Fahri Abdillah al-Masri | |
Ada dua buah program universiti yang disusun baru-baru ini mengenai isu pindaan Auku. Program pertama dibuat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala acara yang kedua pula dibuat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 29 Ogos lalu. Berasaskan laporan, program di UKM itu mendapat sedikit gangguan pada mulanya. Tapi, kali ini pelajar itu tetap berkeras melakukan. Khabarnya ia tidak terbuka kepada pelajar luar universiti berkenaan. Dan, hal inilah yang membezakan antara kedua-dua buah universiti tersebut. DI UIA malam itu, beberapa buah persatuan perwakilan pelajar daripada IPT-IPT telah dibenarkan masuk untuk menghadiri forum berhubung pindaan Auku itu. Maka, pihak pentadbiran UKM mungkin masih ada niat mengekalkan tradisi lamanya dan dalam masa yang sama para siswanya mula bersikap keras untuk tidak berganjak daripada maksud mereka. Mungkin mereka tidak mahu kejadian Forum Palestin tidak lama dahulu berulang. Dalam peristiwa lalu, majlis itu terpaksa dibatalkan setelah ahli forumnya itu dikatakan tidak sesuai dengan kehendak HEP. Tetapi, forum pada malam itu diteruskan mungkin kerana Dato' Idris Haron selaku wakil parti pemerintah telah hadir sama bagi mengisi acara tersebut. Jika tidak diteruskan, UKM tentunya bermasalah. Ertinya, ada unsur berat sebelah di situ. Atau, dalam lain tafsiran boleh juga kita sebut di sini bahawa universiti sebenarnya tidak suka program seumpama ini, tetapi mereka terpaksa membenarkannya semata-mata mahu menunjukkan bahawa mereka memang bersedia menyokong dan mendokong idea-idea kebebasan bersuara. Syahadan, forum di UIA malam itu mempertemukan panelis Dato' Saifudin Abdullah (Umno), YB Salahudin Ayub (Pas) dan Yusmadi Yusof (PKR) dalam rangka mecari kesamaan hujah. Antara yang disentuh ialah Seksyen 15, Auku yang telah banyak mengundang petaka kemusnahan ke atas kemanusiaan. Angkara Seksyen 15 Dato' Saifuddin Abdullah, seorang panelis forum di UIA malam itu turut membangkitkan isu berkaitan Seksyen 15. Mewakili parti dalam kerajaan, beliau dengan tegas menolak sikap pemerintah yang tidak mengizinkan politik membenih dan menjalar pengaruhnya di IPT. "Seksyen 15 perlu dibahaskan dengan lebih lanjut lagi. Pada saya, kita kena bezakan Aku dan Auku. Maksud saya, kita kena melihat dari semua pandangan. "Pelajar mesti tentukan sendiri tentang cara peranan yang perlu mereka lakukan," katanya ketika membahaskan keburukan seksyen tersebut. Saifudin berkata demikian, kerana ada kecenderungan untuk melihat seksyen ini daripada sudut pandangan tertentu sahaja. Dan hal ini kerap berlaku pada pihak parti pemerintah semata-mata. Sebaliknya, pandangan warga kampus kurang diberikan perhatian. "Pada bab Seksyen 15 sahaja, sudah ada sembilan keburukan Auku," kata beliau lagi. Beliau yang terlibat secara langsung di dalam Majlis Belia Malaysia (MBM), menyatakan bahawa dengan sebab Seksyen 15 ini, MBM telah terputus langsung dengan dua ahlinya. "MBM sebagai badan induk dan gabungan NGO terputus jambatannya dengan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di universiti. "Oleh kerana terlalu menyekat kehendak politik, sampai satu tahap, siswa sudah tak minat politik. Pada satu masa, dalam pilihan raya kampus, peratus mengundi merosot sehinggakan IPT terpaksa mengadakan cabutan bertuah. Sikap ini mengasuh budaya politik wang," katanya lagi. Tetapi, sebagai ahli politik Umno dalam kerajaan, Saifudin berterus-terang bahawa beliau tidak bebas menyatakan pendiriannya berhubung hal tersebut. "Kalau cakap begini di Parlimen, nanti saya dilihat menyokong pembangkang. Saya tidak boleh terima Seksyen 15. Sebagai ahli Umno, saya tahu Kelab Umno ada di luar negeri," kata Saifudin. Bebas membuat pilihan "Masuklah Umno, Pas, Keadilan, DAP atau apa saja parti. Hal itu tiada salahnya. Semua kita bebas membuat pilihan untuk menganggotai mana-mana parti," katanya. Beliau merujuk surah al-Kahfi yang memperihalkan kedudukan pemuda beriman dan diberi petunjuk. Dengan bermodalkan kekuatan iman dan petunjuk, maka mereka mampu merubah dan menongkah arus zaman. Dan, perubahan seperti inilah yang tidak digemari oleh ahli politik. Niat tidak jujur kerajaan "Kalau kita nak gubal apa-apa akta sekali pun, kita kena lihat Perisytiharan Kemerdekaan yang dibacakan oleh Tunku Abdul Rahman yang menunjukkan semangat asal kelabiran dan pembentukan negara ini. "Perisytiharan Kemerdekaan ini seperti 'sijil kelahiran' negara yang membuat penegasan berhubung keadilan dan kebebasan sebagai asas pembentukan negara," kata beliau. Ternyata perisytiharan itu bercanggah dengan banyak akta drakonian. Semua ini tentunya terkait dengan niat awal untuk menghalang kebangkitan rakyat dalam usaha menjelmakan semula prinsip keadilan dan kebebasan tersebut. Dalam kesempatan itu, beliau sempat membangkitkan usul mengenai niat asal penggubal Auku ini. Apakah niat asal itu masih kekal relevan dengan Auku kini? Menurut Hussein Onn, matlamat penubuhan Auku adalah terkait dengan pengurusan universiti. "Maka, hal niat itulah yang lazimnya dibangkitkan oleh kalangan pemikir perundangan dalam mana-mana perbahasan sekali pun," kata Yusmadi. Empat perkara kenapa Seksyen 15 tidak diubah "Pihak kerajaan berkata, jika diberi ruang sekali pun untuk pelajar itu aktif berpersatuan di luar, sebenarnya mereka itu memang telah sedia aktif berpersatuan di dalam universiti. Jadi, kenapa perlu diberi peluang untuk aktif lagi? "Kedua, mereka selalu berkata pelajar-pelajar itu perlu belajar dan menamatkan pelajaran mereka terlebih dahulu. Ketiga, mahasiswa sudah menerima biasiswa. Jadi cukuplah dengan belajar, dan jangan lagi berpolitik," kata beliau. Dalam hal pemberian biasiswa ini, menurut Saifudin, beliau tidak dapat menerima hujah pihak kerajaan. Ini kerana, pelajar luar negara telah mendapat tajaan biasiswa lebih banyak berbanding pelajar IPT tempatan, tapi mereka boleh bergiat dalam Kelab Umno. "Maka, dalam kes ini ada 'double standard' dan wujud sikap pilih kasih," kata beliau. Perkara yang terakhir kenapa Auku tidak dimansuhkan dan Seksyen 15 itu sukar dipinda ialah, kerajaan takut jika seksyen itu dibatalkan, maka kebanyakan pelajar akan masuk ke dalam politik pembangkang. Tidak ramai yang akan menganggotai parti politik pemerintah. "Pada saya, bukanlah hal itu yang menjadi isu. Yang sepatutnya menjadi isunya ialah kenapa mahasiswa mahu masuk politik pembangkang?" tambah beliau lagi. Pada akhir sesi soal jawab, seorang pensyarah membangkitkan pertanyaan apakah kerana Dato' Seri Khaled Nordin pernah merengkok dalam penjara dengan sebab akta-akta yang zalim pada suatu masa dahulu, maka beliau didorong dan terdorong untuk meminda Auku ini. Saifudin, bagaimanapun ketika menjawab soalan itu berkata, 'credit' harus diberi kepada bekas Menteri Pendidikan yang lalu, iaitu Dato' Musa Mohamad, mantan Naib Canselor USM yang pernah merancang pindaan Auku tersebut. Lalu, soalan pensyarah itu tidak terjawab. Maka, sehingga kini, kemungkinan Khaled Nordin meminda Auku kerana beliau pernah terjebak dalam kedudukan tertindas, tetap menjadi persoalan yang belum terjawab dan ia masih menjadi suatu teka-teki yang belum dapat diselesaikan. sumber Harakahdaily. |
Monday, September 8, 2008
Seksyen 15 Auku, benteng terakhir Kerajaan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment