Friday, November 7, 2008
Dongeng kulit putih :: MB Kelantan
KOTA BHARU – Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kemenangan calon Parti Demokrat Barack Obama dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat berkulit hitam pertama sebagai satu perkembangan baru.
“Kemenangan beliau sebagai Presiden AS yang ke 44 menunjukkan pemikiran bahawa kulit putih lebih bernilai, lebih mulia daripada kulit hitam adalah dongeng semata-mata. Dan ia berlaku di nagera barat sendiri di mana mereka mengagung-agung kulit putih.
“Islam awal-awal lagi menyebut kulit hitam atau putih adalah sama kerana tiada perbezaan warna kulit di sisi Allah...Yang lebihnya adalah takwa. Kalau kita letak tempurung di atas rumput pun, dua bulan tempurung itu akan bertukar putih juga, tidak ada lebih apapun...” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Mingguan di SUK, di sini, semalam.
Menurutnya, perbezaan antara kulit hitam dan kulit putih hanya diperbesar-besarkan oleh masyarakat kulit putih selama ini dan ia perlu diubah.
Katanya, dengan kemenangan mudah Obama menewaskan John McCain dari parti Republican itu diharap dapat mengubah persepsi masyarakat antarabangsa mengenai Islam melalui dasar pemerintahan yang lebih baik.
Tambahnya, diharap Islam akan diterima satu hari nanti oleh masyarakat antarabangsa dan bukannya hanya membenci dan menyamakan Islam dengan keganasan.
Mursyidul Am Pas itu berkata, dalam Islam diajar kalau hendak berkawan dengan seseorang tidak perlu bertanyakan orang itu tetapi selidik dulu siapa kawan individu berkenaan.
“Kalau kawan dia jahat, awal-awal lagi orang ini pun ada minat jahat. McCain tak bernasib baik berkawan dengan George W Bush yang minum darah manusia di Iraq, Afghanistan. Di akhirat dia akan bertanggungjawab,” katanya.
Katanya, pemilihan calon kulit hitam itu juga menunjukkan masyarakat Amerika Syarikat mulai menerima rakyat kulit hitam sebagai pemimpin.
“Kita mahu masyarakat mengubah tanggapan orang kulit putih mempunyai kelebihan berbanding orang kulit hitam dan pemilihan Obama adalah perkembangan baru kepada dunia,” katanya.
Ulasan: Perkembangan terbaru telah melanda Amerika ia amat mengejutkan Dunia ini petanda bagi orang yang meyakini janji Allah SWT akan merasai Kebangkitan Islam Akhir Zaman sedang di proses. segala perancangan musuh Islam untuk memadam cahaya Islam sudah hilang arah tujuan. kita dapat melihat kebangkitan suara Rakyat pada pilihanraya di malaysia yang mana BN tidak mendapat 2/3 dari kerusi Parlimen, kemenangan Parti Islam di Turki, Kemenangan Parti Hamas di Palestin, Kemenangan Ikhwanul Muslimin di mesir dan lain-lain lagi peristiwa yang sungguh ajaib yang berlaku sejak akhir-akhir ini semuanya menyumbang ke arah kebangkitan Islam. walaubagaimanapun tarikh yang tepat berlakunya Khilafah Islam hanya Allah yang tahu. marilah kita sama-sama berkhidmat di dalam proses Kebangkitan ini. semoga kita di pilih oleh Allah SWT sebagai Golongan Mujahidin abad ke 21. semoga kita menjadi pemain bola yang mendapat anugerah apabila menang bukanya menjadi penonton apabila menang tak dapat apa2... Allahu Haq.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment