KEKUATAN SESUATU BANGSA
Di dalam sejarah tamadun manusia, ada bangsa-bangsa yang telah menempa sejarah yang agung. Bangsa-bangsa itu dianggap agung kerana kedudukan dan martabat mereka yang jauh lebih tinggi dari bangsa-bangsa lain yang sezaman dengan mereka. Mereka itu agung kerana mereka:
1. Bangsa yang berjiwa besar
2. Berwibawa
3. Bertamadun
4. Disegani
5. Dihormati
6. Maju
7. Mengatur
8. Banyak memberi khidmat kepada bangsa lain
Bangsa-bangsa yang lemah dan mundur mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat negatif yang menyebabkan mereka itu tidak boleh maju dan ketinggalan dari bangsa-bangsa lain. Di antara ciri-ciri dan sifat-sifat tersebut adalah seperti berikut:
1. Pemalas
2. Berjiwa kecil
3. Penakut
4. Suka meminta-minta
5. Lemah jiwa. Mudah putus asa dan kecewa
6. Tidak ada keyakinan diri
7. Tidak ada cita-cita untuk bangsanya. Mereka hanya ada cita-cita peribadi, untuk hidup senang dan untuk makan sendiri sama ada pemimpin dan orang besarnya ataupun rakyatnya.
Bangsa-bangsa yang kuat dan agung pula mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat yang jauh berbeza. Mereka sebaliknya mempunyai berbagai-bagai sifat positif yang dapat memberi kekuatan kepada mereka. Sifat-sifat itu termasuklah:
1. Rajin
2. Berjiwa besar
3. Berani
4. Tidak suka meminta-minta dan sangat berdikari
5. Kuat jiwa. Tidak mudah putus asa atau kecewa
6. Yakin diri
7. Ada cita-cita untuk bangsanya, sama ada cita-cita itu pada pemimpin, pada orang besarnya atau pada rakyatnya.
Di samping sifat-sifat di atas, ada lagi sifat-sifat positif yang sangat meneguhkan dan menguatkan peribadi mereka. Ini termasuklah sifat-sifat:
1. Berdisiplin
2. Sabar
Agungnya peribadi itu pula dapat dilihat pada:
1. Akhlaknya
2. Imannya
3. Keyakinannya
4. Disiplin hidupnya
5. Kebersihan hatinya
6. Jauhnya mereka daripada melakukan maksiat dan dosa
7. Kemas syariatnya
Bukan mudah untuk mengubah bangsa yang lemah dan mundur supaya menjadi bangsa yang kuat dan agung. Segala ciri dan sifat-sifat mereka itu perlu diubah. Sifat pemalas mesti diubah menjadi rajin. Jiwa yang kecil mesti diubah menjadi jiwa yang besar. Sifat suka meminta-minta dan sentiasa mengharapkan bantuan dan subsidi, mesti dikikis dan dibuang. Mesti ditanam dengan sifat berdikari. Jiwa yang lemah mesti dikuatkan. Tidak boleh mudah kecewa dan berputus asa. Sifat penakut mesti ditukar kepada sifat berani. Mereka mesti kuat keyakinan. Cita-cita bangsa perlu ditanam di dalam hati sanubari setiap anak bangsa. Sifat suka mementingkan diri dan bekerja hanya untuk kesenangan diri sendiri mesti dihapuskan. Ini sesuai dengan firman Allah SWT:
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah apa yang ada dalam diri (hati atau jiwa) mereka." (Ar Ra'd: 11)
BAGAIMANA SOLAT BOLEH MEMBINA KEKUATAN
Solat atau sembahyang itu, Tuhan yang menetapkan rukun-rukunnya. Ia bukan ciptaan manusia, bukan direka-reka atau dibentuk oleh manusia. Kalau difahami dan dihayati, sembahyang itu adalah sesuatu yang sangat hebat. Kita akan dapat merasakan bahawa Tuhan itu hebat. Kita akan dapat bersandar kepada kehebatan-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kebesaran-Nya tetapi terasa kebesaran-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan bagaimana wujud-Nya tetapi terasa wujud-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kuasa-Nya tetapi terasa kekuasaan-Nya. Terasa oleh kita akan kesempurnaan Tuhan. Kita boleh minta apa sahaja dari Tuhan. Tuhan sedia melayannya.
Solat itu adalah satu modul yang lengkap untuk mendidik hati dan jiwa manusia. Dalam solat ada ubat, ada pil, ada tonik dan ada vitamin untuk menyembuhkan penyakit rohani dan membina peribadi yang kuat, gagah dan agung. Boleh timbul berbagai kekuatan bagi individu atau sesuatu bangsa hasil dari solat dengan syarat ada ilmunya, faham dan solat itu benar-benar dijiwai serta dihayati.-as
No comments:
Post a Comment