelakunya daripada dosa-dosa yang lepas.
    4. Dosa-dosa yang dilakukan kadang-kadang dibalas oleh Allah SWT di dunia lagi, segera ataupun dilambatkan. Kita hendaklah sentiasa beristighfar dan berdoa memohon keampunan Allah SWT agar terlepas dari pembalasan di dunia dan akhirat.
    5. Antara perangkap syaitan untuk menyesatkan manusia adalah dengan cara menipu manusia agar menunda-nunda Taubat dan menganggap masih umurnya masih muda untuk bertaubat.
 Mencari Ilmu dan Memperluaskan Pengetahuan:
    1. Ilmu yang benar akan membimbing kita kepada kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
    2. Kita sendiri perlu berinisiatif untuk menambahkan keilmuan (terutamanya Ilmu-ilmu Islam) tanpa mengharapkan arahan/suruhan Murabbi.
    3. Caranya sangat banyak, antaranya adalah:
  • Menghadiri majlis-majlis ilmu, seminar, forum, diskusi dll yang banyak diadakan.
  • Membaca buku-buku Agama dan Ilmiah. Rujuk pada Murabbi kita apakah buku-buku yang sesuai dibaca dan buat sasaran untuk habiskan sekurang-kurangnya satu buku sebulan.
  • Menziarahi para Ulama', Syuyukh, Pemikir dan pengkaji. Berbincang dan minta penjelasan mereka tentang isu-isu berkaitan kepakaran mereka.
  • Mendengar kaset/mp3 dan menonton video ceramah agama dan ilmu.
  1. Perkara yang perlu diperhatikan dalam menuntut Ilmu adalah Ikhlas, rajin dalam meningkatkan pengetahuan, menerapkan Ilmu yang didapati, dan menunaikan hak Ilmu dengan menyampaikan kepada orang lain.
  1. Mengerjakan amal-amal Keimanan:
    1. Melaksanakan amalan-amalan yang wajib sebaik-baik mungkin.
    2. Meningkatkan ibadah-ibadah sunnah (Solat Tahajjud, Dhuha, Rawatib).
    3. Sentiasa berzikir dan bertilawah Al-Qur'an.
    4. Antara perkara-perkara yang perlu diperhatikan adalah melaksanakan setiap ibadah dengan kehadiran jiwa, ruh dan kekhusyukan.
    5. Juga penting untuk kita Tawazun (menyeimbangkan) di antara setiap ibadah. Janganlah disebabkan terlalu menumpukan kepada satu ibadah sahaja, hingga meninggalkan langsung ibadah yang lain.

  1. Memperhatikan aspek-aspek Akhlak:
    1. Kita boleh mentarbiyah diri kita dengan mengamalkan akhlak-aklak yang mulia seperti Sabar dan sentiasa menyucikan hati daripada sifat-sifat mazmumah.
    2. Selalulah bergaul dengan orang-orang yang berakhlak mulia. Insyaallah akhlak-akhlak mulia mereka itu akan melekat kepada kita pula.
    3. Kita juga perlu memperhatikan etika-etika umum yang diamalkan oleh masyarakat.

  1. Terlibat dengan Aktiviti-aktiviti Dakwah:

    1. Merasakan kepentingan dan kewajipan berdakwah.
Katakan, "Inilah jalanku. Aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak kepada Allah dengan hujah yang nyata…"
(Yusuf 12: 108)

    1. Kita ingin mendakwahi manusia kepada Islam. Maka, kita perlu memahami dan mengamalkan Islam. Secara tidak langsung kita telah mentarbiyah diri untuk menjadi lebih baik keislaman kita sebelum mengajak orang lain.
    2. Dalam berdakwah, kita perlu menggunakan segala kesempatan dan peluang. Tidak semestinya berdakwah itu dengan kata-kata, malah senyuman dan akhlak yang baik sangat berkesan dalam mengubah hati mad'u untuk tertarik kepada Islam.
    3. Dalam aktiviti dakwah juga kita akan bergaul dengan aktivis dakwah lain dan mengajar kita beramal jama'i.
  1. Mujahadah (Berjihad/Bersungguh-sungguh):
    1. Sabar adalah bekal bagi mujahadah.
    2. Kita perlu bersabar untuk bermujahadah (menahan diri) daripada melakukan maksiat. Juga perlu mujahadah dalam melaksanakan Ibadah dan dakwah.
    3. Kita juga perlu bertahap dalam melakukan mujahadah (Dilatih dan dikembangkan).
    4. Siapa yang mengambil manfaat dari mujahadah itu? Kitalah pihak pertama dan terakhir yang akan mengambil manfaat daripada mujahadah tersebut.
  2. Berdoa dengan Jujur kepada Allah SWT:
    1. Doa adalah permintaan seorang hamba kepada Allah SWT, pengakuan kekurangan dan kemiskinan dirinya, pernyataan ketidakupayaan dan kelemahan, serta penegasan tentang daya, kekuatan, kudrat, dan nikmat Allah SWT.
"Iman pasti lusuh di hati salah seorang dari kamu, sepertimana pakaian itu lusuh. Oleh itu, mintalah Allah memperbaharui iman di hati kamu."
(HR At-Thabrani)

    1. Perkara yang perlu diperhatikan tentang berdoa:
  • Merasakan keperluan diri terhadap doa hingga memungkinkan turunnya pertolongan Allah SWT kepada kita.
  • Memperhatikan waktu-waktu yang mustajab untuk berdoa (Sepertiga malam, hari Jumaat, ketika berpuasa, ketika bermusafir, ketika hujan turun dll).
  • Memperhatikan syarat-syarat diterima doa (makan makanan yang halal, minta dengan bersungguh-sungguh, menampakkan kelemahan dan kepasrahan kepada Allah, menghadirkan hati, bertaubat dari dosa, cinta dan takut kepadaNya).
  • Jangan tergesa-gesa dan berputus asa jika belum dikabulkan doa. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui perkara yang terbaik buat kita semua.
  • Doakanlah kebaikan sesama muslimin yang lain, moga-moga Allah SWT melimpahkan kita dengan kebaikan yang sama.

Wednesday, December 28, 2011

Badrul Amin Wajib Tarik Balik Kenyataannya Mengenai Imam Mahdi!!


Memang benar Kemenangan Islam dan pembebasan al-Aqsa semakin hampir! dan ia akan dibebaskan oleh Gerakan Islam Jemaah Imam Mahdi dan Nabi Isa as. Tetapi pandangan Dr Badrul Amin amat menyimpang dari landasan sebenar kerana tidak ada ciri-ciri langsung pada Saudara Anuar Ibrahim.

Rasulullah saw sudah sebutkan di dalam sebuah hadis bahwa Imam Mahdi itu adalah seorang lelaki yang mempunyai nama yang sama dengan nama Baginda Rasulullah saw, iaitu Muhammad. Dan nama ayah Imam Mahdi itu seperti nama ayahnya, iaitu Abdullah. Jadi nama lengkap dari Imam Mahdi itu adalah “Muhammad bin Abdullah”.

Rasulullah saw bersabda: “Seandainya tidak tinggal bagi dunia ini melainkan sehari saja, niscaya akan dipanjangkan oleh Allah hari itu sehingga dibangkitkan padanya seorang lelaki dari umatku atau ahli keluargaku, yang sama namanya seperti namaku dan nama ayahnya seperti nama ayahku” (At-Tarmizi)

Imam Mahdi adalah orang yang telah Allah janjikan, kerana disebut dalam hadis, sehingga Allah akan jaga garis keturunannya, sebagaimana Allah menjaga garis keturunan Baginda Rasulullah saw.

Imam Mahdi adalah keturunan orang-orang mulia seperti Rasulullah saw dan Sayyidina Fatimah ra. Rasulullah bersabda:

“Al Mahdi itu adalah salah seorang dari kaum keluargaku, Ahlul-bait” (Ibnu Majah)

“Al Mahdi adalah dari keturunanku, dari anak cucu Fatimah”. (Abu Daud, Ibnu Majah)

Ciri Fizikal Imam Mahdi

Imam Mahdi mempunyai ciri-ciri fizikal iaitu, kulit dan bentuk tubuhnya seperti orang Arab dan di pipi kanannya ada tahi lalat. Gigi seri Imam Mahdi mempunyai jarak, dahinya lebar dan hidungnya mancung. Rasulullah saw bersabda:

“Kulit Al Mahdi adalah seperti kulit orang Arab, bentuk tubuhnya seperti bentuk tubuh orang Bani Israil, pipi kanannya terdapat tahi lalat dan kekhalifahannya diredhai oleh penduduk bumi, penduduk langit dan burung-burung di angkasa”. (Abu Nuaim & At Tabrani)

“Sungguh Allah akan melahirkan seorang lelaki dari keturunanku, yang (antara sifat utamanya ialah) giginya mempunyai jarak, dahinya lebar, keadilannya sangat meliputi seluruh alam ….” (Abu Nuaim)

“Al Mahdi adalah dari keturunanku, dahinya luas, hidungnya mancung. Dia memenuhkan bumi ini dengan keadilan…..(Abu Daud & Al Hakim)

Cap Kenabian pada Bahu

Dari keterangan Sahabat bahwa di tengah-tengah dua belikat Imam Mahdi terdapat tanda atau cap kenabian. Hal ini mirip dengan tanda yang ada pada Baginda Rasulullah saw. Orang Nasrani dan Yahudi di waktu itu akan membuktikan orang yang bernama Muhammad saw dengan melihat tanda ini.

Cap kenabian itu besarnya seperti telur burung merpati, tulisannya jelas dan berwarna hitam. Bentuk tulisan itu menonjol keluar, bukan seperti tato yang cekung ke dalam. Cap kenabian ini bukan dibuat manusia dan tidak akan hilang. Di sekeliling cap kenabian itu ada bulu halus yang mengelilinginya. Sehingga tanda ini tidak akan ada yang boleh menirunya, hanya Baginda Rasulullah saw dan Imam Mahdi saja yang Allah beri keistimewaan mempuyai cap kenabian di antara dua belikat, di belakang badan mereka.

(Cap kenabian pada Imam Mahdi bukan menandakan dia seorang nabi seperti Nabi Muhammad saw, tetapi tanda dari Allah untuk menentukan bahwa dialah Imam Mahdi).

Imam Mahdi ketika “zahir” wajahnya berseri-seri sehingga menggembirakan siapa saja yang melihatnya.Dan kitika “zahir” nanti usianya 40 tahun.

Rasulullah saw bersabda: “Al Mahdi adalah dari anakku, dia berusia 40 tahun. Wajahnya bagaikan bintang yang gemerlapan, pipi kanannya terdapat tahi lalat, kulitnya kemerah-merahan seolah-olah dia adalah keturunan Bani Israil, dia akan mengelurkan harta karun dan akan menundukkan kota-kota maksiat”. (Abu Nuaim)

Keturunan Suku Quraisy 

Rasulullah saw bersabda: “Agama ini akan terus berkuasa sehingga naik memerintah kamu sebanyak 12 orang Amir (Khalifah), dan setiap manusia amat mencintai setiap mereka itu. “

Kemudian aku mendengar Nabi saw menyebutkan sesuatu yang aku tidak seberapa jelas lalu aku bertanya kepada bapakku, “Apa yang Baginda sebutkan?”
Jawabnya,”Mereka semua adalah dari kaum Quraisy”. (Abu Daud)

Al Mahdi al Muntazar, Imam yang kita tunggu-tunggu itu adalah pemimpin kebangkitan Islam di akhir zaman. Di tangannya dunia dan seluruh alam akan makmur, aman dan damai. Dialah pemimpin yang akan mengembalikan sistem dunia yang karut-marut, kepada sistem Islam yang selamat menyelamatkan. Dia juga akan berganding bahu bersama-sama Gerakan Islam Seluruh Dunia dan Nabi Isa untuk memusnahkan Dajjal dan sekutunya. Berbahagialah orang yang hidup di zamannya dan berjuang bersamanya...Allahu Haq

Sunday, December 25, 2011

Jihad Fisabilillah......

Definisi Jihad
Bahasa : berjuang habis-habisan
Istilah : perjuangan bersungguh-sungguh dengan pelbagai cara di jalan Allah SWT dalam menyuruh amar ma’ruf nahi munkar, menegakkan kalimah Allah SWT.

Dr. Sa’id Ramadan Al-Buti : Jihad adalah bersusah payah mencurahkan Tenaga demi meninggikan kalimah Allah, dan membina masyarakat Islam. Mencurahkan tenaga dengan jalan peperangan adalah sebahagiaan daripadanya dan matlamat utama ialah mendirikan masyarakat Islam, membentuk daulah Islam yang sebenar.

"Selebih-lebih jihad ialah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim."


Jihad merupakan kewajipan yang tidak boleh diremehkan dalam Islam. Ia merupakan kemuncak amalan dalam Islam sebagaimana hadis Nabi yang menyebutkan :


رأس الأمر الاسلام و عموده الصلاة و ذروة سنامه الجهاد في سبيل الله
Yang maksudnya: “…Kepala amalan adalah Islam, dan tiangnya adalah solat, dan kemuncaknya adalah Jihad di jalan Allah.”

Jihad yang Utama adalah jihad terhadap pemerintah Islam yang zalim. Jihad terhadap mereka bukan bermakna mengangkat pedang dan senjata lain untuk menggulingkan kerajaan. Bukan juga bermakna rampasan kuasa dengan kekerasan. Itu bughah namanya. Jihad yang dimaksudkan ialah menegur dan menasihati pemerintah sekiranya mereka melakukan kezaliman dan maksiat. 


Nabi s.a.w. pernah bersabda,
الدين النصيحة:قلنا لمن يا رسول الله؟قال: لله و لكتابه ولرسوله و لأءمة المسلمين وعامتهم
Yang maksudnya: “ Agama itu nasihat. Kami (sahabat)bertanya; untuk siapa wahai Rasulullah? Jawab Nabi s.a.w; bagi Allah, bagi kitabNya, bagi rasulNya, bagi pemimpin orang Islam dan rakyatnya.”(riwayat Muslim)

KESEPAKATAN ULAMA
Sebelum pergi lebih jauh, di sini dinyatakan perkara yang dipersetujui bersama oleh para ulama Islam:

Pertama:
Mereka sepakat tentang TIDAK HARUS bagi orang Islam bersabar duduk di bawah pemerintahan orang-orang kafir. Mereka wajib berusaha melepaskan diri dari pemerintahan itu dan berikhtiar melantik pemerintah Islam untuk mentadbir hal ehwal mereka menurut hukum-hukum Islam. Ini melibatkan juga ke atas pemerintah-pemerintah Islam yang mengabaikan salah satu dari rukun-rukun Islam.

Qadhi Iyadh(salah seorang ulama’ silam bermazhab Syafie) berkata,
“Para ulama’ telah ijma’ bahawa kuasa pemerintahan itu tidak harus ditanggungkan ke atas orang kafir dan kalau terjatuh juga ia ke tangan orang kafir, nescaya ia terbatal dan gugur serta merta(ertinya orang yang memegangnya terpecat dengan sendiri sebagaimana juga kalau dia meninggalkan sembahyang-sembahyang yang fardhu dan menyeru orang kepadanya…). Kemudian katanya lagi, “Kalau terjatuh ia pada sesuatu yang menjadikan dia kafir seperti melakukan perubahan kepada hukum syara’ dan melakukan bid’ah nescaya terlucutlah ia dari kuasa pemerintahan dan gugurlah ketaatan rakyat terhadapnya. Wajib di atas umat Islam menentangnya dan memecatnya serta melantik seorang pemerintah yang adil sebagai gantinya, kalau mereka berkuasa melakukan yang demikian. Kalau tidak terdapat yang demikian itu melainkan pada suatu puak atau kumpulan , maka wajiblah di atas mereka bangkit memecat si kafir itu.”
Ibnu Hajar pula berkata (dalam Fathul Bari:Juz kedua, halaman 99) 


sebagai nukilan dari Ibnu Attin yang maksudnya:
“Ulama’ telah ijma’ bahawa kalau khalifah menyeru orang kepada kekafiran atau bid’ah, hendaklah ditentang. Para ulama’ berselisih pendapat kalau sekiranya dia merampas harta orang atau menumpahkan darah atau melakukan pencabulan sama ada dia wajib ditentang atau pun tidak.” 

Ibnu Hajar berkata lagi,
“Seorang pemerintah wajib dipecat dengan sebab kekafirannya. Ini menurut pendapat Ijma’. Maka wajiblah di atas setiap orang Islam melakukan pemecatan itu. Barangsiapa yang berupaya melakukannya, dia akan diberi pahala dan barangsiapa yang bermuka-muka akan mendapat dosa.bagi yang lemah hendaklah ia berhijrah dari negeri itu.”

Kedua:
Para ulama’ juga telah ijma’ pada menetapkan syarat bahawa orang jadi imam atau pemerintah itu hendaklah seorang yang menjauhi dosa-dosa besar dan janganlah melakukan dosa-dosa kecil berterang-terangan. Hendaklah ia seorang yang mempunyai kemampuan mentadbir dan ilmu diplomasi yang baik, seorang yang mempunyai kelebihan tetapi tidaklah disyaratkan kelebihannya itu yang paling unggul sehingga tiada orang lain yang mengatasinya. Kuasanya tidaklah boleh dipertikai dengan sebab ada orang lain yang lebih daripadanya.

PERBEZAAN PENDAPAT PADA CARA PELAKSANAAN AMAR MA’ARUF NAHI MUNKAR

Para ulama’ berselisih pendapat tentang cara bagaimana hendak melakukan “al amri bil ma’ruf wan Nahyu ‘anil munkar” terhadap pemerintah Islam. Sekumpulan dari ahli sunnah wal jamaah berpendapat bahawa tidak harus dihunus pedang terhadap mereka untuk melakukan yang demikian itu tetapi memadai dengan menasihati mereka atau menyangkal perbuatan mereka dengan hati tanpa menggunakan tangan. 


Menurut pendapat mereka, wajib menyokong pemerintah yang adil untuk melawan orang-orang yang fasiq dan ahli munkar yang bangkit menentangnya. Pendapat ini telah dinukilkan dari sahabat yang mengasingkan diri dari gelanggang fitnah yang berlaku pada zaman khalifah Saiyidina Othman Al Affan  dan saiyidina Ali bin Abi Talib r.a. Antara mereka ialah Sa’ad bin Abi Waqqas, Usamah bin Zaid, Abdullah bin Umar, Muhammad bin Muslimah ridhwanullahi alaihim. Inilah pegangan mazhab Imam Ahmad bin Hanbal rahmatullah alaihi.

Sekumpulan yang lain pula dari ahli sunnah wal jamaah juga, dan kaum muktazilah puak zahiriah, kaum khawarij, dan Syiah Zaidiah, berpendapat bahawa wajib digunakan senjata untuk menentang pemerintah-pemerintah yang zalim kiranya tidak ada jalan lain untuk mengubah keadaan mereka yang tidak diredhai Allah dan RasulNya s.a.w. Mereka berkata: Sekiranya Ahlul Haq(mereka yang berada atas jalan kebenaran) dalam suatu kumpulan yang dapat mempertahankan diri dan mempunyai harapan untuk mencapai kemenangan, maka wajiblah di atas mereka melakukan yang demikian itu (menggunakan senjata). Tetapu kaau bilangan mereka sedikit dan lemah dari mencapai kemenangan, maka mereka tidaklah dituntut menggunakan ‘tangan’ untuk melakukan perubahan.

Ibnu Hazm telah menyandarkan pendapat ini kepada sekalian sahabat yang menyertai dalam kejadian-kejadian yang berlaku di zaman Khalifah Saiyidna Othman al Affan, Khalifah Ali bin Abi Talib dan Mu’awiyah bin Abi Suffian. Begitu juga para sahabat dan tabi’in yang ‘menderhaka’ terhadap beberapa orang pemerintah Bani Umayyah dan lain-lain. 


Ibnu Hazm berkata;
“Dan ini adalah pendapat Ali dan para sahabat yang ada bersamanya, dan juga pendapat A’isyah, Talhah dan Zubair serta para sahabat lain yang bersama mereka; juga pendapat Mu’awiyyah, Amru al As, Nu’man bin Basyir dan lain-lain yang ada bersama mereka, dan juga pendapat Abdullah bin Zubair, Muhammad dan al Hassan bin Ali, Anas bin Malik, Abdul Rahman bin Laila, Said bin Jubair, Hasan al Basri, Malik bin Dinar, As Sa’abi, Al Mitraf bin Abdullah bin Assyakhir dan Ata’ bin As Saib.”
Selain dari mereka, beliau menyebut ramai lagi dari para sahabat dan tabi’in. 


Begitu juga pendapat tersebut beliau sandarkan kepada imam-imam mazhab kecuali Imam Ahmad bin Hanbal. Beliau berkata;

“Inilah yang ternyata pada qaul-qaul para fuqaha’ seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie, Daud dan para ashab(ulama’ besar dalam mazhab masing-masing) mereka. Setiap mereka yang kita sebutkan di atas itu sama ada menyatakan pendapatnya dalam fatwanya ataupun menghunus pedangnya untuk menentang apa yang dilihatnya dari perbuatan munkar.”


Antara lain Tuntutan Jihad
a) Jihad menentang nafsu

Dan demi jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya). Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan & ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang mensucikan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.
[Surah As-Syams : 7-10 ]

Jihad menentang kemaraan hawa nafsu terbahagi kepada :
Berjihad dalam mencari petunjuk dan jalan Ad-Din yang sebenar.
Berjihad dalam beramal dan berpegang teguh dengan apa yang dipelajari
Berjihad dalam menyebarkan ilmu & petunjuk melalui dakwah
Berjihad dalam menanggung segala kesulitan ketika berdakwah

b) Jihad menentang hasutan syaitan

“Iblis menjawab : Kerana Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus,
Kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).”

Jalan untuk berjihad bagi menentang hasutan syaitan mesti dilakukan melalui langkah-langkah berikut :

Azam yang kuat
Meningkatkan hubungan dengan Allah SWT
Memahami betul-betul petunjuk Ad-Din
Berdiri teguh di atas kebenaran
Bersama-sama dengan Jemaah Gerakan Islam
Menghidupkan neraca rabbani dalam jiwa

c) Jihad menentang golongan kafir

Jihad ini menentang golongan yang kufur kepada Allah SWT dimana jiwa raga mereka telah dikuasai oleh syaitan hati perut mereka telah diisi dengan hawa nafsu.

“Mereka bertanya kepadmu tentang berperang pada bukan Haram. Katakanlah : Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar; tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi masuk) Masjidilharam & mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh. Mereka tidak henti-henti memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup, barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia & di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.”
[Surah Al-Baqarah : 217 ]

Jihad terhadap golongan kafir terbahagi kepada 2 :

Ketika para mukmin tidak mempunyai kuasa :

Golongan kafir berkuasa penuh ketika ini, maka jihad perlu dilakukan secara dakwah
Ketika para mukmin mempunyai kekuasaan
Para mukmin yang menguasai pemerintahan, maka jihad menentang golongan kafir berubah daripada jihad lisan kepada jihad mengangkat senjata.

d) Jihad menentang golongan munafiq

Golongan ini antara musuh-musuh dakwah yang paling merbahaya, ini kerana ia menyembunyikan kufur & berpura-pura beriman, suka menipu, benci terhadap ketetapan-ketetapan Allah dan RasulNya.

Hai Nabi, berjihadlah (melawan) orang-orang kafir dan orang-orang yang munafik itu, dan bersikap keraslah terhadap mereka, tempat mereka ialah Jahannam dan itu ialah tempat kembali yang seburuk-buruknya.
[Surah At-Taubah : 73 ]

Jihad menentang golongan munafik dapat dilaksanakan melalui cara berikut:

Mengenali sifat-sifat mereka berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah
Memberi nasihat kepada mereka dan meminta agar mereka bertaubat
Tidak memberi sebarang pertolongan dan mendampingi mereka
Memulaukan dan menjauhkan para mukmin dari mereka
Sentiasa bersikap curiga tanpa memberi sebarang kepercayaan kepada mereka
Menghalang mereka dari menduduki jawatan penting dan berpengaruh
Bertindak kasardan mengenakan hukuman terhadap mereka
Memerangi mereka sekiranya mereka mengancam keutuhan Islam

e) Jihad menentang golongan zalim di kalangan pemerintah Islam

Ijma’ para ulama telah menetapkan syarat bagi pemerintah Negara Islam itu hendaklah seorang yang menjauhi dosa-dosa besar dan tidak melakukan dosa-dosa kecil terang-terangan. Orang Islam tidak boleh tunduk kepada pemerintah yang melakukan sesuatu kekufuran dan juga melakukan sesuatu perubahan hukum-hukum syara’. Wajib di atas umat Islam menentangnya dan memcecatnya serta melantik seorang pemerintah yang adil bagi menggantikannya.


Peringkat Jihad

Sabda Rasulullah SAW:
“Tidak seorang nabi yang diutuskan sebelumku melainkan terdapat di kalangan umatnya pengikut dan sahabat-sahabat yang menjalankan sunnahnya dan menurut perintahnya. Kemudian golongan pengikut & sahabat ini diganti oleh orang yang terkemudian dari mereka. Golongan ini memperkuatkan sesuatu yang tidak diperintahkan mereka melakukan. Siapa yang memerangi mereka dengan kekuatan, beliau adalah mukmin, siapa yang memerangi mereka dengan lidah, beliau adalah mukmin dan siapa yang memerangi mereka dengan hatinya, beliau adalah seorang mukmin. Setelah yang demikian itu iman (tidak lagi dianggap wujud) sekalipun sebesar biji sawi”
[Hadis Riwayat Muslim]

a) Jihad dengan hati
Jihad sebenar tidak dapat dilakukan oleh seorang mukmin tanpa terlebih dahulu membebaskan dirinya dari golongan hawa nafsu. Ia merupakan asas kepada jihad lain. Ibn Qaiyim Al-Jauziyah berkata : “Jihad terhadap musuh-musuh luaran adalah merupakan cabang daripada jihad seorang hamba terhadap nafsunya”.

b) Jihad dengan lisan
Jihad ini termasuk dalam pengertian amar akruf nahi munkar. Ia digolongkan sebagai jihad kerana berdakwah hingga ke peringkat ini memerlukan kecekalan jiwa & ketabahan hati. Jihad ini meliputi segala kegiatan dakwah terbuka dan dakwah secara peribadi, ceramah-ceramah, taklim untuk menghapuskan kejahilan umat terhadap Islam, penulisan, pencetakan buku dan risalah Islam.

c) Jihad dengan tangan
Jihad ini membawa pengertian jihad dengan jiwa melalui kekuatan kuasa / senjata. Ia juga dinamakan sebagai jihad peperangan.

Kemuliaan Jihad

Jihad ialah suatu perniagaan yang tetap menguntungkan seseorang mukmin yang menuju keredhaan Allah SWT.

“Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?
(iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta & jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.”
[Surah As-Saff : 10-11 ]

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri & harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berpegang pada jalan Allah SWT, lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil, dan Al-Quran dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.”
[surah at-Taubah : 111 ]

Pengertian Pengorbanan

Imam Hassan Al-Banna berkata :
Pengorbanan ialah berkorban jiwa, harta, masa, kehidupan, dan segalanya untuk mencapai matlamat.

Tiada jihad di dunia tanpa pengorbanan & tidak akan lenyap pengorbanan demi memperjuangkan fikrah Islam, bahkan ada ganjaran besar & pahalanya yang pasti menanti kita. Bagi manusia yang meredhai Allah sebagai tuhannya dan Islam menjadi agama mereka, nabi Muhammad rasul mereka,mereka dituntut untuk memberi pengorbanan & sumbangan. Mereka ini berjihad untuk Islam, maka mereka mestilah mengorbankan sesuatu yang berharga buat mereka demi untuk mencapai matlamat dakwah Islam itu.

Saturday, December 24, 2011

Isu Hasan Ali,Nasaruddin Mat Isa dan Mustafa Ali SELESAI.... Takbir!!

Hasan Ali Tarik balik kenyataan di Media


Bekas pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali hari ini memohon maaf berhubung kritikannya terhadap konsep negara kebajikan yang dianjurkan parti itu dan menarik balik kenyataannya berhubung perkara itu.

Sebagai ahli PAS dan ahli jawatankuasa pusat, katanya, beliau
mengakui terdapat unsur-unsur yang keterlaluan apabila beliau mengulas perkara itu.

Dengan itu, katanya, beliau menarik balik komennya tentang negara kebajikan dan memohon maaf kepada kepimpinan PAS kerana keterlaluannya itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yakin, isu kekecohan yang berlaku dalam PAS sudah selesai.

"The game is over" 

Isu ini sudah selesai, bagi saya ia sudah selesai," kata Mustafa ketika memberikan ucapan dalam majlis makan malam di Markas PAS Kuala Terengganu, di sini malam tadi.

Mustafa mengulas kekecohan yang berlaku dalam PAS ekoran perang dalam media antara beberapa pemimpinnya.

Ia memuncak apabila Mustafa menyifatkan dua pemimpin Datuk Dr Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa terperangkap dalam agenda musuh PAS iaitu Umno.

Menurut Mustafa, ia selesai melalui kenyataan beberapa pimpinan dan mesyuarat lajnah politik baru-baru ini.

"Dalam mesyuarat, saya tanya kepada semua yang terlibat dan masing-masing kata, apa yang mereka cakap lain, yang disiarkan media lain.

"Jadi jawapan saya dalam sidang media yang lalu harapnya yang terakhirlah," kata Mustafa
Tiada Hasrat Besar Zahrah Nak Join UMNO

Bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa menegaskan beliau tiada hasrat sama sekali untuk keluar parti Islam dan menyertai Umno.

Katanya, dakwaan kononnya beliau “terperangkap dalam agenda permainan musuh politik PAS iaitu Umno" adalah sesuatu yang terlalu jauh menyimpang daripada kebenaran dan langsung tidak berasas.

Malah katanya, sepanjang pembabitan dalam PAS yang beliau terima sebagai wadah menyampaikan suara Islam kepada umat di Malaysia, "belum pernah saya ungkapkan bahawa saya akan menyertai Umno."

"Justeru, buat kesekian kalinya saya tegaskan bahawa saya tidak mempunyai niat sebesar zarah sekalipun untuk menyertai Umno.

"Janganlah gunakan alasan mudah seperti ini untuk menyimpulkan tindakan, pandangan atau perhitungan politik saya pada ketika kita mengharung gelombang percaturan politik yang jauh lebih mencabar," kata beliau dalam satu kenyataan.

Kata Nasharudin beliau berharap penjelasan ringkas hari ini memadai dalam mengukur kesetiaannya terhadap perjuangan PAS.

"Saya tegaskan di sini bahawa saya adalah adalah ahli PAS, dan perjuangan saya kekal bersama PAS untuk menjunjung risalah Islam menyumbang kepada ummah dalam apa juga keadaan," katanya lagi.





Doa Rabitah

“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Mengetahui bahawa hati-hati ini telah berhimpun kerana mengasihani Mu, bertemu untuk mematuhi (perintah) Mu, bersatu memikul beban dakwah Mu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syari’at Mu.

Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya, kekalkan kemesraan antara hati-hati ini, tunjuklah kepada hati-hati ini akan jalanNya (yang sebenar), penuhkanlah (piala) hati-hati ini dengan cahaya Rabbani Mu yang tidak kunjung malap, lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan keimanan dan keindahan tawakkal kepada Mu, hidup suburkanlah hati-hati ini dengan ma’rifat (pengetahuan sebenar) tentang Mu. 

(Jika Engkau takdirkan kami mati) maka matikanlah hati-hati ini sebagai para syuhada’ dalam perjuangan agama Mu.

Sesungguhnya Engkau sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Ya Allah perkenankanlah permintaan ini. Ya Allah restuilah dan sejahterakanlah junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat baginda semuanya.

Takbir!!

Thursday, December 22, 2011

Peringatan Presiden PAS kepada semua pimpinan dan ahli....


Peringatan ini ditujukan khusus kepada seluruh kepimpinan dan ahli PAS, serta masyarakat di Malaysia secara umumnya, dalam kita mendepani permasalahan yang sedang berlaku di waktu ini.

Firman Allah :

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَافَّةً فَلَوْلاَ نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُواْ إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya : (Dan bukanlah semua orang-orang yang beriman itu keluar berperang. Mengapa tidak ada satu kumpulan di kalangan mereka yang bertafaquh (belajar dan memahami) ajaran Islam dan supaya mereka pulang memberi peringatan apabila kembali menemui kaum mereka, mudah-mudahan mereka menerima peringatan). (At-Taubah:122)

Sabda Rasulullah S.A.W.

مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ

(Sesiapa yang Allah menghendakinya menjadi seorang yang baik nescaya dijadikannya Faqeh (faham ) dalam  perkara agama Islam). Riwayat Bukhari Muslim


Kedua–dua nas ini menunjukkan bahawa Islam itu bukan sahaja semangat yang berkobar-kobar dan ilmu secara bertulis, dalam masa yang sama ianya mempunyai disiplin ilmu serta memahami cara pelaksanaannya. Semua bidang dan lapangan ajaran Islam hendaklah dipelajari bukan sekadar sebagai satu ilmu, tetapi dalam masa yang sama hendaklah memahami cara beramalnya.

Allah S.W.T. memerintah kepada sesiapa yang memperuntukkan masa hidupnya dalam perjuangan supaya mengambil masa untuk belajar daripada  kalangan yang belajar dengan faqeh (faham). Apabila belajar, maka hendaklah pula daripada kalangan  ahli ilmu yang bukan sahaja faham, bahkan beramal dan berjuang dengan ilmu yang dipelajari itu dengan kefahamannya yang tulen dengan penuh istiqamah.

Perkataan feqah pada zaman awal Islam merangkumi semua ajaran Islam. Kemudiannya para ulama mengkhususkan istilahnya kepada hukum syariat sahaja. Adapun perkara yang berkait dengan iman atau aqidah dinamakan Usulu Al Din atau  ilmu Tauhid atau Aqidah dan yang berkait dengan akhlak pula dinamakan Akhlak atau Tasswwuf.

Mafhum  bahasa Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. merangkumi seluruh ajaran Islam hendaklah dilaksanakan secara Feqah atau faham, khsusnya dalam perkara hukum syariat yang tidak ada nas yang nyata atau bergantung dengan ijtihad. Sirah Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa Al Rasyidin banyak menunjukkan huraian yang nyata, betapa perlunya ajaran Islam itu dihayati dengan Feqah (Fahaman) bukan sahaja dengan ilmu. Feqah bukan sahaja seperti difahami oleh masyarakat awam hanya dalam perkara ibadat, sembahyang, puasa, zakat dan haji; bahkan merangkumi segala ajaran Islam. Khususnya dalam perkara politik yang dilupakan atau dijahilkan oleh sebahagaian besar umat Islam.

Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, yang juga merupakan amalan berpolitik yang membawa kepada tegaknya negara dan masyarakat madani, Rasulullah S.A.W.  telah menggunakan khidmat seorang bukan Islam  yang berpengalaman dengan jalan pintas yang selamat dan cepat sampai ke Madinah. Sudah tentu seorang bukan Islam yang dipercayai akan menyimpan kerahsiaan menjaga keselamatan, dan benci kepada kezaliman walau pun tidak menganut Islam.

Di Madinah pula dilaksanakan amalan menegakkan negara, dengan kekuatan umat Islam sendiri di kalangan Muhajirin dan Ansar, seterusnya melibatkan kaum bukan Islam di kalangan Yahudi, Kristian, Musyrikin Arab dan membenarkan kewujudan kalangan munafiq dalam masyarakat Madinah. Semuanya mengambil kira ayat-ayat Al Quran yang memberi amaran supaya berwaspada terhadap musuh dan ayat-ayat yang mengizinkan dan mewajibkan Islam disampaikan kepada seluruh manusia dan  pelaksanaan Islam terhadap seluruh manusia  juga.

Maka pengajian secara feqah (faham) sahaja boleh melaksanakan risalahnya dengan istiqamah, bukan sahaja memahami nas secara ayatnya yang zahir, termasuk juga meletakkan pelaksanaannya pada masa, tempat dan situasi yang berbeza. Banyak ayat-ayat Al Quran diturunkan dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W.  bersandarkan sebab yang berlaku sekiranya memerlukan penjelasan.

Apabila Rasulullah S.A.W. menerima perjanjian Hudaibiyyah, manakala para sahabat merasakan perjanjian itu berat sebelah dan tidak berpehak kepada Islam, bahkan lebih berpihak kepada musuhnya. Bermula dengan pihak musyrikin 

(i) menolak penggunaan Bismillah, 
(ii) menentang dicatit nama Muhammad Rasulullah, 
(iii) membenarkan mereka yang berada di Madinah melarikan diri ke Makkah, sebaliknya tidak membenarkan orang Islam di Makkah berhijrah ke Madinah, 
(iv) dilarang meneruskan amalan umrah walau pun Rasulullah dan para sahabatnya sudah berpakaian ihram dan lain-lain. 

Rasulullah S.A.W. bertegas dengan keputusan menerima perjanjian Hudaibiyah tanpa  wahyu diturunkan, tetapi berpandukan ketajaman bacaan Rasul terhadap Feqah politik semasa, dan para sahabat mentaati secara mutlak kerana kerasulannya. Akhirnya perjanjian yang diterima memberi kemenangan yang besar kepada Islam dan menerima kunjungan kabilah yang datang menganut Islam dengan jumlah berlipat kali ganda sebelumnya.

Dalam  perkara yang lain, Allah S.W.T. mengajar  Rasulullah S.A.W. dan para sahabat R.A. melaksana dan mematuhi Syura secara tegas dalam peristiwa Uhud dengan firman Nya yang bermaksud :

وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

(Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam mengendalikan urusan. Maka apabila engkau telah berazam (dengan keputusan ) maka berserah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah kepadanya).

Ayat ini menunjukkan kepada kita konsep bermesyuarat dan kepatuhan kepada keputusan yang diambil  dan mengharapkan pertolongan Allah selepasnya, walau pun selepasnya menerima tamparan korban dan kecederaan. Ini adalah cara bermesyuarat dalam Feqah berjamaah khususnya dalam politik.

Semua kenyataan tersebut adalah menjadi pedoman kepada sesiapa yang mahu berpolitik secara Islam. Bagi mengemaskini supaya ajaran Islam dilaksanakan secara Feqah, maka para ulama merangka kaedah-kaedah  ilmu yang berkait dengannya yang dinama ilmu usul feqhmaqasid syariat dan siyasah syari’yyah.

Bagi memelihara ajaran ini dilaksanakan, maka Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mewujudkan MAJLIS SYURA ULAMA sebagai badan yang berwibawa mengikut perlembagaan PAS untuk memelihara amalan Islam secara Feqah Islam yang sebenar. Badan yang dianggotai oleh kalangan ilmuan Islam yang mampu memahami sumbernya yang tertinggi : Al Quran, Hadith, Ijmaa, dan Qiyas yang nyata. Majlis Syura Ulama bertanggungjawab melakukan kajian dan ijtihad secara Jamaei dalam menghadapi cabaran semasa dengan sistem ilmu-ilmu yang berkait dengannya. Keanggotaan Ahli Majlis Syura  pula mewakili seluruh cabang kepimpinan tertinggi PAS.

PAS telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang perjuangannya  sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian, bersefahaman  dengan : kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam dan kalangan bukan Islam.

Pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat adalah menjadi penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh. Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan,  Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan.

Perlu diingat, bahawa UMNO yang menjadi teras kerajaan BN gagal mencapai matmatnya setelah memerintah lebih lima puluh tahun, kerana tidak menjadikan Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah S.A.W. Apakah tempoh masa lebih lima puluh tahun tidak mampu melakukan muhasabah ?.

Seluruh ahli PAS wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas bahtera PAS dengan setiap pengalamannya  walau pun tidak diberi hak yang adil, inilah sifatnya  perjuangan Islam.  Kita wajib  menyedari bahawa semua tindakan bersendirian telah mengugurkan sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dalam PAS. Namun PAS tetap selamat dan menjadi Parti Islam yang makin gagah perkasa menghadapi cabaran pasang surut perjuangan Islam.

PAS terus istiqamah dengan perlembagaan tertingginya yang dijamin oleh kumpulan yang berwibawa. Sesiapa yang cuba berlagak pandai tanpa ilmu yang sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya, dan sesiapa yang berilmu dan menganggap dirinya paling bijak dalam PAS secara individunya tanpa peduli terhadap adab berjamaah dalam Islam, akan menjadi mangsa serigala politik yang menjadi musuh perjuangan Islam, inilah sikap membahayakan diri sendiri yang diberi 


amaran oleh Rasulullah S.A.W.

الشَّيْطَانُ ذِئْبُ ابْنِ آدَمَ كَذِئْبِ الْغَنَمِ ، فَإِنَّ الذِّئْبَ يَجِيءُ فَيَأْخُذُ الشَّاذَّةَ وَالنَّاحِيَةَ وَالْمُنْفَرِدَةَ ، فَالْزَمُوا الْعَامَّةَ

(Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala yang menangkap manusia , laksana serigala yang menangkap kambing yang terpencil daripada kawanannya dan yang berada disudut yang menjauh diri daripada kawanannya). Dalam Musnad Ahmad.

PAS terus terbuka kepada semua yang bersedia bersamanya bagi melangsungkan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh manusia.
Sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan hala tujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham.

Khadam Perjuangan Islam
PRESIDEN PAS