Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Friday, October 16, 2009

La Tahzan Sesungguhnya Allah Bersama Orang yang Bersabar


Pengajaran dari pasca kelemahan PAS di Bagan Pinang….

Firman Allah dalam:
لقد نصركم الله فى مواطن كثيرة ويوم حنين إذ أعجبتكم كثرتكم فلم تغن عنكم شيئا وضاقت عليكم الأرض بما رحبت ثم وليتم مدبرين ثم أنزل الله سكينته على رسوله وعلى المؤمنين وأنزل جنودا لم تروها وعذب الذين كفروا وذلك جزاء الكفرين Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (wahai orang mukmin) di medan peperangan yang banyak. Dan ingatlah peperangan Hunain iaitu di waktu kamu merasa bangga kerana ramainya jumlahmu. Maka jumlah yang ramai itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikit pun. Dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai. Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada rasulNya dan kepada orang-orang yang beriman. Dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tidak melihatnya dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang kafir. Dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang kafir (ayat 25 ,26 surah al-Taubah)


Peperangan Hunain berlaku apabila bani Hawazin dan Thaqif pimpinan Malik bin Auf yang tinggal di Taif merancang untuk menyerang umat Islam. Bagi mengetahui secara lanjut tentang persiapan mereka lalu Rasulullah s.a.w menghantar Abdullah bin Abi Hadrad al-Aslamiy ke Taif untuk tinggal di tengah-tengah kaum tersebut bagi mengumpul maklumat. Setelah itu dia pulang ke Mekah dan memberitahu tentang persiapan bani Hawazin dan Thaqif dari segi kelengkapan senjata dan juga dengan bilangan tentera antara 20 hingga 30 ribu orang bagi menyerang umat Islam. Pasukan kuffar ini turut membawa bersama harta benda dan anak isteri mereka agar mereka tidak lari dari medan perang kerana maksud peperangan ialah menjaga diri, harta dan keluarga daripada serangan musuh. Di sini kita dapat lihat bagaimana peperangan memerlukan kepada usaha dan perancangan yang rapi termasuk mencari maklumat lengkap tentang jumlah dan persiapan musuh sehingga memungkinkan kita mengetahui tentang tahap kekuatan dan kelemahan yang ada. Tugas pengintip rahsia walau pun merbahaya tetapi perlu ada bagi mengumpul sebanyak mungkin maklumat pihak lawan sebelum peperangan meletus.


Rasulullah s.a.w bersama 12 ribu orang tentera muslimin iaitu 10 ribu dari Madinah dan 2 ribu dari Mekah telah keluar menuju ke lembah Hunain. Dalam peperangan ini disebabkan kekurangan bekalan senjata maka Rasulullah s.a.w terpaksa meminjam senjata dan seratus baju besi daripada Safwan bin Umaiyah yang belum Islam lagi pada masa itu. Pinjaman yang terpaksa dibuat ini tidak menjatuhkan maruah umat Islam kerana Safwan adalah seorang yang dipercayai dan dia agak lemah serta tidak mampu menguasai umat Islam melalui senjata yang dipinjamkan itu.


Keesokan harinya ketika tentera Islam di barisan hadapan pimpinan Khalid bin Walid sedang bergerak mara, mereka diserbu dari arah kiri dan kanan disamping anak panah yang menghujani mereka dari arah depan dan belakang. Serangan mengejut ini menyebabkan kuda-kuda lari ketakutan begitu juga ramai tentera Islam yang berundur ke belakang terutama dalam peperangan kali ini walau pun jumlah tentera Islam agak ramai berbanding beberapa peperangan sebelum ini tetapi kebanyakan mereka baru memeluk Islam dan tidak begitu tahan dengan ujian. Ini memberi suatu pengajaran yang besar di mana jumlah yang ramai belum tentu dapat mengalahkan musuh jika perjuangan tidak disertakan dengan keikhlasan kepada Allah dan juga tidak tahan dengan ujian yang mendatang. Kebanyakan tentera Islam merasakan mereka akan mendapat kemenangan dengan mudah kerana jumlahnya yang ramai disamping mereka juga begitu terlalu memikirkan harta rampasan yang bakal diperolehi sehingga melalaikan mereka daripada mengingati bahawa peperangan yang disertai itu ialah untuk Islam bukannya untuk meraih harta dunia. Jumlah umat Islam pada hari ini bukan sedikit tetapi kita diuji dengan kekalahan kerana tidak kembali bersatu di bawah payung Islam.


Ketika suasana bertambah gawat dan cemas lalu Rasulullah s.a.w yang berada di tengah-tengah tentera Islam yang sedang berundur ke belakang di mana Rasulullah s.a.w terus mara ke arah musuh dan cuba menghadapi mereka secara bersendirian tetapi dipegang oleh 2 orang sahabat yang lain. Musuh turut menyebarkan berita bohong bahawa nabi telah terbunuh di mana serangan saraf ini melemahkan lagi semangat tentera Islam. Inilah bahayanya serangan saraf terutama dalam sesuatu perangan kerana ia boleh mengalihkan tumpuan musuh dan menghancurkan kesatuan sesama mereka. Kita umat Islam hari ini juga tidak terlepas daripada serangan saraf yang dilancarkan oleh musuh dalam melunturkan semangat jihad kita dan menghancurkan perpaduan umat Islam untuk kembali kepada Islam.


Akhirnya apabila mendengar jeritan Rasulullah s.a.w dan melihat keberanian baginda meluru ke arah musuh telah menaikkan semangat tentera Islam yang benar-benar mahu berjuang iaitu kira-kira 200 orang di mana kemaraan tentera Islam bagi kali kedua ini telah berjaya menewaskan musuh yang ramai. Selepas itu tentera Islam turut mengepung musuh di Taif dan kemudiannya kembali dengan tidak membunuh musuh yang telah terkepung sebaliknya diiringi doa agar mereka memeluk Islam. Ini menunjukkan bagaimana peperangan dalam Islam bukannya untuk membalas dendam tetapi ia merupakan antara jalan dakwah apabila dilawan dengan kekerasan. Selepas itu ramai puak Hawazin telah memeluk Islam yang membolehkan nabi membebaskan tawanan perang daripada kalangan mereka. Inilah keindahan Islam yang meraikan keadilan tidak sebagaimana yang dituduh oleh musuh yang mengatakan bahawa Islam suatu agama yang menggalakkan keganasan.

Firman Allah dalam ayat 41 surah at-Taubah :

انفروا خفافا وثقالا وجــهدوا بأمولكم وأنفسكم فى سبيل الله ذلكم خير لكم إن كنتم تعلمون

Maksudnya : Pergilah kamu samada dalam keadaan ringan atau pun merasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.

Di atas pengajaran di atas barulah kita ketahui mengapa PAS lemah di bagan pinang. PAS perlu muhasabah kembali bahawa ramai ahlinya yakin dengan kemenangn PAS di Bagan Pinang disebabkan jentera atau tenteranya yang ramai dan pilahanraya sebelum inipun PAS menang. Mereka lupa bahawa yang memberi kemenangan itu adalah Allah SWT bukan manusia. Begitu juga para sahabat yakin dengan kemenangan disebabkan bilangan mereka yang ramai lagipun sebelum ini mereka menang di peperangan BADAR meyebabkan mereka yakin dengan kekuatan mereka. Disebabkan serangan psikologi oleh pihak musuh mengatakan Rasulullah SAW telah wafat menyebabkan mereka hilang semangat dan sepenuh hati lantas mereka mengharapkan pertolongan dari Allah SWT. Disebabkan doa yang ikhlas itu maka Allah SWT memberi kemenangan kepada mereka di dalam perang hunain.


Justeru itu kita yakin bahawa PAS berada di pasca perang psikologi iaitu lemah semangat di atas kekalahan di Bagan Pinang. Maka tunggu lah pilihanraya akan datang setelah semua ahli PAS mengharapkan pertolongan Allah SWT dan berdoa dengan hati yang ikhlas seperti yang berlaku di perang hunain I.Allah kemenangan Islam akan menjadi kenyataan “ Sesungguhnya Allah SWT tidak pernah memungkiri janji”…………Allahu Haq

No comments: