PENYOKONG Pakatan Rakyat menghalang kenderaan rasmi yang membawa Raja Dr Nazrin ke Istana Iskandariah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, semalam. |
Pulau majlis angkat sumpah MB baru Perak, ugut saman baginda
B.harian: KUALA KANGSAR: Pakatan Rakyat menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, apabila memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar yang baru, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini, semalam dan mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap baginda.
Semua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas memulaukan majlis berkenaan, manakala penyokong gabungan itu pula mencetuskan kekecohan di luar Masjid Ubudiah, kira-kira 300 meter dari Istana Iskandariah.
Kumpulan berkenaan juga dilaporkan membaling kayu, batu dan botol ke arah polis dan kenderaan yang melalui Jalan Istana.
Malah, laman web Pejabat Sultan Perak turut diceroboh dengan memuatkan pelbagai perkataan yang mencela Sultan Azlan Shah. Berikutan itu, laman web berkenaan ditutup tengah hari semalam.
"Inilah kita memerintahkan sekian pegawai kita dan rakyat kita yang dikasihi yang ada dalam negeri Perak Darul Ridzuan dan sekian yang lain bersangkutan dengan perkara-perkara ini supaya ambil tahu hal ini dan mengikut dengan taatnya," titah baginda.
Dalam watikah yang dibaca oleh Orang Kaya Temenggong Paduka Raja, Datuk Seri Wan Fathir Wan Hussein, baginda menegaskan kuasa sudah diberi kepada Zambry seperti yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.
Sebaik watikah itu selesai dibaca, Zambry mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar di hadapan Sultan Perak, sekali gus mengesahkan Barisan Nasional (BN) secara rasmi mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Pakatan Rakyat.
Berangkat ke istiadat itu ialah Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim.
Najib selaku Pengerusi BN negeri, turut hadir bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, selain dua bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan Tan Sri Ramli Ngah Talib.
Zambry, 47, adalah bekas Ahli Exco negeri selama satu penggal dari 2004 hingga 2008 sebelum Perak jatuh kepada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum Mac tahun lalu. Beliau adalah Menteri Besar Perak ke-11.
Majlis mengangkat sumpah barisan Exco Negeri yang baru akan berlangsung di Istana Iskandariah pada 10 pagi Selasa ini.
Ulasan:
situasi ini menunjukkan betapa sistem demokrasi sudah tidak reliven. sebagai bukti wakil rakyat yang di lantik oleh rakyat atas nama parti pakatan dengan mudah melompat ke parti lawan tanpa persetujuan rakyat.mengikut perundangan ia adalah sah. itulah kelemahan jika kita masih lagi mengamalkan sistem ciptaan manusia selagi itulah segala masalah akan timbul. berbalik kita kepada tajuk di atas pakatan hina Sultan?? ya memang benar!! tetapi dalam islam taat kepada pemimpin ada batas-batas nya. jika pemimpin itu bertindak membelakangi hak rakyat yang mana hak itu tidak bertentangan dengan syarak' maka rakyat wajib menegurnya. tetapi apabila teguran tidak di terima rakyat perlu "memulaukanya" bukan memeranginya. ya saya mengambil pendangan ulama' yang syadid dalam hal ini.
Sultan bukanya maksum yang perlu kita taati sepenuhnya. saya tertarik dengan satu laman blog yang mengatakan "jika Hang Tuah dan Hang Jebat menjadi calon MB nescaya Rakyat Perak akan memilih Hang Jebat!! walaupun dia menderhaka pada sultan kerana dalm hal ini Sultan yang bersalah" kalau kita melihat perundangan ada dua sahaja yang membolehkan YAB Nizar tidak lagi menjadi MB Perak. Pertama Undi tidak percaya d DUN dan yang Kedua YAB Nizar letak jawatan Bukanya sultan yang melucutkan jawatannya sebagai MB. sekarang ini yang menjadi dalang kepada apa yang berlaku di Perak adalah hasil daripada maklumat SUK Perak yang masih berfikiran Nasionalisme asobiah UMNO. dengan maklumat SUK inilah yang memudahkan kerja Najib untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.
Pandangan peribadi saya sistem Demokrasi ciptaan manusia ini tidak lagi reliven. ini perlu difikirkan oleh PAS untuk menyelesaikan masalah ini supaya sistem ini tidak lagi diamalkan di Malaysia. kembalikan kepada sistem Islam yang sebenar iaitu Pimpinan Negara perlu di lantik dengan adanya Syura yang keahlianya merupakan "ahl al-hil wa al-'aqdi"
Tugas pemimpin adalah untuk menyelamatkan rakyat dan umat di dunia dan di Akhirat. Untuk itu, dia hendaklah orang yang betul-betul boleh membuat kerja tersebut. Dia mesti ada karisma kepimpinan yang Allah SWT bekalkan kepadanya, ilmu kepimpinan, watak semula jadi, latar belakang kehidupan dan didikan awal yang sesuai untuk melayakkan dia dapat membawa umat kepada keselamatan dunia dan Akhirat. Kalau dia bukan orangnya dan dia tidak layak, akan rosak umat dan rakyat dikerjakannya. Selamat atau tidak sesebuah negara banyak bergantung kepada pemimpin. Sebab itu, Islam ada menetapkan syarat-syarat dan sifat-sifat yang wajib ada pada seseorang pemimpin.
Pemerintah yang adil pernah wujud dalam sejarah tetapi banyak yang tidak lama pemerintahannya. Namun ia tidak sebanyak pemerintah yang tidak adil atau zalim. Di antara pemerintah yang adil yang pernah muncul dalam sejarah mengikut ukuran dan nilai Islam ialah Rasulullah SAW, Khulafa ur Rasyidin, Sayidina Umar Abdul Aziz, Muhammad Al Fateh dan Salahuddin Al Ayyubi.
Malangnya kita lihat hari ini, masyarakat seperti hilang punca, bertindak nafsi-nafsi, kasar, keras, pemarah, pendendam, dan sebagainya. Apakah itu memberi kegambaran kepada kita tentang kepincangan kepimpinan yang pemimpinnya terlalu jauh dari mencontohi kepimpinan Rasulullah SAW? Apakah juga fenomena kekecohan kepolitikan di Malaysia hari ini kerana kita semua sudah melupakan ajaran Rasulullah SAW dan panduan baginda dan dengan kata lainnya, kita sudah tidak meletakkan Allah SWT sebagai tempat rujuk yang sebenar?
Sebenarnya, pemerintahan Islam bukan wakil rakyat. pemimpin bukan dipilih oleh rakyat, bukan memperjuangkan hasrat rakyat, bukan bersuara mengikut suara rakyat atau bertindak mengikut kehendak rakyat. Dasar pemerintahannya juga tidak ditentukan oleh rakyat.
Dalam Islam, pemerintah adalah wakil Allah.
Dalam Islam, pemerintah umum yang tertinggi ini juga disebut khalifah, yakni khalifah Allah. Ertinya pengganti Allah atau wakil Allah di bumi. Mereka bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja yang Allah perintahkan kepada mereka terhadap rakyat. Kerja-kerja ini termasuklah berkhidmat kepada rakyat, memimpin, mendidik, mengajar, mentadbir, mengurus, menyelesaikan masalah rakyat, membangunkan dan memajukan negara dan masyarakat.
Allah mahu hamba-hamba-Nya semua diurus dan ditadbir dengan baik agar mereka semua di dunia ini mendapat layanan dan hak-hak yang sepatutnya mereka dapat dari Allah SWT. Untuk itu segala harta benda, kekayaan dan khazanah perbendaharaan termasuk kekayaan sumber alam semula jadi diserah kepada pemerintah. Supaya mereka agih-agihkannya dengan adil kepada rakyat dan menggunakan sebahagiannya untuk menyediakan serba-serbi keperluan rakyat dan negara. Supaya negara berada di dalam keadaan aman, makmur dan mendapat keampunan Allah seperti dalam firman-Nya:
Maksudnya: "Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah. " (As Saba': 15)
Oleh kerana pemerintah itu adalah pengganti Allah dalam menjalankan keadilan di kalangan manusia, maka Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya agar taat kepada pemerintah sesudah taat kepada Allah dan kepada Rasul.
Firman Allah Taala:
Maksudnya: "Wahai mereka yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul dan yang mempunyai kuasa di kalangan kamu. " (An Nisa': 59)
Ketaatan kepada pemerintah, ulil amri atau khalifah yang adil yang benar-benar mewakili atau mengganti Allah untuk mentadbir bumi adalah penting, supaya hukum-hukum Allah yang hendak dijalankan dalam negara dapat berjalan dengan baik. Dan supaya kehidupan hamba-hamba Allah juga dapat diurus dengan baik.
Terhadap mana-mana yang degil dan melawan perintah, dibenarkan pemerintah menghukum mereka demi menjaga dan mengawal kebaikan dalam masyarakat. Dengan syarat kesalahan itu betul-betul kesalahan yang menyalahi syariat dan diiktiraf oleh syariat. Pemerintah tidak boleh gubal hukum dan undang-undang sendiri dengan membelakangkan dan menyalahi undang-undang dan hukum Allah. Jika pemerintah berbuat demikian, maka ia akan jatuh kepada hukum fasiq atau zalim atau kafir. Firman Allah SWT:
Maksudnya: "Barang siapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka adalah orang fasiq. " (Al Maidah: 47)
Maksudnya: "Barang siapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka adalah orang zalim." (Al Maidah: 45)
Maksudnya: "Barang siapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka adaiah orang kafir." (Al Maidah: 44)
Kalau pemerintah sudah tidak taat dengan Allah, maka dalam keadaan itu, rakyat tidak lagi wajib taat kepada pemerintah tetapi dalam hal atau perkara yang bertentangan dengan syariat itu sahaja.
Namun dalam hal-hal yang lain yang tidak menyalahi syariat, rakyat wajib terus taat.
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: "Tiada ketaatan kepada seorang makhluk dalam soal menderhakai Allah."
Pemerintah yang zalim dan tidak adil ialah pemerintah yang mengaut harta negara untuk dirinya, keluarga dan kroni-kroninya. Yang tidak memberi bantuan kepada rakyat yang tidak menyokong mereka atau yang mereka anggap sebagai musuh. Yang menyalahertikan tugas dan tanggung jawab kepimpinan dengan menjadikannya sebagai satu sumber pendapatan yang lumayan. Yang mengambil kesempatan atas amanah rakyat untuk jadi kaya-raya. Yang bekerja bukan untuk kepentingan rakyat jelata dan negara, jauh sekali untuk agama. Yang menindas, menekan, menganiaya, khianat dan berlaku zalim kepada rakyat. Hukuman bagi pemerintah seperti ini sangat berat di Akhirat nanti.
Di waktu ini, marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah SWT. agar negara kita yang dicintai ini akan sentiasa di dalam keberkatan dan rahmat Allah SWT dan kita mendoakan juga agar dilahirkan dan disuburkan pemimpin yang benar-benar bertindak sebagai wakil Allah di dalam kepimpinannya.
Ya Allah! Ya Rahman!
Cucurilah rahmat dan berkat negara Malaysia
Kerajaannya, rakyatnya, aset-asetnya dan seluruh isinya
Jadikanlah negara ini baidatun thoiyibatun warabbun ghafur
Satukan rakyatnya tidak kira etnik, bangsa dan agama
Ya Allah! Berilah hidayah dan taufiq seluruh rakyatnya
Sama ada pemimpin-pemimpinnya, ulama-ulamanya, pegawai-pegawainya dan seluruh penduduk-penduduknya
Selamatkanlah kami semuanya daripada kehinaan dan bala bencana
Makmurkan rakyatnya, aman damaikan kami semuasepanjang masa
Majukanlah insaniah kami dan majukanlah negara kami
Jauhkantah kami daripada sebarang jenayah dan gejala tidak sihat
Peliharalah kami daripada musuh-musuh yang berniat jahat
Berilah kami iman, taqwa, perpaduan sebagai kekuatan
Jadikanlah Malaysia negara contoh dan ikutan
Setidak-tidaknya bagi negara-negara umat Islam seluruh dunia
Jadikanlah Malaysia Madinah kedua sebagai ulangan sejarah
Yang mana ia berjalan di dalam suasana Al Quran dan As Sunnah
Itulah cita-cita kami ya Allah ya Tuhan kami!
Kabulkanlah permintaan dan seluruh hajat-hajat kami- Allahu Haq-
No comments:
Post a Comment