Wednesday, January 28, 2009
IDEOLOGI CIPTAAN MANUSIA : KEMANA KESUDAHANNYA?
Rentetan sejarah memperlihatkan kepada kita kejatuhan dan keruntuhan ideologi-ideologi ciptaan manusia yang pada awalnya seperti membangun peradaban dan kemajuan tetapi akhirnya tersungkur juga di dalam kehancuran. Kehancuran dan keburukan yang terhasil dari ideologi ini membawa impak yang besar kepada kemanusiaan dan manusia itu sendiri.
Ia mengakibatkan kerosakan kepada kedua-dua tamadun sama ada tamadun keduniaan dan tamadun kemanusiaan atau keinsanan itu sendiri. Kerosakan berlaku bukan sahaja dari segi material atau fizikal tetapi kepada pembangunan kemanusiaan itu sendiri.
Ideologi Komunisme bermula di awal era 1900an. Ia berlaku akibat kekecewaan ratusan tahun rakyat terhadap penindasan sistem feudalisme dan kapitalisme, dan menyebabkan manusia mula mengimpikan keindahan hidup yang dijanjikan oleh komunis. Revolusi Bolshevik 1917 pun berlaku, rakyat Russia menjatuhkan Tsar dan menaikkan Lenin. Saat itu, rakyat percaya komunislah sistem yang mampu menyelesaikan masalah.
Dari tahun ke tahun rakyat menanti sistem hidup komunis yang dikatakan adil itu terlaksana. Falsafahnya mereka faham, teorinya mereka mengerti, tetapi realitinya belum dapat dirasa. Setelah kecewa menunggu lebih 70 tahun, barulah mereka sedar bahawa janji-janji kesempurnaan komunis itu hanyalah satu utopia.
Mereka marah. Lalu komunis dijatuhkan. Patung Lenin diludah dan dihancurkan. Mana alternatif baru? Mereka tercari-cari. Untuk kembali kepada kapitalis, takut luka lama berdarah kembali. Untuk memberi ruang bagi komunis versi baru, mereka sudah serik. Hakikatnya, mereka sekarang sudah kecewa dengan ideologi bikinan manusia sepertimana mereka kecewa dengan agama sejak dulu.
Apa yang berlaku di Russia akhirnya berjangkit juga kepada negara-negara lain di seluruh dunia. Cuma arahnya sahaja yang berlainan. Mungkin dari sosialis ke kapitalis, dari kapitalis menuju sosialis dan sebaliknya. Berpusing-pusing di sekitar itu juga. Manusia akan terus terpukau oleh retorika-retorika bersifat utopia dan kemudian menghenyaknya setelah jemu menunggu dan merasa tertipu dan kemudian mula mencari yang lain.
Sistem demokrasi juga kini memperlihatkan kepada kita kesan yang tidak kurang bezanya dengan sistem komunis. Amerika yang membina peradaban dunia yang unggul di kalangan negara-negara maju di dunia ini sejak kejatuhan sistem komunisme, mula merasai bahang dari kesan sistem demokrasi tersebut. Walaupun sistem demokrasi mengutamakan suara rakyat, liberalisme, ketelusan dan hak asasi manusia, namun manusia tetap merasa ketidakpuasan dan ketidakadilan tidak dilaksanakan dengan jitu.
Negara-negara lain yang turut menggunapakai sistem demokrasi ala Amerika ini juga turut terpalit sekali dengan kesan buruk sistem ini. Kebanyakan negara mengalami kegoncangan politik dan mengakibatkan ketidakstabilan ekonomi dan sosial yang meruncing hingga membuatkan ada rakyat yang semakin tidak mempercayai akan keupayaan sistem demokrasi di dalam membawa keadilan dan kedamaian kepada negara. Di dalam pemerintahan yang bernaung di bawah payung demokrasi, mereka melihat berlaku penyelewengan kuasa di sana dan sini, ketamakan terhadap kuasa dan perebutan kuasa yang tidak berkesudahan, penindasan dan ketidakadilan berlaku disegenap lapisan masyarakat, menyebabkan masyarakat mula ragu dan cuak dengan segala yang berlaku ini.jelasnya, segala yang diwarwarkan tentang kebaikan sistem demokrasi ini hanya seperti ilusi, sedangkan realitinya bagaikan indah khabar dari rupa semata-mata.
Orang Islam mestilah mengambil iktibar daripada hakikat ini. Islam yang diperjuangkan tidak cukup hanya indah dari segi falsafah dan teorinya sahaja. Walaupun Islam itu memang indah sekalipun baru diperkatakan secara teori, namun praktik Islam itu jauh lebih indah. Falsafah Islam yang indah itu hanya merupakan tarikan awal untuk membinanya secara realiti.
Para pemikir dan cendekiawan Islam tidak boleh mengecewakan manusia dengan menyebabkan mereka tertunggu-tunggu untuk merasai keindahan Islam yang telah mereka baca dan fikir. Jika tidak, manusia akan menganggap bahawa Islam juga akan mengecewakan mereka seperti kapitalis, komunis, sosialis atau demokrasi. Sedangkan, keindahan Islam bukan satu utopia.
Masa berfalsafah hampir berakhir. Satu model kehidupan Islam yang dapat dirasa mesti dibina segera. Telah banyak diperkatakan tentang keindahannya. Kini manusia menunggu-nunggu bila lagi mereka boleh menikmati keindahan Islam?
Dan inilah kunci kejayaan Islam, keindahannya jika dapat dirasa, akan menyebabkan manusia tidak kira Islam ataupun bukan Islam menerimanya dengan hati yang terbuka. Ketika itu akan padamlah segala polemik, prejudis dan keraguan, bolehkah Islam menyelamatkan manusia.
Mari kita renungi firman Allah SWT di bawah ini :
Firman Allah SWT:
Maksudnya: Barang siapa yang menghendaki selain Islam sebagai cara hidup, sekali-kali tidak akan diterima daripadanya dan di Akhirat, ia menjadi orang yang rugi. (Ali Imran: 85)
Sesungguhnya Islam itu sudah lengkap melengkapi di dalam membentuk kehidupan yang selamat dan menyelamatkan, hanya dengan kembali kepada Islam secara kaffah dan meninggalkan segala ideologi bikinan manusia sahajalah, jalan penyelesaian yang dapat menyelamatkan manusia dan dunia ini dari kemusnahan peradaban kemanusiaan dan kebendaannya.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: Hendaklah kamu masuk ke dalam Islam secara keseluruhannya. (Al Baqarah: 208)
Firman Allah SWT:
Maksudnya: Apakah kamu mengambil sebahagian isi kitab dan menolak sebahagian yang lain. Tidak ada balasan bagi orang yang melakukan demikian itu melainkan akan ditimpa kehinaan di dunia. Manakala di Akhirat akan dicampakkan pada azab yang pedih. (Al Baqarah: 85)
Firman Allah SWT lagi:
Maksudnya: Bukan sifat mukmin lelaki mahupun perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan hukum, mereka memilih-milih (yang sesuai dengan selera mereka). (Al Ahzab: 36)
Islam itu satu sistem keselamatan. Kalau Islam itu tidak diambil atau diamalkan keseluruhannya, akan ternafilah keselamatan yang dijanjikan oleh Islam. Kita tidak boleh beriman dengan sesetengah ayat Quran dan kufur dengan sesetengahnya. Kita tidak boleh amalkan sesetengah ayat Quran dan meninggalkan sesetengahnya. Kita tidak boleh campur adukkan sistem Islam dengan sistem-sistem yang lain, dan kemudian menuntut keselamatan dari Tuhan Rafiqul A'la.
Sistem Islam itu adalah penawar. Sistem-sistem yang lain adalah racun. Kita tidak boleh campurkan racun dengan penawar dan kemudian menganggapnya sebagai ubat. Kalau kita berbuat begitu, bukan sahaja penyakit yang ada tidak akan sembuh, bahkan akan timbul pula berbagai-bagai penyakit yang lain.
Kalau kita berjaya mengamalkan Islam keseluruhannya iaitu berjaya menegakkan cara hidup dan tamadun Islam, baik yang lahir mahupun yang batin, maka AllahSWT janjikan apa yang difirman-Nya dalam Quran:
Maksudnya: Negara aman makmur dan mendapat keampunan Tuhan. (As Saba: 15)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment