Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, December 7, 2009

Kisah Kelapa Tua

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi Ulil Albab (orang yang berakal)” AlImran :190

Imam AlGhazali menyatakan Sungguh, jalan untuk mengenal Allah (ma’rifatullah) dan mengagungkanNya itu adalah dengan cara memikirkan setiap mahlukNya, merenungkan keajaiban-keajaiban dan memahamkan hikmah-hikmah yang terkandung dalam segenap ciptaanNya.


Al Quraan menjelaskan bahawa alam dan segala kandungannya adalah dicipta oleh Maha Pencipta, Allah SWT. Dia telah memerintahkan kepada orang yang dikurniakan akal fikiran itu agar mengamati kejadian di alam cakerawala ini. Firman Allah yang bermaksud:

Katakanlah : Perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi..”
Yunus:101




Kisah Keikhlasan Si Kelapa Tua



Kelapa tua, Semua orang kenal kelapa tua. Tahu pula gunanya kelapa tua itu. Sangat penting dan sangat berguna kelapa tua ini dalam hidup manusia.

Namun begitu, kewujudannya tidak diperduli dan tidak diendahkan. Kelapa tua tidak pernah menjadi Topik perbincangan. Tidak pernah dikaitkan dengan apa-apa isu atau masalah. Kalaulah kelapa tua ini mempunyai emosi, tidak ramai yang akan dapat merasai dan menyelami perasaannya. Itulah kelapa tua.

Kelapa tua pula tidak pernah susah hati kalau orang tidak perdulikannya. Dirinya yang terbuai-buai di atas pokok bila ditiup angin itu terasa nyaman sekali.

Elok-elok kelapa tergantung di pokoknya sambil menikmati keindahan alam buana dari kedudukan yang tinggi dan sambil menikmati tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa, datang orang menjoloknya dengan galah yang panjang. Bukannya selesa kena jolok-jolok macam tu.

Bila tangkainya menjadi lemah setelah dijolok beberapa kali, maka gugurlah kelapa tua itu berpusing-pusing ke bumi. Gugur itu pula bukannya rendah. Bukan setakat lima atau sepuluh kaki tapi sampai empat puluh hingga lima puluh kaki.

Bunyinya berdentum sampai ke tanah. Aduh! Kalau calang-calang buah, boleh berkecai, kalau kepala orang, boleh bersepai otak.

Masalah kelapa tua ini tidak terhenti begitu sahaja. Dia dikutip dan kulit sabutnya dikoyak-koyak dan dibuang sedikit demi sedikit dengan parang cangkuk. Proses ini bukan sekadar sekali tetak. Berpuluh-puluh kali parang cangkuk itu menusuk ke dalam kulit sabutnya. Seksanya tak boleh nak cerita. Mula-mula sakit tusukan. Lepas tu sakit dikoyak dan disiat-siat. Hal ini berturusan sampai tempurung sahaja yang tinggal.

Bila dah sampai ke temurung, maka tak apalah. Cantik juga rupanya, keras dan bulat. Tetapi manusia bukan tahu hendak menilai seni seperti ini. Tempurung bulat yang cantik itu ditetak dengan parang dengan sebegitu kuat hingga terbelah dua, di tengah-tengahnya. Maka tersemburlah dam mengalirlah air jernih dalam perutnya dan terdedahlah isinya yang putih bersih.

Bagi kebanyakan kehidupan yang lain, kalau sudah sampai ke tahap ini, maka selesailah tahap hidupnya. Tetapi bagi kelapa tua, ini baru permulaan. Baru muqaddimah. Banyak lagi seksaan yang menanti. Tak cukup dengan menyemburkan airdari dalam perutnya dan mendedahkan isinya, isinya yang putih bersih itu diparut dan dikukur pula hingga menjadi lumat. Tempurungnya dibuang. Kadang-kadang dibakar. Bentuk asal kelapa tua sudah tidak ada lagi. Yang tinggal hanyalah isinya yang lumat dikukur dan diparut.

Untuk menambah seksanya lagi, dituang pula air ke dalam isi parut itu diramas-ramas dan diperah-perah. Kalau hendak dikirakan, ini sudah terkeluar dari batas-batas parikemanusiaan. Kemudian dia ditapis menjadi santan. Kelapa tua yang dulunya keras dan bulat kini sudah menjadi cecair yang putih.

Setelah itu, minyak dipanaskan dalam belanga. Bawng merah, rempah dan rencah-rencah yang lain ditumis. Bila sudah cukup kuning dituanglah santan tadi ke dalam belanga. Maka berpanasanlah santan itu hingga terkeluar minyaknya.

Apabila sudah masak dan bau harumnya merebak ke seluruh ceruk rumah, maka orang pun bertanya: “gulai apa tu? Sedap sangat baunya?” Orang di dapur hanya menjawab,”kari ikan bawal.” Kari dapat nama. Ikan bawal dapat nama.

Orang kata,”oh! Sedap kari ni. “oh! Sedap ikan bawal ni.”

Jasa kelapa tua tenggelam begitu sahaja. Perjalanan dan pengalamannya yang begitu panjang dan menyeksakan dari sebiji kelapa tua di atas pokok yang tinggi hingga ke belanga yang panas berbahang, tidak ada sesiapa yang kira atau ambil peduli,si Kelapa Tua tetap Redha kerana sumbangannya bukan untuk dipuji, tapi untuk mendapat ganjaran Tuhan.

Alangkah indahnya kalau kita dapat berjasa seperti kelapa tua ini. Jasa-jasa bukan untuk dipuji dan dipuja tapi untuk ta”abbud kepada TUHAN. Biarlah jasa-jasa kita tidak Nampak di mata orang, tapi ada dalam perhatian TUHAN... -Minda Ikhwan [LOVE GOD]

No comments: