Ali Bukhari Amir
Sebagaimana yang diucapkan Menteri Pengajian Tinggi, pindaan Auku adalah bertujuan memberikan kebebasan kepada mahasiswa di universiti. Kenyataan ini mengundang satu pertanyaan lain, "Jadi, selama ini mahasiswa universiti tidak bebaskah?"
Pertanyaan itu akan melahirkan berpuluh-puluh lagi jawapan di pihak Aspirasi yang sukar menunjukkan pendirian mereka secara bebas termasuklah para pensyarah Umno. Di pihak mahasiswa dan pensyarah yang berhaluan kiri, akan lebih banyak ulasannya yang bermacam-macam pula.
Apa pun, rumusan yang boleh kita sepakati ialah ketika semua akta, undang-undang yang cuba dipinda dan digubal mengikut selera menteri saja, maka beginilah jadinya. Menteri yang baru ini mungkin menganggap pelaksanaan Auku di zaman Mustapha Mohamed dan sebelumnya Dr Shafie Salleh lebih ketat berbanding pada zamannya.
Bagi pihak Presiden Penaja Parti Mahasiswa Negara (PMN) Azlan Zainal, kenyataan Khaled melahirkan keraguan tersendiri yang sememangnya berakar daripada sejarah pengalaman lalu.
"Walaupun dinyatakan niat pindaan tersebut demi memberi kebebasan kepada mahasiswa dan autonomi kampus, tapi kami melihat tindak-tanduk itu adalah bersifat politikal saja.
"Sebelum ini, Dato' Dr Shafie Salleh dan Dato' Mustapha Muhammad menyatakan hasrat sedemikian. Tapi, kita boleh buat kesimpulan mudah mengenai tujuan sebenar kedua-dua bekas menteri KPT tersebut," kata beliau dalam suatu kenyataan kepada Harakahdaily.
PMN mengesyaki apakah niat KPT itu benar-benar mahu memberi kebebasan mahasiswa dan autonomi kampus; atau sebenarnya ada tujuan lain yang mendorong pindaan akta ini?
Pada Julai 2006, suatu pertemuan antara pimpinan pelajar haluan kiri bersama pimpinan parti alternatif telah dipengerusikan oleh Presiden KeADILan Datin Seri Wan Azizah di Parlimen untuk membincangkan pindaan Auku tersebut.
Pertemuan itu dibuat ekoran kenyataan Dato' Mustapha Mohamed yang ingin meminda Auku sehingga mengundang reaksi positif sesama mereka. Bagaimanapun, tidak diketahui apakah memorandum berhubung pindaan itu telah direstui Mustapha?
Pengucap pertama ialah saudari Soh Sook Hwa yang dengan tegas meminta supaya Auku tidak lagi dipinda, malah sepatutnya ia dimansuhkan terus. Turut menyetujui pandangan beliau itu adalah saya sendiri.
Dalam majlis itu, mantan aktivis mahasiswa Hishamudin Rais berkata, pelajar jangan tertipu dengan pindaan yang bertujuan ingin mengetatkan mereka dan bukannya bertujuan untuk melonggarkan.
"Kalau dipinda, mereka akan meminda mengikut apa yang mereka suka dan bukan pinda mengikut desakan kita," katanya. Atas alasan itu, ramai yang meminta ia dimansuhkan.
Dr Syed Husin Ali yang hadir dalam majlis itu menokok beberapa kenyataan Hishamudin ketika membentangkan fakta sejarah penubuhan Auku.
Menurut kedua-dua bekas siswa dan pensyarah UM ini, peraturan kejam itu telah digubal oleh mantan Menteri Pelajaran, Dr Mahathir dan mantan NC UM Prof Diraja Ungku Aziz bagi tujuan mengekang keterlibatan pelajar dalam arus politik perdana tanahair.
Jadi, apakah Khaled Nordin akan hanya meminggirkan buah fikiran atau beliau akan turut melibatkan kedua-dua pihak ini untuk membuat pindaan Auku yang berikutnya?
Di pihak mahasiswa, wujud dua aliran yang melihat sisi gelap Auku. Sisi putih Auku bagi mereka ditenggelamkan oleh sisi gelap Auku tadi. Kelompok pertama melihat Auku perlu dipinda. Sementara aliran kedua melihat ia perlu dimansuhkan segera.
Apa pun yang berlaku, sama ada Auku perlu dipinda atau mansuhkan, ia tetap membawa kepercayaan yang sama, iaitu Auku memang bermasalah. Cuma, cara menyelesaikan masalah saja yang berbeza. Satu pihak mendesak ia dimansuhkan dan pihak yang lain pula menuntut agar Auku dipinda.
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) contohnya di dalam 13 Tuntutan Pelajar berhubung pilihan raya umum ke-12 telah mendesak agar Auku dipinda. Tuntutan itu telah dihebahkan beberapa minggu sebelum pilihan raya umum.
"Jika tuntutan ini tak dipenuhi, kami akan bertindak lebih agresif," kata Presiden PKPIM Mohd Hilmi Ramli. Sejauhmanakah badan pertubuhan pelajar berdaftar tertua itu mahu bersikap agresif, tidaklah dapat dijangkakan lagi sehingga kini.
Andaian awal pindaan Auku
Apabila Khaled mahu meminda Auku, kenyataan itu mengundang beberapa andaian awal di pihak PMN. Pertamanya, parti yang belum didaftarkan itu menyifatkan hal pindaan itu tidak lebih daripada lipstik kosmetik propaganda murahan kerajaan.
Kedua, PMN menyifatkan kenyataan itu bertujuan mendorong pelajar kembali berurusan dalam kampus sahaja dan bukan lagi berpencak silat dalam gelanggang arus politik perdana negara.
Ketiga, niat meminda itu dilakukan kerana Auku secara tidak langsung menjadi halangan kepada Umno-BN untuk mendekati mahasiswa di universiti.
"Umno mahu buktikan bahawa mereka bersedia berubah dan cuba mendapatkan semula kepercayaan rakyat selepas parti-parti alternatif berhasil menakluk lima buah negeri di Malaysia. Sebab itu mereka sengaja mewarwarkan propaganda melalui responden menerusi undian SMS di Buletin Utama TV3 baru-baru ini.
"Sebenarnya, mereka tak perlu berbuat demikian kerana Auku telah lama ditentang oleh pelajar. Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) sebelum ini juga telah menghantar risalah lengkap berhubung hal pemansuhan Auku tersebut," kata beliau.
Tambah beliau, Jawatankuasa Penasihat untuk Mereputasi Universiti-Universiti Malaysia juga telah menyatakan hasrat mereka secara akademik, supaya undang-undang Auku ini dimansuhkan terus.
"Ada kemungkinan juga KPT risau dengan perkembangan PMN dalam pilihan raya terbaru. Ia ketara apabila mereka yang anti SMM sebelum ini kerana badan itu menyeru ke arah demokrasi kampus yang adil dan bebas; hari ini telah menegaskan bahawa pilihan raya kampis (PRK) adalah pentas terbaik untuk kaum pelajar itu berpolitik.
"Kenapakah mereka menyatakan hal itu? Adakah mereka mahu membuat 'reverse psychology' kepada kami dalam pilihan raya lepas?" soal beliau sambil mengandaikan motif kerajaan itu adalah bertujuan menyekat kehadiran pelajar dalam bentuk politik kepartian.
Mahasiswa cabar KPT berdebat berhubung isu pindaan Auku
Tambah Azlan, pindaan Auku juga mungkin menyebabkan Umno lebih mudah masuk ke dalam universiti sekali gus bertujuan menyekat pengaruh parti pembangkang di kampus-kampus.
"Kami rasa jika Auku digubal pada kali ini, tujuan sebenarnya ialah cuma untuk memudahkan Umno menyebarkan pengaruhnya ke atas kaum pelajar. Atau, setidak-tidaknya bertujuan menafikan hak parti pembangkang atau pertubuhan haluan kiri daripada mendekati mahasiswa di universiti.
"Jadi, kami mengajak KPT berdebat secara terbuka berhubung isu ini. Kami sedia berdepan dengan kerajaan secara sopan dan rasional. Biarlah pelajar berfikir dengan bebas mengenai asas-asas yang sama-sama kita perdebatkan," kata beliau.
Tambahnya, jika parti pemerintah tidak berani berdebat secara sopan dan rasional dengan pelajar, maka semua pertubuhan pelajar yang bebas akan mengisytiharkan bahawa Umno dan BN kini cuma bersandiwara tentang hasrat mereka ingin meminda Auku tersebut.- sumber harakahdaily-
No comments:
Post a Comment